Thursday, December 27, 2012

Pengembaraan ke Selatan 3: USS

Part 1: JB
Part 2: Singapura
Part 3: USS

Selepas menuruni bas yang menghantar rombongan kami dari Johor Bahru, seorang gadis menunjukkan arah tangga yang perlu kami lalui untuk menuju ke pintu utama Universal Studios Singapore. Di luar pintu utama, terdapat sebuah globe yang sangat besar, logo yang sering terpapar dalam montaj filem-filem hollywood terbitan Universal Pictures. 

Di bawah ini saya tunjukkan logo tersebut bagi mereka-mereka yang sering ketinggalan dalam menyaksikan montaj tersebut:
Di kawasan ini, pengunjung silih berganti mengambil gambar berlatar belakangkan globe tersebut untuk mengabadikan kenangan sebagai tanda bahawa mereka telah mengunjungi tempat ini. Pemandangan ini adalah pemandangan wajib bagi mereka-mereka yang telah sampai. Kami turut tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan sesuatu di kawasan ini. Aku sebagai seorang yang baru dalam fotografi akan cuba sedaya upaya untuk memastikan gambar rakan-rakan aku yang diambil berada dalam keadaan terbaik walaupun masih ada kekurangannya.
Kami sampai di kawasan tersebut sebelum Universal Studios dibuka lagi. Inilah masanya untuk menjadi mereka-mereka yang berada di barisan hadapan sebelum memasuki pintu masuk utama. Pintu akan mula dibuka pada pukul 10.00 pagi. Di hadapan kami, Kungfu Panda telah menjelmakan diri. Pada masa ini, aku tidak sempat mengangkat kamera untuk gambarnya. Perkara yang amat kami risaukan adalah membuat panggilan kerana talian Maxis mahupun Celcom tidak ada di sini. Khuatir andai terpisah. Namun begitu, kami amat bersyukur kerana talian telah di'roaming' secara automatik.

Tepat pukul 10:00 pagi, maka pengunjung sudah mula memasuki pintu utama Universal Studio. Kawasan tersebut dihias indah dengan bangunan yang bercirikan bandar New York sebagaimana yang sering kita lihat di kaca TV. Bezanya, pengunjung bebas berjalan ke mana sahaja merentasi jalan raya tanpa ada sebarang kenderaan yang lalu lalang.

Kami dibekalkan dengan sehelai peta dan arah tujuan utama kami pada waktu itu adalah Transformers The Ride. Kami percaya semua pengunjung mahu ke sini sebagaimana yang diwar-warkan oleh rakan yang pernah mengunjunginya. Akibat terlalu khuatir akan berbaris terlalu panjang, kami menjadi pengunjung yang mula-mula berada di kawasan itu.
Setelah memasuki studio 4D tersebut, kami dapati bahawa kami tidak perlu beratur panjang. Di dalam kawasan ini, sebarang pengambilan gambar dan rakaman video adalah tidak dibenarkan. Kami turut dibekalkan dengan kacamata 3D untuk mendapat kesan khasnya. Kesan 3D ini sangat menghiburkan dan anda mesti merasai sendiri bagaimana rasanya menjadi salah seorang watak filem Transformers dalam membantu Autobots memerangi Decepticons. Di luar studio tersebut, kami turut menyimpan kenangan bersana patung Optimus Prime serta kereta Chevrolet Camaro.

Selepas keluar daripada kawasan Transformers The Ride, kami menuju ke sebuah permainan lain di Sci-Fi City Zone. Ia dipanggi Cyclon. Dalam permainan ini, Cylon yang mempunyai landasan berwarna biru akan dilepaskan bersama Battlestar Galactica dengan landasan warna merah. Bezanya, Battlestar Galactica seumpana Roller Coaster di Sunway Piramid manakala Cylon tidak mempunyai tapak untuk berpijak. Kita seakan-akan meluncur di udara secara tergantung. Ini merupakan permainan yang paling mencemaskan sehingga keringat membasahi muka kami semua selepas turun darinya.

Selepas melepas debaran di Sci-Fi City Zone, kami bergerak menuju ke Ancient Egypt. Gambaran di sini seumpama berada di kawasan tanah Mesir dahulu kala yang dihiasi dengan dinding di zaman Fir'aun, patung-patung mumia gergasi serta ukiran Mesir Purba. Pengembaraan di sini seolah-olah berada dalam filem The Mummy. Mengikut kata seorang rakan aku, ada sebuah studio di kawasan ini yang membawa pengunjung berada di dalam sebuah gerabak ibarat roller coaster. Gerabak itu akan bergerak laju dan berhenti secara tiba-tiba serta meluncur laju seolah-olah mengundur. Studio itu dipanggil Revenge of the Mummy. Aksi ini tidak kami temukan kerana tidak tahu wujudnya permainan seperti itu. Inilah antara perkara-perkara yang menyebabkan aku ingin kembali ke USS pada tahun hadapan.

Selain itu kami turut bergambar dengan seorang model yang membawa watak 'Anck Su Namun' (kalau tak silap aku) yang muncul dalam filem The Mummy Return. Pada mulanya kami sangkakan dia adalah Cleopatra. Tubuhnya sangat tinggi, jauh lebih tinggi dari aku yang tak seberapa tinggi ni. Kami turut menemui dua orang Army of Anubis yang bertubuh sasa dan berwajah bengis. 

Muncul pula watak Rick O'Connell dan Evy O'Connell, watak hero dan heroin dalam The Mummy. Melihat mereka seolah melihat patung bergerak. Mereka hanya bercakap dialog yang sama setiap kali ada pengunjung yang datang untuk bergambar. Jika tersilap pandang, anda mungkin menyangka bahawa mereka adalah watak dalam filem Indiana Jones.
Kami turut mengikuti perjalanan menaiki kereta dalam Treasure Hunters. Pergerakan kenderaan ini amat perlahan. Kami dikelilingi oleh haiwan-haiwan liar seperti buaya, badak air, ular tedung serta harimau kumbang.

Kami beralih ke bahagian yang yang dipanggil The Lost World. Di sini kami hanya bermain satu permainan iaitu Jurassic Park Rapids Adventure. Pengunjung memerlukan baju hujan jika tidak mahu badan basah kuyup. Kami akan menyelusuri sungai buatan dalam pelambung dengan duduk dalam bulatan. Misinya adalah untuk keluar dari kawasan bahaya. Ada banyak kejutan yang tidak disangka-sangka di sini. Aku tidak mambawa kamera bersama kerana khuatir akan basah terkena air.
Selain itu ada beberapa permainan lain yang tidak sempat kami sertai. Universal Studios pula dilanda hujan yang sangat lebat. Pada waktu tersebut, kami mula berasa lapar. Kami singgah ke sebuah cafe halal dengan hidangan nasi dan ayam goreng. Harga makanan dan minuman aku pada tengahari itu sebanyak $20.00 bersamaan RM50. Boleh tahan juga lumayan makan tengahari aku. Kami lama menghabiskan masa berehat di cafe tersebut menanti hujan reda. Kasut dan stokin sudah lama basah. Sepanjang hujan tersebut, kami turut mengunjungi kedai-kedai cenderahati untuk dibawa pulang kembali ke Kuala Lumpur.

Setelah hujan reda, kami meneruskan perjalanan ke Far Far Away. Di sana kami menemui sebuah istana yang sangat besar yang muncul dalam filem Shrek. Jika berkesempatan, anda mungkin berpeluang untuk mengambil gambar Shrek dan Puteri Fiona. Kami turut dipanggil oleh beberapa gadis yang menjaga studio di dalam istana tersebut untuk menyaksikan aksi Donkey secara langsung. Donkey akan berkomunikasi bersama pengunjung yang hadir. Kami turut diminta menari dan menyanyi mengikut gerakan tertentu. Kanak-kanak pasti seronok berada di sana.

Selepas itu, kami menikmati persembahan 4D cerita Shrek umpama panggung wayang. Kami turut dibekalkan kacamata 3D untuk mendapat kesan khas cerita tersebut. Selain itu kami turut merasai impak cerita tersebut melalui pergerakkan serta beberapa kesan lain yang datang secara tiba-tiba tidak kira dari atas, bawah depan mahupun belakang.
Di hujung Far Far Away, aku melihat rumah Shrek. Aku tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil gambar beramai-ramai di sini sebagai kenangan kami semua. Berada di sini seumpama mengunjungi halaman rumah Shrek.

0 Komen: