Monday, October 29, 2012

Sila patuhi arahan ini...!!!

Anda diminta untuk tidak menghubungi saya melalui pesanan ringkas atau pun panggilan di talian dalam masa terdekat ini. Jika anda ingkar, anda terpaksa melayan bebelan seorang awek ni yang tak segan-segan menjawab dengan selambanya panggilan anda. 

 Sila ikut arahan di dalam gambar agar kita mudah untuk terus berhubung setelah masalah saya dan awek tu selesai. Jangan risau, awek tu tak tahu saya boleh dihubungi melalui FB. 

*P/S: Ade sape2 nak jual enfon x?

Sunday, October 28, 2012

Di manakah tahap kita?


Saturday, October 27, 2012

Putih itu ukuran cantik...???

"Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa paras kamu dan warna kulit kamu, akan tetapi Allah memandang pada hati kamu dan amalan-amalan kamu." - Muhammad S.A.W
Aku perolehi hadis di atas melalui carian di internet. Hadis ini biasa kita dengar dan kalau tak silap aku, pernah aku gunakan dahulu semasa mengikuti Pertandingan Syarahan Agama Peringkat Sekolah-sekolah Daerah Tawau. Sebab itu aku cuba menaip bait-bait sebutannya sebagaimana yang aku ingat. Aku membuat carian melalui internet memang berniat untuk dijadikan isian dalam blog ini hanya untuk memperoleh maklumat tentang siapa periwayatnya samada ia hadis sahih ataupun hadis daif. Memandangkan aku gagal memperoleh tentang periwayatnya, aku harap ada diantara sesiapa yang singgah ke blog ini memperbetulkan aku.

Best juga sebenarnya bila mempelajari seni editing. Seni ini aku pelajari seorang diri selepas diperkenalkan oleh rakan-rakan kolej dahulu. Selebihnya aku gunakan internet untuk menambah kecekapan. Maklumlah tidak berkesempatan mempelajari kursus seni grafik. Aku boleh buat muka aku jadi seperti Joker, Avatar, Hulk, Orang Minyak, wajah pucat Vampire, Hell Boy, Shrek, Zombie, macam make-up Opera Cina dan macam-macam lagilah. Seronok! Adakalanya aku lakukan semalaman untuk menyiapkan projek aku.

Eh, kembali kepada tajuk Berbeza Warna Kulit. Adakalanya kita ni bila iman tengah lemah, ditambah pula dengan bisikan syaitan yang merendah-rendahkan diri kita, kita kesal dengan anugerah warna kulit yang kita ada. Seperti kita ni orang Melayu yang dilahirkan dengan warna kulit sawo matang, semahu-mahunya kita menjadikan warna kulit kita tu cerah. Pada fikiran kita, warna kulit yang cerah tu cantik. Kadang-kadang kesal gak, kenapalah kulit kita tidak secerah kulit orang-orang Kadazan atau pun kulit-kulit orang Cina? Ada sesetengahnya tu, kulit dah la putih, tapi tak puas lagi. Nak lagi putih! Macam-macam alat pencerah muka digunakan. Tak cukup dengan tu, bubuh bedak kapur di muka sebelum tidur. Itulah ada orang kita lihat, muka putih melepak tapi tangannya gelap daripada kulit tangan kita.

Tak tahulah bagaimana jika dilahirkan dengan kulit yang agak gelap seperti orang-orang afrika agaknya. Mungkin baru terasa nak pasrah sebab terpaksa buat pembedahan sebagaimana Micheal Jackson lakukan dahulu untuk jadi putih melepak. MJ pun melakukannya selepas menghadapi msalah kulit. Tapi mungkin kita ni lakukan untuk suka-suka jadi putih.

Jika kita lihat di barat bagi masyarakat Eropah atau pun di Amerika, bangsa-bangsa Inggeris juga menghadapi maslah yang sama. Mereka juga berjemur di pantai-pantai untuk menggelapkan kulit mereka. Mereka pula tidak mahu kelihatan terlalu putih. Mereka mahu kulit mereka kelihatan kuning-kuning langsat sebagaimana orang-orang asia. Mereka turut tidak puas hati dengan warna kulit putih yang dianugerahkan kepada mereka. Perkara ini jadi mengelirukan kerana setiap manusia itu mempunyai pandangan berbeza tentang warna kulit yang mana sebenarnya yang cantik kerana tidak ada piawaian berkenaan dengan itu. Ia terlalu subjektif bagi setiap orang. Namun mengubah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah itu akan mengukur tahap kesyukuran seseorang individu itu di mata orang lain.

Media juga sering menggambarkan bahawa kulit putih itulah yang cantik. Secara tidak langsung minda kita sedang memberitahu kita bahawa dalam majalah itu benar, dalam iklan-iklan TV itu benar. Bagi yang berkulit tak cukup cerah, maka rasa rendah dirilah mereka. Yang tidak benar bagi kita adalah anugerah yang khas diberikan untuk kita. Bagi kita, kila layak berkulit macam dalam iklan.

Iklan-iklan di TV juga kerap mempromosikan alat-alat atau krim pencerah untuk memberitahu minda kita bahawa berkulit gelap itu tidak cantik. Bila berkulit gelap, mereka menggambarkan wajah suram model-model mereka dengan semangat kerja yang tidak menentu. Malah semasa berkulit gelap, pandangan lelaki kepada seseorang wanita itu ditonjolkan seperti tidak mendapat perhatian. Sehinggalah wajah mereka bertukar putih melepak, barulah jejaka idaman memandangnya. Dah putih, mulalah jual mahal. Tapi kerja nak tip-top. Kalaulah warna biru itu ukuran jadi cantik dalam majalah-majalah, maka kita tidak akan hairan suatu masa nanti syarikat pembuat aksesori wanita mengeluarkan krim menjadi biru untuk melakukan produk mereka.
Sebenarnya, ukuran kecantikan wajah bukanlah diukur melalui warna kulit seseorang. Kecantikan wajah seseorang sebenarnya bergantung kepada tahap kebersihan wajah. Wajah merupakan sebuah aset kita dalam memberikan impak dalam urusan sehari-hari. Jika wajah kita kelihatan kotor, mungkin kita boleh terus dikasifikasi sebagai pengotor. Gelap manakah kita, jika kulit kita bersih dari kesan jerawat serta jeragat, insyaAllah cantiklah kita dari pandangan orang lain. Lihat saja wajah Paula Patton yang membintangi filem Deja Vu. Dia tetap kelihatan cantik walaupun dia tidaklah secerah Era Fazira.

Selain itu, faktor kecantikan juga yang selalu disebut subjektif itu jika dilihat secara umum lebih menjurus kepada faktor anugerah. Anugerah yang mana diberi percuma bukan atas berkat usaha seseorang. Mungkin bagi mereka-mereka yang sudah siap diacu cantik oleh Maha Pencipta, janganlah sesekali berasa sombong kerana kecantikkan yang dimiliki itu percuma harganya. Ia bukanlah kelebihan melainkan sebuah ujian kemegahan. Sebab itu jika wanita cantik itu tidak baik cara hidupnya, kecantikannya menghasilkan rasa benci orang. Namun jika baik susilanya, maka mudah orang menyenanginya. Namun begitu, setiap tindakan mereka akan menjadi perhatian kerana mereka punyai aset yang menjadi tumpuan. Mungkin sebab itu ada dikalangan hamba Allah yang menutup wajah mereka dengan purdah kerana ternyata wajah itu mampu menimbulkan banyak fitnah. 
Kalau kita benar-benar faham erti kecantikan, kita tidak akan lagi terpesona dengan keinginan untuk menjadikan kulit kita putih. Kita akan lebih tertarik untuk membersihkan wajah secara luarannya. Untuk tambahan kemanisan dalam wajah yang cantik itu, dalaman memainkan peranan yang sangat penting. Samada kebaikan hati daripada hasad dengki serta sombong, mahu pun keikhlasan hati dalam ibadah. Faktor ini menjadikan seseorang itu manis dalam kecantikan wajahnya. Sebab itu kalau kita lihat di kaca TV, ada wajah yang cantik tapi mereka tidak sesuai untuk membintangi watak baik kerana kurangnya manis dalam wajah mereka. Adakalanya yang sederhana wajahnya itu menjadi bintang utama kerana kemanisan wajah mereka diperlukan untuk menghidupkan watak-watak baik sebagai heroin.
Oleh, itu, bersyukurlah kerana dalam syukur itu ada terapi dalaman untuk aroma kemanisan wajah. Walaupun kita secara umumnya tidak kelihatan cantik sebagaimana wajah-wajah di majalah, sinar rohani itu akan muncul pada wajah yang hanya mampu dilihat oleh insan-insan yang juga membaca dengan mata hati.

Hilangnya Samsung Omnia Pro di IKEA

Baru-baru ini, aku dan 3 orang rakan aku berjalan ke Damansara. Arah tujuan kami adalah ke tempat perabot terbesar IKEA. Kalau tak silap aku, ini merupakan kali ke tiga aku sampai ke tempat ini.

Damansara merupakan tempat elit. Di Damansara ini terletaknya Sri Pentas yang mana adanya gabungan stesen penyiaran Media Prima. Di sini juga terdapatnya pusat mebeli-belah mega, The Curve. Selain itu, anda berpeluang melihat kediaman-kediaman mewah dengan rekabentuk idaman. Jika bertuah, anda berpeluang melihat para selebriti di sini.

Sebelum sampai ke kawasan perabot, kami melalui kawasan membeli-belah yang banyak di situ. Pelbagai aras kami naiki. Dari sebuah kedai sukan, ke kedai eletrik, kemudian kami melawat tempat menjual haiwan serta kedai serbaneka. 
Sampai ke bahagian IKEA, perkara pertama kali lakukan adalah duduk di sofa hiasan. Aku seperti biasa, merakam aksi kami semua untuk dijadikan kenangan. Ada sesetengah bahagian yang mengumpulkan pelbagai set sofa serta tempat duduk. Harganya memang tidak masuk akal jika di lihat pada kemampuan rata-rata rakyat Malaysia. Tapi tidak dinafikan, rekabentuknya menarik. Dari segi kualiti, hanya yang pernah membelinya tahu.

Ada pula bahagian yang terus menyediakan dekorasi penuh seumpama ruang tamu dan bilik. Perabot dihias penuh untuk gambaran sebuah ruang di dalam rumah beserta dengan hiasannya sekali. Jika betul sudutnya, anda berpeluang mengambil gambar seperti berada di dalam ruang dapur rumah mewah, atau berada di dalam bilik tidur indah, atau pun berada di dalam ruang tamu moden. Aku dan rakan-rakan sempat berlakon seperti berada di rumah sendiri.
Bagai bersantai di ruang tamu rumah sendiri.
Ala-ala Master Chef
Bagi aku, tempat ini bukan sebuah kedai yang sesuai untuk membeli-belah perabot rumah bagi golongan sederhana. Mungkin ia hanya sesuai untuk dijadikan harta bagi golongan-golongan elit, sesuai dengan lokasi bangunan ini terletak. Mungkin mengunjungi tempat ini hanya sesuai bagi mereka-mereka yang  ingin mencari inspirasi rekabentuk dalaman dan mengambil contoh padanan sebagaimana yang telah disediakan oleh pihak empunya kedai. Memang menarik, tidak aku nafikan. 
Sesi soal siasat.
Seperti menonton bolasepak di Stadium ASTRO
Dalam keterujaan melihat rekabentuk yang menarik di situ sambil mengabadikan gambar melalui camera, pada hari tersebut sebelum keluar dari bangunan besar itu, baru aku sedar telefon bimbit tiada di tangan. Aku cuba kembali ke kawasan-kawasan yang kami lewati namun peluang untuk mendapatkannya semula amat tipis. Aku yakin ia memang tidak boleh diperoleh semula memandangkan kawasan itu amat besar. Namun begitu, aku juga berharap ia tertinggal di dalam kereta rakan-rakan yang datang atau di rumah kerana sepanjang ingatan aku, aku tidak membuka telefon bombit sepanjang keluar.

Bertapa
Aku tidak tahu kenapa aku agak tenang dalam menghadapi situasi sedemikian. Mungkinkah sepatutnya aku gelabah? Bukankah masyarakat moden pada hari ini sukar untuk hidup andai ketiadaan telefon bimbit? Adakah kerana hari untuk gaji masuk sudah hampir dekat menyebabkan aku yakin boleh mendapatkan semula yang baru? Entahlah apa yang bermain dalam minda aku sehingga aku tidak merasakan ia sesuatu yang mengejutkan. Begitu mudah aku pasrah. Mungkin kerana tiada siapa yang kerap di hubungi dan tiada apa-apa yang mencemaskan aku. Hanya sesekali terlintas dalam fikiran aku tentang kecemasan.

Telefon bimbit Samsung Omnia Pro yang hilang itu merupakan telefon bimbit terpakai yang aku beli daripada rakan serumah aku selepas telefon bimbit sebelumnya rosak selepas kemalangan. Ia aku beli dalam keadaan tergesa-gesa. Pada waktu itu memang agak gelabah juga. Ya, pada waktu itu aku sangat kerap menggunakan telefon samada untuk SMS atau pun membuat panggilan. Hari ia rosak, hari itu juga berganti. Namun kali ini, aku boleh menunggu hingga beberapa hari sebelum memperoleh yang baru.

Kini, aku sedang mengira-ngira apa telefon bimbit yang hendak aku dapatkan nanti. Yang terlintas dalam fikiran aku hanyalah Samsung Galaxy. Memang sudah lama menyimpa rasa untuk mendapatkan model tersebut. Jika aku perlu untuk menyimpan wang simpanan yang lebih banyak, berkuburlah hasrat itu. Akan ku cari telefon bimbit terpakai lah lagi.
Mungkin di sini tempat hilangnya telefon bombit itu.
Hmmm, tengok lah nanti apa yang bakal aku gunakan. Belum muktamad lagi keputusan aku. Ya insyaAllah, semoga ada hikmahnya semua ini terjadi. Mungkin aku sedang dalam proses belajar menerima qada' dan qadar-Nya.

Sesampai ke hadapan pagar rumah, seorang rakan aku turut menyedari bahawa dia turut kehilangan barang yang baru dibeli. Huh, malang sungguh nasib hari ni. Bukan aku seorang sahaja, tapi rakan aku turut kehilangan beberapa barang yang baru dibeli. Kami yakin ia akibat kelalaian kami sendiri. Ada pengajaran yang kami perolehi.

Padan muka aku...

Barang rakan aku tertinggal di sini.

Manis kan?

Salam Aidiladha,

Gambaran sepasang suami isteri yang sempat aku rakamkan seusai mereka menyelesaikan solat sunat Aidiladha di surau Al-Ikhwan, Puncak Jalil. Sebelum gambar ini diambil, kelihatan mereka berjalan sambil berpimpin tangan. Indahnya alam perkahwinan. 

Namun begitu, kita jarang melihat gambar-gambar sepasang suami isteri dalam keadaan mesra melalui laman sosial. Pasangan suami isteri lebih malu utk menjadikan kemesraan melalui gambar itu untuk tatapan org lain.  

Hari ini kita lebih banyak dihidangkan dengan gambar2 mesra couple yang belum sah taraf, yg belum tentu berakhir dengan perkahwinan. Keadaan ini mendatangkan keinginan kpd anak2 muda di bawah usia mereka utk mencontohinya. Anak-anak muda jd tidak malu bergambar mesra dengan pasnagan yg bukan mahram mereka. Mungkin tidaklah berat sangat andai gambar berdua jika dlm keadaan yang tidak terlalu mesra, tapi keadaan sebaliknya berlaku, lebih mesra berbanding gambar2 org berumahtangga. 

Jika ramai pasangan suami isteri mendominasi gambar-gambar pasangan couple, tentu sahaja pasangan yg belum sah taraf ini malu utk meng'upload' lebih banyak lagi gambar. Ia juga menarik minat untuk pasangan couple segera menikah dan mempunyai gambar yang sama sabagaimana orang berkahwin. Ini akan menyebabkan golongan yg belum berkahwin punyai rasa malu, tidak sebagaimana apa yg berlaku hari ini.

Salam Aidiladha...
Gambar kenangan Raya Aidiladha 2012

Monday, October 22, 2012

Jauh di sudut hatiku

Aku di rumah seorang-seorang tengahari itu. Di luar pula awan berarak mendung. Laman sosial FB aku buka sambil melihat telatah rakan-rakan melalui status-status mereka. Ada yang bersedih, ada yang membentak-bentak, ada yang mengongsi gambar dan risalah berfaedah, ada yang sedang bersyukur, turut tidak ketinggalan yang kerap berkongsi gambar peribadi. Yang tak bernhenti-henti berdoa melalui FB pun ada sedangkan sudah beberapa kali orang-orang alim mengingatkan bahawa FB bukan perantara doa kita kepada Allah.

Perut mulai lapar tapi di luar hujan mulai turun. Aku khabarkan kepada rakan-rakan yang rancak berbalas komen bahawa aku akan keluar untuk mengalas perut. Makanan tengahari masih belum dijamah. Sempat aku mengambil beberapa keping gambar sebagai tatapan rakan-rakan di FB. Ya, mungkin aku terpaksa pergi berseorangan dalam keadaan hujan yang mulai turun semata-mata untuk mengisi perut yang kosong.
Selepas memuat naik gambar, aku mula memakai baju hujan untuk meredah rahmat Allah untuk sekelian makhluk di alam ini. Hari sudah agak petang. Tak rela rasanya untuk membiarkan harta pinjaman sementara ini berlapar. InsyaAllah akan ku jaga walau terpaksa meredah sedikit kepayahan kerana hujan yang turun ini membantu menepis kata-kata musuh durjana yang setiap hari mengatakan bahawa di tanah ini tiada air terawat. Apakah lagi yang lebih baik selain air hujan?

Selepas meredah air hujan yang mula gerimis, sampailah aku berseorangan di sebuah kedai makan. Mungkin bagi sesetengah orang, masa beginilah akan dihabiskan bersama teman wanita. Tapi bagi aku, ada rakan menemani sudah memadai.

Hidangan sampai berupa nasi goreng ayam bersama air. Dalam keadaan redup selepas hujan itu, aku menjamah makanan sambil ditemani oleh Wifi untuk laman sosial. Masih berbalas komen dengan rakan-rakan dalam FB. Kedengaran amaran berbunyi melalui telefon bimbit menandakan bateri mulai lemah. Segera aku memadamkan aplikasi Wifi untuk menjimatkan bateri.

Sekadar hiasan
Hati masih rasa sunyi. Kelihatan di hadapan aku ada dua buah keluarga sedang menjamu selera. Di hadapan sebelah kiri, ada seorang anak kecil dikendong. Mungkin berumur dalam empat bulan. Comel bayi itu. Sudah pandai tersenyum bila diajuk. Aku hanya melihat dia tersenyum. Tawanya buat aku pula yang tersenyum.

Di meja hadapan aku pula, sebuah keluarga bersama bayi yang sangat kecil. Mungkin dalam lingkungan umur sebulan atau dua. Semasa di kendong, mata bulatnya menjadi perhatianku. Sungguh comel mata suci itu memandang. Dia tepat memandang ke arahku memberi perhatian. Hingga saat aku menulis isian kali ini, aku tidak boleh melupakan pandangan bayi itu. Tersentuh hati aku melihat pandangan bayi kecil itu.

Kemudian aku lihat sepasang adik beradik sedang melintas jalan. Si kakak memimpin tangan adiknya yg lebih kecil sebelum melintas. Si kakak yang lebih cerdik memerhatikan kiri dan kanan jalan untuk memastikan mereka berdua dalam keadaan yang selamat semasa melintas. Ada kasih sayang si kakak kepada adik dan si adik pula sangat patuh pada kakanya. Sungguh indah keadaan itu. Aku teringin punyai anak yang sebaik itu.

Jauh di sudut hati aku, singgah perasaan untuk memiliki sebuah keluarga. Melahirkan anak-anak secomel itu dari keturunanku dan isteriku. Aku berbuat baik terhadap isteriku disamping memberi belaian kasih sayang, dan isteriku membalas dengan kepatuhannya. Anak-anak pula sentiasa mendengar nasihat ibubapa dan keluarga hidup dalam suasana beragama sentiasa. Aku ingin mendidik isteri dan anak-anakku berlandaskan agama. Walaupun ilmuku hanya sekangkang kera, namun apa yang dididik sebagaimana aku masih kecil oleh ibubapaku, begitulah jua akan aku didik mereka, insyaAllah. Selebihnya, aku biarkan mereka menuntut ilmu yang lebih baik lagi di luar sana oleh mereka-mereka yang lebih arif.

Lamunanku terhenti. Telefon bimbit berbunyi. Sungguh indah rasanya hidup dalam dunia angan-angan. Aku menjawab deringan itu daripada seorang rakan yang duduk berhampiran. Katanya dia akan sampai sebentar lagi kerana dia turut belum menjamah makanan. Aku menunggunya walaupun makanan di mejaku sudah habis.

Dalam penantian itu aku tersenyum sendiri. Di usia melebihi 30-an ini, aku masih hidup membujang. Makan adakalanya berseorangan, untunglah jika ada rakan-rakan sedia meneman. Masih dengan aktiviti dan program-program orang-orang muda seperti bersukan, fotografi, bermain muzik, menulis serta melayari laman sosial. Entah siapalah yang akan menjadi suri hidupku nanti dan meneruskan kelangsungan hidup mengikut fitrah. Bertuahlah bagi mereka-mereka yang berkahwin awal.

Kemudian sampailah rakan aku tadi menemani aku. Mungkin ada hikmahnya semua ini. Allah sempatkan sebuah panggilan dalam keadaan bateri telefon bombit yang sudah hampir padam itu untuk aku dihubungi. Agar aku berteman, agar aku tidak terus melayan hati yang sedang rawan. Aku tidak pasti namun aku tetap bersangka baik pada ketentuan Allah. Kemudian seorang lagi rakan muncul tanpa dirancang menjadikan kami kini bertiga dan berbual soal kerja serta kehidupan. 
Semoga hari esok ada sinar yang lebih baik dari hari ini. Amin...

Saturday, October 20, 2012

Bagaimana menyampaikan perasaan

Ada orang yang suka menyembunyikan permasalahannya. Tidak siapa tahu dia bermasalah. Mereka rela bersemubunyi daripada kesibukkan orang lain, menyendiri dan berkurung. Bilik adalah satu-satunya tempat bertapa.

Ada orang yang jenis lari dari masalah. Bila menghadapi masalah, mereka akan melakukan sesuatu benda berbeza seperti kuat makan, shopping mahal-maha, bersosial, melakukan aktiviti lasak yang mungkin hanya dilakukan bila bermasalah. Adakalanya melakukan aktiviti tidak berfaedah. Ia hanyalah dilakukan untuk menenggelamkan masalah dari fikiran.

Ada sebahagiannya yang memilih rakan tertentu untuk diluahkan. Rakan yang dia percaya. Dia sekadar mahu melepaskan rasa hati, tidak mahu menghebahkannya dengan harapan, rakan itu tidak menceritakan kepada yang lain. 

Ada yang menyampaikan luahan hati melalui tulisan. Mereka menulis secara terperinci tentang masalah mereka. Apa yang penting, mereka puas melepaskannya melalui tulisan. Kalau ada yang baca, OK lah. Kalau tidak ada sesiapa yang baca pun tidak mengapa.

Ada juga yang suka mendedahkan masalah. Mereka melepaskannya melalui status-status di laman sosial. Biar orang lain tahu, janji hati puas. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, segera dipaparkan melalui dinding laman sosial. Dari sekecil-kecil masalah hingga soal masalah dengan pasangan.

Ada yang meluahkan perasan melalui muzik. Muzik menjadi perantara kepada lontaran perasaan mereka. Walaupun mgkin sesuatu muzik itu bukan genre mereka, jika muzik itu sahaja yg mampu menyampikn apa yg terpendam di jiwa, itu lah yang akan di paparkan.

Dialek Melayu Malaysia

DIALEK JOHOR-RIAU

Dialek ini digunakan di hampir semua bekas jajahan empayar Johor-Riau di Semenanjung. Dialek Johor-Riau kini menjadi asas kepada pembentukan Bahasa Melayu standard di Malaysia. Ciri utama dialek ini adalah akhiran ‘a’ yang dibunyikan sebagai ‘Ä›’. Seperti contoh:
  1. 1. Saya - SayÄ›
  2. 2. Apa – ApÄ›
  3. 3. Berapa –  BerapÄ›
Bagaimanapun akhiran ‘a’ untuk kata-kata yang diadotasi dari perkataan Indonesia dikekalkan seperti sebutan asal:
  1. 1. Anda – Anda
  2. 2. Merdeka - Merdeka
Bunyi akhiran ‘r’ tergugur pada kata-kata seperti berikut:
  1. 1. Besar - Besa (dengan sebutan a yang betul)
  2. 2. Lebar - Leba (dengan sebutan a yang betul)
  3. 3. Sabar - Saba (dengan sebutan a yang betul)
Bunyi ‘o’ diguna menggantikan kata-kata yang berakhir dengan sebutan ‘ur”
  1. 1. Tidur – Tido
  2. 2. Telur – Telo
Pengguguran bunyi ‘r’ ditengah kata sebelum huruf konsonen seperti berikut:
  1. 1.Kerja - Keja (a menjadi sebutan Ä›)
  2. 2. Pergi - Pegi
  3. 3. Berjalan - Bejalan
Bagaimanapun terdapat viarasi kecil di dalam dialek ini mengikut kawaan-kawasan tertentu. Variasi tersebut dapat dilihat dibawah:

Ejaan Standard, Johor-Riau, Johor Pesisir Barat & Utara Melaka
  1. 1. Besar - Besa - Beso - Besau
  2. 2. Lebar - Leba - Lebo - Lebau
  3. 3. Sabar - Saba - Sabo - Sabau
  4. 4. Langgar - Langga - Langgo - Langgau 
  5. 5. Tukar - Tuka - Tuko - Tukau


DIALEK NEGERI SEMBILAN
Penutur bahasa Melayu di Negeri Sembilan telah dipengaruhi bahasa Minang. Ini disebabkan negeri itu mempunyai sejarah panjang dengan Suku Minangkabau dari Sumatera. (contohnya tidak disertakan disini)


DIALEK PERAK
Terdapat dua pecahan kecil dalam dialek Melayu Perak (Tengah dan Selatan)

Sebagaimana dialek Johor-Riau, Dialek Perak juga tidak mengikut sebutan baku ‘a’ seperti contoh berikut:

Ejaan Standard, Johor-Riau, Perak Selatan & Perak Tengah
  1. 1. Saya - Sayě - Sayěě - Saye
  2. 2. Apa - Apě - Apěě - Ape
  3. 3. Berapa - Berapě - Berapěě - Berape
Nota: Huruf-huruf ěě merupakan sebutan ‘Ä›’ yang dibunyikan dengan jelas. Manakala huruf ‘e’ mengikut contoh bunyi e dalam kata ‘beca’. 

Bagaimanapun terdapat sedikit perbezaan kata antara dialek Perak dengan Bahasa Melayu Standard seperti dibawah: (sekadar beberapa contoh)

Ejaan Standard, Perak Selatan & Perak Tengah
  1. 1. Kamu - Koměě - Kome
  2. 2. Kota - Kotěě - Kote


DIALEK UTARA (Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak Utara)
Selain berbeza sebutan, terdapat juga perbezaan kata yang jelas antara dialek Utara dengan Dialek Johor-Riau. Ciri utama dialek ini adalah sebutan ‘a’ dihujung kata yang dibunyikan secara baku.

Ejaan Standard & dialek Utara
  1. 1. Saya - Saya (mengikut sebutan baku)
  2. 2. Dia - Dia (mengikut sebutan baku)
  3. 3. Mana - Mana (mengikut sebutan baku)
Huruf ‘r’ di akhir kata diganti dengan bunyi ‘q’. Lihat contoh:

Ejaan Standard & dialek Utara
  1. 1. Bergetar - Bergetaq
  2. 2. Ular - Ulaq
  3. 3. Telur - Teloq
Bunyi ‘i’ di tengah digantikan dengan bunyi ‘ia’

Ejaan Standard & dialek Utara
  1. 1. Pasir - Pasiaq
  2. 2. Baligh - Baliaq
Pengguguran huruf ‘g’ dibelakang kata. Contoh:

Ejaan Standard & dialek Utara
  1. 1. Kambing - Kambin
  2. 2. Kuning - Kunin
  3. 3. Anjing - Anjin
Kata-kata yang berbeza dengan Bahasa Melayu Standard (sekadar beberapa contoh):

Ejaan Standard & dialek Utara
  1. 1. Awak/Kamu - Hang
  2. 2. Mereka (bunyi Ä›) - Depa (sebutan baku)
  3. 3. Sekejap - Sat
  4. 4. Kenapa (bunyi Ä›) - Awat
  5. 5. Pergi - Pie
  6. 6. Kelapa (bunyi Ä›) - Nyoq
Terdapat juga dialek kecil didalamnya yang mempunyi sedikit beza sebutan seperti dibawah:

Dialek Utara (Perlis)
  1. 1. Kasut Kasuit
  2. 2. Pulut Puluit


DIALEK KELANTAN
Dialek Kelantan merupakan dialek Melayu yang paling banyak mempunyai beza sebutan dari dialek-dielak Melayu di Semenanjung. Selain beza sebutan, dialek Kelantan juga mempunyai banyak perkataan yang berbeza. Ciri utama dialek Kelantan adalah penggantian huruf ‘n’ dan ‘ng’ di belakang kata dengan huruf ‘e’ (sama dengan bunyi e dalam kata Beca)

Ejaan Standard & dialek Kelantan
  1. 1. Kawan - Kawe
  2. 2. Bulan - Bule
  3. 3. Terang - Teghe
  4. 4. Tenang - Tene
  5. 5. Bukan - Buke
  6. 6. Tangan - Tange
Huruf ‘a’ di belakang kata juga diganti dengan bunyi ‘o’

Ejaan Standard & dialek Kelantan
  1. 1. Apa - Gapo
  2. 2. Hamba - Ambo
  3. 3. Mana - Mano
Perbezaan kata antara dialek Kelantan dengan Bahasa Melayu Standard

Ejaan Standard & dialek Kelantan
  1. 1. Satu (dua, tiga empat…) - Se (dua, tiga empat…)
  2. 2. Saya - Kawe/ambo
  3. 3. Awak/Kamu - Demo
  4. 4. Bagaimana - Guano
  5. 5. Cakap - Kecek
  6. 6. Duit - Pitih
  7. 7. Gaduh - Gocho
  8. 8. Juara - Jogho
  9. 9. Kelapa - Nyo
  10. 10. Kawan/sahabat - Saing


DIALEK TERENGGANU
Gaya percakapan penutur dialek Terengganu sama seperti dialek Kelantan. Bagaimanapun ianya berbeza dari segi sebutan. Ciri utama dialek Terengganu adalah penambahan huruf ‘g’ bagi kata-kata yang berakhiran dengan ‘n’. Contoh:

Ejaan Standard & dialek Terengganu
  1. 1. Makan Makang
  2. 2. Ikan Ikang
  3. 3. Bukan Bukang
  4. 4. Badan Badang
  5. 5. Pun Pung
  6. 6. Zapin Zaping
  7. 7. Kemaman (nama daerah) Kemamang
  8. 8. Jalan Jalang
  9. 9. Hujan Hujang
Dalam dialek Terengganu huruf ‘a’ di akhir kata juga diganti dengan bungi ‘Ä›’ yang jelas sebagaimana dialek Perak (selatan)

Ejaan Standard, dialek Terengganu & dialek Kelantan
  1. 1. apa - Apěě - Gapo
  2. 2. Mana - Maněě - Mano
  3. 3. Ada - Aděě - Ado
Pengguguran huruf ‘m’ didalam kata-kata seperti :

Ejaan Standard & dialek Terengganu
  1. 1. Jumpa Jupěě
  2. 2. Sampai Sapaa
Terdapat juga sedikit perbezaan kata didalam dialek Terengganu seperti contoh berikut:

Ejaan Standard & dialek Terengganu
  1. 1. Duit - Piti
  2. 2. Selalu - Sokmo
(ada diantaranya sama dalam dialek Kelantan)


DIALEK PAHANG
Gaya penuturan sama seperti penutur dialek Kelantan dan Terengganu. Tetapi berbeza sedikit dari segi sebutan. Tidak banyak info yang diperolehi tentang dialek ini kerana penuturnya lebih cenderung menggunakan dialek Johor-Riau (Pahang di satu masa dahulu adalah sebahagian dari jajahan kerajaan Johor-Riau-Lingga).


DIALEK SARAWAK
Bahasa Melayu Sarawak merupakan dialek yang paling besar perbezaannya dengan dialek-dialek Melayu lain di Malaysia. Dielak ini juga dipengaruhi bahasa Melayu Brunai, Bahasa Iban, Bidayuh, Melanau dan bahasa suku-suku di Filipina. Berikut adalah beberapa perkataan didalam dialek Melayu Sarawak

Ejaan Standard & dialek Sarawak
  1. 1. Saya - Kamek
  2. 2. Awak/kamu - Kitak
  3. 3. Dia - Nya
  4. 4. Tidak - Sik
  5. 5. Jangan - Sikboh
  6. 6. Ini - Itok
  7. 7. Sini - Sitok
  8. 8. Itu - Ya
  9. 9. Situ - Siya
  10. 10. Sana - Sinun
  11. 11. Mana - Ne
  12. 12. Dimana - Sine 
  13. 13. Cakap - Madah
  14. 14. Orang - Sidak 
  15. 15. Cantik - Kacak
  16. 16. Sombong - lawa
  17. 17. Lama - Lamak
  18. 18. Jumpa - Temu
  19. 19. Kucing - Pusak/pusa
  20. 20. Anjing - Asok
  21. 21. Ayam - Manok
  22. 22. Ya - Auk
Banyak lagi perkataan dalam dialek Sarawak yang sangat berbeza dengan dialek-dialek Melayu di Semenanjung. (tapi ada juga yang sama)


DIALEK SABAH
Bahasa Melayu Sabah tidaklah banyak berbeza dengan bahasa Melayu Semenanjung berbanding bahasa Sarawak. Bilangan orang Melayu-Brunei yang bukan majoriti tidak dapat mempengaruhi pertuturan Bahasa Melayu di Sabah. Keadaan ini menyebabkan suku-suku asli di Sabah menjadi bahasa Melayu Standard sebagai bahasa pemersatu antara mereka. Bagaimanpun, mereka menggunakan sebutan baku yang bunyinya seperti Bahasa Indonesia. Disaming itu terdapat juga kata pinjaman dari bahasa suku kaum di negeri itu. Bagaimanapun data yang tersedia masih minium

Biarpun banyak variasi dalam dialek-dialek Melayu Malaysia, generasi muda kini semakin ramai yang menggunakan bahasa Melayu Standard berbanding dialek ibu mereka sendiri. Keadaan ini dapat dilihat ketara pada pertuturan orang Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.


P/S: Dipetik daripada status FB adik aku yang tidak dapat dikenalpasti dari mana sumbernya. Untuk menghormati pengarang asal, aku telah membuat carian melalui google dan setakat ini ada dua sumber yang menerbitkannya iaitu:
1. http://myadha.blogspot.com/
2. http://ilzaf.multiply.com/

Thursday, October 18, 2012

Pertama kali 'photo outing'

Pada hari Sabtu lepas merupakan kali pertama bagi aku keluar untuk 'photo outing'. Mungkin ia sebuah pengalaman yang baru bagi aku. Mungkin selama ini aku kerap menjadi jurufoto (walaupun takde la juru mana pon) kepada program-program dalam kelab rekreasi (walaupun xde sape yang lantik) di syarikat tempat aku bekerja. Mungkin pada masa tu aku dalam proses pembelajaran dan teruja mengambil gambar. Gambar aku? Takpe, aku harap pada masa tu kalau orang lain ada dalam kamera aku, adalah aku juga dalam kamera orang lain. Tapi baru aku sedar, orang lain lebih teruja untuk melihat wajah mereka sendiri dalam kamera mereka.

Setelah itu aku memutuskan andai ada apa-apa program yang akan aku sertai pada masa akan datang, aku hanya akan ambil apa-apa gambar yang aku nak untuk menghasilkan sesuatu yang memuaskan diri aku sesuai dengan apa yang patut dihasilkan oleh orang-orang yang berpengalaman dalam fotografi. Aku baru sedar, DSLR ni kena jaga 'shutter'. Servis dia akan terlalu mahal untuk dibazirkan. "Ya, tunggu aku wahai hamba Allah, Gunung Kinabalu."

Berbalik pada 'photo outing'. Sepanjang minggu itu, aku dan dua lagi sahabat baik aku telah merancangnya. Siap berpesan-pesan dan saling mengingatkan untuk membawa segala alatan yang perlu seperti lensa lebar, lensa potret, lensa zoom, speedlight, tripod, remote dan apa saja untuk keperluan itu nanti. Tidak dilupakan adalah untuk mengecas bateri. Ketiga-tiga kami telah bersetuju untuk menjalankan operasi ini. Antara rancangan yang di atur adalah percubaan mengambil gambar pada waktu malam untuk gambar jalan raya yang mana fokus utamanya adalah pergerakan warna lampu kenderaan.
Contoh pergerakan warna lampu kenderaan bergerak.
Tibalah hari yang ditunggu, salah seorang rakan yang diharap menjadi petunjuk jalan untuk destinasi kami pada hari tersebut terpaksa menarik diri akibat masalah yang tidak dapat dielakkan. Tinggalkan kami berdua untuk membuat 'Plan B' yang tak pernah dirancang. Di tanya tentang rancanganku, aku hanya melihat Putrajaya sebagai destinasi.

Sahabat aku terfikir untuk membuat panggilan kepada rakan-rakan lain yang dia tahu turut berminat dalam fotografi. Aku mengikutnya ke rumah rakan yang dihubungi tadi. Tidak jauh dari rumah aku. Sesampai di sana, bertemulah aku dengan tiga orang rakan sahabatku tadi yang juga merupakan rakan kerja sebumbung denganku. Aku tidak menyangka mereka turut meminati bidang ini. 

Setelah berbincang sebentar, ketiga-tiganya bersetuju untuk menurut. Mereka membawa kelengkapan mereka dan kebetulan kami semua menggunakan jenama kamera yang sama dengan pelbagai model. Destinasi kami adalah Ampang Look Out Point (ALOP). 
Sampai di sana, ada di antara kami berlima yang sempat menjamah makan malam dahulu dan selebihnya hanya minum secawan air di kedai makan berdekatan. Kami memcuba kamera rakan-rakan lain yang mempunyai kemampuan yang lebih baik dari apa yang aku ada sepanjang berehat di kedai makan tersebut.

Selesai mengisi perut, kami bertolak ke destinasi yang dipanggil Veranda Ampang Look Out Point kerana ALOP telah ditutup. Di sana, kami semua mula memasang tripod. Memang ramai orang di kawasan tersebut tetapi kerana kami berlima, kami tidak rasa kekok untuk mencuba. Fokus kami adalah KLCC, Menara Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Kuala Lumpur memang indah di waktu malam dengan kerlipan cahaya.
Semasa memasang tripod, baru aku sedar aku tidak membawa penyambung antara kamera dan tripod. Teruja memang sudah teruja tetapi masalah begini memang tidak dijangka. Samalah juga ibarat tidak membawa tripod. Akhirnya kami terpaksa berkongsi.

Kami turut berkongsi hasil gambar serta 'detail' gambar yang dihasilkan. Sling bantu membantu untuk menghasilkan sesuatu yang menarik. Apa yang lebih menarik, kami berkongsi ilmu dalam fungsian camera. Alhamdulillah, inilah untungnya membuat sesuatu perkara secara berjemaah. Apa yang aku tidak tahu, aku dapat pelajarinya daripada mereka.

Kami sempat mengambil gambar kenangan berlima di kawasan tersebut sebelum meninggalkannya.

Selepas itu, kami menuju ke Taman Tasik Titiwangsa. Ternyata KL belum lagi tidur dan jalan-raya masih dihuni oleh gerakan kenderaan walaupun selepas tengah malam.

Di Taman Tasik Titiwangsa, orang ramai masih mengunjungi tempat tersebut. Kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba gambar pantulan bangunan Istana Budaya melalui tasik. Malang sungguh bagi aku kerana tidak dapat menggunakan tripod aku sendiri. Aku berharap agar peristiwa begini tidak akan berlaku lagi selepas ini.

Setelah terasa mengantuk dan penat, kami terpaksa menghabiskan sesi 'outing' ini sebelum menjelang Subuh. Kerana rasa penat itu, kami terlupa untuk mengabadikan kenangan di Taman Tasik Titiwangsa.

Walaupun demikian, aku berasa cukup puas kerana ia pengalaman pertama yang berjaya aku lalui walaupun ada batasan akibat kesilapan aku sendiri.

Di sini, aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang terlibat. Semoga kita berpeluang melakukan yang lebih baik lagi andai kita diberi masa lagi nanti. InsyaAllah...

Wednesday, October 17, 2012

Pembahagian najis dalam Islam

Maksud Najis

Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi. Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat. Menurut Rosli Bin Othman dalam bukunya Al-Mukhtasar Al-Mufid (Ringkasan Hukum Solat dan Taharah) mengatakan bahawa :

“Najis juga boleh diertikan sesuatu benda yang kotor pada pandangan syara yang menghalang sahnya solat dan ibadah-ibadah yang pada maknanya.”

Kesimpulan dari pengertian di atas najis boleh didefinasikan kepada tiap-tiap benda yang kotor dan jijik dan tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian dan tempat untuk mengerjakan solat. Sebelum melakukan solat, hendaklah terlebih dahulu membersihkan tubuh badannya dan pakaiannya dari segala najis. Firman Allah SWT :

“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” - (Al-Muddatthir : 4)


NAJIS MUKHAFFAFAH
Najis Mukhaffafah ialah kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan selain daripada susu ibu. Untuk membersihkan benda yang terkena najis ini, memadai dengan memercikkan air atas benda itu meskipun tidak mengalir. Adapun kencing kanak-kanak perempuan yang belum makan selain susu hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang kena najis itu dan hilang zat dan sifat-sifatnya sebagaimana mensuci kencing orang dewasa. Ali ra menyatakan bahawa nabi SAW bersabda :

“Air kencing kanak-kanak lelaki memadai direnjis dan air kencing kanak-kanak perempuan dibasuh”. (Riwayat Ibnu Majah)

Cara Bersuci
Cara membersihkan najis mukhaffafah ialah dengan cara hilangkan ain najis, setelah itu basuh bahagian yang terkena najis dan dilapkan, kemudian percikkan air di atas tempat yang terkena najis, Akhir sekali lapkan dengan kain bersih sehingga kering.

Tambahan
Pada zaman sekarang, ramai ibu-ibu yang memberikan susu formula kepada anak mereka. Ini semua adalah disebabkan faktor pekerjaan yang membuatkan si ibu tiada kesempatan untuk menyusukan anak mereka, situasi seperti ini akan menyebabkan susu ibu tersebut kering dari payudaranya dan terpaksalah mereka memberikan susu formula kepada anak-anak mereka. Air kencing yang dikeluarkan oleh anak mereka ini tidak dikira sebagai najis mukhaffafah walaupun umur anak mereka tidak sampai dua tahun. Najis anak mereka hendaklah dibasuh sepertimana najis mutawassitah.

Ketika membasuh pakaian di dalam mesin basuh jangan mencampurkan pakaian anak-anak, kerana dikuatiri pakaian mereka mempunyai najis. Apabila pakaian dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai najis dicampurkan akan menyebabkan pakaian dewasa juga mempunyai najis kerana mesin basuh tidak dapat membasuh dengan cara mencucurkan air dari hujung ke pangkal pakaian tersebut. Cara untuk membasuh pakaian ialah dengan cara mengasingkan pakaian dewasa dan kanak-kanak supaya najis yang terlekat dipakaian kanak-kanak tidak terkena kepada pakaian dewasa. Lebih baik lagi setelah dibasuh dengan mesin, hendaklah dicucurkan pula dengan air mutlak ke pakaian tersebut sehingga bersih. Teknik ini lebih baik dan lebih diyakini kebersihannya.


NAJIS MUTAWASSITAH
Najis Mutawassitah adalah semua najis selain najis mukhaffafah dan mughalladzah. Ini termasuklah tahi, kencing, darah, nanah, muntah, air liur basi, bangkai, arak dan lain-lain. Najis ini terbahagi kepada dua bahagian seperti :
  1. 1. Najis Ainiah iaitu najis yang masih wujud ainnya atau kesannya seperti warna, rasa atau bau. Najis ini hendaklah disucikan menurut syara berdasarkan bahagiannya yang akan dinyatakan.
  2. 2. Najis Hukmiah iaitu najis yang sudah hilang ainnya dan sudah tiada kesannya tetapi belum disucikan menurut syara. Seperti sesuatu yang terkena najis dan kerana kesan panas dan angin kesan najis tersebut telah hilang sehingga tiada warna, rasa dan baunya lagi.

Cara Bersuci
Najis ainiah hendaklah dicuci sehingga tiada lagi sebarang sifat warna, bau dan rasa. Seterusnya hendaklah dialirkan air mutlak sekurang-kurangnya sekali. Daripada Asma ra menyatakan : Telah datang seorang perempuan kepada Nabi saw lalu berkata :

“Apa pandanganmu tentang darah Haid yang terkena pakaian. Nabi saw bersabda: Hilangkan kesan darah tersebut, kemudian gosokkan dengan air, kemudian basuhlah ia, kemudian kamu sembahyanglah dengannya”. (Riwayat Al-Bukhari)

Najis hukmiah memadailah dengan mengalirkan atau Menjirus air mutlak pada tempat yang terkena najis. Memadai juga dengan merenjiskan air ketempat yang mempunyai kesan najis tersebut.

Tambahan
Ada beberapa maklumat tambahan yang perlu diberi perhatian mengenai najis ini, Di antaranya :
  1. 1. Mayat manusia dan mana-mana anggotanya yang tercerai semasa hidup atau mati adalah suci. Firman Allah yang berbunyi : “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” - (Al-Israk : 70)
  2. 2. Bangkai binatang yang haram dimakan dan mana-mana anggotanya yang tercerai semasa hidup atau mati adalah najis. Firman Allah yang berbunyi : “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah.” (Al-Maidah : 3)
  3. 3. Bangkai binatang yang halal dimakan yang mati secara tidak disembelih menurut sembelihan syara` adalah najis.
  4. 4. Bulu binatang yang halal dimakan adalah suci walaupun bercerai semasa hidupnya.
  5. 5. Bulu binatang yang haram dimakan adalah najis.
  6. 6. Kulit binatang samada yang halal dimakan atau yang haram dimakan, kecuali babi, anjing, anak kacukan keduanya atau salah satu dari keduanya menjadi suci dengan disamak.
  7. 7. Arak yang berubah menjadi cuka adalah suci dan halal dimakan.

NAJIS MUGHALLAZAH
Menurut Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat mengatakan bahawa :

“Najis Munghallazah ialah najis berat iaitu najis babi dan anjing. Segala perkara yang ada hubungannya dengan kedua-dua binatang tersebut seperti tahi, kencing, daging, kulit dan sebaginya dikira najis munghallazah. Ini termasuk juga anak yang lahir salah satu daripadanya.”

Rumusan daripada pendapat di atas mengatakan najis mughallazah ialah anjing dan babi dan keturunan dari keduanya atau salah satu dari keduanya. Firman Allah yang berbunyi :

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah : 173)

Abu Hurairah ra berkata Rasulullah SAW bersabda :

“Cara menyucikan bejana milik salah seorang kamu apabila dijilat anjing hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya mestilah menggunakan tanah.” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Al-Baihaqi)

Peringatan, sesiapa yang tersentuh anjing yang kering dengan tangan yang kering tidaklah dikirakan najis. Sekiranya salah satu di antara keduanya basah atau kedua-duanya basah, maka dikira najis dan ianya wajib disamak. Menyentuh babi yang kering ataupun basah adalah dikira najis (Wajib disamak).

Cara Bersuci
Cara menyucikan najis mughallazah ini, ialah dengan dibasuh tujuh kali. Sekali dengan air tanah (air yang dicampur dengan tanah yang suci). Kemudiaan dibasuh dengan air mutlak sebanyak enam kali ditempat yang terkena najis sehingga hilang ain, bau dan rasanya. Jika tidak hilang najis itu walaupun dibasuh sehingga beberapa kali, maka hendaklah ditambah sehingga hilang kesan najis tersebut.

Tambahan
Sebagai umat Islam perlu berjaga-jaga dengan produk-produk yang diperbuat daripada kulit babi, cara hendak mengetahui produk yang diperbuat daripada kulit babi ini adalah seperti terdapat tompok tompok di dalamnya terkandung titik tiga secara berdekatan. Ini adalah sedikit tips untuk mengesan barangan yang diperbuat daripada kulit babi.

Bagaimana pula orang yang telah menggunakan barangan yang diperbuat daripada kulit babi? Jawapannya anda jangan menggunakan barang itu lagi, anda perlu menyucikan tempat dan kawasan yang terkena barang tersebut dengan dibasuh 7 kali dan sekali dengan air tanah.

Memadai setiap pembelian dan barang yang dimiliki diyakini bahawa barang tersebut adalah suci dan tidak terlibat dengan unsur najis muqallazah. Elakkan dari mencari dari mana barang ini diprodukkan, dari apa ia diperbuat dan siapa yang membuat. Jika anda mencarinya, dikuatiri anda akan menghadapi masalah atau kesulitan yang besar di masa akan datang. Anda tidak berdosa jika barang yang anda miliki diyakini bersih dan terhindar dari najis muqallazah berdasarkan bukti-bukti tertentu dari sumber yang boleh dipercayai.


PERKARA-PERKARA YANG TIDAK DIKIRA SEBAGAI NAJIS
Haiwan yang mati tanpa disembelih dikira sebagai bangkai yang bernajis kecuali beberapa benda yang tidak dikira najis :
  1. 1. Mayat manusia sama ada Islam atau kafir.
  2. 2. Ikan sama ada besar atau kecil halal dimakan.
  3. 3. Belalang.
  4. 4. Ulat dalam buah-buahan atau seumpamanya yang ada dalam makanan. Kalau diketahui ada ulat dalam buah-buahan dan dimakannya bersama, maka hukumnya makruh.
  5. 5. Semua binatang yang darahnya tidak bersifat mengalir, maka air tidak menjadi najis jika binatang berkenaan jatuh ke dalamnya. Tetapi memakannya tetap dilarang.

NAJIS YANG DIMAAFKAN
Tiada sebarang najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syarak memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan :
  1. 1. Najis yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.
  2. 2. Darah jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah yang sedikit dan tidak menjijikkan.
  3. 3. Darah binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.
  4. 4. Tempat berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, air kurap atau kudis.

P/S: Sambil-sambil tu, mari layan video bagaimana pelajar-pelajar SK Kiaramas membentangkan tentang pembahagian najis menurut Islam dihadapan Tan Sri Najib Tun Razak serta Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tuesday, October 16, 2012

Mainan Yahudi yang wajib anda tahu!


"Sedarkah anda kopi dan daging kambing adalah minuman dan makanan sunnah nabi?"
1. Bijak sungguh yahudi memperdayakan kita umat Islam. Mereka suruh kita minum susu lembu buatan mereka, tapi mereka minum susu kambing. Mereka minum apa yang diminum oleh nabi kita Muhammad SAW. Mengapa kita tidak ikut nabi kita? Kita ikut orang Zionis tapi ternyata mereka mengikut apa yg nabi kita makan dan minum.

2. Teruskan membongkar kebijaksanaan Zionis menipu umat Islam. Kata-katanya ini adalah bertepatan dengan hadis Rasullulah: "Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil".

3. Kita diajar dalam buku biologi, buku pemakanan (kajian dan terbitan para Zionis ni) bahawa kalau nak dapat vitamin B dan kalau nak tambah darah kita kena makan hati haiwan dan hati ayam, tetapi sebenarnya Nabi kita tidak menggalakkan pemakanan organ dalaman. Nak ikut zionis ke nak ikut nabi kita?

4. Sebenarnya makan hati ayam dapat melembabkan otak kita sbb hati merupakan organ di mana semua toksin akan dikumpulkan dan dineutralkan. So, kepekatan toksin adalah tinggi dalam hati ayam. Maka makanlah kita toksin tersebut serta bengaplah otak kita umat Islam sebab percaya buku sains keluaran zionis ini.

5. Kita diajar dalam sains bahawa kopi tidak bagus untuk kesihatan. Namun sebenarnya kopi adalah antara minuman kegemaran Nabi kita selain susu dan madu. Cuba tengok zionis, mereka minum kopi Starbuck. Profesor di UK mengatakan yang zionis semua ada segelas kopi di tangan mereka.
Kita diajar memakan daging kambing tinggi kolesterol, namun daging kambing juga adalah makanan nabi kita. Seolah-olah buku sains ni nak merendahkan pemakanan nabi kita. Sebenarnya daging kambing adalah daging paling kurang kolesterol.

6. Para zionis ni juga menggalakkan kita minum dan makan makanan yang langsung tak berkhasiat, contohnya coke dan maggi. Coke tu sangatlah beracun, pastu sangat tidak bagus untuk kesihatan (gula tinggi, berasid, pH dalam lingkungan 3.5, ada racun tersembunyi) . Orang Melayu kita juga yang ketagih minum coca-cola, pepsi-cola…

7. Kita diajar bahawa makan McDonalds adalah bagus, namun sebenarnya McDonalds adalah makanan yang sangat tinggi MSG dan kolesterolnya dan paling banyak lemak tepu trans.
Untuk pengetahuan, para zionis agen dajjal ni jugak mengwar-warkan kebaikan minum soya (sebab USA merupakan pengeluar soya terbesar), namun sebenarnya soya dapat melemahkan kejantanan lelaki dan mengurangkan kesuburan lelaki dan perempuan.

8. Selain itu juga soya dapat meningkatkan risiko kanser payudara, kanser ovari, kanser prostat, serta melemahkan otak dan tulang sbb dalam soya ada hormon estrogen yang sama dgn estrogen kat wanita. Selepas itu soya ada phytic acid yang membuatkan penyerapan kalsium, magnesium dan zinc yang penting untuk badan kita terjejas.


(Diperoleh daripada Eve Station Stokis)

Monday, October 15, 2012

Parakang - Manusia Jadian


"Aku dengar orang Sabah sendiri cakap, kat Sabah ada Werewolf. Betul ke?" tanya seorang sahabat aku yang mempunyai pangkal Tengku pada namanya itu, seusai solat di surau tempat kerja.

Pada waktu itu bulan Ramadhan yang mana kita umat Islam menyambut fardhu puasa selama sebulan. Aku yang kebetulan bercerita mengenai hari penerbangan balik kampung ke Tawau, Sabah membuatkan dia terfikir untuk bertanya. Aku menolak daripada mengakuinya kerana tidak pernah mendengar tentang 'Werewolf' atau 'Serigala Jadian'. Lagipun pada hemat aku, Sabah ini besar. Sebuah daerah sahaja sama besar dengan negeri-negeri di Semenanjung, malah mungkin jauh lebih besar daripada beberapa buah negeri kecil yang lain walau mungkin dari segi infrastukturnya tidak dibangunkan oleh kerajaan sebagaimana di Semenanjung.

Seperti di Semenanjung, dari sebuah negeri ke sebuah negeri itu, sudah tentu ada perbezaan dari segi loghat, budaya, amalan, kebiasaan serta cerita-ceritanya. Begitulah juga di Sabah, setiap berapa kilometer persegi keluasan daerahnya yang sebesar itu pasti punyai cara hidup harian yang lain dengan daerah lain di sebelahnya. Malah dalam satu-satu daerah sendiri, bilangan etnik pribumi yang pelbagai itu punyai budaya yang berlainan antara satu sama lain. Tapi mungkin bagi mereka-mereka yang tidak memahami, katanya asalkan Sabah, semuanya tahu. Tambahan pula seperti di kawasan Tawau sendiri, suku-suku yang datang daripada Indonesia (Kalimantan dan Sulawesi), Timor Leste serta Filipina sudah tentu punyai cerita masing-masing yang mana tidak ketahui oleh masyarakat lainnya.
Jadi, kali ini Zaman Berzaman ingin mengetengahkan sesuatu yang bersifat mistik, khurafat, tahayul serta horor. Ia berkaitan dengan manusia jadian - 'Parakang'.

Semasa zaman kanak-kanak dulu, orang-orang tua sering menakut-nakutkan kami dengan jelmaan yang mereka sebut sebagai 'Perakang'. kata arwah nenek, matanya merah. Hingga dewasa, aku tidak pernah tahu apa itu 'Perakang'. Kalau tanya kepada famili aku, mereka pun main sebut sahaja. Mungkin nama tu agak sedikit 'horor' untuk menakutkan budak-budak. Kata mereka lagi, ia adalah hantu. Hantu yang bagaimana tidak pula dijelaskan secara terperinci. Namun begitu, ada sesetengah orang yang digelarkan oleh mereka sebagai Perakang. Aku agak keliru samada Perakang ini orang atau hantu? Takkanlah orang yang fizikalnya macam aku ini, yang berjalan di siang hari dan berbelanja seperti orang lain di pasar-pasar itu adalah hantu Perakang?

Semasa bertemu dengan salah seorang sahabat aku di Kuala Lumpur yang kebetulan datang dari daerah yang sama denganku di Sabah, menurut penceritaannya, Perakang atau nama sebenarnya 'Parakang' adalah manusia biasa yang menuntut ilmu salah (khurafat) dek kerana mengejar ketamakan dunia untuk hidup senang. Kerana mungkin ada persyaratan tertentu dengan makhluk ghaib, maka mereka akan bertukar kepada makhluk lain bila sampai waktunya. Tidak pasti menjadi makhluk apa tapi menurut apa yang aku fahami, mereka menjadi makhluk bukan manusia. Seperti yang aku baca melalui carian di internet, mereka mungkin boleh menjadi seekor anjing yang berbeza dengan anjing yang sedia ada dek campuran dengan fizikal manusia. Mungkin inilah yang rakan aku maksudkan tadi sebagai Werewolf itu.

Ia bolehlah dikatakan seperti saka dan diperwariskan. Mengkaji asal-usul Parakang, aku dapati ia adalah warisan khurafat yg dibawa dari tanah Sulawesi Selatan oleh orang-orang Indonesia. Manusia jadian digelar 'Parakang' ini dikatakan masih wujud hingga ke hari ini dan berkeliaran tanpa orang lain tahu siapa mereka. Mereka mungkin boleh jadi seorang individu, mahupun sebuah keluarga.

Melalui carian di http://mforum.cari.com.my/, aku dapati beberapa info menarik mengenainya. Ia seperti yang anda boleh baca di bawah ini:
Melalui bacaan di atas serta info-info yang aku peroleh dari rakan-rakan, dapatlah disimpulkan bahawa 'Parakang' merupakan amalan yang memerlukan pewaris. Ia sama seperti saka atau hantu raya.

Melalui sebuah laman blog, ada menceritakan mengenai makanan 'Parakang' ini. Aku petik sebahagian tulisan dari blog http://kampiri.blogspot.com/ yang aku percaya penulisnya seorang rakyat Indonesia:

"Jika di sebuah rumah terdapat seorang yang sakit, pemilik rumah harus ‘memagari’ rumahnya dengan baca-baca (mantera) khusus sambil biasanya menyiram dengan air garam disekeliling rumah. Hal ini dilakukan agar terhindar dari parakang yang memiliki ‘indera penciuman’ sangat tajam untuk mendeteksi tempat orang sakit berada. Parakang adalah satu jenis hantu atau mahluk halus di Bugis yang sangat ditakuti. Parakang bisa mengubah diri menjadi bermacam-macam wujud: pohon pisang, kambing, tangkai-tangkai bambu atau ampoti (keranjang dari daun kelapa tempat bertelur ayam). Suatu waktu nenekku pernah cerita pada saya bahwa parakang mengisap pello (rektum) orang sakit. Parakang melihat orang sakit seperti sebiji nangka atau buah-buahan lain yang matang sempurna dan menggiurkan untuk dicicipi."

Seperti yang diceritakan oleh rakan-rakan yang mengetahui mengenainya, individu yang menjadi 'Parakang' ini bergaul dalam komuniti masyarakat sebagaimana orang lain. Adakalanya mereka datang menunaikan solat di masjid bersama jemaah lain, mengikuti bacaan Al-Quran atau mana-mana majlis keagamaan. Mereka tidak mengasingkan diri dari masyarakat luar. Malah ada dikalangan masyarakat mengetahui bahawa mereka adalah pengamal ilmu khurafat tersebut. Mungkin dek kerana kebiasaan sekampung, mereka punyai persiapan andai berlaku perkara yang tidak diingini.

Adakalanya aku terfikir, adakah manusia jadi-jadian ini yang digelar Parakang, atau ahli keluarga mereka, berkemungkinan akan merentasi Laut China Selatan untuk bermastautin di Tanah Semenanjung? Kerana ia pernah melintasi Selat Makassar dan Laut Sulawesi untuk sampai ke Sabah. Mungkinkah mereka sudah berada di sekeliling anda dan bekerja di sektor-sektor awam serta swasta dan sedang hidup dalam masyarakat? Bagaimana mereka mampu menyesuaikan diri? Adakah mereka juga akan berubah bentuk? Mungkin sudah ada ceritanya namun kesahihannya, hanya Allah maha mengetahui.

Begitulah sebagaimana yang sempat aku nukilkan mengenai 'Parakang' ini. Ia mungkin sesuatu yang berguna untuk dikongsikan untuk pengetahuan aku yang berada dalam masyarakat tersebut serta untuk pengetahuan rakyat Malaysia serta pembaca-pembaca lainnya. Aku terpaksa merujuk kepada forum-forum serta tulisan-tulisan blog lain untuk menguatkan pengisian di sini kerana aku sendiri tidak punyai pengetahuan yang luas mengenainya.
Selain itu, anda mungkin berpeluang untuk mendapatkan informasi lain melalui link di bawah:
1. Parakang manusia jadi-jadian di Sulawesi Selatan lengkap
2. Mistik Bugis: Legenda Poppo’ dan Parakang

Kisah ini mungkin benar, mungkin juga tidak benar namun dalam masyarakat kita, cerita sedemikian ada yang mensahihkannya. Namun begitu amalan tahayul dan khurafat adalah salah di sisi Islam. Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud:

…sesiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat serta mereka itulah ahli neraka, mereka kekal didalamnya (selama-selamnya).”


Wallahu'alam...