Wednesday, April 6, 2011

Blog 'The Gunners Malaysia'

Pada tarikh 5 Mac 2011, hari Sabtu, aku telah membuat satu lagi blog baru yang bernama 'The Gunners Malaysia'. 

Blog 'The Gunners Malaysia' ini adalah sebuah blog yang memaparkan berita-berita berkaitan dengan kelab liga Inggeris iaitu Kelab Bolasepak Arsenal yang mana melibatkan berita perpindahan, kecederaan, petikan temuramah pengurus dan pemain, berita terkini pasukan tersebut serta informasi-informasi terbaru berkaitan skuad Arsenal. Selain itu terdapat juga beberapa berita sukan bolasepak tanah air serta pemain-pemain Malaysia yang berhijrah ke luar negara.

Aku membuat blog tersebut kerana merasakan bahawa tidak banyak blog-blog kelab bolasepak Arsenal ini ditulis di dalam bahasa Melayu. Kebanyakkan blog-blog yang sentiasa dikemaskini adalah sumber dari luar yang menggunakan bahasa Inggeris. Oleh itu, dengan kemudahan yang sedia ada, aku mengambil inisiatif tersebut untuk merujuk kepada sumber-sumber luar dan aku terjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan kita. Selain itu, aku turut memasukkan informasi-informasi lain dari akhbar-akhbar tempatan untuk dimuatkan ke dalam blog tersebut sebagai tambahan dengan apa yang sedia ada. Secara tidak langsung, aku jadikan blog tersebut sebagai sumber alternatif kepada peminat-peminat skuad The Gunners untuk memperoleh maklumat terkini dan turut membantu mengembangkan berita-berita lain dalam dunia bolasepak.

Sejak bulan Mac lepas, aku sibuk dalam mengisi kemasukan-kemasukan baru. Sehingga semasa entry ini ditulis, blog tersebut telah mempunyai bilangan kemasukkan sebanyak 85 entry. Selain itu aku turut menggunakan blog tersebut untuk mempelajari bagaimana membuat template blog. Blog 'The Gunners Malaysia' ini merupakan blog kedua yang aku reka sendiri templatenya tanpa menggunakan template yang sedia ada. Template pertama yang aku buat sendiri merupakan sebuah template penjualan barangan dan pakaian kanak-kanak kepada seseorang yang boleh aku katakan sebagai pelanggan kepada kemahiran terbaru aku ini. Bak kata orang puteh, practice make perfect. Bagi rakan-rakan yang pernah mengikuti blog ini, anda dapat melihat perubahan template kepada blog Zaman Berzaman ini, berbeza berbanding sebelumnya. Aku telah mengaplikasikan pembelajaran tersebut ke dalam blog ini. Walaupun mungkin hanya 30% siap, namun template blog ini akan terus diperbaiki.

Kepada rakan-rakan yang menjadi peminat kepada skuad The Gunners, anda boleh melayari blog baru ini di  alamat http://thegunnersmalaysia.blogspot.com/ untuk melihat perkembangan terbaru mereka. Kepada peminat-peminat bolasepak, aku akan cuba mempelbagaikan isi kandingannya agar anda boleh mendapat info-info lain dengan maklumat terbaru.

Tuesday, April 5, 2011

IRIS Corporation teroka hartanah di Senegal

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/04/06


Sertai projek kediaman, komersial bernilai RM800 juta


IRIS Corporation Bhd, yang sinonim dengan kegiatan berasaskan sistem teknologi maklumat serta kad pintar, mengembangkan perniagaannya dengan meneroka sektor hartanah di luar negara menerusi projek perumahan rakyat di Senegal.

Syarikat itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Iris Land Sdn Bhd kelmarin memeterai perjanjian usaha sama dengan syarikat Senegal, Caisse Des Depots Consignations (CDC) bagi membangunkan sebuah projek kediaman dan komersial di republik itu bernilai RM800 juta.

Projek yang akan dimajukan di tapak seluas 150 hektar di Sangalkam, iaitu di bahagian timur bandar Rufisque itu akan membantu penduduk berpendapatan kecil serta kemampuan berhutang yang terhad dapat memiliki kediaman pada harga mampu milik.

Pengarah Urusan IRIS, Datuk Tan Say Jim, berkata projek pembangunan yang akan dilaksanakan menerusi syarikat usaha sama antara Iris Land dan CDC itu, menyasar membina sehingga 5,000 unit kediaman dalam tempoh lima tahun.

Katanya, tujuan pembinaan unit kediaman dan komersial di Sangalkam itu adalah untuk meningkatkan lagi jumlah penduduk selain memodenkan kawasan berkenaan.

“Saiz projek berserta penggunaan teknologi pembangunan terkini dijangka membantu mengurangkan kos pembinaan dan pembangunannya secara drastik, selain turut membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, penerokaan kumpulan dalam pasaran hartanah di Senegal itu menunjukkan komitmen IRIS membantu kerajaan negara itu menyediakan pilihan kediaman mampu milik kepada rakyatnya.

“Projek pembangunan kediaman itu amat bersesuaian untuk keluarga yang memiliki anak ramai.

“Ia juga menawarkan harga mampu milik kepada kumpulan keluarga berpendapatan kecil dan yang amat memerlukan bantuan bagi membeli rumah,” katanya.

Say Jim berkata, bagi melengkapkan lagi pembangunan projek itu, pihaknya akan membina segala kemudahan diperlukan bagi kawasan perumahan merangkumi pusat perniagaan, masjid, sekolah, pasar, taman permainan dan lain-lain.

Beliau berkata, kos bagi pembangunan projek itu akan dibiayai menerusi dana yang dijana daripada pembiayaan oleh syarikat usaha sama.

Iris Land akan menguasai 49 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu, manakala bakinya oleh CDC.

IRIS yang ditubuhkan pada 1994 dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia ketika ini terbabit dalam perniagaan merangkumi pembangunan teknologi maklumat seperti pasport elektronik dan kad pengenalan pintar tanpa sentuh dibangunkan menerusi anak syarikat milik penuhnya, IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd.

Ia turut terbabit dalam aktiviti perniagaan sistem pembinaan perindustrian, tenaga diperbaharui, sekuriti makanan dan penjagaan alam sekitar.


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)

Penangan 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'

Cerita pasal filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah', siapa yang tidak tahu. Filem yang tidak perlu dipromosikan lagi namun tetap menjadi pilihan untuk mereka-mereka yang ingin menonton filem-filem Melayu secara santai dan mahukan komedi.

Aku antara orang yang boleh dikirakan lambat untuk menonton filem yang menjadi buah mulut ramai dikalangan kita rakyat Malaysia. Setiap kali cuba untuk membeli tiket ini dipanggung, setiap kali itu tiket habis dijual. Ada pun tiket yang ada hanyalah untuk tayangan lewat malam dan aku kena menunggu untuk berjam lagi lamanya hingga memaksa aku untuk tidak menonton tayangan tersebut. Adik aku pula terus-menerus mengesyorkan untuk pergi menontonnya

Pada minggu ke-3 tayangan tersebut di tayangkan, barulah aku dapat menonton filem tersebut. Itu pun aku dan 4 orang lagi rakan aku terpaksa bergerak ke tiga panggung berlainan untuk mencari tiket. Alamanda Putrajaya pada waktu itu telah penuh. Tidak mahu untuk menonton cerita lain, kami berlima bergerak ke Jusco Cheras Selatan. Nasib tidak begitu baik kerana sistem panggung tersebut mengalami kerosakkan. Kami berlima hampir putus asa. Namun kami gagahkan diri untuk bergerak ke The Mines Shopping Mall, Balakong. Sesampai di sana tiket pula sudah habis terjual. Ada desas desus yang mengatakan bahawa ramai penonton telah menonton filem ini berkali-kali menyebabkan panggung sentiasa penuh. Kami pula masih belum menonton filem tersebut. Namun begitu, penjaga tiket tersebut memberi pilihan andai kami mahu duduk di hadapan di bahagian kanan. Memandang kami tiada pilihan lain, kami teruskan hajat kami untuk menonton cerita tersebut walaupun dalam keadaan yang tidak selesa. Filem tersebut ternyata tidak mengecewakan. Gelak ketawa dari penonton yang hadir menggambarkan betapa mereka terhibur dengan apa yang disampaikan melalui cerita filem tersebut. 

Berbeza dengan filem sebelumnya iaitu 'Zombi Kampung Pisang,' watak-watak filem tersebut lebih teralih kepada kekuatan beberapa watak seperti Awie, AC Mizal, Que Haidar, Eizlynn & Loloq. Namun dalam filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah', selain watak utama iaitu Awie, watak-watak lain turut dikembangkan. Setiap pelakon memberi impak yang baik dalam kemeriahan suasana filem tersebut. Antara watak yang meninggalkan sesuatu di dalam hati setiap penonton adalah watak Shy8 yang memegang watak sebagai Usop Wilca. Setiap bait-bait katanya menjadi ikutan dan setiap aksi yang dilakukannya sering datang dengan gelak-tawa penonton. Gelagat Johan tidak mengecewakan serta Zami Ismail (Pak Abu), Man Kadir (Pak Jabit), Ummi Nazeera (Cik Nin) dan beberapa pelakon lain. 
Pada pendapat aku, inilah filem moden pertama di Malaysia yang berjaya membawa setiap watak di dalam filem tersebut lebih hidup. Setiap watak mempunyai satu identiti sendiri yang mampu dikenang oleh setiap penonton. Skrip yang bersahaja yang membawa penonton merasai seperti perbulan sehari-harian dengan aksi-aksi yang sederhana yang tetap mencuit hati.

Pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian hujung minggu lepas, kehadiran Abi Hurairah dan Ucop Wilca di akhir-akhir rancangan tersebut memberi kemuncak yang besar dalam anjuran rancangan tersebut kerana populariti Ucop Wilca begitu besar dan menambah kemeriahan majlis. Aku lihat semua penonton berdiri dengan kehadiran mereka berdua dan penonton memberi sokongan penuh terhadap setiap apa yang keluar dari mulut pelakon komedi baru ini.
Terima kasih kepada Mamat Khalid kerana berjaya menghidangkan rakyat Malaysia dengan filem komedi ringan citarasa orang Melayu Malaysia ini dengan garapan terbaik dan mencetuskan fenomena baru dalam era perfileman moden. Inilah satu-satunya filem komedi terbaik yang pernah muncul selepas era kegemilangan P. Ramlee.

Sedikit sedutan ABPBH bersama Ucop Wilca

Sunday, April 3, 2011

Isu nikah dalam masjid dan laungan Azan.

Beberapa bulan yang lepas, kita banyak mendengar isu-isu yang berkaitan dengan masjid. Isu-isu orang-orang politiklah katakan. Ia berkaitan dengan isu azan yang kononnya mengganggu penduduk-penduduk bukan Islam lain disekeliling. Tak habis dengan itu, isu bernikah di dalam masjid pula ditegah. Kedua-dua isu merupakan amalan kebiasaan kita sebagai umat Islam di negara bernama Malaysia ini.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang terlalu kecil suaranya ini, mahupun seorang beragama Islam yang terlalu cetek pengetahuannya dalam mencampuri urusan-urusan orang-orang politik mahupun para alim ulamak, penulis mengambil masa yang agak panjang untuk berceloteh melalui Blog Zaman Berzaman berkaitan isu ini. Mungkin apa yang tertulis di atas blog ini hanyalah pandangan peribadi yang bukan untuk diperdebatkan, bukan pro pada mana-mana parti politik, bukan untuk membantu dalam undi-undi, tetapi sekadar berkongsi pengetahuan dan pendapat. Penulis juga mengambil masa yang agak panjang untuk menerbitkannya untuk melihat pendapat daripada orang-orang lain dari laman web sosial rakan-rakan, melalui akhbar-akbar dan blog-blog lain. Apa yang terbit di atas blog ini mungkin sesuatu yang penulis rasa ramai dikalangan kita faham begitulah ia dan yang penulis rasa ada kebenarannya.

Laungan Azan.

Berkaitan dengan laungan Azan, sejak Islam bertapak di negara ini, kita jarang-jarang sekali mendengar rintihan daripada agama-agama lain. Kita faham laungan Azan yang mungkin sekadar 5 minit sahaja dilaungkan itu tidak akan mengganggu telinga sesiapa pun. Malahan laungannya menjadi kebiasaan kepada ramai penduduk beragama lain. Sekali ia berkumandang, agama lain faham itu tandanya sudah masuk waktu untuk orang-orang Islam menunaikan solat. Itulah seruannya dan sedikit sahaja masa ia diperlukan untuk diperdengari.

Namun apa yang menjadi kekeliruan mereka pada hari ini dan menjadi gangguan kepada mereka bukanlah laungan Azan itu. Namun begitu, ada perkara-perkara lain yang turut keluar dari corong-corong pembesar suara di masjid. Sebagai contoh, bacaan surah Al-Quran yang dimainkan sebelum Azan turut mengundang gangguan kepada penduduk beragama lain yang tinggal di persekitaran masjid. Mereka tidak tahu itu bukan Azan, tapi mengatakan Azanlah yang mengganggu. Bagi penulis, bukan sahaja orang beragama lain di luar sana, malah bacaan itu mengganggu jemaah yang sampai awal untuk menunaikan solat sunnat. Sedangkan penulis dulu pernah diberitahu agar memperlahankan bacaan jika berada di masjid kerana dikhuatiri mengganggu jemaah lain yang sedang melakukan solat. Cukuplah sekadar seruan Azan.

Bacaan-bacaan solat oleh imam masjid juga sepatutnya hanya didengari oleh makmum sahaja. Tidak perlu sampai hingga ke rumah-rumah penduduk. Mungkin bagi solat-solat fardhu seperti Maghrib, Isya' dan Subuh, bacaan pendek demikian tidak menjadi permasalahan sangat namun masih dikhuatir mendatangkan perasaan tidak elok dalam hati agama-agama lain. Namun begitu, bacaan untuk solat Tarawih yang mengambil masa lebih panjang dari bulan-bulan selain Ramadhan dikhuatiri menimbulkan persoalan negatif bagi mereka. Ramadhan itu berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Biarlah perbezaannya menunjukkan kepada agama-agama nilai-nilai positif yang membawa kemuliaan kepada agama Islam itu sendiri, bukan kebisingan luar biasa yang memberi gambaran negatif sebagai gangguan selama sebulan bagi agama-agama lain. Cukuplah sekadar seruan Azan.

Ceramah agama juga mengambil masa yang agak panjang dan banyak masjid memilih untuk melepaskan suara ceramah tersebut ke luar masid melalui pembesar suara. Bagi orang-orang Islam yang berada di sekeliling masjid, mungkin ia merupakan satu kemudahan kerana tidak perlu berada di masjid untuk mendengar isi ceramah. Namun bagi orang bukan Islam, kita khuatir andai hadir rasa sakit hati dalam diri mereka kerana terpaksa mendengar sesuatu yang tidak mahu mereka dengari. Cukuplah sekadar ceramah itu disampaikan melalui pembesar suara yang ada di dalam masjid sahaja, biarkan umat-umat Islam yang mahu mendengarnya datang ke masjid beramai-ramai. Yang patut dilepaskan, cukuplah sekadar seruan Azan.

“Ketika Nabi Muhammad SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Seperti yang disebutkan oleh Dr Asri, "Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah 'perjuangan mempertahankan Islam."

Nikah dalam masjid

Adakah boleh atau tidak? Adakah syarak membenarkannya atau tidak? Inilah antara amalan dan kebiasaan kita di Malaysia. Antara sebabnya adalah untuk memudahkan Tok Kadi dalam menyelesaikan beberapa akad nikah dalam satu-satu masa tanpa perlu beralih dari satu rumah ke satu rumah yang lain.

Jika diteliti, pernikahan di masjid itu tidak salah atau menyimpang dari ajaran agama Islam. Masjid sepatutnya menjadi tempat upacara-upacara keagamaan selain dari melakukan solat. Sesuailah untuk kita sebagai umat Islam untuk terus memakmurkan masjid dengan upacara-upacara sedemikian.

Malangnya apa yang berlaku pada hari ini, perkahwinan di masjid itu tidak mengikut tuntutan sebenarnya dalam usaha menjaga tatatertib masuk ke masjid. Lihatlah sahaja bagaimana pakaian pengantin semasa berada di dalam masjid. Adakah dia menutup aurat dengan sempurna? Dengan pakaian pengantin yang tipis menembusi sehingga memperlihatkan lengan mereka, ada yang tidak menutup bahagian kepala, dan ada pula yang berbelah di bahagian kaki hingga terlihat bahagian betis mereka sedangkan memasuki masjid itu dituntut untuk menutup aurat dengan sempurna.

Selain pengantin, para tetamu dah ahli keluarga yang hadir turut ada yang tidak menutup aurat. Ada yang masuk terus ke dalam masjid tanpa menjaga kebersihan diri, tanpa berwudu', malah ada wanita yang masih dalam keadaan hadas besar tidak mempedulikan situasinya semata-mata untuk melihat majlis pernikahan ahli keluarga mereka. Jika upacara ini terus-menerus berlaku dalam keadaan demikian, orang akan lupa mengenai adab-adab memasuki masjid dan terus-menerus melanggar pantang-larang. Secara tidak langsung, pihak masjid akan berkongsi dalam menyumbang dalam permasalahan ini.

Kesalahan dalam adat pernikahan orang Melayu kita juga menyumbang dalam percampuran antara perkara yang baik dan yang tidak baik. Sebagai contoh, upacara membatalkan air sembahyang melalui sarungan cincin sepatutnya dilakukan di luar masjid. Kedua-dua mempelai sepatutnya kekal berwudu' sehingga mereka keluar dari masjid. Bukan dengan sengaja membatalkannya ketika berada di dalam masjid. Sesudah menyarungkan cincin, aktiviti bersalaman kepada saudara-mara turut berlaku. Jika sekadar bersalaman dengan ibu bapa tidak mengapa, tetapi pengantin turut bersalam dengan ahli keluarga lain yang bukan mahramnya. Ini jelas mencampur-adukkan perkara halal dan haram di dalam masjid.

Mungkin melihat situasi dan masalah ini sering berlaku di dalam masjid, ada pihak yang melihat perkara ini perlu dihentikan. Walaupun dengan seribu alasan yang ia tidak salah dari segi hukum, namun banyak perkara lain yang diundang olehnya yang salah dari segi agama. Penulis merasakan larangan tersebut berasas namun andai masyarakat Islam Malaysia boleh menjaga tatatertib tersebut, tidak salah untuk upacara perkahwinan terus dilakukan di masjid.

Merasai suasana perang dalam 'World Invation: Battle LA'

Mungkin ramai yang telah menonton filem 'World Invation: Battle LA'. Seperti biasalah, cerita buatan Amerika akan memastikan dunia yang kononnya dalam cerita itu diserang oleh makhluk asing sudah semestinya diselamatkan oleh bangsa Amerika sendiri. Seperti cerita-cerita perang lain mereka seperti di Vietnam, walaupun merekalah penjajah, mereka akan menampilkan diri mereka sebagai pejuang. Sejarah tahu mereka kalah dalam perang Vietnam, namun mereka tunjukkan pada dunia melalui filem bahawa merekalah hero.

Bukan nak bercerita mengenai negara yang terkenal sebagai penjajah dunia moden ini, mahupun negara yang terkenal dengan kegemaran mereka menyelesaikan krisis antarabangsa melalui senjata ini, tetapi untuk membawa anda ke sebuah cerita perang hasil buatan orang Amerika ini. Kita biasa melihat cerita perang askar. Kita juga biasa melihat cerita makhluk asing. Namun dalam filem ini, mereka menggabungkan ketenteraan dan makhluk asing sekaligus.

Sabtu lepas, aku bertiga bersama rakan-rakan menonton filem ini di Alamanda, Putrajaya. Duduk di barisan ke-5 ke skrin gambar. Walaupun agak dekat, namun tidak mengganggu tumpuan. Cuma kepala kerap menggeleng kiri ke kanan untuk memastikan aku melihat aksi yang berlaku di keseluruhan skrin. Di sebelah kanan pula ada 3 orang awek turut menonton cerita sama. Memang ligat jugalah kepala menggeleng.

Aksi cemas peperangan dapat dirasai dari awal cerita. Bagaimana askar cuba menyelamatkan orang awam, turut cuba melindungi rakan-rakan askar serta bagaimana mereka berasa tidak selamat apabila berada di tempat perlindungan. Sinar harapan turut terpadam apabila bantuan yang diharap tiba tidak muncul pada masanya. Adapun bantuan yang datang, bantuan tersebut turut menjadi mangsa serangan selepas keudara. Satu demi satu kecelakaan menimpa. Dalam keadaan genting seperti itulah perlunya semangat berpasukan. Satu kepala dengan satu arahan dan dengan satu arahan yang baik akan memberi kesan positif kepada ahli tentera yang lain.

Dengan bunyi pembesar suara panggung yang sangat memberi kesan, setiap kali letupan berlaku ia memberi kejutan. Ia menambah perasaan gemuruh seolah-olah diri berada dalam suasana perang. Mereka berjaya membawa penonton merasai suasana tersebut dengan bunyian dan pergerakkan kamera yang sangat berkesan.



Dalam merasai suasana demikian, aku teringat bagaimana cemasnya perasaan semasa bermain paintball dulu. Malangnya aktiviti sehebat itu sudah lama tidak dianjurkan. Bagi aku ia seperti sebuah latihan untuk 'teamwork manangement'. Tidak perlulah bersusah payah untuk memanggil penceramah untuk mengajar kita bagaimana untuk mengurus kerjasama pasukan. Biar kita semua praktikkan melalui aktiviti sebegini. Secara peribadi, bagi aku aktiviti seperti Go-Kart memang menyeronokkan dan memberi pengalaman baru. Namun ia lebih bersifat individu, bukan berpasukkan. Tidak memberi impak yang besar dalam membina semangat kerjasama.

Bagi mereka-mereka yang belum pernah merasai bagaimana rasanya situasi peperangan, perasaan cemas untuk terus bernyawa, berlindung untuk mengelak serangan dan mengatur stategi, berkorban diri untuk ke hadapan untuk memastikan kerja rakan-rakan dibelakang lebih mudah; rasailah pengalaman paintball.

Friday, April 1, 2011

Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita!