Thursday, January 6, 2011

Kena sengat lebah



Menjelang ke pukul 8:00 pagi pada Rabu yang lepas, aku dan Lai seperti biasa melalui jalan yang sama setiap hari untuk pergi ke tempat kerja dengan menaiki motorsikal. Selepas keluar ke simpang tiga PUJ9, aku sempat melihat kelibat seekor serangga menuju ke arah tangan kananku yang pada masa itu sedang memulas throttle untuk menaiki bukit. Aku membiarkan sahaja ia semakin hampir dan dapat aku rasakan bahawa aku akan terkena sengatan.

Beberapa detik sahaja selepas ia singgah, aku rasakan seperti ada gigitan di pergelangan tangan kananku. Tanpa melakukan adegan panik, aku kibas-kibaskan tangan untuk menghalaunya lalu berhenti di tepi jalan. Lai hairan dengan kelakuanku. Aku terus katakan padanya bahawa aku disengat lebah walaupun aku tidak dapat melihat apakah jenis serangga tersebut.

Dalam keadaan berhenti itu, aku lihat ada kesan sengatan. Apabila aku dekatkan pandanganku, aku dapat lihat duri bisa sengatan tersebut yang aku yakini ia adalah bisa lebah. Sempat aku keluarkan duri dari kulit tangan dan menolak keluar sedikit cecair yang keluar dari lubang bisa tersebut dengan harapan agar bisa itu turut keluar. Kemudian aku dan Lai meneruskan perjalanan ke tempat kerja.

Di tempat kerja, aku lihat tangan aku mula membengkak. Urat-urat yang dulu kelihatan sudah tenggelam dan bahagian tulang pergelangan pula mula tidak kelihatan. Kerana bengkak itu semakin membesar, aku bercadang untuk mengambil cuti sakit setengah hari. Aku mahu pastikan kerja-kerja yang berkaitan dengan projek Lithuania itu aku tinggalkan dalam keadaan baik terlebih dahulu.

Tengahari itu aku berjumpa dengan doktor di sebuah klinik swasta. Doktor benar-benar terkejut dengan bengkak di tangan aku lalu memberi satu suntikan. Pada mulanya aku jangkakan suntikan itu akan dilakukan di tangan kanan aku. Selepas disuruh bergerak ke atas katil pesakit, doktor meminta aku untuk bertiarap. Aduhai, rupanya suntikan itu dilakukan di bahagian punggung. Memang jauh dari sangkaan aku. Beberapa minit kemudian selepas keluar daripada bilik doktor dan menunggu di hadapan kaunter untuk mendapatkan ubat, bahagian bawah pinggul aku mulai terasa kebas. Inilah pengalaman pertama aku dalam menerima rawatan bisa sengat lebah.

Teringat akan sebuah surah di dalam Al-Quran yang bernama surah An-Nahl yang bermaksud Lebah. Dalam ayat ke 68 dan 69, Allah berfirman yang bermaksud.

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."

Lebah adalah sejenis haiwan yang menakjubkan. Walaupun tanganku terkena bisa sengatnya, lebah menghasilkan madu dari badannya untuk dijadikan penawar kepada manusia. Pada pendapat aku, mungkin lebah yang menyengat aku terasa terancam atau mungkin sarangnya diganggu atau jatuh dek hembusan angin.

Mungkin juga sebagai sebuah ujian dari Allah untuk menguji kesabaran aku di atas ujian kecil begini. Atau mungkin ada kesalahan-kesalahan tertentu yang telah aku lakukan dengan tangan kanan ini untuk aku muhasabah kembali diri aku.

Alhamdulillah, bengkak itu semakin pulih namun ada rasa gatal-gatal yang mungkin akibat tinggalan kesan bisa yang masih ada di dalam darah. Syukur juga kerana bengkak itu tidak melarat dan aku berharap agar ia tidak meninggalkan kesan negatif. Sekali lagi aku teramat bersyukur kerana sengatan itu tidak terkena di bahagian muka.

Syukur....