Friday, December 28, 2012

Kami selepas 15 tahun

Aku, Rino dan Haidin
Sukar untuk memperoleh sebuah gambar lama yang tersimpan selepas 15 tahun. Aku rasa bertuah kerana berjaya mendapat gambar kami bertiga sebagai sebuah kenangan lepas untuk kembali kami tatapi bagaimana eratnya hubungan kami dahulu. Gambar ini mempunyai ceritanya sendiri yang terlalu indah untuk diungkapkan. Ia terus menjadi sebuah kenangan abadi yang tidak pernah lekang dalam memori. Setiap kali melihat gambar ini, betapa indahnya kenangan di zaman persekolahan dahulu dengan gilang-gemilangnya semangat membara remaja dalam hati kami pada masa itu untuk mencapai sesuatu.
Gambar zaman sekolah
Gambar di atas diambil semasa kami bertiga berada di bangku sekolah. Hubungan kami cukup akrab semasa berada di sekolah serta di luar sekolah. Walaupun berbeza usia, namun ia tidak menghalang kami bertiga untuk menghabiskan masa bersama untuk sebuah hobi.

Hubungan kami terpisah selepas aku mula melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dan mereka berdua masih bersekolah. Sesekali kami bertemu apabila aku pulang ke kampung halaman untuk bercuti. Beberapa tahun kemudian, kedua-dua mereka turut melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Aku dan adik aku semasa dia masih bujang, duduk dalam satu bumbung di tanah semenanjung ini. Selepas adik aku berumahtangga, kami mula tinggal berasingan. 

Haidin pernah beberapa kali mengunjungi kami berdua semasa aku dan adik aku tinggal serumah. Haidin turut hadir semasa hari persandingan adik aku di Sungai Buluh. Pada waktu itu, Haidin telah pun berumahtangga dan mempunyai seorang anak. Isterinya berasal dari Terengganu.
Selepas selesai bermain futsal
Gambar di atas pula di ambil pada 28 Disember, penghujung tahun 2012 selepas kami bertiga selesai menghabiskan aktiviti riadah futsal di Sri Kembangan. Masing-masing bekerja di sekitar Kuala Lumpur selepas Haidin mendapat tawaran ke sini. 

Gambar kami bertiga ini ibarat sebuah reunion selepas 15 tahun. Mungkin tidak banyak perbezaan kelihatan pada wajah aku, cuma wajahku sedikit kembang berbanding di bangku sekolah. Haidin pula kelihatan lebih sasa berbanding dulu. Adik aku fizikalnya yang kurus dan kecil dulu nampak jauh berbeza berbanding sekarang yang lebih berisi dan tegap.
Inilah kami sepanjang 15 tahun itu

0 Komen: