Friday, September 9, 2011

Dialog sang muslimah


Tini Pinky: Semua yang tutup aurat, kompom masuk syurga ke?

Muslimah: Yang pasti, tak tutup aurat, kompom masuk neraka... :)

Tini Pinky: mmm..tudung labuh pun mcm baik sngt. Buat dosa jugak.

Muslimah: Bila Iblis tak mahu ikut perintah Allah untuk bersujud kepada Adam, dia menyalahkan perintah Allah itu.......

Muslimah: "Apahal pulak aku kena sujud, aku lebih baik dan mulia". Samalah dengan tudung. Tudung pula yang disalahkan, "pakai tudung tak semestinya baik..bla...bla..."

Tini Pinky: mcmlah kau tu bagus sngt nak tegur2 aku. ntah2 kau dulu lagi jahat.

Muslimah: Tidak tersabit larangan dari Nabi untuk seseorang yang bahkan baru masuk Islam untuk pergi berdakwah kepada kaumnya. Maksudnya, dakwah itu tuntutan.....

Muslimah: Selagi kau Islam, dakwah itu wajib walaupun kau sendiri tak berapa betul. Sekurang-kurangnya dia insaf dan bertaubat sekarang.. :)

Tini Pinky: Walau kami pakai seksi tapi hati kami baik.!!

Muslimah: Adakah kau mendakwa diri kau mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri kau tanpa perlu menutup aurat?

Tini Pinky: Pakai jarang ke ketat ke, itu hak kami. Kalau tak suka jangan tengok!

Muslimah: kau berani jamin? bahawa semua lelaki ajnabi mempunyai hati suci dan iman tinggi untuk menahan godaan syaitan serta nafsu yang membuak-buak?

Tini Pinky: kami rasa apa yang kami pakai tak seksi. Terpulang kepada individu yang memandang kami..so what??

Muslimah: Seksi atau tidak, kau tetap berdosa walaupun hanya menayang sehelai rambut kau.. :)

Tini Pinky: Walau kami tak bertudung, kami tetap sembahyang dan puasa...

Muslimah: Apakah ibadat kau diterima? Kau yakin cuma dengan berpuasa cukup menjamin kau masuk syurga?

Tini Pinky: Sukahati kamilah nak pakai macam ni. Kami tak susahkan hidup orang lain...

Muslimah: Kau sebenarnya dah susahkan bapa, abang, adik, suami serta orang lain dengan menarik mereka ke neraka bersama kau disebabkan mereka tidak menegur dan gagal mendidik kau...

Tini Pinky: Apa yang kami pakai, ini antara kami dengan Tuhan.!

Muslimah: Berani cakap di dunia, berani ke kau cakap macam tu depan Allah nanti? Lawan perintah Allah, neraka tempatnya...

Tini Pinky: Bukan kami tak mahu menutup aurat, cuma masih belum sampai seru.

Muslimah: Mati tidak mengenal usia. Tak takut ke mati dalam usia muda? Tak sempat nak bertaubat nanti.

Tini Pinky: Takkan nak buat perubahan secara drastik? Slow-slow la..

Muslimah: Boleh ke cakap kat Malaikat Izrail nanti, tunggu kejap! Lepak la dulu. Jangan ambil lagi nyawa aku.. bleh?

Tini Pinky: Tutup aurat tu bagus tapi kami tidak mahu hipokrit kerana tidak ikhlas melakukannya.!

Muslimah: Kalau begitu kau sebenarnya memang hipokrit kerana tidak ikhlas beragama Islam...

Tini Pinky: ...........................

Muslimah: sekadar renungan kita bersama :)



(Di petik melalui laman blog 'http://mazeermohamad.blogspot.com/')

TV realisasikan pembebasan Syaitan di Aidilfitri


Ramadhan diketahui umum sebagai satu bulan yang mana Syaitan akan dirantai. Kesannya dapat kita lihat melalui gerak-geri umat Islam sepanjang bulan tersebut yang mana kita dapat mengawal diri kita daripada nafsu makan dan minum, mengelak daripada melakukan perkara-perkara kemaksiatan, kurangnya aktiviti-aktiviti sosial, meramaikan majlis-majlis ilmu, memenuhi masjid-masjid berdekatan, membanyakkan amalan-amalan ibadah seperti solat, zikir serta membanyakkan bacaan Al-Quran lebih daripada bulan-bulan sebelumnya.

Bagi yang tidak pernah berpuasa langsung, di bulan Ramadhan mereka cekal mengharungi hari tanpa makan dan minum. Bagi sesetengah yang lain yang sering tertinggal solat 5 waktu, pada bulan tersebut dijadikan masa untuk mentarbiah diri untuk mengekalkan kewajiban tersebut. Bagi yang jarang-jarang membaca Al-Quran, mereka kelihatan begitu tekun menghabiskan waktu rehat untuk membaca Al-Quran. Begitulah indahnya Ramadhan yang dipenuhi dengan pelbagai acara dan program keagamaan oleh setiap individu. 

Bukan setakat individu yang melibatkan diri dalam acara-acara keagamaan, program-program TV turut membuat pengisian mereka dengan rancangan-rancangan kerohanian tidak kiralah rancangan berbentuk rencana, pengisian ilmu Al-Quran, drama mahupun filem. Hidangan sepanjang Ramadhan sangat berguna dan memberi maklumat yang sangat memberi kesan dalam jiwa untuk dijadikan jamuan kepada hati-hati yang selama ini kosong dengan hidangan yang tidak bermanfaat.

Menjelang Aidilfitri, bermulalah episod duka yang menghancurkan apa yang telah diterapkan disepanjang bulan Ramadhan. Kita mengharapkan Ramadhan dijadikan permulaan untuk mengharungi 11 bulan akan datang dengan penuh keinsafan namun Aidilfitri telah dijadikan oleh badan-badan tertentu sebagai permulaan untuk merosakkan aqidah selama 11 bulan sebelum bermula semula Ramadhan pada tahun hadapan.

Lihat sahaja filem-filem yang dihidangkan sepanjang seminggu Ramadhan tidak kira dari stesen tv mana samada RTM, TV3 mahupun ASTRO. Antara resepi Aidilfitri mereka adalah cerita-cerita seram sebagai bahan utama sehingga dijadikan program istimewa Syawal. Rancangan-rancangan sedemikian tidak dipertontonkan sepanjang Ramadhan dengan begitu meluas seolah-olah semua filem-filem tersebut sedang mengalami rantaian besi yang kukuh. Namun menjelang Aidilfitri, setiap stesen TV berlumba-lumba untuk memotong rantaian besi terseebut seolah-olah satu simbolik kepada pelepasannya syaitan-syaitan dari belenggu ikatan besi. Selain cerita-cerita seram, tidak dilupakan mengenai filem-filem yang menjurus kepada kerosakkan aqidah pemuda yang terlibat dengan kongsi gelap, lumba haram, kebebasan sosial serta beberapa kerosakkan akhlak yang lain.

Bagi penulis, stesen TV seharusnya mengekalkan aktiviti-aktiviti program keagamaan dan kerohanian sepanjang bulan Syawal. Ini kerana Aidilfitri itu merupakan hari keagamaan yang mana kita memaklumi ia sebagai satu hari yang mana kita menyambut hari kejayaan selepas bertarung melawani hawa nafsu. Kejayaan itu harus diikuti dengan kesyukuran dan bukan dirosakkan dengan program-program tahyul dan kerosakkan sosial dalam masyarakat. Beginilah masalahnya jika penganjur-penganjur program TV jika diselia oleh orang-orang yang tidak peka terhadap agama. 

Penulis mengharapkan agar anak-anak muda pada masa akan datang yang suatu hari nanti akan menggantikan orang-orang yang sedia ada di dalam bidang penyiaran boleh mengubah persepsi Aidilfitri ini dengan sesuatu yang lebih bermakna melalui program-program hari raya mereka. Kita mengharapkan agar bidang penyiaran mampu memberi impak yang baik untuk sahsiah rohani masyarakat dan membentuk nilai beragama kepada setiap individu.

Tuesday, September 6, 2011

Ungkapan 'Maaf Zahir & Batin'


Assalamualaikum,

Sudah begitu lama rasanya meninggalkan blog ini seketika akibat sibuk melakukan update kepada blog 'The Gunners Malaysia' serta sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tawau Sabah. Sebelum terlambat, Zaman Berzaman ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca yang singgah ke blog ini dan penulis turut ingin memohon kemaafan zahir & batin andai ada tulisan-tulisan dalam blog ini menyinggung perasaan atau bertentangan dengan cara berfikir orang lain.

Kali ini blog Zaman Berzaman ingin berbicara mengenai ungkapan 'Maaf Zahir dan Batin'. Sedari kecil lagi penulis sering mendengar ungkapan ini dan membacanya di setiap kad-kad Hari Raya Adilfitri yang penulis hantar kepada rakan-rakan. Orang lain tidak berhenti-henti mengucapkannya untuk memperoleh berkat kemaafan tulus ikhlas di sempena hari yang mulia.

Namun begitu, menjelang remaja di peringkat sekolah menengah, penulis mula melihat ungkapan maaf tersebut mula ditukar kepada maaf 'zahir' sahaja oleh orang perseorangan. Bila penulis tanyakan kenapa, ada yang mengatakan, "batin belum lagi". Apa yang mengejutkan penulis, di kalangan orang-orang dewasa turut memberi ungkapan sedemikian seolah-olah ucapan itu hanya untuk ditujukan kepada pasangan suami isteri sahaja.

Tentu para pembaca memahami apa yang dimaksudkan oleh mereka itu yang bagi penulis mereka mengungkapkan satu kenyataan berdasarkan fikiran pendek. Adakalanya penulis merasa cukup menyampah dengan ungkapan demikian namun jika tidak diberitahu, sampai ke anak cucu nanti kita akan terus mendengar kata-kata sedemikian.

Apa yang penulis fahami, perkara ini bermula bilamana pelajar-pelajar sekolah mendalami ilmu berkaitan perkahwinan terutama semasa berada di tingkatan tiga dan ke atas. Bila sebut 'batin' sahaja, tidak ada perkara lain yang bermain di minda mereka. Walaupun begitu, apa yang mereka faham itu tetap masih salah.

Bila bercakap berkaitan dengan 'batin', contohnya 'urutan batin' yang sangat popular ketika ini yang banyak dijalankan secara haram, kita akui ia bersangkut paut dengan alat kelamin. Namun begitu, banyak lagi perkara yang berkaitan 'batin' itu bukan menjurus kepada perkara sedemikian. Sebagai contoh 'ilmu batin' dalam persilatan, ia menjurus kepada ilmu melalui tenaga dalaman. Makna batin sebeginilah yang kita gunakan sejak zaman-berzaman yang menepati makna sebenar batin itu. Namun perubahan makna itu berubah bilamana orang menyalah ertikan pengertian 'batin' itu sendiri dan mengungkapkannya secara salah.

Satu lagi kesilapan orang kita pada waktu ini yang paling jelas ketara adalah bila berbicara tentang nafkah zahir dan nafkah batin. Bagi yang berfikiran pendek, bagi mereka nafkah zahir itu merupakan nafkah dari segi kewangan dan harta benda sahaja manakala nafkah batin itu adalah hubungan kelamin suami isteri. Ini jelas memesongkan makna sebenar 'batin' sehingga orang terpaksa malu-malu hendak menyebut ungkapan 'maaf zahir dan batin'. Penggunakan perkataan tersebut diubahsuai sehingga menyebabkan makna sebenarnya menjurus hanya kepada satu perkara dan menolak makna sebenar-benarnya yang lebih tepat.

Untuk pengetahuan pembaca, semasa mendengar ceramah baru-baru ini, seorang alim itu menyatakan bahawa hubungan kelamin sumai isteri itu juga sebenarnya adalah nafkah zahir, dan bukannya nafkah batin. Segala perkara berbentuk fizikal seperti wang, harta benda serta khudrat itu tergolong dalam nafkah yang diistilahkan sebagai nafkah zahir kerana ia secara jelas terzahir. Apa yang diertikan sebagai nafkah batin itu sendiri sebenarnya adalah ilmu agama Islam. Ia nafkah yang tidak terzahir yang bersifat rohani dan dalaman yang perlu diserapkan oleh suami kepada isteri serta anak-anak. Itulah bezanya cara berfikir orang-orang alim berbanding orang-orang biasa dan mungkin sebab itulah Rasulullah mengajak kita sering berkumpul bersama orang-orang alim kerana perkongsian ilmu itu lebih tepat. Kiralah berapa ramai diantara para suami-suami yang berjaya memberikan nafkah batin tersebut kepada isteri mereka. Yang berjaya memimpin isteri mereka ke arah nilai beragama serta mendidik melalui ilmu. Inilah yang ulamak sering menyebut bahawa para suami ramai yang gagal memberikan nafkah dari segi batin kerana ceteknya ilmu keagamaan serta kurangnya amalan. Ramai para suami lebih banyak berhibur berbanding mengikuti majlis-majlis ilmu sehingga gagal menyampaikan kepada keluarga dan mengajar mereka beragama.

Berbalik kepada ungkapan 'maaf zahir dan batin', di sini penulis ingin menekankan bahawa apa yang sering disebut sejak zaman-berzaman itu masih relevan. Apabila kita memohon kemaafan dari segi zahir, kita memohon kemapunan yang bersifat zahir seperti kehilangan harta benda, terhutang sesuatu yg mungkin terlupa, tersalah pukul atau kesalahan-kesalahan lain bersifat fizikal. Manakala bilamana kita menyebut kemaafan dari segi batin, kita mengharapkan agar kita diampunkan andai ada perkara yang terbuat itu menyinggung perasaan tanpa orang lain sedari tetapi cukup memberi kesan didalam hati sehingga menimbulkan sakit hati dan terpendam. Dengan kata lain, kesalahan secara tidak langsung yang lahir mungkin dari kecuaian namun memberi kesan di dalam hati orang lain yang kita sendiri tidak sedari.


Bagi mereka-mereka yang terus menerus terlupa akan hal ini, ubahlah persepsi kemaafan batin itu. Dikhuatiri kita cuma memohon kemaafan yang terzahir sahaja sedangkan orang lain masih menyimpan rasa tersinggung perasaan dek perlakukan kita yang kita ingat tidak memberi apa-apa, namun ia cukup memberi kesan yang mendalam di dalam hati. Mungkin nasihat ini berguna untuk adik-adik yang baru meningkat dewasa yang sering menyalah-ertikan maknanya.

Bagi rakan-rakan dan para pembaca yang bagi penulis cukup matang untuk berfikir akan istilah-istilah dan penggunaan perkataan, anda seharusnya lebih memahaminya dan kematangan anda harus digunakan agar anda tidak kelihatan seperti berfikiran kebudak-budakan.

Jadi di sini, sekali lagi penulis dengan rasa rendah hati turut ingin memohon kemaafan zahir dan batin, yang tersurat dan tidak tersurat, yang penulis lakukan dalam sedar dan tidak sedar. Sesungguhnya penulis insan biasa yang sering melakukan kesalahan.

Salam Aidilfitri.