Saturday, February 25, 2012

Dari 'Zero' kepada 'Hero'

Pengalaman baru telah bermula. Terima kasih kepada sahabat aku yang telah memberi peluang kepada aku untuk terus berkarya dalam seni. Selamat datang ke rumah baru juga aku ucapkan kepada sahabat aku, Zarmiza bersama isterinya, Yusmi Suhana. Gambar di bawah adalah sebuah gambar kenangan mereka berdua semasa pertama kali memiliki rumah tersebut. Semoga ia boleh diabadikan sebagai sebuah memori.

 
Di rumah baru mereka ini, aku dan beberapa rakan sekerja lain telah berganding bahu dalam membantu sahabat kami ini dalam melicinkan rancangan perpindahan mereka untuk memudahkan perjalanan urusan. Aku seperti biasa tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil gambar dalaman asal rumah tersebut.

Selepas meninjau keadaan rumah, kami terus memikirkan tentang idea untuk mengecat ruang dalamannya. Idea yang wujud dalam fikiran kami adalah menghasilkan rekabentuk ruangan dalaman rumah moden. Aku terus terfikir untuk menghasilkan rekabentuk tersebut melalui ilustrasi bergambar melalui gambar-gambar yang telah aku ambil. Dari sinilah aku mula berjinak-jinak dengan rekabentuk hiasan dalaman rumah atau sesuatu yang dipanggil sebagai 'interior design'.

Selepas seharian memikirkan idea rekabentuk hiasan itu, maka aku telah menghasilkan beberapa ilustrasi bergambar untuk dijadikan rekabentuk cadangan kepada pasangan suami isteri tersebut. Dan ilustrasi di bawah merupakan hasil kerja pertama dalam merekabentuk hiasan rumah.

Selepas itu, bermulalah aktiviti untuk mengecat. Walaupun hasilnya sedikit berbeza kerana terdapat beberapa kekangan dalam merealisasikan sesuatu mengikut ilustrasi, namun suasana gotong-royong ini amat menyeronokkan. Ia sesuatu pengalaman baru bagi kami dan gelak tawa serta gurau senda rakan-rakan terus menggamit riang suasana.

Sehari sebelum penglibatan aku, Mie dan Azmir menyelesaikan cat pada dinding di bahagian ruangan tamu. Selepas ketiadaan Azmir pada hari berikutnya, kami meneruskan untuk bahagian bilik. Mie dan Azhar menumpukan untuk cat tengah pada keseluruhan dinding bilik-bilik tersebut manakala Malik lebih menumpukan bahagian penjuru atas. Aku pula mengecat bahagian-bahagian kecil seperti penjuru bawah, sempadan soket dan celah pintu. 

Bilik utama telah diwarnakan dengan warna hijau manakala bilik di sebelahnya diwarnakan dengan warna kuning. Ruangan dapur pula diwarnakan dengan warna putih yang mana warna asal sebelum itu merupakan warna krim. Satu lagi bilik yang akan dijadikan bilik komputer telah diwarnakan dengan warna ungu, sama seperti warna dinding ruang tamu tetapi di satu bahagian dinding yang mempunyai pintu, warna kelabu telah dicat di bahagian tersebut menjadikan warnanya lebih bervariasi.

Seminggu selepas itu, bersama rakan-rakan lain yang tidak hadir pada sesi mengecat, kini mereka telah datang untuk membantu dalam pembersihan rumah termasuk dalam membersihkan kesan-kesan cat serta mencuci jubin dan mengemaskan sisa-sisa kotoran yang ditinggalkan untuk melapik lantai menggunakan kotak dan surat khabar. Antara yang turut membantu adalah Farouk, Ayoi dan Paan.

Barangan kecil yang telah dimasukkan dalam kotak serta barangan lain turut mula dipindahkan sedikit demi sedikit menggunakan dua buah kenderaan. Mie dan isteri meneruskan pencarian untuk hiasan dalaman untuk kegunaan ruang tamu dan hiasaan seperti set sofa, tirai dan langsir serta kabinet tv.

Seminggu kemudian pada hari akhir minggu, bermulalah aktiviti pemindahan barang secara besar-besaran. Mie, Azmir, Afifi dan Farouk telah mula memunggah barang ke lori sejak awal pagi lagi dari rumah lama manakala aku dan Paan hanya mula membantu dalam memindahkan barang setelah tengahari selepas lori telah berada di rumah baru.

Pada kali ini, perpindahan sangat memerlukan kerahan tenaga yang lebih. Bagi rakan-rakan yang sering bekerja dengan menggunakan fizikal, susah tentu ia merupakan perkara yang biasa namun bagi aku yang jarang bekerja berat, aku menggunakan masa ini untuk melatih tubuh yang banyak berehat untuk bekerja lebih berat.

Suasana tetap meriah. Mungkin inilah untungnya jika bekerja secara bergotong-royong. Ada sahaja gurau senda yang menjadikan suasana menjadi meriah dengan gelak tawa dan senda gurau. Masing-masing punyai gelagat sendiri yang boleh menjadikan rasa penat itu terus hilang. Bertuah rasanya rakan-rakan ini semua ada bersama. 

Selesai sahaja semua barang telah dipindahkan masuk ke dalam rumah, kami mengambil sedikit masa untuk berehat dan mula menonton tv. Kami turut dihidangkan dengan makan tengahari oleh Mie dan isteri. Suasana begini jarang sekali dapat dirasakan oleh aku yang banyak menghabiskan masa di hadapan komputer. Namun aku gembira, rakan-rakan di sini sudah seperti saudara. Selepas berehat sebentar, kami turut membantu dalam memasang beberapa barangan rumah serta menyusun perabot dan beberapa barangan lain. Syam turut datang pada waktu petang sebelum juadah petang seperti pisang dan cempedak goreng serta keropok lekor dihidangkan.

Selepas selesai membantu dalam bergotong-royong menyelesaikan perpindahan rumah tersebut, kami pulang ke rumah masing-masing kira-kira dalam pukul 6.00 petang. Kerja hari minggu yang amat meletihkan selesai. Walaupun penat, aku sempat mencoretkan bukan sekadar sebuah kenangan, malah sebuah pengalaman melalui ruang di sini untuk sahabat aku yang kini memiliki aset keluarga yang amat bernilai. Semoga terus berbahagia dalam kehidupan yang diberkati.

Tuesday, February 14, 2012

14 Februari - Lupakan Hari Kekasih


Penulis ada membaca melalui akhbar harian baru-baru ini berkenaan dengan tarikh sambutan 'Hari Suami Isteri' pada tarikh 14 Februari setiap tahun yang dicadangkan oleh kerajaan Kelantan bagi menggantikan 'Hari Memperingati Kekasih' atau 'Valentines Day'. Bagi penulis, penulis amat menyokong cadangan ini selepas membacanya kerana bagi penulis ia merupakan satu tindakan yang positif dan mampu mengubah persepsi masyarakat Malaysia berkenaan 14 Februari.

Kerana gembira dengan pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan itu, penulis berkongsi maklumat tersebut melalui laman sosial Facebook. Penulis merasakan ia wajar untuk dikongsikan kerana ia sesuatu yang perlu difikirkan untuk menjadikannya acara tahunan diperingkat kebangsaan.


Namun begitu, penulis menerima beberapa komen daripada rakan-rakan penulis sendiri berkenaan perkara ini yang mempertikaikan bahawa kenapa perlu diwujudkan 'Hari Suami Isteri' pada tarikh tersebut sedangkan pada pendapat beliau, setiap hari pun sambutan hari sedemikian boleh disambut. Penulis tidak menjawab soalan itu segera melainkan bertanya semula tentang mengapa Hari Pekerja disambut pada 1 Mei sedangkan setiap hari pun kita boleh sambut Hari Pekerja. Ia turut berlaku kepada beberapa hari-hari lain seperti hari Ibu, hari Bapa, hari AIDS sedunia, hari Alam Sekitar dan sebagainya.


Bagi penulis, kewujudan hari-hari sedemikian sekadar hari peringatan dan penghargaan. Sebagai contoh, penganugerahan Ibu Mithali diperingkat kebangsaan tidak akan wujud jika tidak ada kesedaran melaluinya diperingkat tertinggi. Ia juga sebagai tanda penghargaan agar anak-anak mengingati ibu mereka dan memberi sedikit cenderahati. Mungkin kita boleh mengingati mereka setiap hari tetapi tidak mungkin kita dapat memberikan cenderahati kepada mereka setiap hari kecualilah ada hari yang memberi makna kepada mereka seperti sambutan hari lahir, sambutan hari ibu atau hari ulangtahun kelahiran kita sendiri. Kewujudan hari sebegini juga akan memberikan kesedaran kepada kita tentang jasa-jasa mereka selain daripada apa yang dipromosikan melalui media massa dan media cetak.

Selepas memberi komen tersebut kepada soalan rakan penulis itu, seorang lagi rakan cuba mempertikaikan apa yang penulis komen. Katanya bahawa 1 Mei itu tidak berkaitan dengan agama tetapi 14 Feb itu berkaitan dengan agama. Kalau nak buat, buatlah hari lain. Kerana penulis tidak mahu isu agama dimainkan melalui laman FB penulis, penulis tanyakannya di sini. Jika dia membaca blog ini, penulis ingin tanyakan kepadanya agama mana yang berkaitan itu? Adakah ada negara yang menjadikannya perayaan agama dan ada cuti umum terhadapnya? Selain itu, beliau memperbandingkan antara hubungan orang-orang yang berkasih dengan mereka-mereka yang telah berumahtangga dalam situasi tersebut. Mungkin dia punyai anak lelaki yang masih kecil, sebab itu dia tidak fikirkan kesan kata-kata yang mungkin boleh memakan diri sendiri. Saya cuma mampu doakan agar anak itu apabila punyai rasa kasih-sayang kepada seorang wanita suatu hari nanti bila umurnya meningkat remaja, tidaklah menjadi sepertimana yang diucapkan melalui komennya.


Selepas soalan di atas, penulis memberi penerangan terhadapnya dengan panjang lebar berkaitan apa pronya kewujudan hari tersebut dan penulis tambah lagi sedikit di sini untuk dikongsi kepada rakan-rakan yang melawat.

Seperti yang umum sedia maklum setiap tahun pada 14 Februari, disambut sebagai Hari Memperingati Kekasih (Valentine's Day) sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat dunia. Dan setiap tahun juga kita diingatkan bahawa hari tersebut bukanlah budaya yang patut disemai ke dalam jiwa masyarakat Islam terutamanya muda-mudi dan remaja. Setiap khutbah Jumaat di mana-mana sekalipun, khatib sering memberi peringatan kepada para jemaah, guru-guru turut tidak lupa untuk mengingatkannya kepada para pelajar, malah rakan-rakan yang sedar turut memuatkan tentang larangan menyambut Hari Kekasih melalui laman-laman sosial. Walaupun begitu, masih ramai lagi pasangan kekasih yang menyambutnya dengan hantaran hadiah, bunga, ucapan melalui kad, SMS dan melalui laman sosial. Ini menunjukkan bahawa kempen larangan yang kita lakukan masih belum berjaya mempengaruhi mereka kerana pengaruh melalui media massa, media cetak, promosi-promosi melalui filem dan drama serta jualan di pasaraya besar dan runcit lebih mendorong mereka untuk menyambutnya. 14 Februari masih tetap menjadi hari pasangan kekasih bersuka ria.

Tidak menjadi kehairanan kepada kita apabila sering mendengar isu tangkapan khalwat ramai pasangan kekasih yang belum sah ikatan sepanjang hari tersebut sebagai tanda membuktikan kasih sayang. Itu mungkin bagi yang tertangkap. Bagi yang terlepas, maka wujudlah benih-benih anak tidak sah taraf yang selepas berada di pusat pemulihan, mereka mengakui bahawa kes itu berlaku selepas bersekedudukan semasa tarikh Hari Kekasih berlaku. Dan ada gadis-gadis remaja yang hilang nilai perawan mereka pada tarikh tersebut. Apa yang kerajaan fikirkan untuk membendung perkara ini daripada terus berlaku?


Cadangan daripada kerajaan Kelantan pada baru-baru ini mampu memberi kesan yang mendalam terhadap sambutan 14 Februari dengan menjadikannya sambutan Hari Suami Isteri. Kenapa Hari Suami Isteri itu perlu disambut pada tarikh tersebut dan bukan hari lain? Isunya bukan kepada tarikh 14 Februari. Sememangnya tarikh tidak memainkan peranan kepada kewujudan Hari Suami Isteri tersebut. Apa yang penting adalah mengalihkan tumpuan masyarakat kepada sesuatu yang lebih baik terhadap sesuatu yang buruk. Kewujudan Valentine's Day membawa kerosakannya yang nyata kepada moral masyarakat terutamanya muda-mudi yang semakin lama semakin terhakis akhlaknya. Kita hanya menyemarakkan semangat berkasih-kasih dikalangan pasangan kekasih yang tidak sah hubungannya. Seandainya kita mewujudkan sesuatu yang lebih baik di dalam tarikh tersebut, kita akan mengalihkan tumpuan masyarakat serta media setempat untuk mempromosikan kasih sayang terhadap sesuatu yang lebih dituntut di dalam agama dan secara tidak langsung melupakan hari Valentine's Day.

Kewujudannya mungkin boleh memberi kesan yang positif kepada mereka yang telah berkahwin, kepada mereka yang berpisah dan turut memberi kesan kepada yang belum berkahwin.

Bagi pasangan yang telah berkahwin, Hari Suami Isteri adalah masa yang tepat untuk saling memberi cenderahati sebagai tanda kasih sayang dan menyemarakkan cinta dalam rumahtangga. Namun bagi pasangan rumahtangga yang jarang duduk bersama yang mana pasangan mereka sering bekerja jauh, Hari Suami Isteri tentu memberi makna yang cukup mendalam untuk pasangan kembali pulang menyambut hari bahagia itu untuk menamatkan kerinduan. Tidak kurang kepada pasangan yang sering berselisih syif bekerja yang boleh mengambil cuti untuk pasangan tersebut meluangkan masa seharian bersama. Paling tidak pun, pada hari tersebut adanya pengharapan daripada pasangan untuk dihubungi dengan ucapan-ucapan indah dan cerita-cerita kenangan lepas seawal hubungan.

Bagi pasangan yang mungkin menghadapi masalah rumahtangga, Hari Suami Isteri merupakan hari yang paling tepat untuk memuhasabah kehidupan rumahtangga mereka daripada terus terbelah. Selain itu, kehidupan pasangan yang telah terpisah akan menggamit kepada kehidupan berkeluarga semula yang mungkin mampu mengikat semula ikatan yang telah terputus.

Bagi yang belum berkahwin, Hari Suami Isteri akan membangkitkan semangat mereka untuk menyambutnya bersama pasangan yang halal pada tahun-tahun berikutnya dan mempercepatkan semangat untuk berumahtangga. Mereka tentu tidak mahu terus meninggalkan Hari Suami Isteri dari tahun ke tahun dengan hidup membujang. Secara tidak langsung, masyarakat akan terdidik untuk kahwin lebih awal kerana kerajaan menggalakkannya melalui kewujudan Hari Suami Isteri.

Inilah penjelasan penulis terhadap apa yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak terhadap sambutan Hari Suami Isteri tersebut. Sebagai masyarakat yang diketahui berpendidikan, sebarang cadangan yang baik itu haruslah difikirkan, bukannya ditentang secara mentah-mentah kerana menentang secara membuta-tuli itu adalah cara berfikiran orang-orang yang jahil serta cetek taraf pendidikannya. Sebarang cadangan yang baik itu perlu dihalusi.

Sebagai menyokong sepenuhnya tarikh 14 Februari sebagai sambutan Hari Suami Isteri, di sini penulis ingin memaparkan satu karya ilustrasi melalui suntingan penulis sendiri. Sebuah ilustrasi himpunan dan gabungan gambar-gambar rakan penulis yang telah berumahtangga. Dan di sini penulis ingin mengucapkan selamat berbahagia dan semoga hubungan rumahtangga rakan-rakan penulis dan semua pembaca akan terus dirahmati dan diberkati. Selamat menyambut hari memperingati Suami dan Isteri.