Thursday, December 30, 2010

Penangan bolasepak



29 Disember 2010 merupakan tarikh yang amat bersejarah dalam sukan bolasepak tanah air apabila Malaysia dinobatkan sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010. Walaupun jauh merentasi lautan, ngauman penyokong Malaysia menggegarkan seluruh pelosok tanah air. Dari rumah ke rumah; dari restoran segera ke kedai mamak; dari dataran hingga ke stadium; dari Perlis hingga lah ke Sabah; laungan kejayaan terus bergema selepas penjaga gol Harimau Malaya (Harimau Malaysia bagi aku) berjaya menampan bola penalti. Diikuti pula ngauman kejuaraan setelah skuad kebanggaan negara ini membolosi dahulu gawang gol sang Garuda. Skuad lawan yang telah patah sayap itu kini dilukai lagi dengan amat parah melaui jaringan gol Safee Sali. Ia memberikan kelebihan kepada Malaysia secara agreget dan pihak lawan perlu mencari 5 gol mustahil untuk memastikan kejuaraan.

Keputusan perlawanan tersebut yang berakhir dengan kekalahan Malaysia 1-2 di tangan Indonesia tidak menghalang Malaysia untuk merangkul kejuaraan selepas 14 tahun melalui keputusan agregat 4-2. Bagi penonton Malaysia, jaringan 2 gol lawan di Stadium Gelora Bung Karno tidak sesekali menghampakan. Sekadar saguhati kepada mereka untuk meredakan sedikit keparahan penyokong-penyokong Garuda. Juga sekadar melengkapkan aksi perlawanan untuk mereka terus bergelar 'Jaguh Kampung' dengan menang di tempat sendiri lagi. Apa yang paling manis, piala dijulang di dalam sebuah negara lawan yang mana penyokong dan akhbarnya banyak memprotes dan memprovokasi kemenangan sebelumnya dan memberi gangguan semasa sesi latihan.

Tidak cukup dengan itu, hari Jumaat nanti pada 31 Disember 2010 telah diishtiharkan sebagai cuti umum oleh perdana menteri sempena kejayaan Malaysia dalam kejohanan Piala Suzuki AFF 2010. Betapa besar makna kemenangan ini.

Kita bukanlah sebuah skuad yang setanding dengan pasukan-pasukan gergasi di EPL, La Liga mahupun kejohanan antarabangsa. Malah di peringkat Asia juga bukan. Tapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita mengusai dan menjadi raja bolasepak di peringkan Asia Tenggara. Sebelum ini pada sukan SEA 2009 di Laos juga , kita menjuarai pingat emas dalam acara bolasepak setelah menang dengan Vietnam. Dan jangan pula lupa, pada Pesta Bola Merdeka 2007, Malaysia turut menjuarainya dengan keputusan 3-1 menentang Myanmar.

Begitulah penangan bolasepak. Tidak banyak sukan yang mendapat perhatian seperti ini. Kita ada beberapa sukan yang bertaraf dunia seperti badminton, hoki, squash, tenpin bowling dan sepak takraw. Namun begitu, bolasepak adalah sebuah sukan yang mempunyai nilai estitikanya sendiri bagi sebuah negara. Mendapat satu pingat emas di Sukan SEA lebih bermakna daripada mendapat 10 pingat emas lain. Bolasepak itu menjulang sebuah negara dalam bidang sukan. Jika bukan diperingkan dunia atau benua, paling tidak pun sesama jiran-jiran yang berhampiran dengannya.

Bolasepak juga menjadi sukan tumpuan dunia. Sebut sahaja Piala Dunia, orang pasti mengaitkannya dengan bolasepak. Seluruh dunia menanti kehadirannya dan musim itu seluruh dunia bak terkena demam bolasepak. Pada musim itu juga, setiap hari orang membicarakannya.

Pandangan masyarakat terhadap lelaki; jika tidak pandai bermain badminton tidak mengapa, tidak pantas berlari juga tidak mengapa. Tidak mampu menimang bola takraw tidak mengapa, tidak pandai menolak bola bowling juga tidak mengapa. Tapi jika tidak tahu bermain bolasepak, anda pasti mendapat gelaran sebagai 'kaki bangku'. Anda pasti dilabelkan sebagai gelaran demikian walaupun anda hebat dalam sukan-sukan lain. Walau tinggi manapun jawatan anda, walau apa pun kedudukan anda, keunggulan dan ke'macho'an yang selama ini menjadi kebanggaan anda pasti tercalar pada pandangan orang sekeliling jika anda kelihatan kaku bermain bola. Reputasi anda sebagai lelaki jatuh sebagaimana reputasi seorang wanita jatuh jika tidak tahu memasak. Begitulah andaiannya.

Dalam keadaan kemeriahan sukan ini, ada golongan yang terlepas. Aku ada terbaca mengenai komen rakan wanita kepada seorang rakan FB aku berkenaan status yang berbunyi, "Bola malam ni woi!!!" semasa perlawanan akhir ke dua Malaysia menentang Indonesia baru-baru ini. Komen rakannya itu kemudian berbunyi, "tak minat! hahaha". Aku cuba menganalisa pemikiran orang-orang sedemikian dan dapat aku simpulkan bahawa wanita tersebut tidak langsung mahu ambil tahu penglibatan negara dalam perkara-perkara yang tidak menjadi perhatiannya. Tidak meminati bolasepak itu bukanlah menjadi kesalahan, namun begitu perlawanan semalam adalah perjuangan sebuah negara dengan negara lain yang memerlukan semangat nasionalisme. Kita tidak berjuang untuk memerangi nagara lain, jadi tidak ada perjuangan lain yang mampu membuktikan semangat nasional kita. Andai ini salah satu perkara yang boleh menyatuan sebuah bangsa Malaysia dalam semangat mencintai perjuangan negaranya, apa salahnya kita menyokongnya. Bukan menyatakan secara terang-terangan untuk tidak mempedulikannya.

Kadang-kadang aku mendengar rintihan daripada rakan-rakan wanita yang selalu mengeluh andai suami mereka keluar untuk bermain futsal bersama rakan-rakan sekerja. Sepatutnya mereka tidak mengeluh sedemikian rupa kerana suami mereka tidak melakukan perkara-perkara lain yang lebih merunsingkan seperti keluar ke pub atau berkaraoke bersama GRO, keluar bersama wanita lain atas urusan peribadi; melakukan jenayah yang melibatkan dadah, arak, pelacur dan lumba haram; bermain nombor ekor serta judi. Aktiviti yang mereka lakukan sekadar bersukan untuk menjaga kesihatan yang sepatutnya tidak menjadi kerisauan para isteri-isteri. Isteri-isteri sepatutnya memberi sokongan terhadap aktiviti-aktiviti begini supaya suami mereka tidak pergi lebih jauh menyimpang ke arah hiburan lain yang tidak sihat yang mungkin boleh menghancurkan sebuah institusi kekeluargaan. Paling kurang, sukan dapat mengelakkan daripada para suami yang kini ramping akan memiliki perut buncit lebih awal.

Harapan aku agar sukan bolasepak di Malaysia akan terus berkembang maju dan mampu mencapai tahap tertinggi di peringkat Asia dan dunia sebelum aku tidak mampu melihatnya lagi. Aku juga berharap agar sukan-sukan lain turut mencapai tahap antarabangsa dan negara ini menjadi negara Asia Tenggara yang sering muncul di persada antarabangsa serta digeruni oleh pendominasi sukan dunia. Dan yang terakhir, semoga kita lebih bersifat terbuka andai ahli keluarga dan rakan-rakan kita terlibat dalam bidang sukan dan olahraga untuk memberi semangat kepada wakil-wakil masa depan kita kelak.

Sunday, December 26, 2010

Garuda tumpas di gelanggang harimau



Selepas bersama-sama dengan keluarga dari kampung yang datang untuk bercuti, aku menerima panggilan bahawa ada dua tiket percuma jika aku mahu datang ke stadium Bukit Jalil. Malangnya aku dalam perjalanan balik ke rumah adik aku dari Shah Alam selepas membawa ahli keluarga bersiar-siar. Panggilan itu aku terima dalam pukul 6:30pm. Memang tidak sempat, tambahan pula aku telah berjanji untuk menonton siaran langsung itu bersama mereka di kaca TV.



Setelah Malaysia tewas kepada Indonesia 5-1 di peringkat kumpulan, jumlah jaringan sebegitu cukup untuk menyatakan kegerunan aku kepada pasukan Indonesia yang tidak pernah kalah sepanjang kejohanan ini. Andai mampu menang pun, mungkin dengan jaringan tipis dan mungkin akan menerima padah di gelanggang lawan pada peringkat akhir kedua di Indonesia nanti.

Beberapa hari sebelum itu, aku dengar bahawa jurulatih Malaysia, K. Rajagobal turut melancarkan perang psycho dengan menggelar pasukan Indonesia sebagai 'jaguh kampung'. Pada penilaian aku, mungkin disebabkan oleh kekalahan diperingkat kumpulan dengan jaringan yang cukup besar di tempat lawan, K. Rajagobal melancarkan perang dingin sedemikian untuk menakut-nakutkan pihak lawan.

Setelah aku imbas semula, ada logiknya gelaran itu kerana pasukan Indonesia memenangi semua perlawanan hanya dengan bermain di tempat sendiri. Perlawanan akhir pertama ini merupakan perlawanan pertama mereka dengan bermain di tempat lawan. Namun begitu, adalah terlalu awal untuk menyebut sedemikian memandangkan pasukan Indonesia belum diuji.

Apa yang menariknya dalam pasukan Malaysia berbanding Indonesia, semua khidmat pemain dan kakitangan merupakan anak-anak kelahiran Malaysia. Contohnya, kita menggunakan khidmat jurulatih K. Rajagobal yang nyata dan diketahui sebagai seorang rakyat Malaysia manakala pasukan Indonesia menggunakan khidmat jurulatih dari Austria, Alfred Riedl.



Selain itu, penjaring terbanyak pasukan Indonesia, Cristian Gonzalez merupakan pemain kelahiran Uruguay yang baru 7 tahun berada di Indonesia untuk menyertai sebuah kelab dalam liga di Indonesia. Berbanding dengan pasukan Malaysia, Mohd Safee Mohd Sali iaitu pendahulu jaringan dalam skuad harimau ini merupakan anak jati negara ini yang lahir dari Kajang, Selangor.

Indonesia juga menggunakan khidmat Irfan Haarys Bachdim yang lahir di Netherlands merupakan darah campuran antara Belanda dan Arab-Indonesia dan hanya menyertai liga Indonesia pada 2010 selepas menyertai beberapa kelab lain di Liga Belanda. dan mendapatkan pendidikan awal dalam bolasepak di luar Indonesia. Pemain-pemain Malaysia pula merupakan pemain-pemain yang rata-rata mendapat pendidikan dalam bolasepak di tanah air sendiri.

Di atas perbezaan ini, kelihatan bahawa skuad Indonesia kelihatan lebih mantap berbanding Malaysia yang hanya menggunakan khudrat orang-orang tempatan dan hanya berbekalkan semangat juang bangsa yang bermaruah. Jika kita berjaya mengharungi peringkat akhir ini, kita mampu berbangga kerana ia hasil kerja anak-anak tempatan, bukan campur tangan bangsa-bangsa asing seperti pasukan Indonesia.

Pukul 8:00pm, kami semua telah berada di hadapan TV untuk menantikan perlawanan akhir peringkat pertama itu. Walau apapun kegusaran di hati aku mengenai tahap kemampuan skuad 'Tanah Tumpah Darahku' ini, namun aku tetap memberi sokongan. Ternyata skuad garuda seperti patah sebelah sayapnya mendengar ngauman penyokong-penyokong skuad sang harimau. Di kaca TV kelihatan info berkaitan percubaan yang mana memperlihatkan Malaysia mencuba sebanyak 5 kali berbanding 0 Indonesia. Gonzales pula tidak diberikan sedikit ruang dan permainan pasukan Indonesia nampak hambar. Malaysia pula menggunakan peluang sebaik mungkin untuk mengasak kubu lawan dan hampir mengejutkan dengan gol pertama akibat kecuaian pemain pertahanan Indonesia. Namun begitu kesudahannya memperlihatkan tiada gol dijaringkan di separuh masa pertama.

Separuh masa kedua memperlihatkan penguasaan Malaysia. 3 gol berjaya diledakkan ke gawang gol lawan. Pasukan pertahanan Indonesia kelihatan cukup tidak bermaya hingga beberapa kali Malaysia menggelecek mereka di kotak penalti. Keputusan memperlihatkan Malaysia menewaskan skuad garuda dengan mudah. Keputusan Malaysia 3 - 0 Indonesia kekal hingga tamat perlawanan. Baki 90 minit masih ada pada peringkat akhir ke dua di Indonesia nanti.


Anda kita menjadi juara dan mampu mempertahankan kelebihan agreget ini, kita sepatutnya jauh lebih berbangga kerana ia hasil kerja anak-anak watan. Andai kita tewas, kita akur dengan kelebihan mereka sebagai pasukan yang punyai campuran warga asing. Namun begitu, sekali menewaskan barisan pasukan campuran ini sudah memadai untuk kita meletakkan para pemain-pemain dan kakitangan skuad di tahap tertinggi.

Friday, December 10, 2010

Maher Zain - Thank You Allah


Salaaaammmm...

Untuk thread kali ini, kita nak preview sikit berkaitan dengan album dakwah Maher Zain yang berjudul 'Thank You Allah'.

Album ini mengandungi 14 buah lagu termasuk 1 bonus track dengan lagu 'Thank You Allah' yang dimainkan secara akustik.

Lagu pertama beliau yang mula-mula sekali aku dengar adalah lagu 'Open Your Eyes' yang menjadi lagu selingan dalam sebuah video di YouTube berkaitan dengan seseorang lelaki yang menukar agamanya kepada Islam. Lagu ini menjadi selingan dalam ucapannya mengenai bagaimana dia mula-mula terbuka hati untuk memeluk Islam. Lirik 'Open Your Eyes' ini menyuruh kita agar membuka mata dan minda kita untuk melihat alam tentang penciptaannya.

Selepas itu, aku diperkenalkan oleh adik bongsu aku akan lagu 'Insha Allah'. Lagu 'Insya Allah' pula memberi ingatan kepada kita bahawa setiap kesusahan yang menimpa itu pasti ada hikmahnya kerana Yang Maha Esa sentiasa bersama. Ia mengajar kita agar tidak sesekali kesal dengan dugaan kerana ia sebuah ujian yang perlu dilalui dengan sabar.

Selepas itu, aku terdengar lagu 'Baraka Allahu Lakuma' dalam sebuah klip majlis kahwin. Lagu ini turut mempunyai bait-bait yang indah dalam kemeriahan majlis.

Lagu 'Thank You Allah' aku percaya ia merupakan lagu luahan hati Maher Zain. Ia menceritakan mengenai hidayah yang Allah berikan di saat seseorang di dalam kejahilan dan akhirnya kembali pada tali-tali keimanan.

Banyak lagi lagu-lagu menarik yang boleh kita dengari dalam album ini. Secara keseluruhannya, lagu-lagu dalam album ini sangat berkualiti dan tidak sia-sia untuk anda mendapatkan albumnya. Harga Album ini di pasaran adalah RM27.90. Dengan kualiti album yang baik sebegini, harga demikian adalah amat berbaloi untuk setiap orang memilikinya. Jangan beli cetak rompak tau.

List di bawah merupakan semua track dalam album ini:
  1. Always be there
  2. Ya Nabi Salam Alayka
  3. Insha Allah
  4. Palestine will be free
  5. Thank you Allah
  6. Allah Allah kiya karo (featuring Irfan Maliki)
  7. The chosen one
  8. Baraka Allahu Lakuma
  9. For the rest of my life
  10. Hold my hand
  11. Awaken
  12. Subhana Allah (featuring Mesut Kurtis)
  13. Open your eyes
  14. Thank you Allah (acoustic bonus track)
Oh ya, nak cerita sikit. Sebelum membeli album ini, aku katakan kepada seorang rakan aku bahawa aku nak dapatkan CD yang original semasa mendengar lagu-lagu tersebut di dalam keretanya kerana dia memiliki album yang pirates dengan harga RM5. Selepas seminggu, aku beritahunya bahawa ada telah memilikinya selepas membelinya di pasaraya Mines. Kawan ini mengetawakan aku kerana membeli satu produk yang mahal sedangkan dia memperoleh benda yang sama dengan harga yang jauh lebih murah. Katanya lagi, apa yang aku dengar dan dia dengar itu sama sahaja. Adakah apa-apa beza daripada yang aku dengar sebelum ini di keretanya dengan apa yang aku dengar dari CD yang aku beli.

Kerana malas bertelagah, aku katakan padanya bahawa sekurang-kurangnya orang yang punya lagu dan penyanyinya serta syarikat yang mengeluarkannya dapat sedikit hasil melalui pembelianku kerana mereka telah hasilkan lagu-lagu dakwah yang baik untuk kita dengar. Pada masa itu dia mengatakan aku berfikiran pelik. Sepatutnya aku yang mempersoalkan dia kenapa beli yang pirates pada lagu-lagu dakwah, tetapi perkara sebaliknya berlaku. Banyak juga dia persoalkan tetapi aku malas nak berbahas kerana aku teringat akan pesan salah seorang penceramah semasa tazkirah Ramadhan baru-baru ini agar tidak berbahas dengan orang-orang jahil.

Bagi aku, memang sama apa yang kita dengar samada pirates atau pun bukan. Bezanya adalah kesannya kelak pada diri kita yang mendengar serta anak dan isteri kita yang sama-sama melayannya. Sama seperti makanan. Contohnya dua ayam goreng KFC, satu yang kita beli secara sah di kaunter kedai KFC, dan satu lagi yang kita beli murah dengan pekerjanya yang kita tahu dia bawa keluar dari kedai kita tanpa pengetahuan empunya kedai. Kedua-duanya disembelih dengan cara yang sah, resepi yang sama dan dibuat oleh pekerja KFC yang sama. Pekerja yang mengeluarkan KFC untuk kita tadi mengaut wang dari kita tanpa memberi apa-apa keuntungan hasil jualan kepada tuannya. Dia memakan wang haram dan yang makan juga turut memakan makanan yang haram kerana dia mengetahui dan membenarkannya. Rasanya sama, tiada beza dengan mereka yang membeli di kaunter. Tapi kesan darah yang mengalir akibat dijana oleh ayam KFC dari cara yang salah itu akan memberi kesan kepada tindak-tanduk kita, anak-anak dan isteri kita kelak.

Okeylah, jom tengok salah satu klip video Maher Zain dengan lagu Insha Allah.

Nikon D90 kini milikku

Dulu, aku amat mengambil berat terhadap gambar-gambar dari kamera orang lain yang yang ada aku di dalamnya. Aku mesti pastikan aku memiliki gambar-gambar tersebut. Setiap gambar-gambar tersebut mempunyai kenangan dan suasananya sendiri. Dari zaman awal persekolahan hingga ke sekolah menengah, membawa ke zaman universiti dan kolej, seterusnya di tempat kerja, semua aku abadikan sebagai sebuah kenangan terindah.



Berbeza pada hari ini, kamera pada zaman tersebut mempunyai keistimewaan yang amat terhad. Setiap gambar amat bernilai kerana kita sukar untuk melihat secara langsung bagaimana hasil gambar tersebut. Setiap shoot mesti diambil dengan baik untuk mengelakkan kerugian dalam satu gulungan filem (film roll). Tiada istilah cuba-cuba. Jika hasilnya teruk, maka itulah yang kita dapat. Gulungan filem juga mungkin akan terdedah dgn kerosakkan jika terkena sinaran dan udara berlebihan dan ia tidak boleh disimpan lebih lama. Kerana keterhadan begini dan memerlukan kos yang besar untuk pembelian film roll (satu = 36 filem maksimum), terasa amat rugi untuk meneruskan niat untuk mendalami ilmu fotografer.



Zaman berubah, digital compact camera diperkenalkan kepada umum. Tanpa film roll dan terdapat screen untuk melihat preview sebelum gambar diambil, ia dilihat memudahkan pengguna untuk membuang mana-mana gambar yang gagal dan mengambil semula gambar baru tanpa memilikirkan untuk membeli film rool lain. Sejak itu aku sering mengidamkan mempunyai sebuah camera. Aku melihat ramai orang telah memiliki compact camera hingga seorang rakan aku berkata bahawa compact camera yang ada padanya pun sudah ketinggalan zaman kerana berskrin kecil. Katanya lagi, segan nak shoot gambar depan orang ramai yang punyai screen lebih besar. Bagi aku pada masa itu, andai aku sudah punyai satu kamera sebagaimana yang dia ada tu pun dah memadai. Aku akan lakukan yang terbaik untuk setiap shoot gambar. Malangnya, aku cuma boleh mengabadikan gambar-gambar berkualiti rendah melalui telefon bombit yang bersaiz kecil.

Kekangan kewangan menghadkan aku untuk terus memiliki sebuah camera. Niat untuk memiliki sebuah kamera terus dipendam. Adik aku pula datang menunjukkan minat untuk mempunyai sebuah kamera. Berharga lebih RM2k, bagi aku sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran aku kerana selama ini aku hanya meninjau harga-harga compact camera yang berharga di bawah RM800. Sekurang-kurangnya dengan adanya kamera, aku masih boleh melakukan banyak perkara dengan pengeditan melalui Photoshop.

Setelah adik aku memiliki sebuah camera DSLR Nikon D3000, aku belajar sedikit demi sedikit berkaitan ilmu fotografi. Camera DSLR merupakan sebuah camera yang menangkap setiap imej secara manual termasuk imej potrait, zoom dan mikro. Setting untuk auto juga disediakan bagi memudahkan pengguna untuk mengambil gambar secara mudah. Walaupun segan, aku turut meminjam kamera mahal ini andai ada aktiviti-aktiviti tertentu di tempat kerja. Di situlah proses pembelajaran aku dan pendedahan melalui DSLR.



Selain itu, aku diberi peluang untuk menggunakan kamera Canon EOS 450D milik Faizul dan Nash. Melalui kamera ini, aku sekali lagi menggunakannya untuk belajar ciri-ciri dan kemampuan sebuah kamera DSLR. Selain itu, aku berpeluang menggunakan Nikon D90 kepunyaan salah seorang saudara perempuan Latifah untuk mengambil gambar semasa pertandingan Go-Kart. Hasilnya cukup menarik perhatian aku dan ia mempunyai lens yang lebih besar. D90 adalah sebuah camera popular Nikon yang direka khas untuk first pro-level para fotografer. Harganya pada masa itu mencecah RM4k. Aku cuma mampu berangan untuk memilikinya.

Semakin lama semakin datang minat dalam dunia fotografi. Kali ini bukan untuk gambar aku sendiri, tetapi ia lebih kepada imej-imej event atau function. Di sini aku belajar sesuatu daripada seorang rakan lama sekolah aku, Haidin. Katanya, "Tidak sah bagi seseorang fotografer andai ada gambarnya di dalam kameranya sendiri." Aku tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan tangkapan gambar andai ada perkara-perkara menarik yang aku temukan. Aku turut kerap meminjam kamera adik aku untuk belajar.

Aku mula menanam minat tersebut. Melalui laman web rasmi Nikon Malaysia, aku buat perbandingan antara satu produk dengan produk yang lain. Kenny turut membantu dalam usahanya menarik minat aku kepada produk Canon. Dalam banyak-banyak perbincangan dengan rakan-rakan, tidak banyak yang kami bincangkan mengenai produk Sony, Olympus atau Panasonic. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa produk Pentax ada ciri-ciri dan nilai estitikanya sendiri.


Alhamdulillah, sekarang aku telah memiliki sebuah kamera sendiri. Sebuah kamera yang jauh lebih baik dari mimpi-mimpi dan keinginanku sebelum ini. Daripada keinginan sekadar memiliki sebuah compact camera, berkat kesabaran yang lama aku pendam, kini aku telah memiliki sebuah DSLR aku sendiri, Nikon D90. Aku membelinya di sebuah butik Nikon di Alamanda yang baru beroperasi sebulan dan mendapat harga yang jauh lebih murah berbanding harga sebenarnya. Aku turut dilayan dengan baik dan diberikan banyak informasi serta cenderahati dari butik tersebut.

Kenapa bukan Canon? Seperti yang aku nyatakan di atas, aku mencuba pelbagai jenis kamera sebelum membeli DSLR. Aku juga lakukan penyelidikan spesifikasinya melalui laman web serta forum-forum berkaitan dengannya. Ada pro and contra bagi setiap produk ini tapi mungkin bukan di sini untuk menjelaskan apa kelebihan dan kekurangannya. Walaupun D90 bukan produk yang sempurna, namun aku berpuas hati dengan kemampuannya. Selain itu, aku berkongsi minat dengan adik aku dalam dunia fotografi. Kami boleh bertukar-tukar accessory untuk jangka masa panjang memandangkan kami membeli produk dari brand yang sama.


PS: (Bermimpi dan berdoalah serta bersabarlah. Jangan sesekali berputus harap. Jika bukan hari ini, mungkin pada hari-hari esok. Jika ia lambat, insyaAllah Allah akan bagi lebih lagi. Maka bersyukurlah.)


Details from http://www.nikon.com.my/

Tuesday, December 7, 2010

Nasyid @ IRIS



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Eceh! Mentang-mentang thread kali ni bertajuk nasyid, baru nak mulakan thread dengan salam. Hmmm. Asyik sibuk dengan persiapan untuk IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) 2010, tak sempat untuk aku update apa-apa thread untuk Bulan Kesenian Islam IRIS. Memandangkan hari ini merupakan hari pertama dalam kalendar Islam (1 Muharam 1432H), jom kita imbas kembali detik-detik kemeriahan pertandingan nasyid IRIS sempena Bulan Kesenian Islam IRIS yang lepas. Aku takkan lupakan kemeriahannya kerana ada kenangan manis bagi setiap peserta sepanjang pertandingan tersebut. Saat-saat manis beginilah perlu aku abadikan dan kongsi dengan para pembaca.

Seperti biasa, aku ditugaskan untuk menjadi fotografer. Walaupun bukan salah seorang daripada ahli Badan Kebajikan Islam, namun begitu aku amat bersyukur kerana dijemput untuk memainkan peranan dalam program mereka. Terima kasih kepada Badan Kebajikan Islam IRIS kerana melibatkan aku dalam usaha mereka untuk meneruskan syiar Islam di IRIS terutama dalam penyediaan poster dan fotografer.

Kali ini Faizul memberikan cameranya untuk kegunaan majlis. Cameranya yang lengkap dengan speedlight memudahkan kerja aku untuk menangkap gambar dengan baik. Camera aku pula aku serahkan kepada Nurrul untuk tujuan rakaman video.

Majlis berjalan lancar dengan sambutan penonton yang cukup memberangsangkan. Semua kerusi dipenuhkan dengan kehadiran penonton. Malah ada yang sanggup duduk di bahagian lantai dan berdiri di tepi auditorium. Tak kurang juga yang memenuhkan bahagian atas auditorium.

Juri professional kali ini merupakan salah seorang komposer terkenal di tanah air kita iaitu S. Atan. Dia turut ditemani oleh En. Kamal Basha sebagai pembantu yang mewakili juri daripada IRIS. Untuk pertandingan kali ini juga, pihak BKIT turut mengambil penyelaras sistem PA dari luar untuk kawalan bunyi. Fiza pula bertindak sebagai pengerusi majlis pada majlis gilang-gemilang tersebut.


Selepas sesi saringan, hanya 5 kumpulam sahaja yang layak untuk ke peringkat akhir. Setiap peserta kumpulan diberikan selama 8 minit untuk persembahan. Penilaian berdasarkan keharmonian nyanyian, pakaian persembahan, penjagaan tempo, kemampuan ahli menyanyikan lagu dan beberapa kriteria lain.

Mari kita lihat wajah-wajah para peserta sebelum dan selepas mereka melakukan persembahan.

Sebelum
Selepas



SebelumSelepas

SebelumSelepas

SebelumSelepas

SebelumSelepas

Walaupun diperingkat akhir ini hanya ada 5 peserta berkumpulan, kemeriahan dan kegemilangannya tetap dirasai. Penonton seolah-olah amat menanti-nantikan kemunculannya. Pemilihan 5 kumpulan diperingkat akhir ini dapat menjimatkan masa yang singkat itu dengan lebih bermakna.

Di bawah ini, aku sertakan beberapa gambar sepanjang berlangsungnya pertandingan nasyid IRIS ini. Jom lihat aksi-aksi para hadirin serta para AJK yang terlibat.






============================

Kumpulan Fitrah Al-Mahabbah adalah kumpulan nasyid yang mewakili jabatan CCP. Mereka mempersembahkan dua lagu secara medley yang diedit halus oleh Ike. Lagu lagu tersebut adalah 'Solatullah' dan 'Pergi Tak Kembali'. Ike merupakan satu-satunya penyanyi lelaki dalam kumpulan Fitrah Al-Mahabbah dan merupakan penyanyi solo dalam kumpulan tersebut.



Kumpulan Teman Sejati merupakan kumpulan yang lahir dari jabatan CP. Kumpulan ini juga mempunyai penyanyi solo iaitu Amad yang merupakan satu-satunya penyanyi lelaki yang mewakili kumpulan ini. Di peringkat saringan, kumpulan ini mempunyai masalah dari segi CD muzik yang mana gagal untuk di minus onekan. Alhamdulillah semasa di peringkat akhir, mereka berjaya mendapatkan minus one untuk lagu mereka iatu 'Fatamorgana'.





Kumpulan Putih merupakan satu-satunya kumpulan yang dianggotai oleh kesemua penyanyi lelaki dan turut menjadi satu-satunya kumpulan yang tidak menggunakan muzik audio. Mereka menggunakan instrument sendiri iaitu kompang sebagai muzik iringan mereka. Kumpulan Putih membawa medley lagu-lagu Raihan seperti 'Sesungguhnya', 'Syukur' dan beberapa lagi lagu lain.



Kumpulan An-Nur merupakah wakil terakhir dari CCP. Terdiri daripada kesemua anggota wanita, mereka membawakan lagu yang dipopularkan oleh Hijjaz bertajuk 'Kekasih Allah'. Mereka mempunyai seorang vocal solo yang bersuara lunak. Memandangkan key lagu asal merupakan key untuk lagu lelaki semasa minus one lagu ini diputarkan, vocalist solo mereka terpaksa menggunakan key yang sama tanpa menaikkan key tersebut kepada key yang sesuai dengan kemampuan vocalnya. Namun begitu, kemampuannya mengawal suara rendahnya tetap mengagumkan.




Susunan gambar kumpulan-kumpulan bertanding mengikut tempat.



Kita mengharapkan agar program-program begini akan terus dikekalkan untuk menguatkan syiar Islam dalam diri setiap staf IRIS. Terima kasih kepada Badan Kebajikan IRIS Technologies kerana sanggup menghabiskan masa dan penat lelah untuk menganjurkan pertandingan nasyid ini dengan jayanya. Terima kasih juga kerana menganjurkan program-program lain sepanjang Bulan Kesenian Islam dengan melibatkan ramai staf dari setiap jabatan seperti program ceramah agama, melukis poster, kuiz agama dan sebagainya. Aku mendoakan akan BKIT dan semua yang terlibat dalam menjayakan Bulan Kesenian Islam ini akan terus maju jaya.

Badan Kebajikan IRIS Technologies (BKIT)