Thursday, December 27, 2012

Pengembaraan ke Selatan 2: Singapura


Part 1: JB
Part 2: Singapura
Part 3: USS

Selepas mandi air panas dan menunaikan solat fardhu Subuh, aku dan Azmir turun ke lobi utama untuk bersarapan pagi di Hotel Suria. Van yang dijanjikan untuk membawa kami ke agen pelancongan dijadual tiba pada pukul 7.15 pagi. Kami pula sudah mula bersarapan seawal 6.30 pagi. Kami terpaksa mengorbankan waktu rehat yang belum reda, sarapan pagi yang tidak puas, serta rasa ngantuk yang masih memerlukan tilam untuk melengkapkannya demi keinginan untuk mengetahui apa yang ada di sana. 

Van tiba pada pukul 7.30 pagi. Kami di bawa ke sebuah agensi pelancongan untuk mengisi beberapa butiran pelepasan serta menunggu bas untuk menghantar kami ke Sentosa Resort World. Borang yang diisi melalui agensi tersebut memerlukan butiran yang tertera melalui passport kami. Selepas melepasi halangan ini, kad pengenalan sudah tidak sah lagi apabila hendak melepasi sempadan Singapura. Passport dipastikan sentiasa ada bersama kerana ia adalah dokumen paling penting di sana nanti. Ketiadaannya pasti menyukarkan perjalanan kami. Syahreen memastikan semua dokumen kami semua dikepilkan bersama agar tidak terpisah.

Selain kami, terdapat ramai penumpang lain yang rata-ratanya pengunjung ke USS turut bersama untuk mengikuti rombongan tersebut yang datang mengikuti pakej dari hotel lain. Kami tidak 'over-exited' untuk datang ke sana. Kamera aku pula sentiasa tersedia untuk merakam detik-detik perjalanan untuk aku muatkan ke dalam blog ini.
Hampir ke pukul 8.30 pagi, bas sampai untuk membawa rombongan. Rombongan dari agensi tersebut dibahagiakan kepada dua bas. Selepas menaiki bas tersebut, mereka melakukan semakkan untuk memastikan tiada perserta yang tertinggal. Kami turut diberikan sedikit cenderahati sebagai tanda kenangan.

Perjalanan kami menyeberangi Selat Tebrau tidak melalui Tambak Johor. Kami melalui Lebuhraya Link ke-2 untuk menuju ke sebuah pulau yang dipanggil sebagai Pulau Sentosa yang mana terletaknya Universal Studios Singapore. Pulau Sentosa ini terletak paling selatan di Negara Singapura menghala ke Selat Singapura yang memisahkan kepulauan ini dengan pulau-pulau di Indonesia seperti Batam.
Apabila sampai ke bahagian imegresen Singapura, kami melalui kaunter pemeriksaan passport dan barangan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Memandangkan berada di kota singa, kami bersiap-siap untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara. Kebanyakkan pekerjanya juga adalah dikalangan orang Melayu namun kami kena akur bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan dalam tujuan-tujuan rasmi di sini. 

Selepas kami semua berjaya melepasi bahagian imegresen, kami melalui perjalanan yang panjang untuk sampai ke Pulau Sentosa. Di Singapura, papan tanda trafiknya tidak ubah seperti di Malaysia. Namun kebanyakkannya menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin kelihatan agak janggal melihat suasana sedemikian kerana kali pertama berada di negara orang. Kami tidak melalui kotaraya Singapura untuk sampai ke Pulau Sentosa. Di kiri dan kanan kami kelihatan kilang-kilang serta apartment yang berdiri megah. Tidak kelihatan bangunan-bangunan pencakar langit sebagaimana yang sering kita lihat di kaca TV dan Internet.
Pemandangan yang diharapkan mungkin tidak menjelma kerana laluan yang digunakan untuk ke Universal Studios terpaksa melalui jalan lain. Hari itu kamera aku gagal memberikan gambaran sebenar kota Singapura. Namun begitu, aku bertekad untuk memanfaatkan apa saja yang ada setibanya ke Universal Studio.

Inilah pengalaman pertamaku berada di Negara orang serta memijakkan kaki ke sebuah tanah yang mana pernah dijejaki oleh Parameswara. Inilah sebuah pulau yang pernah dikenali sebagai Temasek dan inilah Negara yang mana suatu masa dahulu adalah bahagian dari Malaysia.

Hampir ke pukul 9.30 pagi, akhirnya sampailah kami ke Sentosa Resort World dan bas dijadualkan akan datang mengambil kami pada pukul 7.30 petang.

0 Komen: