Thursday, November 25, 2010

D'Boys - Sesi Latihan Part 4


Aku ni kalau menulis memang berjela-jela. Bila mood dah datang, semua idea penulisan akan keluar. Bagi aku, kalau ini sahaja cara untuk mengabadikan kenangan, biarlah ia begitu panjang dan terpeinci. Ini adalah bahagian ke terakhir 'D'Boys - Sesi Latihan'. Akan datang jika mood menulis aku ada, aku akan tulis cerita berkenaan malam Retro tu nanti.

Hari Rabu pada minggu terakhir itu, bermulalah detik pertama kali gabungan tanpa Azhar ini akan beraksi di pentas berhadapan penonton. Penonton yang hadir terdiri daripada ahli komiti malam dinner, para dancer dan pengawal sistem bunyi serta beberapa staf IRIS lain.

Pagi itu aku selesaikan kerja-kerja aku bersama Azlan. Aku beritahu dia bahawa petang nanti aku terlibat dengan rehearsal. Jika ada apa-apa kerja yang nak di lakukan selain daripada apa yang sedang kami buat pada waktu itu, hanya pagi ini sahaja masa yang ada.

Seawal waktu rehat itu, kami semua menjamu selera dahulu sebelum keluar untuk mengambil kostum. Pagi sebelum tu, aku telah uruskan bahagian meletak kenderaan di tempat pelawat untuk kereta Syam yang memuatkan kostum dan peralatan musik Ike. Terima kasih kepada Kak Zuraimas dan Kak Nor yang membantu dalam urusan parking.

Di Adacadabra, kami dilayan baik oleh Reen. Pakaian kami di diratakan menggunakan pemanas stim sebelum dibawa keluar. Malah kali ini Reen offer aku jadi fotografer untuk katalog gambar-gambar kostum selepas melihat hasil kerja aku melalui laman Facebook. Alhamdulillah, satu-satu peluang datang.

* * * * * *

Selepas mengambil kostum, kami kembali ke IRIS untuk membuat persiapan di auditorium. Pukul 3:00 petang merupakan waktu yang dijanjikan rehearsal bermula. Setelah tiba di Auditorium, Shin Yee memberitahu bahawa peralatan muzik masih belum sampai sedangkan mereka berjanji bahawa mereka akan sampai pada pukul 2:00 petang untuk persiapan semua peralatan. Kalau masa begini pun peralatan masih belum ada, ke pukul 4:00 petang pun belum tentu kami dapat mulakan rehearsal.
Di bilik persalinan, masing-masing mengemaskan tali leher dengan warna masing-masing. Ada yang siap berkemeja dan seluar slack yang bakal di pakai pada malam tersebut. Aku hanya memakai baju-T berkolar dan seluar slack biru yang lusuh. Hanya kot sahaja yang aku sarungkan ke badan semasa naik ke pentas nanti.

Ketika peralatan telah sampai dan siap dipasang, kami cuba membuat tuning kepada setiap gitar dan mengawal pembesar suara untuk diseragamkan bunyinya. Untuk memastikan bunyi diseragamkan dengan baik, maka kami cuba mendendangkan satu lagu bertajuk 'Runaway - Del Shannon'.

Semasa muzik kami berkumandang dan Ike masih menyanyi secara mendatar untuk percubaan, salah seorang ahli terkuat dalam dinner tersebut masuk dari pintu auditorium lalu duduk di kerusi penonton mendengar nyanyian kami. Kelihatan wajahnya seperti kurang menyenangi.

Sehabis sahaja nyanyian, dia mula mempersoalkan cara kami bermain muzik malah menegur Ike secara keras. Katanya pada Ike, "Kamu ni tak cukup practice kah?"

Moral aku terus menurun dan Ike kelihatan agak kecewa dengan pertanyaan itu. Ahli-ahli band lain tergamam dan kelihatan Azza turut tidak berpuas hati dengan pertanyaannya. Kemudian dia mempersoalkan pula tentang sistem audio, adakah sistem ini yang akan mengiringi band pada malam tersebut? Pengendali audio sistem itu pula cuba mempertahankan sistemnya dengan mengatakan bahawa sistem dia baik, yang lain bergantung pada cara bagaimana kami bermain.

Nasib baiklah Kak Ida dan Faizul yang selama ini pernah menyaksikan bagaimana kami bermain muzik, tampil membela. Kak Ida dan Faizul memberitahu bahawa lagu tadi bukan lagu sebenar dan ia dipersembahkan sekadar untuk menguji keseragaman sistem audio antara kami.

Aku tak putus asa namun terus terkesan dengan teguran itu. Selepas pengendali audio mengimbangkan bunyi speaker antara kami, dan Kak Ida memberi lampu hijau untuk mempersembahkan lagu 'Malam Pesta Muda Mudi', kami mula menunjukkan cara sebenar kami bermain dengan lagu dendangan Azza dan dibantu oleh tarian para penari.

Yang menambah keyakinan aku, lagu 'IRIS DI Hati' mendapat perhatian lebih dan dipersetujui untuk dinyanyikan sebagai lagu terakhir kami pada malam tersebut. Selebihnya, tidak banyak komen lain selain kami diminta untuk kelihatan lebih gembira dan lebih bergoyang semasa bermain muzik.

* * * * * *

Pada malam Khamis iaitu sesi terakhir latihan kami di studio, tidak banyak perkara yang kami perbaiki selain merakam lagu 'IRIS Di Hati' secara instrumental dan menambah satu lagi korus untuk memanjangkan lagu. Lagu-lagu lain kami berlatih seperti biasa. Namun ada berita baru yang aku dengar. Jumaat nanti akan ada satu lagi sesi rehearsal penuh, kali ini Dato' Tan akan hadir sekali. Kami diberitahu bahawa Dato' Tan mahu tahu bagaimana lagu 'IRIS Di Hati' dan rehearsal itu memerlukan emergency band instrument. Faizul kelihatan sibuk berbincang mengenai peralatan muzik dengan pemilik studio. Nampak gayanya, kami akan berlatih sekali lagi di auditorium.

Apa yang menggembirakan kami, Azhar turut serta bersama kami pada malam itu untuk memberi sokongan. Kakinya masih belum sembuh namun dia ada membuat percubaan untuk bermain drum. Dia juga akan ada bersama kami pada malam dinner nanti.

* * * * * *


Selesai solat Jumaat, kami telah berada di auditorium untuk menguji alat muzik. Kali ini alat muzik datang dari studio yang biasa kami gunakan untuk sesi latihan dalam studio dan mereka sampai lebih awal, sekitar pukul 12:00 tengahari. Walaupun set kali ini memang telah dijangka tidak secanggih sistem audio sebelum ini, namun begitu kami rasa lebih selesa kerana mereka mempersiapkan semuanya lebih awal.


Sebelum ketibaan Dato' Tan, Kak Ida meminta kami untuk berlatih keempat-empat lagu. Kebetulan pula semasa mendendangkan lagu terakhir 'IRIS DI Hati', Dato' Tan muncul dari pintu auditorium. Keadaan bunyi yang agak belum habis diseragamkan membingitkan telinga dan menyebabkan persembahan lagu tersebut jauh lebih buruk dari sebelumnya. Beberapa kali Dato' Tan menegur akan bunyi bingit yang pecah dari speaker gitar Ike. Pengawal audio turut membantu untuk memperbetulkannya.

D'Boys - Sesi Latihan Part 3


Antara beberapa minggu terakhir sebelum persembahan bermula, cuti Deepavali dan Hari Raya Korban memperlahankan sesi latihan. Ramai antara kami yang bercuti panjang ke kampung halaman. Berita baik bagi kami, lagu IRIS gubahan Azim diterima. Berita buruknya, lagu itu mungkin akan berkumandang pada persembahan pertama. Kami semua agak kecewa kerana alunan melodi lagu ini akan menghancurkan mood retro yang sepatutnya diteruskan sepanjang dinner. Andai ia diletakkan pada persembahan terakhir, ia agak bersesuaian sebagai menandakan tamatnya malam Retro itu. Walau apapun keputusan mereka, segalanya bakal ditentukan selepas sesi rehearsal nanti.

Lagu 'Twist and Shout' digugurkan dan diganti dengan lagu 'I wanna Hold Your Hand'. Lagu bersama Azza, 'Malam Pesta Muda Mudi' akan didendangkan bersama para penari pada sesi rehearsal nanti. Gabungan kali pertama antara band dan dancer. Lagu 'That Thing You Do' dikekalkan.

Azza sudi bersama kami untuk kesemua lagu sebagai back-up singer bersama Syam. Sesuatu yang aku rasakan sebagai satu pernghormatan darinya kepada kami. Perancangan seterusnya adalah untuk pemilihan kostum dan kami memilih untuk bersama-sama melihat kostum di Adacadabra, Kinrara. Masa yang dijanjikan adalah pada hari Selasa sebelum Hari Raya Korban semasa waktu rehat. Andai apa yang dicari tidak kami temukan, sesi mencari kostum akan kami lakukan pada hari Ahad hujung minggu tersebut bersama Azza yang akan kembali dari kampung selepas sambutan Hari Raya.

* * * * * *

Menjelang hari Selasa sehari sebelum Hari Raya Korban, aku menghantar SMS kepada rakan-rakan untuk bertemu di Kinrara. Sejurus selepas itu, Fattah membuat panggilan.

"So macamana Fattah? Jadi tak?" tanyaku selepas mendengar suara Fattah di corong telefon.

"Entah, aku tunggu kat gate tapi tak ada seorang pun kat sini." jawab Fattah.

"Aku ada hantar SMS kat Azhar tapi tak balas pun."

"Kau tahu tak pagi tadi Azhar kemalangan? Kaki patah." Katanya dengan nada serius.

"Ye ker? Tak apa, nanti aku confirmkan balik pada yang lain-lain. Nanti aku bagitahu kau semula." Kataku selamba kerana tidak percaya dia bercakap benar.

Mendengar kata-kata Fatah yang agak tidak jelas melalui talian telefon, aku anggap Fattah bergurau. Mungkin Azhar tak datang kerja. Aku cuba hubungi Syam dan Ike. Azim pula bercuti untuk membawa anaknya ke klinik.

Selepas itu mereka sepakat untuk bergerak ke Kinrara. Aku pula menerima panggilan telefon dari Azhar yang mengesahkan bahawa memang benar dia kemalangan semasa hendak pergi bekerja pada pagi itu. Hati aku mula gundah. Walaupun dalam fikiran aku Azim boleh membantu untuk mengambil-alih tugas Azhar, namun kehilangan Azhar sebagai pemain drum asal sangat menduka-citakan. Aku pula akan menggalas tugas berat sebagai pemain gitar rhythm secara berseorangan yang sebelum ini dibantu oleh Azim yang lebih cekap sentuhannya. Empat minggu sesi latihan, hanya Azhar menggalas tugas sebagai pemain drum. Minggu depannya adalah minggu rehearsal dan minggu terakhir sebelum malam dinner. Azim pasti terpaksa bekerja keras untuk cover balik kesemua lagu yang kami latih selama 4 minggu sebelum ini. Ike pula terpaksa menghafal satu lagi lagu yang dia tidak pernah nyanyikan yang sepatutnya dibawa oleh Azim.

"Sempat lagi ni kalau nak tarik diri." kata Azim kepada Azhar semasa Azhar menghubunginya untuk memberitahu keadaannya.

Berpegang kepada kata-kata 'life must go on', kami terus bergerak untuk memilih kostum tanpa kelibat yang lain. Di Adacadabra, kami melihat satu persatu katalog yang ada. Terlihat satu katalog yang menampilkan kostum ala-ala Beattles. Menurut salah seorang gadis yang bekerja di situ yang bernama Reen, ada empat helai baju yang ada. Fattah menjangkakan bahawa saiz ukuran badannya pasti tidak ada. Reen bercakap seperti orang Sabah. Aku pula ingin bertanya dan hendak memberitahu bahawa aku juga berasal dari Sabah. Melihat Reen agak sibuk mencari baju tersebut, aku batalkan niat aku.


Aku, Ike dan Syam mencuba pakaian yang di bawa dari stor. Ada beberapa pakaian yang terlalu senteng lengannya dan memerlukan pengubahsuaian. Reen memberitahu bahawa semua pakaian boleh diubahsuai mengikut bentuk badan kita. Pakaian untuk Fattah tidak ada yang mengikut ukurannya dan kata Reen, dia boleh membuat baju baru yang lain khas untuk ukuran Fattah. Ini merupakan satu berita baik buat kami semua. Untuk ukuran Azim dan Azhar, kami beritahu bahawa mereka akan menyusul kemudian.

Aku terkejut apabila Reen menyebut nama aku. Katanya kakaknya merupakan rakan sekolah aku semasa di sekolah rendah. Dia pula bersekolah di sekolah perempuan yang betul-betul berjiran dengan sekolah aku. Yang menambah kejutan aku adalah bagaimana dia boleh mengecam aku dengan tepat sedangkan zaman sekolah rendah aku telah berlalu jauh dan dia hanya adik kepada rakan sekolah aku. Baru aku tahu dunia ni begitu kecil. Sejak masa itu, Fattah, Syam dan Ike asyik menyebut nama aku dengan sebutan Dino.

Gembira rasanya apabila masalah kostum telah selesai. Bolehlah kami tumpukan perhatian kepada persembahan sahaja selepas ini kerana masalah ketiadaan Azhar pasti mencemaskan rakan-rakan lain.



* * * * * *

Semasa sambutan pada Hari Raya Korban, aku datang melawat Azhar yang sakit. Turut datang melawat adalah Odeng, NF Lai, Farouk dan Taufik. Sambil membawa sedikit buah tangan, kami di layan dengan begitu mesra oleh keluarga Azhar terutama abang iparnya. Kami dihidang dengan sedikit kuih dan air oren. Azhar turut menunjukkan x-ray jari kakinya yang patah selepas kemalangan sehari sebelum Hari Raya tersebut sambil menceritakan detik-detik kemalangan yang berlaku bersama isterinya.

Walaupun menderita selepas terpaksa berjalan dengan tongkat, Azhar masih boleh bergurau-senda bersama kami. Bibirnya tetap menguntum senyuman dan gelak ketawa. Tidak habis di situ, kami terus dihidangkan kopi panas dan menanti tempahan pizza dari abang iparnya untuk jamuan hari besar itu. Aku terus menyembunyikan kekecewaanku apabila mendengar bahawa doktor menasihatinya untuk berehat panjang. Katanya, Azim pasti akan meneruskan perjuangan dan dia percaya Azim mampu mengambil-alih tugas tersebut. Jika dia tahu, aku sangat berharap dia ada di sana walaupun Azim mampu memikul tugas yang selama ini dilakukannya.


* * * * * *

Pada hari Jumaat pada minggu tersebut, Azim memberitahu bahawa dia mahukan satu latihan di luar jadual sebelum Isnin nanti. Dia begitu serius mahu berlatih kerana khuatir tidak sempat mengusai keempat-empat buah lagu. Malangnya baki wang latihan ada bersama Azhar yang balik ke Melaka dan itu pun cuma untuk sejam latihan sahaja lagi kerana banyak telah kami habiskan untuk latihan-latihan selama dua jam termasuk sesi rakaman bersama Faizul dan sesi latihan mengayakan badan. Jika boleh menggunakan wang sendiri pun, Fattah sebagai pemain bass tidak ada kerana masih berada di kampung. Aku turut merasa kekhuatiran Azim dan ternyata kami belum bersedia untuk menerima kenyataan bahawa kami kehilangan Azhar dalam band ini.

Pada hari pertama di minggu terakhir, Kak Ida bertemu aku dan Ike di kantin. Melihat perkembangan band ini melalui laman web Facebook, Kak Ida turut merasa khuatir akan kehilangan Azhar di saat-saat akhir. Dia turut merasa simpati pada nasib Azhar dan aku memberi keyakinan kepada Kak Ida bahawa semuanya dalam kawalan dan menceritakan bahawa Azim juga cekap bermain drum. Walaupun hanya pada malam nanti merupakan kali pertama Azim akan beralih daripada pemain gitar kepada pemain drum, aku memberikan keyakinan yang tinggi kepada Kak Ida bahawa Azim mampu melakukannya dengan baik. Kali ini Kak Ida mahu bersama kami untuk melihat perkembangan tersebut.

Pada sesi latihan berikutnya di sebelah malam, kami mula menggunakan khidmat Azim sebagai pemain drum. Azim yang mahir bermain drum ternyata cepat mengusai keempat-empat lagu namun dia perlukan banyak latihan untuk menjaga tempo dan finnishing setiap lagu. Faizul terus bersama kami untuk melihat perkembangan. Kak Ida turut datang kerana begitu khuatir. Kak Ida dan Faizul terus menguatkan semangat kami. Untuk lagu-lagu seperti 'Malam Pesta Muda Mudi', 'I Wanna Hold Your Hand' dan 'That Thing You Do', tidak menjadi masalah besar kepada kami semua. Yang menjadi masalah pada malam itu adalah lagu 'IRIS Di Hati'. Kami mencuba banyak cara namun gagal termasuk menjadikan Azim yang bermain drum sebagai penyanyi. Kata Azim, amat sukar baginya untuk menyanyi sambil memukul drum. Ike pula masih tidak mengusai melodinya. Aku dan Fattah turut dicuba untuk menjadi penyanyi namun masih gagal. Aku tidak mampu untuk mencapai not tinggi manakala suara Fattah agak kasar untuk lagu sedemikian. Hingga ada pendapat yang mahu menjadikan Azza sebagai penyanyi lagu itu namun tidak manjadi.

Akhirnya, Ike bersedia untuk menghafal dan cuba mendalami melodinya. Pada masa itu, Ike di ajar menjelaskan sebutan lagu yang mana Faizul, Kak Ida dan Azim menjadi guru vokalnya.

Keesokkan harinya, Kak Ida menghantar email kepadaku dengan menambah 4 baris lagu tersebut dalam bahasa Inggeris di bahagian korus atas permintaan Dato' Tan kerana liriknya terlalu pendek. Sekali lagi Ike dan Azza di ajar latihan vocal dengan bergurukan Faizul, Kak Ida dan Azim. Kali ini ke Penthouse dengan latihan versi karaoke. Ahli-ahli lain tidak turut serta. Tambahan turut dilakukan dibahagian plucking gitar untuk bahagian aku nanti. Persediaan ini adalah untuk rehearsal pada hari Rabu, iaitu keesokkan harinya. Aku pula sibuk dalam mengurus tempahan kostum yang telah siap di ukur yang mana kami diminta untuk memakainya pada hari rehearsal. Ini bermakna, kami akan mengambil pakaian kami lebih awal dari masa yang ditetapkan. Dato' Tan dijangka tidak Hadir atas urusan kerja luar, tapi yang pasti semua ahli pengurusan malam dinner tersebut akan hadir melihat perkembangan kami. Tidak timbul rasa gementar untuk menunggu hari esok namun kami masih ada satu sesi lagi selepas rehearsal esok untuk memperbetulkan mana-mana yang silap pada sesi tersebut.

Wednesday, November 24, 2010

D'Boys - Sesi Latihan Part 2


Sesi jamming di studio bermula mengikut jadual. Walaupun wang peruntukkan masih belum kami peroleh, kami teruskan sesi latihan kami dengan wang sendiri. Maklumlah pada waktu itu bulan November baru hendak bermula. Gaji baru masuk dan mengeluarkan wang untuk sesi latihan masih boleh ditampung.

Bezanya pada kali ini adalah Azza akan turut serta. Aku, Ike dan Syam menjadi penunjuk jalan. Kami bertiga agak segan untuk berhadapan dengan Azza. Maklumlah kami tidak pernah bekerja atas apa-apa urusan sebelum ini. Apa yang menjadi kerisauan aku nanti adalah bagaimana Azza akan menyesuaikan diri dengan kami semua yang suka bergurau. Lagipun hanya dia seorang sahaja perempuan dikalangan kami nanti. Takut dia akan berasa rimas dengan keadaan di dalam studio. Suasana di studio pasti akan membingitkan telinga berbeza dengan keadaan di atas pentas yang disediakan muzik latar atau karaoke. Aku sendiri mendapat kesan negatif pada kali pertama bermain di studio jamming pada minggu sebelum itu semasa di Serdang dengan kesan sakit kepala dan rasa mual.

Bermain lagu 'Malam Pesta Muda Mudi' bersama Azza membuatkan kami terpaksa menukarkan key kepada key yang selesa untuk nyanyiannya. Maklumlah sebelum ini kami cuma menggunakan key lelaki. Tentu sukar untuk Azza menyanyikannya. Apa yang menjadi tarikan pada mata aku malam pertama pertemuan itu, kami semua seolah-olah sepakat untuk berpakaian hitam kecuali Azhar yang mengenakan baju-T berwarna merah. Secara tak langsung, ada aura yang kuat untuk menyatukan hati kesemua kami seawal pertemuan. Kerana ketaksengajaan itu, aku mampu mengingati pertemuan itu hingga saat aku menulis blog ini. Azza pula jenis orang yang mudah bergaul dan tidak cerewet. Tidak sukar untuk dia menyesuaikan diri dengan kami. Bekerjasama dengannya lebih mudah dari apa yang aku fikirkan. Segalanya masih berjalan lancar dan kami sempat makan beramai-ramai selepas sesi latihan pada malam itu.

* * * * * *

Seawal bulan November itu, aktiviti di IRIS pula agak padat. Selain kerja-kerja kami yang agak banyak untuk sampel pelanggan dan rutin harian production, aktiviti IRIS dipenuhi dengan Bulan Kesenian Islam, Bulan Kesihatan serta latihan kebakaran yang banyak melibatkan aku sebagai salah seorang ahli First Aid. Aku terlibat dalam sesi saringan Nasyid sebagai peserta dan sesi akhirnya sebagai fotografer. Dalam Kuiz Kesihatan anjuran IFAC, aku hanya terlibat dalam sesi akhir terutama dalam membantu untuk urusan bungkusan hadiah dan menjadi fotografer. Sekali lagi untuk latihan kebakaran, aku dipangggil untuk menjadi fotografer. Pada bulan November juga aku mula kembali bermain bola sepak di padang yang setelah lama aku tinggalkan. Dalam kesibukkan itu, aku tidak lupakan pada jadual sesi latihan untuk jamming di studio pada sebelah malamnya.


* * * * * *

Pada minggu ke dua, Kak Ida sepatutnya bersama kami pada petang tersebut untuk meninjau perkembangan band. Namun begitu, Kak Ida turut sibuk menguruskan para penari untuk malam dinner. Kami terpaksa berlatih sendiri tanpa pengurus. Namun begitu kata Kak Ida, dia akan cuba untuk meluangkan masa pada sesi sebelah malam. Malangnya pada minggu berikutnya Kak Ida menghadapi masalah keluarga kerana salah seorang anaknya yang sakit perlukan jagaan. Hasrat untuk memberitahu tentang lagu ciptaan Azim dan peruntukan latihan terus tergendala. Pada masa itu kami teruskan latihan dengan lagu 'Runaway', 'Malam Pesta Muda Mudi', 'That Thing You Do' dan 'Twist and Shout'. Kami sangat bertuah kerana kehadiran para penonton seperti Norida, Kak Ungku, Fieda dan Illa. Pada waktu tersebut, aku dan Ike membuat kejutan kepada semua dengan memulakan lagu IRIS Di Hati. Azim yang malu-malu ketika itu kami paksa untuk menyanyikannya kerana dia mengingati lirik ciptaannya. Inilah kali pertama lagu tersebut didendangkan secara penuh. Penonton lain yang hadir pada mulanya tidak percaya bahawa kami serius untuk membawanya ke maljis dinner itu nanti namun aku beritahu bahawa kami belum membincangkannya dengan pihak pengurusan jamuan dinner tersebut. Lagu itu dibawa secara sentimental dengan alunan plucking.

Pada sesi latihan berikutnya, Faizul hadir. Dalam sesi tersebut, kami diajar untuk tidak berdiri kaku semasa bermain gitar. Kami diminta untuk menggoyangkan badan sedikit supaya tidak nampak kaku. Para penyanyi pula di minta untuk memperbetulkan sebutan supaya jelas.
Lagi satu, katanya dia dapat khabar bahawa kami ada menyediakan lagu untuk IRIS dan dia mahu kami merakamnya. Semasa mendendangkan lagu tersebut, kami menukarkan beatnya dengan lebih rancak di bahagian korus supaya lebih tampak bertenaga. Dibantu pula oleh kehadiran penonton yang mudah menghafal liriknya dan turut menyanyikannya, lagu itu nampak lebih hidup dan bertenaga. Versi kali ini nampak lebih rock. Faizul seolah-olah mahu membawa lagu ini kepada pengetahuan ahli pengurusan majlis itu nanti. Jika diterima, nampak gayanya lagu ciptaan Azim akan berkumandang secara live di majlis tersebut. Bertuah rasanya kerana sesi di studio menampakkan kehadiran semua ahli band. Anak Azim pun dah sihat. Nampaknya segalanya akan berjalan lancar selepas ini.



* * * * * *

Selang seminggu selepas itu, Kak Ida sudah mula bekerja seperti biasa. Duit peruntukkan latihan sudah kami terima dan kami merancang untuk menggunakan wang itu pada sesi berikutnya. Wang kami yang lepas kami tidak mahu tolak. Jadual jamming yang sepatutnya sejam bolehlah kami gunakan untuk dua jam latihan akan datang. Bak kata Ike dan Azhar, kira 'halal'lah. Yang lain turut tidak membantah. Biarlah berkorban sikit walaupun persembahan kali ini sekadar seperti persembahan amal.

Kami membuat pertemuan pertama kali dengan para penari di auditorium. Mereka akan besama kami untuk menjayakan lagu 'Malam Pesta Muda Mudi'. Hanya empat orang lelaki di kalangan mereka dan salah seorangnya adalah Nasrul. Pertemuan ini berlaku pada sesi pemilihan kostum. Aku dan Azhar adalah orang pertama yang mencubanya dan menolak mentah-mentah cadangan itu. Kenapa? Kerana kami diberi baju ala-ala Elvis Presly yang berwarna merah jambu. Aku tak sanggup menyarungkannya di badan aku tapi terpaksa naik ke pentas untuk sesi bergambar. Apa lagi, aku pun menggayakannya seperti John Traviota dalam Saturday Night Fever dengan tangan menunjuk ke langit. Andai benar itu kostum kami, tentu berebut-berut nak pakai yang putih sebab yang putih ada dua sahaja.

Kami mengadakan sesi pertemuan dengan Kak Ida lagi untuk berbincang masalah kostum di bahagian luar berhadapan pintu auditorium. Kak Ida setuju dengan cadangan kami untuk mengenakan kot hitam dengan tali leher yang berwarna terang. Dia akan memberi peruntukkan untuk kostum selepas ini. Kami gembira dengan cadangan itu kerana ia kelihatan lebih mudah dicari berbanding kesusah-payahan untuk mengenakan baju berwarna 'pink'. Aku sempat lihat Azza senyum mengejek bila mendapat tahu kami bakal memakai pakaian 'pink'.

Bila semua dah sepakat, kami kembali masuk ke dalam auditorium. Sempat melihat Azza di ajar oleh koliografer untuk bergerak lebih gedik. Pada masa itulah giliran kami berlima mengejek Azza. Apa yang aku tak boleh lupa adalah semasa koliografer lelaki yang lembut itu menunjukkan cara kepada Azza berlari terloncat-loncat sambil memontokkan pinggul.

"Tap tap tap, taaaap...!!!", katanya sambil menunjukkan langkah.

Ternyata Azza tidak mampu meniru kelembutan dan kegedikkannya. Kami tidak mampu menahan ketawa. Aku cuma selindungkan ketawa aku disebalik jaket kelabu yang biasa aku pakai. Sebelum koliografer itu perasan kami sedang mengajuknya, lebih baik kami keluar. Tak pasal-pasal ada yang kena lempang. Fattah meniru gaya dan dialog koliografer itu sebijik-sebijik di luar auditorium. Gaya Fattah terus diselangi dengan gelak ketawa dan ikut-ikutan yang lain.




D'Boys - Sesi Latihan Part 1

Malam 'dinner' datang lagi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, ia datang dengan pelbagai tema. Kali ini ia bertemakan Retro. Bila menyebut perkataan 'Retro', pasti akan mengimbau era muzik di era 60-an dan 70-an. Pasti akan mengingatkan kita akan P. Ramlee, Beattles, Bee Gees, John Travolta, The Jackson 5, Marilyn Monroe, Hel Amir, Neil Sedaka, Elvis Presley dan ramai lagi.

Perkhabaran mengenai malam dinner tidak sedikit mengujakan aku. Aku telah menganggap dinner pada tahun lepas adalah dinner terakhir aku bersama IRIS. Dan pada tahun ini, aku bercadang untuk tidak menghadirinya.

Namun begitu, sejurus perkhabaran itu disampaikan dari mulut ke mulut, aku diberitahu bahawa aku dilantik untuk terlibat dalam mengetuai satu persembahan kugiran. (Aku rasa Faizul antara orang yang bertanggung jawab menjaja nama aku, hehehe). Syam antara staf yang mula-mula mengumpulkan pemain muzik dari IRIS atas permintaan pengurusnya, PS Lim.

Kerana memikul tanggungjawab untuk mengetuai kugiran ini, aku terpaksa menukar rancangan asal tadi. Aku juga pernah bermimpi untuk membuat persembahan di khalayak ramai dan peluangnya telah terbuka, maka aku harus teruskan. Bagi aku, ini adalah atas kepercayaan orang lain pada kita dan aku tidak harus menghampakan mereka.

Sebenarnya banyak nama rakan-rakan ada dalam senarai. Namun begitu, kami terpaksa memilih beberapa orang sahaja untuk melengkapkan peralatan muzik. Nama seperti Azhar, Azim, Ike, Fattah dan Syam bersedia untuk bersama-sama menjayakan projek ini dan pada masa itu kami ada 5 minggu untuk membuat persiapan.

* * * * * *

Seawal minggu pertama, kami bersatu dalam satu studio di Serdang. Pertemuan yang jarang-jarang sekali berlaku antara kami atas nama muzik. Kebanyakannya atas urusan kerja dan futsal. Namun kali ini kami datang dengan satu semangat yang lain. Walaupun budget yang disediakan belum diterima, kami dahulukan dengan wang sendiri dan bercadang untuk claim balik dengan peruntukan nanti. Malam itu kali pertama kami disatukan dan kami cuba mencari persamaan untuk satu gabungan.

Perkara yang paling merimaskan adalah mencari nama kumpulan sebelum email dihantar kepada Kak Ida berkaitan senarai ahli dan peralatan. Pada mulanya aku menamakan band ini sebagai 'The Intermittents'. Nama ini adalah idea Syam. Ia terbit selepas aku katakan pada Syam, nama band kita ini biar ada kaitan dengan kita dan apa yang kita buat kat IRIS sekarang.

Dari mana datanganya nama 'The Intermittents' ini? Di bahagian QC (Quality Control) mereka sering menghadapi masalah dengan isu chip yang mati sedangkan chip tersebut melepasi semua proses sebelumnya di production. Masalah QC dan production ini kemudian dibawa ke jabatan aku untuk di kaji sifatnya. Kami mendapati bahawa ada chip yang lemah yang memberi tindak balas yang lambat. Ia tidak mati cuma software mempunyai had untuk melepaskan berapa pusingan yang dibenaran untuk membuat percubaan. Jika ia gagal, maka ia dikategorikan sebagai low responds. Ada pula satu lagi isu yang dipanggil intermittent. Sifat chip ini berbeza. Ia memberi tindak balas yang baik waktu ini dan beberapa ketika nanti ia tidak memberi tindak balas langsung. Masalah inilah yang dihadapai oleh QC dan production tadi dan atas isu inilah namanya dipilih. Walaupun namanya agak boleh dikomersilkan dan ada kaitan dengan banyak jabatan yang berhadapan dengannya, namun maksud yang memberi gambaran negatif di dalamnya menyebabkan nama band ini ditolak dan digantikan dengan 'D'boys'.

Selang beberapa hari selepas tu, kami banyak bermain secara akustik dengan berkumpul di rumah aku atau rumah Ike. Bergantung kepada keadaan kerana salah seorang rakan serumah aku ada yang mengambil peperiksaan. Jadi keadaan menentukan rumah siapa tempat berkumpul.

Pada mulanya, lagu-lagu retro dalam senarai kami adalah 'Malam Pesta Muda Mudi', 'I Wanna Hold Your Hand', Bunyi gitar, 'Runaway', 'Keindahan Pantai' dan 'That Thing You Do'. Orang yang paling serius dalam mencari bahan antaranya adalah Ike dan Fattah. Bagi aku, mereka berdua adalah tonggak utama dalam band ini kerana mereka bertindak sebagai pemain gitar lead dan bass. Pemain gitar seperti mereka adalah orang-orang yang mesti kreatif dan berbakat. Ternyata mereka rajin dalam mencari sumber.



Pada mulanya, Azim agak sukar untuk datang bersama kami. Ini kerana keadaan anak Azim yang sering tidak sihat dan perlukan jagaan. Kami berlatih sesama kami tanpa Azim secara akustik. Memandangkan pada masa itu jatuh pada akhir bulan Oktober dan keadaan kewangan kami agak terhad, kami tidak banyak berlatih di studio. Azhar antara orang yang tidak dapat memegang alat muziknya secara langsung kerana set drum hanya boleh didapati di studio. Aku turut mendengar berita yang Azim mungkin tidak dapat menyertai kami. Mungkin kerana kesukaran untuk memberi komitmen ketika itu. Aku tidak mahu meletakkan keputusan. Aku cuma harapkan dia ada bersama kami di pentas nanti walaupun dia sukar bersama kami ketika ini.


Beberapa kali kami buat pertemuan untuk berbincang di tempat kerja terutama makmal aku. Kami berbincang tentang pakaian majlis untuk disesuaikan. Bila masing-masing sepakat, kami keluar beramai-ramai bersama pasangan masing-masing untuk mencari pakaian dan antara tempat-tempat yang menjadi pilihan adalah Sogo, Pertama Komplex dan Sungei Wang.



Antara pilihan pakaian yang menjadi tarikan kami adalah sut baju sejuk tidak berlengan yang biasa dipakai oleh pemain golf kemudian disesuaikan dengan baju berkolar di dalamnya. Kami akan mengenakannya secara tuck-in bersama seluar slack dan kasut hitam. Memandangkan Fattah dan Azhar yang bertubuh besar menghadapi kesukaran untuk mendapatkan saiz, maka mereka bercadang untuk memakai pakaian berbeza atau menempah jahit pakaian sendiri. Mungkin kelihatan seperti pakaian yang boleh dipanggil smart casual.

Setelah seharian berjalan mencari pakaian dan dapat melihat harga pakaian dengan harga berpatutan, maka kami mengakhiri perjalanan kami ke jalan TAR dan kembali ke rumah masing-masing sekitar jam 7:00 malam.


Ok, jom cerita pasal lagu ciptaan Azim pula. Ada satu ketika ketika Azim dan Ike tidak bekerja lebih masa, kami bertemu di rumah Ike untuk mencari Ilham. Azim yang jarang dapat bersama kami ketika itu mencadangkan sesuatu yang tidak pernah terfikir dalam fikiran aku. Lagu untuk IRIS. Azim mengeluarkan sehelai kertas dengan lirik lagu dan menyanyikan sedikit bait-bait melodinya. Aku dan Ike mula mencari kord. Tak sangka dalam jarang-jarang bersama, ada kesunguhan dalam diri Azim untuk satu perjuangan. Aku bersyukur sebab dia tidak mengambil keputusan untuk keluar awal-awal dulu. Dia menyuruh aku untuk memanjangkan cadangan ini kepada Kak Ida.


Semasa Ike balik kampung ke Melaka, Azim pula bercuti ke Sabah dan Azhar berehat ke Langkawi, aku ditemani oleh Syam dan Fattah membuat pertemuan bersama Kak Ida beserta Azza. Itulah kali pertama kami bertemu dengan penyanyi yang dicadangkan untuk menyanyikan lagu 'Malam Pesta Muda Mudi'. Pertemuan itu adalah untuk mengemaskini jadual jamming di studio, mengenai peruntukan kewangan latihan serta kostum dan yang paling penting adalah senarai lagu.

Kak Ida memilih lagu 'Malam Pesta Muda Mudi', 'That Thing You Do' dan satu lagu persembahan Beattles bertajuk 'Twist and Shout'. Aku memandang Fattah dan Fattah pandang aku semula. Lagu yang tidak begitu biasa kami dengar. Kata Kak Ida lagi, mungkin dua lagu sahaja dari ketiga-tiga lagu ini, bergantung kepada perbincangan bersama ahli nanti. Bila memikirkan mengenai kemungkinan pengurangan lagu tersebut, aku terus mengambil keputusan untuk tidak bercakap mengenai lagu ciptaan Azim untuk IRIS. Namun begitu, aku simpan rahsia itu pada Azim kerana tidak mahu menghampakan niatnya sambil memikirkan cara bagaimana untuk memberitahu Kak Ida kelak.



Sepanjang sesi latihan akustik, macam-macam ragam berlaku. Syam banyak membantu dalam mencari sumber lagu-lagu di internet melalui laptopnya. Kami tergelak bersama sambil bermain lagu-lagu yang kami ketahui. Hanya Azhar agak muram kerana tidak berpeluang memegang drum set. Apa yang menarik tentang mereka, sukar menemui percanggahan antara kami dan apa yang silap sering diselangi dengan gurauan dan gelak tawa. Walaupun sibuk dengan kehidupan baru bekeluarga bagi sesetengah antara mereka, namun ia tidak dijadikan permasalahan besar. Aku juga ingin mengucapkan terima kasih kepada isteri-isteri mereka kerana cukup spoting untuk memberi ruang suami mereka untuk hadir bersama kami.