Monday, December 19, 2011

'Mamak' vs 'Tom Yam'

Makan di restoran merupakan antara kebiasaan bagi masyarakat yang berada di kota. Bagi yang sudah berkeluarga, aktiviti makan di luar menjadi kebiasaan kerana masa yang terhad selepas waktu bekerja di sebelah malam. Namun bagi keluarga masyarakat yang berada di kawasan luar bandar, mereka lebih suka memilih untuk memasak di rumah. Ada dua destinasi restoran yang menjadi kebiasaan bagi kita yang akan kita perbandingkan melalui thread kali ini.

Kalau diperbandingkan di antara kedai makan Mamak dengan kedai Tom Yam, yang mana pilihan anda? Kali ini blog Zaman Berzaman ingin merungkai perbandingan antara kedua-dua jenis kedai tersebut.


Kedai Mamak

Jika kita lihat di mana-mana sekalipun sejak dulu, kedai mamak sering menjadi lokasi pilihan untuk pertemuan bersama rakan-rakan, tempat bersantai sambil menonton rancangan tv, lokasi menonton perlawanan bolasepak serta tempat untuk menikmati juadah ringan seperti roti canai dan teh tarik. Walaupun di kawasan perumahan yang baru dibuka sekalipun, kedai mamak pasti menjadi lokasi yang sering dikunjungi. Jangan lupa, mungkin hanya di kedai mamak anda dapat memperoleh nasi beriani terdekat dengan kawasan anda walaupun ada beberapa tempat lain menyediakan hidangan nasi beriani GAM. Selain itu, terdapat hidangan Roti Nan dan Ayam Tandori.


Apa yang menjadi tarikan di kedai tersebut? Mari kita rungkaikan satu persatu. 

Sejak dulu lagi kedai mamak dikenali dengan restoran yang mempunyai skrin besar untuk tontonan para pelanggan. Mereka tidak kedekut berbelanja demi kepuasan para pelanggan. Ini menjadi penarik kepada mereka-mereka yang menginginkan suasana makan sambil menonton. Kedai mamak juga merupakan perintis kepada restoran berskrin LCD yang mula diikuti oleh banyak kedai lain selepas itu. Skrin LCD ini pula diletakkan dipelbagai sudut untuk memudahkan setiap pelanggan menikmatinya. Tak habis dengan itu, mereka memperkenalkan skrin besar melalui pancaran projector dengan skrin yang lebih luas terutama untuk pelanggan yang berada di luar restoran.

Dari segi perkhidmatan, pelayan mereka kelihatan tidak berhenti-henti bekerja untuk mengambil pesanan dari pelanggan. Duduk sahaja di kerusi pasti ada pelayan yang datang mengambil pesanan. Tidak perlu menunggu begitu lama. Yang menambah kepelikkan itu, walau banyak mana pun pesanan, mereka boleh mengingatinya tanpa menulis bagi sesetengah pelayan. Jarang sesekali tersalah ambil pesanan walaupun tidak dinafikan adakalanya mereka tersilap. Walau bagaimana ramai pelanggan, mereka ingat pelanggan mana yang mengambil pesanan. Makanan juga cepat sampai.


Kedai Tom Yam

Bagaimana pula kedai Tom Yam? Kedai 'Tom Yam' ini merupakan kedai-kedai masakan ala Siam yang turut menghidangkan masakan ala Melayu segera antaranya nasi goreng, mee dan bihun serta masakan makanan laut. Rata-rata pekerja mereka berasal dari Selatan Thailand dan Kelantan. Namun dalam konteks di dalam thread kali ini, penulis lebih menekankan perkataan kedai 'Tom Yam' itu menjurus kepada seluruh kedai-kedai makanan melayu yang turut mempunyai hidangan menu yang sama walaupun pelayan atau tukang masak mereka bukan berasal dari tempat yang penulis sebut di atas.


Apa pula yang menjadi tarikan di sini? Kedai Tom Yam merupakan pilihan kepada para pelanggan untuk menikmati makanan sekeluarga. Jika mahu menikmati Ikan Siakap 3 Rasa, mungkin inilah tempatnya. Jika mahu merasai sup ayam, sup tulang, tomyam, masakan sayur tumis dan campur serta hidangan ikan bakar (jika ada), mungkin inilah lokasinya. Kedai Tom Yam menjadi destinasi alternatif untuk menjamu selera. Ada sesetengah tempat, kedai begini menyediakan masakan ala Western seperti Chicken Chop, Lamb Chop, hidangan Burger dan sebagainya. Variasi dalam hidangannya memberikan kedai tersebut lebih istimewa.

Hari ini kita juga telah melihat bahawa kedai-kedai makan Melayu seperti ini menyediakan perkhidmatan yang hampir sama seperti kedai mamak yang mana terdapat skrin LCD serta projektor. Mereka turut tidak ketinggalan dalam memastikan kepuasan pelanggan serta menarik lebih ramai lagi untuk datang menyaksikan tontonan perlawanan bola sepak. Mereka memberi pilihan alternatif kepada pelanggan yang sering merasa kecewa kerana kedai mamak sering penuh pada musim-musim bolasepak.


Perbezaan

Jika anda lihat dari segi kepantasan, kedai mamak mendahului dalam banyak aspek. Pernah sekali aku dan rakan-rakan aku meninggalkan sebuah restoran Tom Yam di kawasan Puncak Jalil begitu sahaja akibat kegagalan pelayan mereka mengambil pesanan kami setelah 15 minit duduk sedangkan tempat kami berada betul-betul di tengah kawasan antara bahagian dalam dan luar restoran yang mana menjadi tempat pelayan mereka lalu lalang selepas mengambil pesanan pelanggan lain.

Selepas beredar, kami menuju ke restoran Mamak yang hanya selang beberapa kedai dari restoran tersebut. Duduk sahaja, dua orang pelayan datang mahu mengambil pesanan. Sungguh ketara perbezaan yang berlaku dengan situasi sebelum itu.

Aku tidak nafikan bukan semua kedai mamak melakukan perkhidmatan pantas, namun lambat mereka itu masih dalam masa yang boleh diterima berbanding kedai-kedai Tom Yam. Kadangkala, kelambatan yang sering berlaku di kedai-kedai Tom Yam ini bukan disebabkan oleh faktor ramai pelanggan, tetapi kerana pelayannya yang sibuk berbual, menghisap rokok dan tidak prihatin dengan pelanggan yang baru sampai. Dengan kata lain, pelayannya tidak serajin pelayan di kedai mamak.

Tidak dinafikan juga, ada kedai Tom Yam yang sangat cekap seperti sebuah kedai ikan bakar di kawasan Puncak Jalil iaitu Restoran K'Chiangmai (dahulu dikenali sebagai K'Sempoi) dengan perkhidmatan yang baik serta keramahan pelayannya. Namun nisbah kedai-kedai Tom Yam yang sebaik ini amat kecil.

Dari sudut lain, kelebihan kedai Tom Yam lebih ketara apabila kita melihat pelayannya boleh bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mereka terdiri daripada orang-orang selatan Thai atau Indonesia. Berbeza dengan pelayan di kedai mamak, kebanyakkan pelayannya sekadar memahami pesanan tetapi tidak mampu di bawa berbicara kerana kebanyakan mereka datang dari tanah India.


Walau apapun pilihan restoran kita, kita sebagai pelanggan bebas membuat pilihan. Adakalanya kita mahukan masakkan ala India sebagai santapan makan malam dan adakalanya kita mahu menjamu hidangan ala Melayu. Jika punyai selera besar, mungkin hidangan Western menjadi pilihan.

Friday, December 16, 2011

Berkenaan dengan isu 'Hudud'

Apabila berbicara berkenaan dengan Hudud, penulis tidak mampu menyatakannya secara umum atau menghuraikannya secara terpeinci kerana penulis bukanlah seorang ahli dalam bab-bab keagamaan. Penulis tidak akan menggunakan pendapat sendiri mengenai perkara ini kerana penulis khuatir pembaca akan mendapat tafsiran yang kurang tepat. Walau bagaimanapun, penulis berpendapat bahawa Hudud itu adalah Hukum daripada Allah untuk manusia melaksanakannya.

Sejak akhir-akhir ini isu Hudud kembali berkumandang dan diutarakan dengan cara yang baru. Kali ini menggunakan kaedah muat naik video melalui laman YouTube melalui lakonan sembang-sembang setempat yang digarap dan dilakukan dengan kaedah seperti drama pendek. Ada video yang disampaikan dengan menembak tepat ke arah pihak lain dan ada video yang disampaikan dengan penyampaian secara halus.

Kali ini Zaman Berzaman ingin berkongsi dengan anda dua video berkenaan dengan Hudud yang penulis ambil melalui laman YouTube.


Setakat entry ini ditulis, video di atas telah mendapat 162 yang 'like' manakala yang dislike adalah sebanyak 8794.

Video di bawah ini pula penulis percaya bahawa ia merupakan reaksi balas terhadap video di atas. Walaupun tidak menyerang secara langsung, namun setiap persoalan daripada video di atas dipatahkan dengan cara yang halus dan memikat hati sesuai dengan suasana beragama. Ia lebih berbentuk memberikan informasi selain sedikit sindiran.


Setakat entry ini ditulis, video di atas telah mendapat 7646 yang 'like' manakala yang dislike adalah sebanyak 48.


Daripada statistik kedua-dua video di atas, pembaca sudah tentu dapat menilai apa persepsi masyarakat Malaysia atau pengunjung-pengunjung kedua-dua video tersebut terhadap hasil kerja yang mereka lakukan serta kita dapat menyimpulkan bagaimana penerimaan majoriti masyarakat terhadap isu yang dibangkitkan.

Kita sedar, pengguna internet dan pengunjung Youtube terdiri masyarakat yang menggunakan teknologi maklumat yang mana terdiri daripada golongan muda, berpelajaran serta masyarakat bandar. Kita juga sedar bahawa kedua-dua video tersebut dilakukan adalah untuk menyampaikan maklumat serta memberikan panduan. Namun samada masyarakat menerima cara sedemikian dengan baik atau tidak, ia dapat di rumuskan melalui bilangan yang menggemarinya dan menolaknya. Itulah sebenarnya suara rakyat generasi ini.