Sunday, November 4, 2012

Dari 'Zero' kepada 'Hero' II

Sebelum ni aku pernah hantar isian berkaitan dengan rekabentuk dalaman rumah. Bagaimana melakukannya melalui gambaran grafik daripada sebuah rumah kosong kemudian menjadikan ruang kosong itu diisi dengan pelbagai perabot serta warna cat dinding mengikut kesesuaian.

Pada isian kali ini, aku melakukan sekali rekabentuk grafik tapi kali ini berkaitan dengan kad jemputan perkahwinan untuk dua orang sahabatku di tempat kerja yang bakal berkahwin pada Disember ini.

Apabila mendapat kepercayaan untuk melakukannya, aku terus menerima pelawaan itu. Kali ini untuk membantu mendirikan masjid. Aku sungguh teruja untuk melakukan sesuatu yang istimewa.

Idea aku kali ini adalah sebuah kad jemputan perkahwinan berbentuk karikatur. Aku mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk mereka berdua. Mereka mengharapkan sesuatu yang ringkas untuk jemputan orang ramai. Aku setuju tetapi aku akan pastikan walaupun ia ringkas, ia bermutu. Seperti membina sebuah masjid, walaupun binaannya ringkas, tiangnya mesti kukuh. Idea aku adalah untuk lari daripada kad jemputan tradisional seperti yang biasa kita lihat dan ia satu-satunya atau pun 'costume made'.
Bermula dengan sebuah lukisan pensil di lukis di atas sebuah kertas putih. Gambar karikatur di internet aku jadikan sedikit panduan untuk cetusan idea. Gambar kedua-dua bakal mempelai aku jadikan contoh untuk memastikan wujud persamaan di antara karikatur dan kedua bakal pengantin. Apa yang pasti, aku mahu karikatur itu mempunyai nilai kasih sayang yang mampu dirasai oleh sesiapa yang melihatnya.

Selepas itu, aku jadikan lukisan itu sebuah imej yang boleh dibuka di atas skrin komputer untuk melakukan pengeditan warna. Aku membuat banyak layer untuk memisahkan setiap elemen warna di dalam gambar tersebut agar senang diubah suai jika ada sesuatu yang tidak kena pada elemen tertentu. 
Aku bukan seorang yang mahir dalam lukisan, karikatur mahupun grafik. Mungkin aku memerlukan banyak masa untuk menghasilkan sebuah karya yang baik. Berbeza dengan mereka-mereka yang mempelajari kursus rekabentuk grafik, perkara ini mungkin agak mudah bagi mereka. Apa yang cuba aku usahakan adalah bagaimana mengeluarkan idea yang ada dalam minda aku untuk diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh dilihat oleh mata kasar. Oleh itu, aku mempelajari sendiri software rekabentuk ini untuk merealisasikan apa yang ingin aku sampaikan walau dengan apa cara sekali pun.

Daripada sebuah kertas kosong, aku wujudkan karikatur pasangan kekasih dengan pensil. Kemudian aku wujudkan elemen berwarna di dalamnya. Perkara yang paling sukar adalah bagaimana mewujudkan kesan timbul pada gambar tersebut seperti ton warna dan bayang. Perkara ini mestilah dilakukan secara berhati-hati. Apa yang memudahkan aku adalah aku telah mengasing-asingkan elemen warna itu agar mudah ubah.

Kini kad itu telah hampir siap dan contoh dalam bentuk maya telah aku hantar kepada pasangan tersebut untuk mereka menelitinya. Dan setakat ini aku mendapat respon yang sangat baik daripada kedua-duanya. Apa yang perlu aku lakukan selepas ini hanyalah melakukan sedikit perubahan pada bahagian peta dan kata-kata undangan daripada keluarga pengantin.

Peta yang ditunjukkan seperti di sebelah merupakan peta yang aku reka semula berdasarkan pelan lama daripada contoh kad undangan yang diberikan kepadaku oleh sahabat sekerja aku itu. Peta ini mengambil masa semalaman untuk menyiapkannya kerana kurang kemahiran.

Oh ya, aku tidak memuatkan bacaan Basmallah, sebarang Hadis, doa, nama Allah serta Muhammad mahu pun ayat-ayat Al-Quran di dalam kad ini kerana aku amat khuatir kad ini diletakkan di suatu sudut yg tidak layak bagi perkara-perkara tersebut. Aku sekadar mengingati pesan Ustaz Fauzi (Al-Kuliyyah) semasa datang memberikan ceramah di tempat kerja aku berkaitan perkahwinan serta pendapatnya tentang kad undangan kahwin.

Apa yang aku harapkan, kad undangan ini menjadi sebuah kenangan yang amat manis untuk di simpan di dalam album pengantin mereka berdua nanti. Walaupun agak ringkas sahaja, aku berharap ia tidak akan menghampakan. Walau apapun, aku amat berterima kasih kepada kedua bakal pengantin iaitu Awie dan Fidah kerana memberi kepercayaan kepada aku untuk melakukannya. Aku turut dapat mencabar kemampuan otak aku yang selama ini telah lama tepu.
Rekabentuk cetakan versi awal dan versi terakhir.
Doaku, semoga kedua-dua bakal pengantin berbahagia hingga ke akhir hayat dah hidup dalam redha Illahi.

0 Komen: