Thursday, March 22, 2012

Mengenali Ustaz Azhar Idrus

PROFIL

Nama: Ustaz Azhar Idrus

Lahir: 12 Febuari 1964 (48 th) di kampong Ladang Kuala Terengganu.

Pendidikan: Sek. Rendah Haji Mohd Sharif Alor Setar Kedah & Sek. Men. Darulaman Alor Setar Kedah (tgkt 1&2) Sek. Men. Sultan Sulaiman (tgkt 3&6)

Isteri: Rogayah Sulong 42th. & Wan Halimatun Nisa Wan Mohd Nor 26th.



Anak: Nur Madihah Asyiqin 20th, Nur Farhah 19th, Mohd Faqihuddin 18th, Mohd Zuhaili 16th, Ikhwan Najmi 14th, Khairul Mukmin 7th & Rasydan 6th.

Hobi: Fotografi bermula pada tahun 1985 serta aktif melukis di kanvas. Memiliki 30 kamera dan digunakan sekarang 2 jenis iaitu DSLR Nikon D3 dengan 9 lens dan Fuji X100. Memiliki kelab fotografi www.digitalmukmin.com.
SEPINTAS LALU

Dahulunya Ustaz seorang gitaris dalam satu kumpulan band muzik sekitar Kuala Terengganu “band boy”. Dan sempat membuat beberapa persembahan di stadium-stadium. Setelah kumpulan muziknya mengambil keputusan untuk buat rakaman, Ustaz menarik diri kerana tujuanya hanya suka-suka sahaja menyertai kumpulan muzik bukannya untuk mencari glamor.

Ustaz yang aktif bersukan dan pernah mewakili Terengganu dalam acara berbasikal pada tahun 1980an. Dan menjadi rutin kelapangan masa waktu malam, Ustaz akan berbasikal meronda sekitar Bandar Kuala Terengganu bersama-sama kawan-kawan. Dan ada juga yang meminta Ustaz untuk merasmikan program berbasikal.
Ustaz Azhar pernah bekerja dengan Ustusan Malaysia cawangan Kuala Terengganu sebagai artis grafik. Selepas berkahwin seminggu pada tahun 1990, Ustaz mengambil keputusan berhenti kerja dan bekerja sebagai mencanting batik dan ketika inilah beliau memperlajari bidang ilmu agama secara bersungguh-sungguh. Tiada alasan baginya hujan dan ribut. Beliau yang pergi mencari guru-guru agama dan belajar dirumah guru berkenaan.

Perubahan diri Ustaz kearah menjadi seorang yang bersungguh belajar agama kerana kawan baiknya seorang ketua “Punk” menghilang diri selama 5 tahun dan apabila muncul kembali kawannya ini satu perubahan yang amat ketara daripada pemakaian dan tingkahlakunya. Tahulah Ustaz bahawa kawannya ini belajar di Patani. Apabila melihat kehebatan kawannya ini, timbul rasa ingin menjadi sepertinya juga.

PERUBAHAN

Bermula 1990, Ustaz mula hadir ke kuliah Tuan Guru Haji Syed Mokhar bad tafsir. Ketika itu Ustaz berumur 25 tahun. Bertalagi dengan Tuan Guru Mohd Tahir kitab-kitab jawi. Tuan Guru Mohd Hakim nahu, saraf, Balaghah, usul fiqh, Qawaidh, mustolah Hadis & usul tafsir. Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar fiqh, usuluddin, nahu & hadis. Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd sirah nabawi. Tuan Guru Haji Hashim nahu, sarof, fiqh dan faraid. Tuan Guru Haji Mat Zain fiqh, nahu, saraf, balaghah, hadis, tafsir dan ramai lagi guru-guru yang lain selama 12 tahun.

Setelah berbekalkan sedikit ilmu, Ustaz mula mengajar di sekitar Surau Ladang. Dan website pertama surauladang.net diwujudkan pada tahun 1999. Kemudian websitewww.ustazazhar.com menyusur pada tahun 2005. Dengan melihat anak muda sekarang yang lebih berminat dengan motorsikal dan kereta, maka Ustaz selitkan apa yang mereka-mereka ini minat. Alhamdulillah anak muda dapat menerimanya dengan baik.


Dengan kesibukan jadual Ustaz sepanjang hari dan bulanan, Ustaz sentiasa mentelaah lagi buku-buku karangan mufti-mufti serta fatwa-fatwanya. Dalam rutin harian, Ustaz akan cuba habiskan 20 buah kitab sehari selama 5 jam. Pesanan Ustaz kepada kita semua belajar bersungguh-sungguh ketika kita rajin dan ada ketikanya kita malas, masa itulah kita berehat.

POK MANG DI SISI USTAZ

Beliau adalah pembantu Ustaz. Beliau juga model Ustaz dalam fotografi. Pok Mang berasal dari Kampung Ladang adalah seorang nelayan. Dan menjadi kebiasaan kepada Ustaz menyewa botnya untuk memancing di laut. Pok Mang atau Man Dakwah atau Man Janggut adalah panggilan kawan-kawan kepadanya yang cepat mesra dan kuat beribadat. Kesusahan Pok Mang mencari hasil di laut sewaktu musim terkujuh membuka ruang untuknya bersama dengan Ustaz. Bermula detik ajakan Ustaz supaya Pok Mang menemaninya setiap kali berkuliah sehinggalah menjadi pembantu khas kepada Ustaz sampai ke hari ini.

 

Sumber: Majalah Anis (disalin melalui laman http://abusyahirah.blogspot.com/)

Tuesday, March 20, 2012

Boys will always be boys

Akustik ke eletrik
Sejak tahu bermain gitar lebih 10 tahun lepas yang masih ku anggap baru sehingga ke hari ini, aku telah memiliki 4 buah gitar. Aku mula belajar bermain gitar semasa berada di kolej. Dua bulan masa yang aku perlukan untuk mengenal kord dan lancar bermain rythm. Aku mempelajari kord asas dan kord penuh dalam masa yang cukup singkat. Namun begitu, teknik bermain gitar yang ada amatlah sederhana dalam masa yang cukup panjang tanpa peningkatan memandangkan tidak ramai rakan-rakan tempat aku berkumpul untuk mempelajari lebih banyak skill dan asas muzik.

Bermula dengan sebuah gitar akustik berjenama Santa Cruz yang mempunyai fred kecil seumpama gitar eletrik yang aku beli di Terminal One Seremban, aku pada waktu itu tidak lagi bermain gitar dengan gitar orang lain. Aku sukakan gitar yang mempunyai fred kecil kerana aku cuba membiasakan diri untuk ke gitar eletrik. Gitar berjenama Kapok kebanyakkannya mempunyai fred besar seperti fred gitar Klasikal. Namun begitu, tong gitar Santa Cruz yang aku beli itu tidak sebesar tong gitar Kapok. Ia lebih kecil tetapi bunyi yang dihasilkannya agak menarik namun tidak bergema sebesar tong gitar Kapok.
Pernah aku tinggalkan gitar pertama aku itu di kampung untuk beberapa lama untuk aku jadikan koleksi. Namun rasa bosan yang teramat tanpa gitar untuk dipetik menyebabkan aku membeli gitar baru yang lain. Ia masih gitar kayu namun bentuknya hampir menyerupai gitar dalam gambar di bawah dengan rekabentuk belakang yang tidak rata (agak cembung) menggunakan material seperti plastik. Namun gitar dalam gambar di bawah dilengkapi dengan mic dan equalizer yang tidak dimiliki oleh gitar tersebut. Aku membelinya di sebuah kedai serbaneka di Balakong. Bukan gitar berjenama namun memadai untuk aku melepas keinginan untuk bermain dan menyanyi.
Gitar tersebut kini tinggal kenangan setelah patah akibat terjatuh. Ia memiliki fred yang agak panjang. Adik aku cuba membaikinya dengan melekatkan kembali bahagian yang patah namun ia tidak sempurna. Setelah itu, aku terpaksa membawa kembali gitar yang banyak membawa kenangan yang aku tinggalkan di kampung dan ia masih berjasa. Gitar pertama aku itu pernah di bawa bersama semasa aku dan rakan-rakan kolej menyampaikan lagu Hotel California dan I Will Survive pada sebuah persembahan pentas. Ia merupakan persembahan pertama aku beraksi bersama gitar. Selepas beberapa lama, gitar tersebut juga pernah membantu dalam persembahan di hadapan anak-anak yatim di Banting untuk menghiburkan adik-adik di rumah kebajikan tersebut.
Ramai rakan-rakan aku berminat untuk membelinya namun pada waktu itu aku belum bersedia untuk menyerahkan gitar tersebut kepada orang lain. Kini gitar Santa Cruz itu tidak lagi menjadi kepunyaan aku setelah memiliki sebuah gitar akustik. Aku telah memberikannya kepada seorang rakan baikku tanpa meminta sebarang bayaran. Mungkin bukan kebiasaan aku menjual barang peribadi.

Gitar akustik yang baru aku miliki mempunyai tong yang lebih besar. Ia merupakan gitar yang aku beli daripada seorang rakan yang juga merupakan guru gitar bagiku. Ada beberapa pengubahsuaian telah dilakukan untuk membantu dalam pembaikpulihan intonasi bunyinya. Memang sudah lama mencari gitar akustik sedemikian namun tidak berkesempatan mencari. Mujurlah ada rakan yang ingin menjualnya. Ia dilengkapi dengan mic dan equalizer. Ia juga dikenali dengan panggilan semi-acoustic guitar, berjenama Rosen. Aku mula membeli beberapa accessory seperti beg dan strap untuk memudahkan aku dalam memindahkannya serta mengendalikannya.
Tidak lama selepas itu, aku ditawarkan dengan sebuah gitar eletrik berjenama Cort. Turut diperolehi daripada orang yang sama aku membeli gitar akustik melalui anak saudaranya. Walaupun jenamanya tidak sebesar jenama seperti Gibson, Ibanez serta Fender; namun beberapa pengubahsuaian telah dilakukan untuk meningkatkan kualitinya. Begitulah kata empunya asal gitar tersebut. Aku yang tidak arif tentang gitar ini berpuas hati dengan apa yang aku perolehi. Ia turut datang bersama amplifier kepunyaan beliau. Ini memudahkan aku dalam proses mempelajari lebih banyak tentang gitar tertama scaling, not, chords dan skill.
 
Dulu aku rasakan bahawa apa yang aku ketahui tentang muzik terutama gitar itu sudah cukup untuk membantu aku dalam persembahan pentas. Namun setelah berbicara tentang muzik dan gitar oleh rakan yang aku anggap guru, barulah aku ketahui bahawa ada banyak perkara lagi yang perlu aku ketahui. Apa yang ada dalam pengetahuan aku sekarang hanyalah terlalu sedikit untuk dipanggil sebagai musician. Semakin banyak aku belajar, barulah aku sedar bahawa ada banyak lagi perkara yang perlu aku ketahui. Bak kata pepatah, banyak yang kita tahu, semakin banyak yang kita tak tahu.

Aku mulai ketahui not-not di dalam setiap fred dan strings. Aku turut mempelajari suspended chord, scaling dalam minor dan major serta tentang pentatonic. Selain itu, aku turut mula berjinak-jinak dalam mempelajari lead guitar, cara bermain rock dan blues, rythm dengan chord yang orang panggil chord pelik-pelik, finger picking, hammer dan bending serta beberapa cara lagi dalam gitar. 

Buat masa ini, aku masih lagi menguatkan jari-jemari aku dalam fingering practice serta mengingati scaling Do Re Mi. Sebenarnya, mempelajari gitar menggunakan gitar eletrik lebih mudah berbanding gitar akustik. Belajar menggunakan gitar akustik memaksa kita untuk menumpukan kepada tekanan ke atas string dengan lebih lagi untuk menghasilkan bunyi. Berbanding dengan gitar eletrik, tekanan ke atas string yang sedikit sudah memadai untuk menghasilkan bunyi.
Begitulah kisah penglibatan aku dalam pemilikian alat muzik gitar bermula dari sebuah gitar akustik sehingga mempunyai gitar eletrik. Ya lah, alat permainan lelaki dewasa. 

Kepada rakan-rakan yang jauh lebih muda, anda tentu mempunyai lebih banyak masa untuk mempelajari apa-apa alat muzik samada melalui rakan-rakan mahu pun mengikuti kelas. Bagi aku, teori asas muzik adalah sangat penting. Internet juga merupakan tempat menimba yang baik untuk belajar namun berguru itu tetap lebih sempurna.

Walau apapun minat anda, teruskanlah berusaha mencapainya sehabis boleh tetapi janganlah melakukannya sehingga leka. Bak kata guru gitar aku, jangan sampai tak sembahyang.

Friday, March 16, 2012

Perlawanan persahabatan menentang JKR


Sudah 2 minggu aku kembali bermain bola di atas padang setelah meninggalkannya lebih 2 tahun. Kasut bola padang aku yang sudah berjahit rosak total pada hari pertama aku turun dalam latihan pada 2 minggu lepas. Dengan keadaan padang TPM yang tidak rata dan menakung air serta berlumpur, semuanya memberatkan kaki aku untuk membuat pergerakan pada hari permulaan kembali ke padang bola. Serba-serbi jadi tidak kena.

Aku kembali bermain di padang selepas jemputan untuk perlawanan persahabatan oleh pasukan adik aku iaitu pasukan dari JKR. Sudah lama dia meminta untuk mengadakan perlawanan persahabatan ini tetapi aku masih gagal untuk mengumpul pasukan. Kerana mungkin aku agak perlahan dek aktiviti yang sangat sibuk, adik aku menghantar jemputan melalui FB. Semenjak itu, aku mula sibuk mencari staf-staf syarikat yang berminat dibantu oleh Sattu Kachi dan Ayie.

Dengan keadaan padang TPM yang teruk serta cuaca yang sering hujan di Bukit Jalil, penyertaan latihan amat tidak memberangsangkan. Sukar untuk kami mengatur cara permainan untuk melihat kecenderungan pemain untuk diletakkan di bahagian mana. Perkara yang membimbangkan aku, berapa ramai yang betul-betul boleh hadir dalam perlawanan persahabatan itu nanti?

Latihan pada minggu pertama agak memeritkan namun pada hari kedua dalam minggu tersebut, aku mula boleh mengawal pernafasan aku. Pada hari khamis minggu pertama merupakan hari yang paling ramai penyertaan staf dan bekas staf memandangkan mereka mahu melakukan persiapan untuk perlawanan hari Sabtu. Malangnya aku terpaksa menunda tarikh perlawanan kepada tarikh seminggu selepas tarikh asal kerana tidak yakin kami punyai bekalan yang cukup untuk persediaan latihan.

Pada minggu kedua, kehadiran pemain masih membimbangkan, mungkin kerana ramai yang berminat terpaksa bekerja lebih masa serta keadaan cuaca yang tidak menentu. Walaupun ramai diantara mereka tidak hadir, mereka memberi jaminan bahawa mereka akan turut serta dalam perlawanan tersebut. Kegusaran aku tidaklah membimbangkan sangat kerana mereka kelihatan yakin akan turut beraksi. Yang sangat menyukarkan bagi kami adalah membentuk pasukan yang mempunyai tektikal baik serta saling bersefahaman. Keadaan padang yang basah dan berlumpur amat menyukarkan untuk kami berlatih permainan secara hantaran leret. Disebabkan itu, latihan perlawanan terpaksa dilakukan dengan hantaran jauh.

Pada tarikh thread ini ditulis, maka selesailah sudah perlawanan persahabatan diantara pasukan staf dan bekas staf syarikat menentang JKR Putrajaya di UPM Serdang yang mana keputusan perlawanan memihak kepada pasukan daripada Putrajaya tersebut dengan kemenangan 4-2.


Pada mulanya di awal pagi hari ini, aku turut khuatir dengan kehadiran pemain. Pada pukul 8.30 pagi pada waktu itu yang mana sepakmula sepatutnya dilakukan, tidak sampai 10 orang pemain dari pasukan aku yang hadir. Namun beberapa minit selepas itu, aku sudah boleh tersenyum kerana semua yang menyatakan akan hadir sudah berada di luar padang. Ribuan terima kasih aku ucapkan kepada semua rakan-rakan yang hadir kerana anda telah memeriahkan pasukan ini dengan komitmen anda.

Pasukan JKR memberi makluman bahawa mereka tidak datang bersama pasukan utama kerana masalah kecederaan dan komitmen keluarga sempena cuti sekolah. Apa yang menarik, permainan kedua-dua pasukan ini sangat harmoni. Tidak dibelenggu dengan kekasaran. Cuma ada satu kecederaan yang tidak dapat dielakkan terjadi melibatkan pemain dari pasukan aku. Zul telah mengalami kecederaan di buku lali dan memaksa dia untuk tidak bermain pada hari Ahad pada perlawanan persahabatan lain di tempat kediamannya.

Bermain di atas padang yang rata dan kering tidaklah sesukar mengawal bola di atas padang tidak rata dan berlumpur. Kaki tidak diberati dengan kasut dan stokin yang basah serta lekatan tanah. Walaupun kaki masih sakit akibat latihan, namun setiap minit berada di atas padang masih tidak sesukar jika dibandingkan dengan keadaan latihan. Aku mengawal bahagian kanan belakang untuk mengekang kemaraan serangan. Baljinder pula sangat baik dalam menjadi ketua di bahagian pertahanan. Dia sentiasa berhubung dengan pemain lain di bahagian bawah dan peka terhadap pergerakkan lawan.

Aku yang berehat selepas separuh masa pertama, melihat babak kedua yang sangat baik dari luar padang. Pasukan himpunan staf dan bekas staf syarikat ini memberi serangan bertali arus walaupun masih kurang tajam di bahagian serangan. Namun begitu mereka terus berusaha untuk melakukan sesuatu.

Secara rumusannya, kami harus bersama dalam permainan padang dengan lebih kerap untuk menambahkan lagi persefahaman. Dari segi tektikal, ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki untuk menguatkan pasukan. Memandangkan pemain yang hadir tadi ada 22 org, tidak mustahil untuk kehadiran di padang TPM boleh dilakukan 11 sebelah untuk melihat kecenderungan pemain bermain dibahagian mana.

Walau apapun, terima kasih kepada kehadiran rakan-rakan dalam memeriahkan perlawanan persahabatan ini. Walaupun mungkin terdengar ura-ura mengatakan bahawa acara futsal mungkin tidak akan dianjurkan pada tahun ini, kita masih boleh sepakat untuk memastikan bolasepak tidak akan mati dikalangan staf dan bekas staf.

(Gambar adalah ilustrasi oleh Al'azharino Ahmad)

Thursday, March 15, 2012

Misteri motif pembunuhan Altantuya

Sampai la ni misteri pembunuhan Altantuya masih belum terungkai. Motif sebenar pembunuhan masih menjadi tanda tanya kepada rakyat yang perihatin tentang ketelusan undang2 negara. Mengapa dua pegawai polis yang di arahkan untuk membunuh dan meletupkan jasad model yang cun melecun dari Monggolia tu tidak membantah langsung arahan yang diberikan kepada mereka.

Dan kes ni bertambah misteri bila wajah kedua2 pegawai polis tu hingga kini masih belum didedahkan kepada umum sedangkan dalam kebiasaannya, penjenayah yang dah disabitkan kesalahan akan didedahkan kepada umum. Pelik bila pihak berkuasa menyediakan topeng khas untuk dipakai mereka. Sebelum2 ni wajah2 penjenayah yang dituduh terpaksa menutup muka menggunakan baju atau suratkhabar yang dibagi oleh peguam mereka saja.

Paling mengejutkan bila hakim mendedahkan bahawa pendedahan motif sebenar pembunuhan model cun tu tak relevan dan tak penting dalam kes bunuh ni. Kalau begitu, apakah 2 pegawai polis yang membunuh dan meletupkan jasad model Monggolia tu dibuat secara suka2? Apakah mereka sudah tidak waras lagi?

Keputusan yang dah dibuat oleh hakim tersebut meletakkan sistem perundangan negara dalam keadaan yang pelik. Seluruh dunia memerhatikan Malaysia. Keadaan ni jugak telah memberi impak yang besar bukan sahaja dari perspektif sosio-politik hak asasi manusia tetapi juga dari dimensi sosio-ekonomi serta dimensi kehakiman negara.

Rakyat tertanya2 apa sebenarnya yang berlaku hingga pembunuhan kejam macam tu dilakukan oleh orang yang sepatutnya menegakkan undang2. Paling pelik bila pembunuhan dilakukan tanpa motif terhadap wanita yang lemah dan tak mampu untuk melawan sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mangsa.

Sebenarnya motif pembunuhan tu ada. Tapi pihak perundangan negara terpaksa memanipulasi motif tersebut kerana ianya bersangkutan dengan individu2 VVIP. Untuk cover up VVIP dari disabitkan dengan kes yang boleh menenggelamkan terus karier politik VVIP tersebut dan mengheret sekali parti yang diwakili nya.

Dengan keputusan kes Altantuya ni, kredibiliti pemimpin, parti-parti politik dan sistem kerajaan telah musnah sama sekali. Nama negara dari segi perundangan di pandang sinis dimata dunia. Hanya dengan menukar kerajaan sahaja yang mampu untuk mengembalikan kredibiliti perundangan negara dan dunia jugak berminat untuk melihat perkara itu berlaku. Hanya masa dan ketika nya sahaja yang ditunggu oleh rakyat untuk mengubah sistem yang dah rosak dari era zaman Tun Madey lagi. Dan Tun Madey jugak la orang yang perlu dipersalahkan atas kerosakan sistem yang dah berlaku di Malaysia ni.


(Sumber: http://kopitarikkaw.blogspot.com/)

P/S: Masih berkisar tentang novel. Sila baca novel karya Ramlee Awang Murshid, fiksyen 302.

Ooh Novel... Jiwang ker?


"Alahai, baca novel engkau??? Jiwang!!!"

Beginilah mungkin apa tanggapan rakan-rakan kita seandainya melihat lambakan novel di atas meja, dalam kotak atau dalam susunan rak di rumah kita. Aku tidak terkecuali pernah diajukan dengan persepsi sedemikian. Bukan satu hobi yang utama bagi aku untuk membaca novel namun aku bukan seorang yang terkecuali dalam memiliki novel.

Mungkin kerana aku berminat dalam bahan bacaan. Aku pernah terpengaruh semasa usia remajaku dalam saling bertukar novel bersama rakan-rakan. Walaupun bukan novel aku sendiri, tapi ia dimiliki oleh saudara-mara yang datang dan meninggalkannya  di sana. Dah ada tu, aku teruskanlah pembacaan. Kisah cinta dalam novel memang menarik perhatian remaja. Suka terbuai dalam imaginasi cinta, melayani kesyahduan cerita dan menangisi plot-plot kesedihannya.

Aku masih tidak menjadikannya hobi. Bertahun aku meninggalkan pembacaan novel sehinggalah aku mula belajar di pengajian tinggi apabila seorang rakan serumahku membeli pelbagai novel. Apa yang best sangat pun aku tidak tahu. Tapi kerana persekitaran yang sangat aktif di zaman belajar, aku tidak berminat melayari perasaan seperti di zaman remaja dulu. Tapi lama kelamaan aku terjebak. Aku pinjam dan aku baca kerana satu rumah pada masa itu membicarakannya.
Aku temui sebuah novel karangan Ramlee Awang Murshid bertajuk Suatu Janji. Dengan penuh penghayatan aku menyelusuri setiap plot ceritanya dan ia dikarang dengan begitu berbeza berbanding novel-novel khayalan cinta yang pernah aku baca dulu. Penulis berjaya membawa pembaca ke alam imaginasi bak melihat drama-drama bersiri. Ia berkisar tentang cerita seorang anak yatim piatu dalam meraih cinta seorang isteri. Apa yang mengagumkan, penulis novel tersebut mendapat jolokan sebagai novelis thriller no.1 Malaysia. Tak sangka karangan novel pun boleh mengutarakan unsur thriller. Ingatkan cerita cinta-cinta je!

Selepas habis membaca novel tersebut, aku seolah ketagih dan mahu pula melihat hasil kerja Ramlee Awang Murshid yang lain pula. Mampukah dia menghasilkan sesuatu yang dramatik dan suspense sebagaimana novel yang telah aku baca. Aku pilih ADAM walaupun pada masa itu rakan serumah aku telah memiliki set Tombiruo dan Ranggau. Maklumlah aku pun dipanggil sebagai Adam, ia menarik aku untuk mengikuti pembacaan yang baru. 

Ternyata novel ADAM tidak mengecewakan. Ramlee Awang Murshid berjaya membawa penceritaan tentang konspirasi yang melibatkan pemimpin politik yang berpengaruh besar serta cerita seorang lelaki penembak tepat. Mungkin dalam novel-novel lain, penulis lain menggunakan pendekatan mudah untuk menceritakan tentang kisah seorang jurutera, ahli perniagaan, kerani, guru, pegawai kerajaan mahupun bank yang hanya punyai masalah cinta sebagai bebanan, namun dalam karya berjudul ADAM ini, kisah suka duka seorang penembak tepat menjadi watak utama.
Selepas itu, aku sudah mulai memiliki novel aku sendiri yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dikumpulkan kerana penerbitan novel baru daripada penulis yang sama agak memakan masa. Kini aku punyai 18 buah novel yang dikarang oleh Ramlee Awang Murshid. Kenapa dia? Kerana hanya penulisan daripadanya sahaja yang aku yakin mampu memenuhi kehendak aku sebagai seorang pembaca novel.

Untuk pengetahuan anda, Ramlee Awang Murshid membawa cerita-cerita berunsur thriller, suspen, mistik, mitos, epik serta sedikit kisah cinta. Apa yang menarik, beliau mampu menyelitkan informasi tentang sesuatu fakta yang kita sendiri jarang temuinya dalam novel karya penulis lain. Aku juga amat tersentuh apabila beliau gemar menyelitkan unsur-unsur bersifat tauhid serta pengetahuan agama kepada pembacanya. Aku gembira kerana tulisan sedemikian mampu membentuk sahsiah yang baik kepada para pembaca novel.
Antara perkara yang ada dalam karya Ramlee Awang Murshid berkisar tentang konflik identiti yang melibatkan masalah mental, penyelesaian kisah pembunuhan bersiri, aksi kepahlawan, fiksyen sains, penjelajahan masa, epik thriller dan pelbagai lagi yang mungkin kerap kita dapati melalui tulisan beliau. Yang lebih menarik adalah rentetan cerita Laksmana Sunan melalui 4 novel beliau yang kini menanti sambungan melalui novel yang bakal terbit.

Kini aku sendiri akui bukan semua peminat novel itu jiwang. Aku sendiri tidak meminati tulisan novel bak kisah cinta yang tidak berkesudahan yang jalan penceritaannya sangat malar dan kerap dihidang melalui drama-drama TV dan filem yang cuma dilakonkan dengan watak berbeza dan lokasi yang berubah. Memilih novel yang berkisar tentang cinta bagi aku sangat menterhadkan daya berfikir. Dan mungkin anda di luar sana juga tidak terkecuali mempunyai persepsi yang negatif terhadap peminat novel, saya tidak akan salahkan anda. Memang rata-rata pembaca novel adalah peminat kisah-kisah cereka cinta dan ramai penulis novel itu gemar membuai pembaca dengan kisah-kisah imaginasi ringan sedemikian kerana target mereka adalah remaja. Lagipun, tidak ramai diantara penulis itu punyai ilmu pengetahuan yang luas untuk membentangkan sebuah karya yang berkualiti melainkan imaginasi khayalan mereka sendiri yang diterjemah melalui kreativiti tulisan.
Namun begitu, aku juga dapati penulis novel Jangan Sebut Namaku, Norfadzillah Omar turut mampu menulis novel thriller dengan sangat baik. Setakat ini aku baru membaca novel tersebut kerana berminat dengan unsur illuminati yang diwujudkan dalam karya tersebut. Aku yakin beliau turut menerbitkan beberapa lagi novel lain yang baik. Cuma aku tidak boleh melupakan perkataan 'sebal' yang terlalu kerap diulang tulis di dalam novel tersebut.

Untuk novel yang berjaya menembusi layar perak, Ombak Rindu hasil tulisan Fauziah Ashari, bagi aku ia biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana aku menonton filem Ombak Rindu terlebih dahulu berbanding membaca novelnya, aku rasakan aku lebih tertarik dengan watak Izzah di dalam filem berbanding di dalam novel. Pada pendapat aku, pembaca novel tersebut mungkin merasakan filem tersebut tidak sehebat novelnya kerana mereka terlalu mengharapkan kesemua plot cerita novel Ombak Rindu dapat diadaptasikan sepenuhnya sedangkan mereka lupa ada kekangan untuk mewujudkan semua watak yang terlalu ramai dalam novel tersebut. Sesetengah watak yang tidak penting terpaksa disunting untuk melengkapkan slot filem selama 2 jam itu. Aku setuju dengan jalan cerita filem sekarang ini kerana bagi aku sesetengah watak di dalam novel itu kelihatan amat tidak penting dan kehadiran cerita mereka tidak membantu menghidupkan cerita. Filem tersebut sudah digarap dengan sangat baik untuk memikat ribuan penonton untuk hadir ke pawagam.
Sebelum mengakhiri thread ini, aku ingin pembaca cuba melayari novel terbaru Ramlee Awang Murshid berjudul Fiksyen 302. Mungkin penulis novel tersebut tidak terfikir akan hal ini namun aku dapat merasakan bahawa ada persamaan jalan cerita ini dengan kes pembunuhan gadis Mongolia.

Saturday, February 25, 2012

Dari 'Zero' kepada 'Hero'

Pengalaman baru telah bermula. Terima kasih kepada sahabat aku yang telah memberi peluang kepada aku untuk terus berkarya dalam seni. Selamat datang ke rumah baru juga aku ucapkan kepada sahabat aku, Zarmiza bersama isterinya, Yusmi Suhana. Gambar di bawah adalah sebuah gambar kenangan mereka berdua semasa pertama kali memiliki rumah tersebut. Semoga ia boleh diabadikan sebagai sebuah memori.

 
Di rumah baru mereka ini, aku dan beberapa rakan sekerja lain telah berganding bahu dalam membantu sahabat kami ini dalam melicinkan rancangan perpindahan mereka untuk memudahkan perjalanan urusan. Aku seperti biasa tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil gambar dalaman asal rumah tersebut.

Selepas meninjau keadaan rumah, kami terus memikirkan tentang idea untuk mengecat ruang dalamannya. Idea yang wujud dalam fikiran kami adalah menghasilkan rekabentuk ruangan dalaman rumah moden. Aku terus terfikir untuk menghasilkan rekabentuk tersebut melalui ilustrasi bergambar melalui gambar-gambar yang telah aku ambil. Dari sinilah aku mula berjinak-jinak dengan rekabentuk hiasan dalaman rumah atau sesuatu yang dipanggil sebagai 'interior design'.

Selepas seharian memikirkan idea rekabentuk hiasan itu, maka aku telah menghasilkan beberapa ilustrasi bergambar untuk dijadikan rekabentuk cadangan kepada pasangan suami isteri tersebut. Dan ilustrasi di bawah merupakan hasil kerja pertama dalam merekabentuk hiasan rumah.

Selepas itu, bermulalah aktiviti untuk mengecat. Walaupun hasilnya sedikit berbeza kerana terdapat beberapa kekangan dalam merealisasikan sesuatu mengikut ilustrasi, namun suasana gotong-royong ini amat menyeronokkan. Ia sesuatu pengalaman baru bagi kami dan gelak tawa serta gurau senda rakan-rakan terus menggamit riang suasana.

Sehari sebelum penglibatan aku, Mie dan Azmir menyelesaikan cat pada dinding di bahagian ruangan tamu. Selepas ketiadaan Azmir pada hari berikutnya, kami meneruskan untuk bahagian bilik. Mie dan Azhar menumpukan untuk cat tengah pada keseluruhan dinding bilik-bilik tersebut manakala Malik lebih menumpukan bahagian penjuru atas. Aku pula mengecat bahagian-bahagian kecil seperti penjuru bawah, sempadan soket dan celah pintu. 

Bilik utama telah diwarnakan dengan warna hijau manakala bilik di sebelahnya diwarnakan dengan warna kuning. Ruangan dapur pula diwarnakan dengan warna putih yang mana warna asal sebelum itu merupakan warna krim. Satu lagi bilik yang akan dijadikan bilik komputer telah diwarnakan dengan warna ungu, sama seperti warna dinding ruang tamu tetapi di satu bahagian dinding yang mempunyai pintu, warna kelabu telah dicat di bahagian tersebut menjadikan warnanya lebih bervariasi.

Seminggu selepas itu, bersama rakan-rakan lain yang tidak hadir pada sesi mengecat, kini mereka telah datang untuk membantu dalam pembersihan rumah termasuk dalam membersihkan kesan-kesan cat serta mencuci jubin dan mengemaskan sisa-sisa kotoran yang ditinggalkan untuk melapik lantai menggunakan kotak dan surat khabar. Antara yang turut membantu adalah Farouk, Ayoi dan Paan.

Barangan kecil yang telah dimasukkan dalam kotak serta barangan lain turut mula dipindahkan sedikit demi sedikit menggunakan dua buah kenderaan. Mie dan isteri meneruskan pencarian untuk hiasan dalaman untuk kegunaan ruang tamu dan hiasaan seperti set sofa, tirai dan langsir serta kabinet tv.

Seminggu kemudian pada hari akhir minggu, bermulalah aktiviti pemindahan barang secara besar-besaran. Mie, Azmir, Afifi dan Farouk telah mula memunggah barang ke lori sejak awal pagi lagi dari rumah lama manakala aku dan Paan hanya mula membantu dalam memindahkan barang setelah tengahari selepas lori telah berada di rumah baru.

Pada kali ini, perpindahan sangat memerlukan kerahan tenaga yang lebih. Bagi rakan-rakan yang sering bekerja dengan menggunakan fizikal, susah tentu ia merupakan perkara yang biasa namun bagi aku yang jarang bekerja berat, aku menggunakan masa ini untuk melatih tubuh yang banyak berehat untuk bekerja lebih berat.

Suasana tetap meriah. Mungkin inilah untungnya jika bekerja secara bergotong-royong. Ada sahaja gurau senda yang menjadikan suasana menjadi meriah dengan gelak tawa dan senda gurau. Masing-masing punyai gelagat sendiri yang boleh menjadikan rasa penat itu terus hilang. Bertuah rasanya rakan-rakan ini semua ada bersama. 

Selesai sahaja semua barang telah dipindahkan masuk ke dalam rumah, kami mengambil sedikit masa untuk berehat dan mula menonton tv. Kami turut dihidangkan dengan makan tengahari oleh Mie dan isteri. Suasana begini jarang sekali dapat dirasakan oleh aku yang banyak menghabiskan masa di hadapan komputer. Namun aku gembira, rakan-rakan di sini sudah seperti saudara. Selepas berehat sebentar, kami turut membantu dalam memasang beberapa barangan rumah serta menyusun perabot dan beberapa barangan lain. Syam turut datang pada waktu petang sebelum juadah petang seperti pisang dan cempedak goreng serta keropok lekor dihidangkan.

Selepas selesai membantu dalam bergotong-royong menyelesaikan perpindahan rumah tersebut, kami pulang ke rumah masing-masing kira-kira dalam pukul 6.00 petang. Kerja hari minggu yang amat meletihkan selesai. Walaupun penat, aku sempat mencoretkan bukan sekadar sebuah kenangan, malah sebuah pengalaman melalui ruang di sini untuk sahabat aku yang kini memiliki aset keluarga yang amat bernilai. Semoga terus berbahagia dalam kehidupan yang diberkati.

Tuesday, February 14, 2012

14 Februari - Lupakan Hari Kekasih


Penulis ada membaca melalui akhbar harian baru-baru ini berkenaan dengan tarikh sambutan 'Hari Suami Isteri' pada tarikh 14 Februari setiap tahun yang dicadangkan oleh kerajaan Kelantan bagi menggantikan 'Hari Memperingati Kekasih' atau 'Valentines Day'. Bagi penulis, penulis amat menyokong cadangan ini selepas membacanya kerana bagi penulis ia merupakan satu tindakan yang positif dan mampu mengubah persepsi masyarakat Malaysia berkenaan 14 Februari.

Kerana gembira dengan pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan itu, penulis berkongsi maklumat tersebut melalui laman sosial Facebook. Penulis merasakan ia wajar untuk dikongsikan kerana ia sesuatu yang perlu difikirkan untuk menjadikannya acara tahunan diperingkat kebangsaan.


Namun begitu, penulis menerima beberapa komen daripada rakan-rakan penulis sendiri berkenaan perkara ini yang mempertikaikan bahawa kenapa perlu diwujudkan 'Hari Suami Isteri' pada tarikh tersebut sedangkan pada pendapat beliau, setiap hari pun sambutan hari sedemikian boleh disambut. Penulis tidak menjawab soalan itu segera melainkan bertanya semula tentang mengapa Hari Pekerja disambut pada 1 Mei sedangkan setiap hari pun kita boleh sambut Hari Pekerja. Ia turut berlaku kepada beberapa hari-hari lain seperti hari Ibu, hari Bapa, hari AIDS sedunia, hari Alam Sekitar dan sebagainya.


Bagi penulis, kewujudan hari-hari sedemikian sekadar hari peringatan dan penghargaan. Sebagai contoh, penganugerahan Ibu Mithali diperingkat kebangsaan tidak akan wujud jika tidak ada kesedaran melaluinya diperingkat tertinggi. Ia juga sebagai tanda penghargaan agar anak-anak mengingati ibu mereka dan memberi sedikit cenderahati. Mungkin kita boleh mengingati mereka setiap hari tetapi tidak mungkin kita dapat memberikan cenderahati kepada mereka setiap hari kecualilah ada hari yang memberi makna kepada mereka seperti sambutan hari lahir, sambutan hari ibu atau hari ulangtahun kelahiran kita sendiri. Kewujudan hari sebegini juga akan memberikan kesedaran kepada kita tentang jasa-jasa mereka selain daripada apa yang dipromosikan melalui media massa dan media cetak.

Selepas memberi komen tersebut kepada soalan rakan penulis itu, seorang lagi rakan cuba mempertikaikan apa yang penulis komen. Katanya bahawa 1 Mei itu tidak berkaitan dengan agama tetapi 14 Feb itu berkaitan dengan agama. Kalau nak buat, buatlah hari lain. Kerana penulis tidak mahu isu agama dimainkan melalui laman FB penulis, penulis tanyakannya di sini. Jika dia membaca blog ini, penulis ingin tanyakan kepadanya agama mana yang berkaitan itu? Adakah ada negara yang menjadikannya perayaan agama dan ada cuti umum terhadapnya? Selain itu, beliau memperbandingkan antara hubungan orang-orang yang berkasih dengan mereka-mereka yang telah berumahtangga dalam situasi tersebut. Mungkin dia punyai anak lelaki yang masih kecil, sebab itu dia tidak fikirkan kesan kata-kata yang mungkin boleh memakan diri sendiri. Saya cuma mampu doakan agar anak itu apabila punyai rasa kasih-sayang kepada seorang wanita suatu hari nanti bila umurnya meningkat remaja, tidaklah menjadi sepertimana yang diucapkan melalui komennya.


Selepas soalan di atas, penulis memberi penerangan terhadapnya dengan panjang lebar berkaitan apa pronya kewujudan hari tersebut dan penulis tambah lagi sedikit di sini untuk dikongsi kepada rakan-rakan yang melawat.

Seperti yang umum sedia maklum setiap tahun pada 14 Februari, disambut sebagai Hari Memperingati Kekasih (Valentine's Day) sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat dunia. Dan setiap tahun juga kita diingatkan bahawa hari tersebut bukanlah budaya yang patut disemai ke dalam jiwa masyarakat Islam terutamanya muda-mudi dan remaja. Setiap khutbah Jumaat di mana-mana sekalipun, khatib sering memberi peringatan kepada para jemaah, guru-guru turut tidak lupa untuk mengingatkannya kepada para pelajar, malah rakan-rakan yang sedar turut memuatkan tentang larangan menyambut Hari Kekasih melalui laman-laman sosial. Walaupun begitu, masih ramai lagi pasangan kekasih yang menyambutnya dengan hantaran hadiah, bunga, ucapan melalui kad, SMS dan melalui laman sosial. Ini menunjukkan bahawa kempen larangan yang kita lakukan masih belum berjaya mempengaruhi mereka kerana pengaruh melalui media massa, media cetak, promosi-promosi melalui filem dan drama serta jualan di pasaraya besar dan runcit lebih mendorong mereka untuk menyambutnya. 14 Februari masih tetap menjadi hari pasangan kekasih bersuka ria.

Tidak menjadi kehairanan kepada kita apabila sering mendengar isu tangkapan khalwat ramai pasangan kekasih yang belum sah ikatan sepanjang hari tersebut sebagai tanda membuktikan kasih sayang. Itu mungkin bagi yang tertangkap. Bagi yang terlepas, maka wujudlah benih-benih anak tidak sah taraf yang selepas berada di pusat pemulihan, mereka mengakui bahawa kes itu berlaku selepas bersekedudukan semasa tarikh Hari Kekasih berlaku. Dan ada gadis-gadis remaja yang hilang nilai perawan mereka pada tarikh tersebut. Apa yang kerajaan fikirkan untuk membendung perkara ini daripada terus berlaku?


Cadangan daripada kerajaan Kelantan pada baru-baru ini mampu memberi kesan yang mendalam terhadap sambutan 14 Februari dengan menjadikannya sambutan Hari Suami Isteri. Kenapa Hari Suami Isteri itu perlu disambut pada tarikh tersebut dan bukan hari lain? Isunya bukan kepada tarikh 14 Februari. Sememangnya tarikh tidak memainkan peranan kepada kewujudan Hari Suami Isteri tersebut. Apa yang penting adalah mengalihkan tumpuan masyarakat kepada sesuatu yang lebih baik terhadap sesuatu yang buruk. Kewujudan Valentine's Day membawa kerosakannya yang nyata kepada moral masyarakat terutamanya muda-mudi yang semakin lama semakin terhakis akhlaknya. Kita hanya menyemarakkan semangat berkasih-kasih dikalangan pasangan kekasih yang tidak sah hubungannya. Seandainya kita mewujudkan sesuatu yang lebih baik di dalam tarikh tersebut, kita akan mengalihkan tumpuan masyarakat serta media setempat untuk mempromosikan kasih sayang terhadap sesuatu yang lebih dituntut di dalam agama dan secara tidak langsung melupakan hari Valentine's Day.

Kewujudannya mungkin boleh memberi kesan yang positif kepada mereka yang telah berkahwin, kepada mereka yang berpisah dan turut memberi kesan kepada yang belum berkahwin.

Bagi pasangan yang telah berkahwin, Hari Suami Isteri adalah masa yang tepat untuk saling memberi cenderahati sebagai tanda kasih sayang dan menyemarakkan cinta dalam rumahtangga. Namun bagi pasangan rumahtangga yang jarang duduk bersama yang mana pasangan mereka sering bekerja jauh, Hari Suami Isteri tentu memberi makna yang cukup mendalam untuk pasangan kembali pulang menyambut hari bahagia itu untuk menamatkan kerinduan. Tidak kurang kepada pasangan yang sering berselisih syif bekerja yang boleh mengambil cuti untuk pasangan tersebut meluangkan masa seharian bersama. Paling tidak pun, pada hari tersebut adanya pengharapan daripada pasangan untuk dihubungi dengan ucapan-ucapan indah dan cerita-cerita kenangan lepas seawal hubungan.

Bagi pasangan yang mungkin menghadapi masalah rumahtangga, Hari Suami Isteri merupakan hari yang paling tepat untuk memuhasabah kehidupan rumahtangga mereka daripada terus terbelah. Selain itu, kehidupan pasangan yang telah terpisah akan menggamit kepada kehidupan berkeluarga semula yang mungkin mampu mengikat semula ikatan yang telah terputus.

Bagi yang belum berkahwin, Hari Suami Isteri akan membangkitkan semangat mereka untuk menyambutnya bersama pasangan yang halal pada tahun-tahun berikutnya dan mempercepatkan semangat untuk berumahtangga. Mereka tentu tidak mahu terus meninggalkan Hari Suami Isteri dari tahun ke tahun dengan hidup membujang. Secara tidak langsung, masyarakat akan terdidik untuk kahwin lebih awal kerana kerajaan menggalakkannya melalui kewujudan Hari Suami Isteri.

Inilah penjelasan penulis terhadap apa yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak terhadap sambutan Hari Suami Isteri tersebut. Sebagai masyarakat yang diketahui berpendidikan, sebarang cadangan yang baik itu haruslah difikirkan, bukannya ditentang secara mentah-mentah kerana menentang secara membuta-tuli itu adalah cara berfikiran orang-orang yang jahil serta cetek taraf pendidikannya. Sebarang cadangan yang baik itu perlu dihalusi.

Sebagai menyokong sepenuhnya tarikh 14 Februari sebagai sambutan Hari Suami Isteri, di sini penulis ingin memaparkan satu karya ilustrasi melalui suntingan penulis sendiri. Sebuah ilustrasi himpunan dan gabungan gambar-gambar rakan penulis yang telah berumahtangga. Dan di sini penulis ingin mengucapkan selamat berbahagia dan semoga hubungan rumahtangga rakan-rakan penulis dan semua pembaca akan terus dirahmati dan diberkati. Selamat menyambut hari memperingati Suami dan Isteri.