Tuesday, March 20, 2012

Boys will always be boys

Akustik ke eletrik
Sejak tahu bermain gitar lebih 10 tahun lepas yang masih ku anggap baru sehingga ke hari ini, aku telah memiliki 4 buah gitar. Aku mula belajar bermain gitar semasa berada di kolej. Dua bulan masa yang aku perlukan untuk mengenal kord dan lancar bermain rythm. Aku mempelajari kord asas dan kord penuh dalam masa yang cukup singkat. Namun begitu, teknik bermain gitar yang ada amatlah sederhana dalam masa yang cukup panjang tanpa peningkatan memandangkan tidak ramai rakan-rakan tempat aku berkumpul untuk mempelajari lebih banyak skill dan asas muzik.

Bermula dengan sebuah gitar akustik berjenama Santa Cruz yang mempunyai fred kecil seumpama gitar eletrik yang aku beli di Terminal One Seremban, aku pada waktu itu tidak lagi bermain gitar dengan gitar orang lain. Aku sukakan gitar yang mempunyai fred kecil kerana aku cuba membiasakan diri untuk ke gitar eletrik. Gitar berjenama Kapok kebanyakkannya mempunyai fred besar seperti fred gitar Klasikal. Namun begitu, tong gitar Santa Cruz yang aku beli itu tidak sebesar tong gitar Kapok. Ia lebih kecil tetapi bunyi yang dihasilkannya agak menarik namun tidak bergema sebesar tong gitar Kapok.
Pernah aku tinggalkan gitar pertama aku itu di kampung untuk beberapa lama untuk aku jadikan koleksi. Namun rasa bosan yang teramat tanpa gitar untuk dipetik menyebabkan aku membeli gitar baru yang lain. Ia masih gitar kayu namun bentuknya hampir menyerupai gitar dalam gambar di bawah dengan rekabentuk belakang yang tidak rata (agak cembung) menggunakan material seperti plastik. Namun gitar dalam gambar di bawah dilengkapi dengan mic dan equalizer yang tidak dimiliki oleh gitar tersebut. Aku membelinya di sebuah kedai serbaneka di Balakong. Bukan gitar berjenama namun memadai untuk aku melepas keinginan untuk bermain dan menyanyi.
Gitar tersebut kini tinggal kenangan setelah patah akibat terjatuh. Ia memiliki fred yang agak panjang. Adik aku cuba membaikinya dengan melekatkan kembali bahagian yang patah namun ia tidak sempurna. Setelah itu, aku terpaksa membawa kembali gitar yang banyak membawa kenangan yang aku tinggalkan di kampung dan ia masih berjasa. Gitar pertama aku itu pernah di bawa bersama semasa aku dan rakan-rakan kolej menyampaikan lagu Hotel California dan I Will Survive pada sebuah persembahan pentas. Ia merupakan persembahan pertama aku beraksi bersama gitar. Selepas beberapa lama, gitar tersebut juga pernah membantu dalam persembahan di hadapan anak-anak yatim di Banting untuk menghiburkan adik-adik di rumah kebajikan tersebut.
Ramai rakan-rakan aku berminat untuk membelinya namun pada waktu itu aku belum bersedia untuk menyerahkan gitar tersebut kepada orang lain. Kini gitar Santa Cruz itu tidak lagi menjadi kepunyaan aku setelah memiliki sebuah gitar akustik. Aku telah memberikannya kepada seorang rakan baikku tanpa meminta sebarang bayaran. Mungkin bukan kebiasaan aku menjual barang peribadi.

Gitar akustik yang baru aku miliki mempunyai tong yang lebih besar. Ia merupakan gitar yang aku beli daripada seorang rakan yang juga merupakan guru gitar bagiku. Ada beberapa pengubahsuaian telah dilakukan untuk membantu dalam pembaikpulihan intonasi bunyinya. Memang sudah lama mencari gitar akustik sedemikian namun tidak berkesempatan mencari. Mujurlah ada rakan yang ingin menjualnya. Ia dilengkapi dengan mic dan equalizer. Ia juga dikenali dengan panggilan semi-acoustic guitar, berjenama Rosen. Aku mula membeli beberapa accessory seperti beg dan strap untuk memudahkan aku dalam memindahkannya serta mengendalikannya.
Tidak lama selepas itu, aku ditawarkan dengan sebuah gitar eletrik berjenama Cort. Turut diperolehi daripada orang yang sama aku membeli gitar akustik melalui anak saudaranya. Walaupun jenamanya tidak sebesar jenama seperti Gibson, Ibanez serta Fender; namun beberapa pengubahsuaian telah dilakukan untuk meningkatkan kualitinya. Begitulah kata empunya asal gitar tersebut. Aku yang tidak arif tentang gitar ini berpuas hati dengan apa yang aku perolehi. Ia turut datang bersama amplifier kepunyaan beliau. Ini memudahkan aku dalam proses mempelajari lebih banyak tentang gitar tertama scaling, not, chords dan skill.
 
Dulu aku rasakan bahawa apa yang aku ketahui tentang muzik terutama gitar itu sudah cukup untuk membantu aku dalam persembahan pentas. Namun setelah berbicara tentang muzik dan gitar oleh rakan yang aku anggap guru, barulah aku ketahui bahawa ada banyak perkara lagi yang perlu aku ketahui. Apa yang ada dalam pengetahuan aku sekarang hanyalah terlalu sedikit untuk dipanggil sebagai musician. Semakin banyak aku belajar, barulah aku sedar bahawa ada banyak lagi perkara yang perlu aku ketahui. Bak kata pepatah, banyak yang kita tahu, semakin banyak yang kita tak tahu.

Aku mulai ketahui not-not di dalam setiap fred dan strings. Aku turut mempelajari suspended chord, scaling dalam minor dan major serta tentang pentatonic. Selain itu, aku turut mula berjinak-jinak dalam mempelajari lead guitar, cara bermain rock dan blues, rythm dengan chord yang orang panggil chord pelik-pelik, finger picking, hammer dan bending serta beberapa cara lagi dalam gitar. 

Buat masa ini, aku masih lagi menguatkan jari-jemari aku dalam fingering practice serta mengingati scaling Do Re Mi. Sebenarnya, mempelajari gitar menggunakan gitar eletrik lebih mudah berbanding gitar akustik. Belajar menggunakan gitar akustik memaksa kita untuk menumpukan kepada tekanan ke atas string dengan lebih lagi untuk menghasilkan bunyi. Berbanding dengan gitar eletrik, tekanan ke atas string yang sedikit sudah memadai untuk menghasilkan bunyi.
Begitulah kisah penglibatan aku dalam pemilikian alat muzik gitar bermula dari sebuah gitar akustik sehingga mempunyai gitar eletrik. Ya lah, alat permainan lelaki dewasa. 

Kepada rakan-rakan yang jauh lebih muda, anda tentu mempunyai lebih banyak masa untuk mempelajari apa-apa alat muzik samada melalui rakan-rakan mahu pun mengikuti kelas. Bagi aku, teori asas muzik adalah sangat penting. Internet juga merupakan tempat menimba yang baik untuk belajar namun berguru itu tetap lebih sempurna.

Walau apapun minat anda, teruskanlah berusaha mencapainya sehabis boleh tetapi janganlah melakukannya sehingga leka. Bak kata guru gitar aku, jangan sampai tak sembahyang.

0 Komen: