Thursday, March 15, 2012

Ooh Novel... Jiwang ker?


"Alahai, baca novel engkau??? Jiwang!!!"

Beginilah mungkin apa tanggapan rakan-rakan kita seandainya melihat lambakan novel di atas meja, dalam kotak atau dalam susunan rak di rumah kita. Aku tidak terkecuali pernah diajukan dengan persepsi sedemikian. Bukan satu hobi yang utama bagi aku untuk membaca novel namun aku bukan seorang yang terkecuali dalam memiliki novel.

Mungkin kerana aku berminat dalam bahan bacaan. Aku pernah terpengaruh semasa usia remajaku dalam saling bertukar novel bersama rakan-rakan. Walaupun bukan novel aku sendiri, tapi ia dimiliki oleh saudara-mara yang datang dan meninggalkannya  di sana. Dah ada tu, aku teruskanlah pembacaan. Kisah cinta dalam novel memang menarik perhatian remaja. Suka terbuai dalam imaginasi cinta, melayani kesyahduan cerita dan menangisi plot-plot kesedihannya.

Aku masih tidak menjadikannya hobi. Bertahun aku meninggalkan pembacaan novel sehinggalah aku mula belajar di pengajian tinggi apabila seorang rakan serumahku membeli pelbagai novel. Apa yang best sangat pun aku tidak tahu. Tapi kerana persekitaran yang sangat aktif di zaman belajar, aku tidak berminat melayari perasaan seperti di zaman remaja dulu. Tapi lama kelamaan aku terjebak. Aku pinjam dan aku baca kerana satu rumah pada masa itu membicarakannya.
Aku temui sebuah novel karangan Ramlee Awang Murshid bertajuk Suatu Janji. Dengan penuh penghayatan aku menyelusuri setiap plot ceritanya dan ia dikarang dengan begitu berbeza berbanding novel-novel khayalan cinta yang pernah aku baca dulu. Penulis berjaya membawa pembaca ke alam imaginasi bak melihat drama-drama bersiri. Ia berkisar tentang cerita seorang anak yatim piatu dalam meraih cinta seorang isteri. Apa yang mengagumkan, penulis novel tersebut mendapat jolokan sebagai novelis thriller no.1 Malaysia. Tak sangka karangan novel pun boleh mengutarakan unsur thriller. Ingatkan cerita cinta-cinta je!

Selepas habis membaca novel tersebut, aku seolah ketagih dan mahu pula melihat hasil kerja Ramlee Awang Murshid yang lain pula. Mampukah dia menghasilkan sesuatu yang dramatik dan suspense sebagaimana novel yang telah aku baca. Aku pilih ADAM walaupun pada masa itu rakan serumah aku telah memiliki set Tombiruo dan Ranggau. Maklumlah aku pun dipanggil sebagai Adam, ia menarik aku untuk mengikuti pembacaan yang baru. 

Ternyata novel ADAM tidak mengecewakan. Ramlee Awang Murshid berjaya membawa penceritaan tentang konspirasi yang melibatkan pemimpin politik yang berpengaruh besar serta cerita seorang lelaki penembak tepat. Mungkin dalam novel-novel lain, penulis lain menggunakan pendekatan mudah untuk menceritakan tentang kisah seorang jurutera, ahli perniagaan, kerani, guru, pegawai kerajaan mahupun bank yang hanya punyai masalah cinta sebagai bebanan, namun dalam karya berjudul ADAM ini, kisah suka duka seorang penembak tepat menjadi watak utama.
Selepas itu, aku sudah mulai memiliki novel aku sendiri yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dikumpulkan kerana penerbitan novel baru daripada penulis yang sama agak memakan masa. Kini aku punyai 18 buah novel yang dikarang oleh Ramlee Awang Murshid. Kenapa dia? Kerana hanya penulisan daripadanya sahaja yang aku yakin mampu memenuhi kehendak aku sebagai seorang pembaca novel.

Untuk pengetahuan anda, Ramlee Awang Murshid membawa cerita-cerita berunsur thriller, suspen, mistik, mitos, epik serta sedikit kisah cinta. Apa yang menarik, beliau mampu menyelitkan informasi tentang sesuatu fakta yang kita sendiri jarang temuinya dalam novel karya penulis lain. Aku juga amat tersentuh apabila beliau gemar menyelitkan unsur-unsur bersifat tauhid serta pengetahuan agama kepada pembacanya. Aku gembira kerana tulisan sedemikian mampu membentuk sahsiah yang baik kepada para pembaca novel.
Antara perkara yang ada dalam karya Ramlee Awang Murshid berkisar tentang konflik identiti yang melibatkan masalah mental, penyelesaian kisah pembunuhan bersiri, aksi kepahlawan, fiksyen sains, penjelajahan masa, epik thriller dan pelbagai lagi yang mungkin kerap kita dapati melalui tulisan beliau. Yang lebih menarik adalah rentetan cerita Laksmana Sunan melalui 4 novel beliau yang kini menanti sambungan melalui novel yang bakal terbit.

Kini aku sendiri akui bukan semua peminat novel itu jiwang. Aku sendiri tidak meminati tulisan novel bak kisah cinta yang tidak berkesudahan yang jalan penceritaannya sangat malar dan kerap dihidang melalui drama-drama TV dan filem yang cuma dilakonkan dengan watak berbeza dan lokasi yang berubah. Memilih novel yang berkisar tentang cinta bagi aku sangat menterhadkan daya berfikir. Dan mungkin anda di luar sana juga tidak terkecuali mempunyai persepsi yang negatif terhadap peminat novel, saya tidak akan salahkan anda. Memang rata-rata pembaca novel adalah peminat kisah-kisah cereka cinta dan ramai penulis novel itu gemar membuai pembaca dengan kisah-kisah imaginasi ringan sedemikian kerana target mereka adalah remaja. Lagipun, tidak ramai diantara penulis itu punyai ilmu pengetahuan yang luas untuk membentangkan sebuah karya yang berkualiti melainkan imaginasi khayalan mereka sendiri yang diterjemah melalui kreativiti tulisan.
Namun begitu, aku juga dapati penulis novel Jangan Sebut Namaku, Norfadzillah Omar turut mampu menulis novel thriller dengan sangat baik. Setakat ini aku baru membaca novel tersebut kerana berminat dengan unsur illuminati yang diwujudkan dalam karya tersebut. Aku yakin beliau turut menerbitkan beberapa lagi novel lain yang baik. Cuma aku tidak boleh melupakan perkataan 'sebal' yang terlalu kerap diulang tulis di dalam novel tersebut.

Untuk novel yang berjaya menembusi layar perak, Ombak Rindu hasil tulisan Fauziah Ashari, bagi aku ia biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana aku menonton filem Ombak Rindu terlebih dahulu berbanding membaca novelnya, aku rasakan aku lebih tertarik dengan watak Izzah di dalam filem berbanding di dalam novel. Pada pendapat aku, pembaca novel tersebut mungkin merasakan filem tersebut tidak sehebat novelnya kerana mereka terlalu mengharapkan kesemua plot cerita novel Ombak Rindu dapat diadaptasikan sepenuhnya sedangkan mereka lupa ada kekangan untuk mewujudkan semua watak yang terlalu ramai dalam novel tersebut. Sesetengah watak yang tidak penting terpaksa disunting untuk melengkapkan slot filem selama 2 jam itu. Aku setuju dengan jalan cerita filem sekarang ini kerana bagi aku sesetengah watak di dalam novel itu kelihatan amat tidak penting dan kehadiran cerita mereka tidak membantu menghidupkan cerita. Filem tersebut sudah digarap dengan sangat baik untuk memikat ribuan penonton untuk hadir ke pawagam.
Sebelum mengakhiri thread ini, aku ingin pembaca cuba melayari novel terbaru Ramlee Awang Murshid berjudul Fiksyen 302. Mungkin penulis novel tersebut tidak terfikir akan hal ini namun aku dapat merasakan bahawa ada persamaan jalan cerita ini dengan kes pembunuhan gadis Mongolia.

1 Komen:

yeop24 said...

Saya sehaluan dengan anda...
walaupun saya belajar di aliran sastera hanya beberapa novel shj yg saya minati seperti 'Mereka Yang Tertewas'-novel subjek sastera Ting.5...
beranjak waktu suasana pembelajaran di universiti tercetus naluri untuk membaca novel yang dipinjam oleh seorang rakan,lebih ke arah percintaan dan tidak menepati jiwa saya karya yang berbuai dalam khayalan dan kesudahan yang dapat dijangka...hingga suatu hari saya memintanya meminjamkan novel suspen atau seram atau seumpamanya, seterusnya saya diperkenalkan dengan novel "Tombiruo"...begitulah permulaan kisahnya terpaut hanya pada nukilan saudara RAM sahaja sehingga kini...hampir semua karyanya telah saya perolehi kecuali "Igauan Maaut" dan yang terkini "Mitos".