Tuesday, January 1, 2013

Menang membeli, menang memakai

Nike Tiempo
Ambang tahun 2013 merupakan kali pertama aku lakukan dengan perkara ilmiah. Sebelum ini, sering disajikan hiburan-hiburan TV dengan nyanyian dan tarian muda-mudi. Namun begitu, aku tidak mampu mengimbas kembali andai ada aku terlibat dengan mana-mana acara sambutan tahun baru secara langsung. Mengikut perancangan awalnya, aku ada plan untuk pergi ke Putrajaya untuk mengambil gambar bunga api. Tapi hajat itu aku batalkan.

Tanpa rasa kesal, aku duduk dirumah melayari internet dan Facebook. Seperti kata orang-orang alim, sesuatu yang tidak menjadi itu akan datang bersama hikmah. Alhamdulillah melalui internet, aku dapat melayari program 'Di Ambang Tahun Baru' di bawah projek Kerajaan Negeri Selangor secara langsung yang turut dijayakan oleh Ustaz Azhar Idrus, Wan Zack Haikal, Kamal Adli, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni, Pierre Andre, Diana Amir, Malik Noor, Ustaz Haslim Baharin, Aziz M Osman dan beberapa lagi yang lain.
Okey, panjang mukaddimah aku. Entry pertama dalam hari pertama di 2013 adalah berkenaan dengan benda pertama aku shopping pada tahun ini. Bukan nak berbangga sangat dengan tahun baru yang bukan kepunyaan kita ini, sekadar bermain-main dengan nombor.

Ahad lepas, aku keluar temankan kawan cari barang hantaran kahwin. Singgah-singgah lah sekejap kat kedai sukan. Nampaklah kasut lawa-lawa kat sana. Sempat beli dua helai baju sempena jualan akhir tahun. Kasut tak beli pun tapi tergerak hati nak beli kasut bola memandangkan hari Jumaat nanti ada perlawanan persahabatan. Aku sempat bergurau dengan pelayan kedai sukan di IOI Mall tersebut. "Ada yang harga RM50 tak?" Dia ketawa dan menggeleng. Kasut-kasut yang ada berharga dalam lingkungan RM200 ke atas. Sebelum ni dah beli kasut, tapi tak memuaskan hati. Memang ada lah beberapa kali menjaringkan gol tapi secara keseluruhan, kasut itu sangat teruk.

Kasut yang aku pamir kat atas sekali merupakan kasut kenangan aku. Kasut yang aku beli dengan harga lebih RM400 di kedai sukan Nike kat Suria KLCC. Itupun selepas diskaun. Maklumlah menggunakan kulit. Aku beli bersama adik lelaki aku yang pada masa tu masih belajar di universiti. Gambar kasut ni dah tinggal kenangan. Tapaknya sudah hancur walaupun aku sudah menjahitnya. Ia reput akibat digunakan secara lasak. Usianya bersamaku mungkin telah mencecah 7 tahun. Aku amat berpuas hati dengan kualitinya. Kasut itu sentiasa menemaniku semasa kerap bermain di padang Kolej Kejuruteraan UPM dulu.

Pada hari pertama di 2013 ini, aku membeli sebuah kasut bola berjenama Admiral di Jusco Equine Park. Tidak berhasrat untuk membeli jenis yang mahal kerana padang yang akan kami gunakan tidak begitu berbaloi untuk sebuah kasut yang mahal. Harganya RM99.90, jauh lebih murah dari kasut-kasut yang aku lihat sebelum ini. Tambahan pula ia diberikan diskaun sebanyak 70%. Akhirnya aku cuma perlu membayar dengan harga di bawah RM30 untuk sepasang kasut bola yang agak menarik pada pandangan aku. Jauh lebih murah daripada harga kasut yang aku sebut semasa bergurau dengan pekerja di sebuah kedai sukan di IOI Mall. Kebetulan pula, saiz yang diharapkan masih ada dan hari tersebut merupakan hari terakhir mereka mengadakan diskaun sedemikian rupa. Alhamdulillah, Allah berikan aku kesempatan untuk memilikinya.

Aku tidak menaruh harapan tinggi untuk sebuah kasut yang berharga murah ini. Aku tidak akan membanding-bandingnya dengan kasut yang pernah berkhidmat denganku sebelum ini. Aku cuma berharap agar aku tidak kekok menggunakannya, tidak mencederakan aku, serta tidak mengecewakan orang lain dalam caraku menggunakannya. Aku berharap aku mampu memanfaatkannya sebaik mungkin.
Admiral Pulz Striker
Inilah tayar baruku di atas padang. Semoga inilah yang dikatakan sebagai 'menang membeli, menang memakai'.

0 Komen: