Tuesday, September 28, 2010

Bertunang menurut hukum feqah

Assalamualaikum. Telah begitu lama rasanya aku tidak mengarang apa-apa dalam blog Zaman Berzaman ini. Mungkin aktiviti yang semakin padat dengan majlis pernikahan adik lelaki aku di sebelah perempuan dan kemudian belah lelaki dari Sungai Buluh ke Tawau. Selepas itu diikuti dengan perpindahan ke rumah baru, penyesuaian kepada tugas-tugas baru di tempat kerja serta persiapan untuk menghadapi ramadhan serta balik ke kampung sempena Aidilfitri.

Baru-baru ini aku mendapat tawaran untuk sesi fotografi majlis pertunangan salah seorang rakan sekerja yang mana salah seorang anak perempuannya akan melangsungkan pertunangan pada bulan oktober. Pada mulanya agak berat untuk aku menerima tawaran itu namun setelah perbincangan dengan salah seorang rakan, aku bersetuju untuk menjadikan ia platform untuk melangkah setapak lagi dalam dunia footografi. Semoga segalanya diperkenankan Allah.

Mengingatkan akan tawaran tersebut, aku terpanggil untuk berkongsi maklumat berkaitan hukum bertunang mengikut hukum feqah yang dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam salah satu sesi soal jawab bersamanya. Untuk pengetahuan semua, kenyataan ini pernah dinyatakan oleh Ustaz Lamin, salah seorang guru agama aku masa di sekolah menengah. Namun begitu, inilah kali pertama aku menemui penjelasan lain yang menyokong kuat kenyataan Uztaz Lamin selepas 12 tahun meninggalkan alam persekolahan.

Dalam video tersebut, Ustaz Azhar Idrus membaca salah satu soalan yang dikemukakan yang lebih kurang berbunyi;

"Jika salah seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang wanita untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah dikira bertunang walaupun ibubapa wanita itu belum lagi tahu dan kenal akan pihak lelaki. Adakah dikira betunang? Mohon penjelasan."

Untaz Azhar Idrus menjelaskan bermula akan makna PINANG dalam Islam atau hukum Feqah. Pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Apabila pihak perempuan setuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki tersebut.

Uztaz Azhar turut memberikan beberapa contoh peminangan samada melalui panggilan telefon mahupun SMS sebagaimana teknologi yang sedia ada dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Menurut pendapat ini, apabila seseorang wanita itu memberikan jawapan sebagai tanda dia suka dan setuju kepada hasrat tersebut, wanita itu telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut dan sesiapa yang tahu akan perkara tersebut dan masuk meminang pada masa berikutnya, hukumnya adalah haram.

Mengikut penjelasan Ustaz Azhar lagi, apa yang dipraktikkan oleh masyarakat Melayu moden pada hari ini dengan kehadiran rombongan majlis pertunangan dengan membawa hantaran adalah merupakan sekadar adat sahaja dan perkara kedua selepas hukum Islam yang utama.

Persoalan seterusnya mengenai kehadiran atau pengetahuan ibubapa apabila pihak wanita itu menjawab secara bersendiri akan hasrat pihak lelaki, adakah dikira sebagai bertunang juga?

Dalam menjelaskan hal ini, Ustaz Azhar menerangkan bahawa jika perempuan itu yang persetujuannya sah pada syarak maka dengan ini pertunangan ini adalah sah. Bagaimana yang disebut ulamak sebagai perempuan yang persetujuannya sah pada syarak? Mereka adalah perempuan-perempuan yang waras, perempuan yang telah baligh, perempuan yang cerdik dan perempuan yang boleh membawa diri.

Yang berhajat hanya dengan persetujuan wali atau persetujuannya tidak sah pada hukum syarak antaranya adalah perempuan yang belum baligh, perempuan yang jenis lemah akal fikirannya atau seorang perempuan yang gila.

Apabila mendengar jawapan daripada Ustaz Azhar Idrus ini, ternyata hukum Islam itu amat mudah dan proses menjejakkan kaki ke alam rumahtangga itu tidak sesukar sebagaimana yang kita bayangkan. Namun begitu, kita dibayangi oleh adat yang terpaksa kita tanggung untuk memenuhi kemahuan keluarga serta menjaga kepentingan pandangan masyarakat yang penuh dengan adat isiadat.

Dalam video lainnya pula, Uztaz Azhar turut menyatakan bahawa walaupun telah menjadi tunangan orang, dia bukanlah hak mutlak kita. Tidak ada perkara yang wajib untuk seseorang itu mengikuti kehendak tunangannya. Andai perempuan itu tidak suka dan kemudian berkahwin dengan orang lain, maka ia adalah sah.

Asal rombongan peminangan

Selepas beberapa bulan majlis perkahwinan adik lelaki aku, kami berdua ada membincangkan perkara berkaitan adat orang Melayu lama dalam urusan peminangan yang mungkin aku boleh kongsikan.

Dalam kerajaan Melayu lama, raja-raja Melayu akan membawa rombongan peminangan beserta beberapa dulang buah tangan daripada pihak lelaki sebagai hadiah kepada pihak perempuan. Dalam hal ini, perkara ini menjadi ikutan masyarakat pada zaman tersebut untuk membawa sesuatu pada urusan peminangan sebagai sesuatu yang disebut hantaran. Perbezaannya, raja-raja pada zaman tersebut hanya membawa buah tangan yang diberikan ikhlas kepada pihak perempuan tanpa meletakkan apa-apa syarat. Ia sekadar sebagai tanda hormat supaya tidak datang dengan tangan kosong. Sebaliknya, masyarakat Melayu menjadikan ia sebagai perkara wajib dan meletakkan bilangan-bilangan dulang tertentu serta budget sesuatu hantaran.

Setelah urusan peminangan selesai dan sebelum pihak lelaki beransur pulang membawa kembali dulang yang dibawa tadi, pihak perempuan akan memberikan buah tangan dari pihak mereka supaya pihak lelaki tidak kembali dengan dulang kosong. Ia bukan atas permintaan pihak lelaki atau persetujuan mana-mana pihak. Apa yang menjadi kebiasaan masyarakat Melayu pada hari ini, pihak lelaki akan membawa dulang berisi hantaran dari pihak mereka dan pihak perempuan akan memberi hantaran dalam dulang yang berlainan dan kebiasaannya diberikan dalam bilangan yang ganjil. Selain itu, ada juga yang meletakkan sebagai wajib bagi pihak perempuan untuk membalas dalam bilangan yang lebih.

Bagitulah tradisi-tradisi orang Melayu dalam urusan peminangan. Aku pernah juga terfikir untuk tidak meneruskan adat ini. Pernah aku bertanya pada ibu aku semasa ibu aku sibuk menyiapkan hantaran adik lelaki aku kepada pihak perempuan.

Aku bertanya kepada ibuku samada boleh jika aku bertunang nanti tidak ada hantaran-hantaran begini? Ibuku menjawab, "boleh". Namun begitu ibuku turut memberitahu bahawa kita di pihak lelaki ni bergantung kepada adat dan kebiasaan keluarga pihak perempuan. Maklum sahajalah kita ni nak meminang anak orang, jadi kenalah menurut bagaimana kebiasaan pihak yang belah satu lagi.

Dalam berbincang hal tersebut aku terfikir sendiri, bagaimana jika aku berkahwin dengan seseorang yang mualaf? Mungkinkah aku boleh menyingkirkan adat kebiasaan begini?



9 Komen:

Fiqah Alias said...

Salam Ziarah..bagus informasi nie..dah lama fiqah cari..fiqah mohon share di blog fiqah dalam masa yang terdekat nie yer..(^.^) harap ilmu nie dihalalkan...

Alfreedino Ahmad said...

Silakan cik Fiqah

Qhaiyra said...

aslmkm.. nk mtk share jgk ye.. t.kasih utk info menarik nih

Qhaiyra said...

aslmkm.. nk mtk share jgk ye.. t.kasih utk info menarik nih

Anonymous said...

nak share jgk ye...

Anonymous said...

nak share jgk ye...

Anonymous said...

nk share jgk ye...

Rozhan said...

Asasalamu'alaikum, walaupun perkara seperti rombongan dan membawa barangan tu adat, boleh juga di lihat daripada segi islamnya .. seperti sunat membawa hadiah apabila berkunjung ke rumah saudara atau sahabat. memberi orang yang melawat itu makan juga suatu sunat, jadi tak rugi apa pun jika kita meneruskan adat tetapi jangan lah ada ketetapan yang rigid kerana ia tidak ada hukum tertentu. Kita anggap lah sebagai tata susila sopan santun .. wallahu'alam.

Qin Hartini said...

Good info, tq :)