Monday, October 15, 2012

Parakang - Manusia Jadian


"Aku dengar orang Sabah sendiri cakap, kat Sabah ada Werewolf. Betul ke?" tanya seorang sahabat aku yang mempunyai pangkal Tengku pada namanya itu, seusai solat di surau tempat kerja.

Pada waktu itu bulan Ramadhan yang mana kita umat Islam menyambut fardhu puasa selama sebulan. Aku yang kebetulan bercerita mengenai hari penerbangan balik kampung ke Tawau, Sabah membuatkan dia terfikir untuk bertanya. Aku menolak daripada mengakuinya kerana tidak pernah mendengar tentang 'Werewolf' atau 'Serigala Jadian'. Lagipun pada hemat aku, Sabah ini besar. Sebuah daerah sahaja sama besar dengan negeri-negeri di Semenanjung, malah mungkin jauh lebih besar daripada beberapa buah negeri kecil yang lain walau mungkin dari segi infrastukturnya tidak dibangunkan oleh kerajaan sebagaimana di Semenanjung.

Seperti di Semenanjung, dari sebuah negeri ke sebuah negeri itu, sudah tentu ada perbezaan dari segi loghat, budaya, amalan, kebiasaan serta cerita-ceritanya. Begitulah juga di Sabah, setiap berapa kilometer persegi keluasan daerahnya yang sebesar itu pasti punyai cara hidup harian yang lain dengan daerah lain di sebelahnya. Malah dalam satu-satu daerah sendiri, bilangan etnik pribumi yang pelbagai itu punyai budaya yang berlainan antara satu sama lain. Tapi mungkin bagi mereka-mereka yang tidak memahami, katanya asalkan Sabah, semuanya tahu. Tambahan pula seperti di kawasan Tawau sendiri, suku-suku yang datang daripada Indonesia (Kalimantan dan Sulawesi), Timor Leste serta Filipina sudah tentu punyai cerita masing-masing yang mana tidak ketahui oleh masyarakat lainnya.
Jadi, kali ini Zaman Berzaman ingin mengetengahkan sesuatu yang bersifat mistik, khurafat, tahayul serta horor. Ia berkaitan dengan manusia jadian - 'Parakang'.

Semasa zaman kanak-kanak dulu, orang-orang tua sering menakut-nakutkan kami dengan jelmaan yang mereka sebut sebagai 'Perakang'. kata arwah nenek, matanya merah. Hingga dewasa, aku tidak pernah tahu apa itu 'Perakang'. Kalau tanya kepada famili aku, mereka pun main sebut sahaja. Mungkin nama tu agak sedikit 'horor' untuk menakutkan budak-budak. Kata mereka lagi, ia adalah hantu. Hantu yang bagaimana tidak pula dijelaskan secara terperinci. Namun begitu, ada sesetengah orang yang digelarkan oleh mereka sebagai Perakang. Aku agak keliru samada Perakang ini orang atau hantu? Takkanlah orang yang fizikalnya macam aku ini, yang berjalan di siang hari dan berbelanja seperti orang lain di pasar-pasar itu adalah hantu Perakang?

Semasa bertemu dengan salah seorang sahabat aku di Kuala Lumpur yang kebetulan datang dari daerah yang sama denganku di Sabah, menurut penceritaannya, Perakang atau nama sebenarnya 'Parakang' adalah manusia biasa yang menuntut ilmu salah (khurafat) dek kerana mengejar ketamakan dunia untuk hidup senang. Kerana mungkin ada persyaratan tertentu dengan makhluk ghaib, maka mereka akan bertukar kepada makhluk lain bila sampai waktunya. Tidak pasti menjadi makhluk apa tapi menurut apa yang aku fahami, mereka menjadi makhluk bukan manusia. Seperti yang aku baca melalui carian di internet, mereka mungkin boleh menjadi seekor anjing yang berbeza dengan anjing yang sedia ada dek campuran dengan fizikal manusia. Mungkin inilah yang rakan aku maksudkan tadi sebagai Werewolf itu.

Ia bolehlah dikatakan seperti saka dan diperwariskan. Mengkaji asal-usul Parakang, aku dapati ia adalah warisan khurafat yg dibawa dari tanah Sulawesi Selatan oleh orang-orang Indonesia. Manusia jadian digelar 'Parakang' ini dikatakan masih wujud hingga ke hari ini dan berkeliaran tanpa orang lain tahu siapa mereka. Mereka mungkin boleh jadi seorang individu, mahupun sebuah keluarga.

Melalui carian di http://mforum.cari.com.my/, aku dapati beberapa info menarik mengenainya. Ia seperti yang anda boleh baca di bawah ini:
Melalui bacaan di atas serta info-info yang aku peroleh dari rakan-rakan, dapatlah disimpulkan bahawa 'Parakang' merupakan amalan yang memerlukan pewaris. Ia sama seperti saka atau hantu raya.

Melalui sebuah laman blog, ada menceritakan mengenai makanan 'Parakang' ini. Aku petik sebahagian tulisan dari blog http://kampiri.blogspot.com/ yang aku percaya penulisnya seorang rakyat Indonesia:

"Jika di sebuah rumah terdapat seorang yang sakit, pemilik rumah harus ‘memagari’ rumahnya dengan baca-baca (mantera) khusus sambil biasanya menyiram dengan air garam disekeliling rumah. Hal ini dilakukan agar terhindar dari parakang yang memiliki ‘indera penciuman’ sangat tajam untuk mendeteksi tempat orang sakit berada. Parakang adalah satu jenis hantu atau mahluk halus di Bugis yang sangat ditakuti. Parakang bisa mengubah diri menjadi bermacam-macam wujud: pohon pisang, kambing, tangkai-tangkai bambu atau ampoti (keranjang dari daun kelapa tempat bertelur ayam). Suatu waktu nenekku pernah cerita pada saya bahwa parakang mengisap pello (rektum) orang sakit. Parakang melihat orang sakit seperti sebiji nangka atau buah-buahan lain yang matang sempurna dan menggiurkan untuk dicicipi."

Seperti yang diceritakan oleh rakan-rakan yang mengetahui mengenainya, individu yang menjadi 'Parakang' ini bergaul dalam komuniti masyarakat sebagaimana orang lain. Adakalanya mereka datang menunaikan solat di masjid bersama jemaah lain, mengikuti bacaan Al-Quran atau mana-mana majlis keagamaan. Mereka tidak mengasingkan diri dari masyarakat luar. Malah ada dikalangan masyarakat mengetahui bahawa mereka adalah pengamal ilmu khurafat tersebut. Mungkin dek kerana kebiasaan sekampung, mereka punyai persiapan andai berlaku perkara yang tidak diingini.

Adakalanya aku terfikir, adakah manusia jadi-jadian ini yang digelar Parakang, atau ahli keluarga mereka, berkemungkinan akan merentasi Laut China Selatan untuk bermastautin di Tanah Semenanjung? Kerana ia pernah melintasi Selat Makassar dan Laut Sulawesi untuk sampai ke Sabah. Mungkinkah mereka sudah berada di sekeliling anda dan bekerja di sektor-sektor awam serta swasta dan sedang hidup dalam masyarakat? Bagaimana mereka mampu menyesuaikan diri? Adakah mereka juga akan berubah bentuk? Mungkin sudah ada ceritanya namun kesahihannya, hanya Allah maha mengetahui.

Begitulah sebagaimana yang sempat aku nukilkan mengenai 'Parakang' ini. Ia mungkin sesuatu yang berguna untuk dikongsikan untuk pengetahuan aku yang berada dalam masyarakat tersebut serta untuk pengetahuan rakyat Malaysia serta pembaca-pembaca lainnya. Aku terpaksa merujuk kepada forum-forum serta tulisan-tulisan blog lain untuk menguatkan pengisian di sini kerana aku sendiri tidak punyai pengetahuan yang luas mengenainya.
Selain itu, anda mungkin berpeluang untuk mendapatkan informasi lain melalui link di bawah:
1. Parakang manusia jadi-jadian di Sulawesi Selatan lengkap
2. Mistik Bugis: Legenda Poppo’ dan Parakang

Kisah ini mungkin benar, mungkin juga tidak benar namun dalam masyarakat kita, cerita sedemikian ada yang mensahihkannya. Namun begitu amalan tahayul dan khurafat adalah salah di sisi Islam. Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud:

…sesiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya lalu dia mati dalam keadaan kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat serta mereka itulah ahli neraka, mereka kekal didalamnya (selama-selamnya).”


Wallahu'alam...

0 Komen: