Aku di rumah seorang-seorang tengahari itu. Di luar pula awan berarak mendung. Laman sosial FB aku buka sambil melihat telatah rakan-rakan melalui status-status mereka. Ada yang bersedih, ada yang membentak-bentak, ada yang mengongsi gambar dan risalah berfaedah, ada yang sedang bersyukur, turut tidak ketinggalan yang kerap berkongsi gambar peribadi. Yang tak bernhenti-henti berdoa melalui FB pun ada sedangkan sudah beberapa kali orang-orang alim mengingatkan bahawa FB bukan perantara doa kita kepada Allah.
Perut mulai lapar tapi di luar hujan mulai turun. Aku khabarkan kepada rakan-rakan yang rancak berbalas komen bahawa aku akan keluar untuk mengalas perut. Makanan tengahari masih belum dijamah. Sempat aku mengambil beberapa keping gambar sebagai tatapan rakan-rakan di FB. Ya, mungkin aku terpaksa pergi berseorangan dalam keadaan hujan yang mulai turun semata-mata untuk mengisi perut yang kosong.
Selepas memuat naik gambar, aku mula memakai baju hujan untuk meredah rahmat Allah untuk sekelian makhluk di alam ini. Hari sudah agak petang. Tak rela rasanya untuk membiarkan harta pinjaman sementara ini berlapar. InsyaAllah akan ku jaga walau terpaksa meredah sedikit kepayahan kerana hujan yang turun ini membantu menepis kata-kata musuh durjana yang setiap hari mengatakan bahawa di tanah ini tiada air terawat. Apakah lagi yang lebih baik selain air hujan?
Selepas meredah air hujan yang mula gerimis, sampailah aku berseorangan di sebuah kedai makan. Mungkin bagi sesetengah orang, masa beginilah akan dihabiskan bersama teman wanita. Tapi bagi aku, ada rakan menemani sudah memadai.
Hidangan sampai berupa nasi goreng ayam bersama air. Dalam keadaan redup selepas hujan itu, aku menjamah makanan sambil ditemani oleh Wifi untuk laman sosial. Masih berbalas komen dengan rakan-rakan dalam FB. Kedengaran amaran berbunyi melalui telefon bimbit menandakan bateri mulai lemah. Segera aku memadamkan aplikasi Wifi untuk menjimatkan bateri.
Sekadar hiasan |
Di meja hadapan aku pula, sebuah keluarga bersama bayi yang sangat kecil. Mungkin dalam lingkungan umur sebulan atau dua. Semasa di kendong, mata bulatnya menjadi perhatianku. Sungguh comel mata suci itu memandang. Dia tepat memandang ke arahku memberi perhatian. Hingga saat aku menulis isian kali ini, aku tidak boleh melupakan pandangan bayi itu. Tersentuh hati aku melihat pandangan bayi kecil itu.
Kemudian aku lihat sepasang adik beradik sedang melintas jalan. Si kakak memimpin tangan adiknya yg lebih kecil sebelum melintas. Si kakak yang lebih cerdik memerhatikan kiri dan kanan jalan untuk memastikan mereka berdua dalam keadaan yang selamat semasa melintas. Ada kasih sayang si kakak kepada adik dan si adik pula sangat patuh pada kakanya. Sungguh indah keadaan itu. Aku teringin punyai anak yang sebaik itu.
Jauh di sudut hati aku, singgah perasaan untuk memiliki sebuah keluarga. Melahirkan anak-anak secomel itu dari keturunanku dan isteriku. Aku berbuat baik terhadap isteriku disamping memberi belaian kasih sayang, dan isteriku membalas dengan kepatuhannya. Anak-anak pula sentiasa mendengar nasihat ibubapa dan keluarga hidup dalam suasana beragama sentiasa. Aku ingin mendidik isteri dan anak-anakku berlandaskan agama. Walaupun ilmuku hanya sekangkang kera, namun apa yang dididik sebagaimana aku masih kecil oleh ibubapaku, begitulah jua akan aku didik mereka, insyaAllah. Selebihnya, aku biarkan mereka menuntut ilmu yang lebih baik lagi di luar sana oleh mereka-mereka yang lebih arif.
Lamunanku terhenti. Telefon bimbit berbunyi. Sungguh indah rasanya hidup dalam dunia angan-angan. Aku menjawab deringan itu daripada seorang rakan yang duduk berhampiran. Katanya dia akan sampai sebentar lagi kerana dia turut belum menjamah makanan. Aku menunggunya walaupun makanan di mejaku sudah habis.
Dalam penantian itu aku tersenyum sendiri. Di usia melebihi 30-an ini, aku masih hidup membujang. Makan adakalanya berseorangan, untunglah jika ada rakan-rakan sedia meneman. Masih dengan aktiviti dan program-program orang-orang muda seperti bersukan, fotografi, bermain muzik, menulis serta melayari laman sosial. Entah siapalah yang akan menjadi suri hidupku nanti dan meneruskan kelangsungan hidup mengikut fitrah. Bertuahlah bagi mereka-mereka yang berkahwin awal.
Kemudian sampailah rakan aku tadi menemani aku. Mungkin ada hikmahnya semua ini. Allah sempatkan sebuah panggilan dalam keadaan bateri telefon bombit yang sudah hampir padam itu untuk aku dihubungi. Agar aku berteman, agar aku tidak terus melayan hati yang sedang rawan. Aku tidak pasti namun aku tetap bersangka baik pada ketentuan Allah. Kemudian seorang lagi rakan muncul tanpa dirancang menjadikan kami kini bertiga dan berbual soal kerja serta kehidupan.
0 Komen:
Post a Comment