Thursday, July 7, 2011

Nota buat adik-adikku yang bergelar kaum Hawa


Wahai adik-adikku yang bergelar kaum Hawa,

Bila ada seorang lelaki datang kepadamu untuk memberi harapan dan bersedia untuk menerima siapa dirimu seadanya, maka jagalah dirimu sebaiknya untuknya. Janganlah sesekali kau sakiti hatinya dan khianati dirinya dibelakangnya kerana dia akan merasa sebuah keperitan kerana mengenangkanmu kelak. Hargailah setiap masa bersamanya sejak awal hubungan itu bermula.

Aku pernah melalui suatu ketika yang mana aku memberi segalanya untuk kebaikan sesebuah hubungan dengan menjaga adab-adabku. Aku didiknya dengan contoh tauladan yang baik agar dia kenali bagaimana itu insan solehah. Namun apa yang aku lakukan tidak mendapat balasan yang setimpal sebagaimana pengorbanan yang aku harapkan di belakang aku. Walaupun perbuatan itu berlaku setahun lamanya diawal-awal hubungan dulu yang baru terbongkar, amat perit luka itu menusuk ke kalbu setelah aku tahu.

Kini bertambah-tambah keyakinan aku terhadap maha adilnya Allah itu. Dia tunjukkan aku perkara-perkara yang mereka sembunyikan yang mana aku terlepas pandang disaat aku sentiasa bersangka baik. Aku bertambah yakin akan janji Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud;

"Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."

Aku cuba memaafkannya dan cuba menerima kesilapannya kerana aku telah mengorbankan usiaku setelah bersamanya, namun aku tidak boleh melupakan perbuatan mereka kerana ia sering mengganggu di minda. Setiap kali bersama selepas itu, aku sentiasa melihat ada bekas-bekas kepahitan yang cuba diselindungkan dengan kemanisan. Tiada lagi keindahan dari pandanganku walaupun aku cuba menyembunyikan dengan senyuman dan gelak tawa. Sering ada saja yang tidak kena dan timbul ungkit-mengungkit. Walaupun dia menunjukkan kekesalannya dan berjanji untuk cuba menebus semuanya semula, aku rasakan segala-galanya terlalu lambat kerana sudah ada calarnya dalam hubungan itu terutama bila ia melibatkan orang lain yang sentiasa ada disekelilingku yang akhirnya telah menghancurkan erti sebenar kesetiaan dalam hubungan dan runtuhnya nilai sebuah persahabatan.

Selepas berfikir panjang, aku putuskan untuk mengakhiri segalanya kerana aku tidak kuat untuk mengharunginya pada masa hadapan bila kemanisan hubungan itu diganggu dengan masalah silam. Biarlah ia berakhir begini daripada mengorbankan sebuah institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Aku khuatir akan tercuit kembali jika ada sedikit perbalahan yang mampu menggegar tembok kesabaran. Mungkin ia juga perlu dijadikannya sebagai pengajaran untuk hubungannya bersama insan yang lain nanti. Aku memaafkan, aku sedia melupakan namun ia tidak sesekali beerti penerimaan.

Jadi adik-adikku yang bergelar kaum Hawa,

Hiasilah peribadimu dengan sifat-sifat mahmudah. Jagalah akhlakmu senantiasa. Janganlah kau pengaruhi hatimu dengan keseronokan dunia yang sementara ini. Sudah tentu kau mahukan seorang pasangan yang baik untukmu, maka jadikanlah dirimu seorang yang baik dahulu sebelum meneruskan cita-citamu itu.

Masih ramai lagi lelaki-lelaki yang baik namun jika kau tidak bertemu mereka, itu bermakna kau meletakkan dirimu di kalangan mereka-mereka yang tidak baik. Berhijrahlah ke tempat-tempat yang baik agar mudah kau mengenali mereka. Seandainya telah kau temui mereka, maka hargailah hubungan itu dan semailah kesetiaan sedari awal hubungan dan pupuklah kasih sayang untuk mendapat keredhaan.

Jadikanlah apa yang telah aku ukir di sini sebagai sesuatu yang berguna untukmu. Janganlah menyesal di kemudian hari kerana bukan mudah menemui insan yang mampu memberi harapan. Jagalah dirimu sebaiknya untuk agama yang diwasiatkan untuk kita.

Aku, akan terus melangkah berbekalkan separuh jiwa ini untuk mencari seseorang yang telah ditakdirkan untukku sejak di luh al-mahfuz. Aku tidak mahu menjadi seseorang yang berputus asa. Seandainya tidak bertemu, aku pasrah kerana aku percaya Allah ada menyediakan rancangan-Nya untukku.


Sekeping nota dari abangmu,
Seorang insan yang bergelar kaum Adam

Friday, June 17, 2011

Namakan mereka nama yang indah


Setiap pasangan ibu bapa idamkan sesuatu yang istimewa terhadap cahaya mata mereka. Lalu pelbagai usaha dilakukan agar cahaya mata meleka lahir dengan sempurna dan diberikan keperluan secukupnya. Ada yang yakin dengan membaca surah Yusuf ketika bayi dalam kandungan, bayi itu akan sempurna rupa parasnya sebagaimana Yusuf Alaihissalam.. begitu juga yang idamkan anak perempuan dengan surah Maryam. Baguslah, jika amalan ini dilakukan kerana membaca ayat2 suci al-Quran itu adalah ibadah namun janganlah terlalu bergantung harap kerana lain pula jadinya jika sesuatu yang diinginkan tak tercapai.

Selain itu, sesuatu yang ibu bapa sentiasa berfikir ketika bayi mereka masih dalam kandungan ialah tentang nama anak mereka. Kerana nama yang telah diberikan akan terpahat pada diri setiap manusia hingga di Padang Mahsyar kelak. Namun begitu, adakah semua ibu bapa mengambil berat tentang makna nama yang telah mereka berikan kepada anak mereka. Tak kisah lah dalam apa jua bahasa asalkan tidak tersalah pilih.

Sebagai adatnya, rata-rata nama anak-anak Melayu di Malaysia menggunakan bahasa arab pada kebanyakannya. Dan agak biasa permulaan nama bagi lelaki ialah Muhammad (atau apa jua cara tulisannya), Ahmad, Abdul ~, dan sebagainya. Bagi perempuan pula kebiasaannya dimulakan dengan Nur, Siti, Nurul ~, dan lain-lain. Ini mungkin dipengaruhi oleh kedatangan masyarakat Arab yang datang berdagang di Tanah Melayu pada suatu masa dahulu. Namun, tak kurang juga yang meletakkan nama Melayu pada anak mereka contohnya Tuah, Megat, Melati, Bunga, dan selainnya. Tak kisah lah asalkan maknanya baik dan indah.
Walau bagaimanapun, hak ibu bapa untuk meletakkan nama pada zuriat mereka harus diteliti tentang maknanya kerana nama juga mempengaruhi kehidupan mereka ketika anak-anak mereka meningkat dewasa. Jangan tersalah letak nama kerana ini mungkan akan menimbulkan aib kepada anak-anak tersebut. Contoh-contoh nama yang agak selalu didengar dan tidak sepatutnya diletakkan pada nama manusia adalah seperti:
  • 1. Nama-nama yang memberi makna yang tidak elok. Nabi s.a.w. pernah menukar nama sahabatnya Zaham (yang bermaksud ‘menyibuk, mengganggu’) kepada Basyir (yang bermaksud ‘berita gembira’). Di antara contoh nama yang sering digunakan :
    • Hazan (Kesedihan), Hazin (Seorang lelaki yang sedih), Hazaniyyah (Hidup penuh dengan kesedihan)
    • Zani (Lelaki penzina), Zaniah (Penzina perempuan)
    • `Asiah (Perempuan penderhaka / Perempuan pembuat Maksiat)
    • Wati (Persetubuhan)
    • Azli (Celaanku), Azlan (Celaan)

    2. Nama-nama Allah (sifat Tuhan), contohnya:
    • Azali
    • Muhaimin

    3. Nama-nama yang berkaitan dengan tempat, contohnya:
    • Suyuti (Orang Asyut)
    • Bukhari (Orang Bukhara)
    • Ghazali (Orang Ghazal)
    • Nawawi (Orang Nawa)
    • Misri atau Masri (Orang Mesir)
    • Baihaqi (Orang Baihaq)
    • Tirmizi (Orang Tirmiz)

    4. Nama-nama yang memberi makna terlalu elok sehingga tidak sesuai diletakkan pada empunya nama seperti Khairunnisa` (sebaik-baik wanita) sedangkan dalam hadits ada menyebutkan: “Sebaik-baik wanita di alam ini adalah Asiah dan Maryam.” Selain itu nama ini juga seakan berlawanan dengan hadits.


    5. Nama-nama yang dilarang dalam hadits seperti Yasar, Robah, Aflah, Najah dan lain-lain kerana ada sempena baik pada suatu nama. Sebagai contoh Najah (Kejayaan). Apabila ada orang bertanya: “Najah ada tak disini?” Maka dijawab: “Najah tiada disini,” secara tidak langsung memberi maksud kejayaan tiada di sini.

    6. Nama yang mengangkat diri sendiri kerana Nabi s.a.w. sendiri ada menukarkan nama Barrah (yang bermaksud ‘yang sangat baik’) kepada Zainab

    7. Nama yang mengandungi unsur-unsur syirik seperti:
    • Abdul Manaf (Hamba berhala Manaf)
    • Ghulam `Ali (Hamba `Ali)

    8. Nama yang sepatutnya untuk lelaki tetapi digunakan pada perempuan, seperti Nur (cahaya) dalam bahasa Arab adalah muzakkar (untuk lelaki)

    9. Nama dengan makna yang tidak tepat dengan pemakainya seperti:
    • Siti (Puan) sedangkan gelaran ‘Puan’ hanya digunakan pada orang yang sudah berkahwin dan begitu juga dengan Anisah (Cik) pula hanya digunakan untuk wanita yang belum berkahwin sebagaimana yang digunakan di tanah Arab pada masa ini.
    • Sayyid (Tuan) digunakan oleh orang `Arab pada sesiapa sahaja asalkan dia lelaki dan ini tidak bermakna dia adalah dari keturunan Nabi s.a.w.

    10. Nama yang sebenarnya adalah nama sesuatu pekerjaan dalam bahasa Arab, contohnya:
    • Masyitah (Tukang sikat rambut) digunakan pada mana-mana perempuan yang bekerja sebagai penyikat rambut
    • Halwani (Lelaki penjual kueh) digunakan pada mana-mana lelaki yang menjual kueh-mueh tetapi digunakan untuk perempuan di Malaysia.

    11. Nama yang tidak betul seperti nama asalnya, seperti:
    • Zaleha – sepatutnya Zulaikha

    12. Nama yang dihubungkan pada kisah yang tidak dipastikan kebenarannya, seperti:
    • ‘Zulaikha’ yang kononnya menjadi simbolik percintaan dan kasih sayang yang kekal berpanjangan bersama Nabi Yusuf yang terkenal dengan ketampanannya. Dipendekkan cerita kononnya Zulaikha bertemu semula dengan Nabi Yusuf setelah beliau sudah tua dan buta matanya. Oleh kerana cintanya begitu mendalam pada Nabi Yusuf akhirnya Nabi Yusuf menerimanya sebagai isteri. Kemudian Zulaikha kembali menjadi muda dan dapat melihat seperti sediakala. Inilah kekarutan yang direka-reka dan kemudiannya turut memberi kesan kepada masyarakat Islam sehingga menamakan anak-anak dengan nama Zulaikha dan menjadikannya sebagai doa dalam kad-kad perkahwinan.
    • Muti`ah kononnya adalah wanita pertama yang masuk syurga sebelum Fatimah al-Zahra` lagi. Dikatakan bahawa beliau adalah seorang wanita yang paling solehah kerana sangat baik dalam melayani dan berkhidmat pada suaminya.

    13. Nama yang memberi makna sifat, seperti:
    • Muti`ah (yang taat)

    14. Nama yang tidak memberi apa-apa makna, lebih buruk lagi jika apabila dipendekkan memberikan makna yang tidak elok seperti:

    • Ezani – dipendekkan menjadi: Zani (lelaki penzina)

    15. Nama yang terpengaruh dengan budaya barat, contohnya:
    • Isaac – asalnya Ishak (Nama Nabi)
    • Harry – asalnya Khairi (Kebaikanku)

    16. Nama yang memberikan makna yang tidak jelas atau lucu dalam bahasa Arab, contohnya:
    • Syamsul Bahri (matahari lautan)
    • Badrul Hisyam (bulan yang pecah-pecah)
    • Nik (kemaluan perempuan atau mentah, tidak matang)
    • Rafidhi (Syiah pelampau)
    • Atan (keldai betina)
    • Haikal (rumah berhala, kerangka, lembaga)
    • Jamalullail (keindahan malam)

    Nota: Sekiranya sesuatu nama memberikan beberapa makna termasuk yang baik dan buruk maka harus menggunakannya kerana ini ada dilakukan oleh Nabi s.a.w. sendiri, contohnya:
    • Zainab - makna baik : nama bagi sejenis pokok yang wangi
    - makna buruk : pengecut
    • Mu`awiyah - makna baik : pembela / pejuang
    - makna buruk : yang menyalak

    17. Nama yang mempunyai ‘ni’ dihujungnya seperti ‘Halwani’ yang sering digunakan pada orang perempuan masyarakat Melayu yang sebenarnya bermaksud ‘lelaki penjual kueh’.

    Nota: Nama-nama bukan dari bahasa Arab yang elok maknanya juga harus dipakai seperti:
    • Fairuz
    • Sirin (manis –bahasa Farsi)
    • Rustam
    • Sarfaraz (mulia)
    • Sibawaih (wangian epal)

    18. Nama-nama yang membawa maksud yang buruk atau langsung tidak memberikan apa-apa makna kerana salah sebutan atau ejaannya seperti:
    • Sukri (kemabukanku) – sepatutnya Syukri (Kesyukuranku)
    • Sya`ari (buluku) – sepatutnya Asy`ari
    • Nordin (tiada makna) – sepatutnya Nuruddin (cahaya agama)
    • Kadir (keruh) – sepatutnya `Abdul Qadir (Hamba kepada yang Maha Berkuasa)
    • Jamaluddin (Unta agama) – sebetulnya Jamaaluddin جمال الدين(kecantikan agama) ya`ni sebutan yang panjang pada ‘maal’

    19. Gabungan yang salah atau tidak kena pada tempatnya seperti ‘Nurhafizah’ tidak memberi apa-apa maksud kerana gabungan ini salah dari segi kaedah bahasa Arab, dan contoh gabungan yang betul: Nurhayati (cahaya hidupku), Nur`aini (cahaya mataku)

    Nota: Harus menamakan dengan nama-nama bintang, burung atau bunga seperti Surayya, Aktar (tuah atau bintang dalam bahasa Farsi) dan lain-lain

    20. Nama yang salah kerana tidak membezakan penggunaan ya mutakallim dengan ya nisbah.
    Ya mutakallim adalah ‘ya’ pada akhir kata nama yang memberi makna ‘sesuatu milikku’ atau ‘daripadaku’ seperti:
    • Syukri (Kesyukuranku)
    • Fathi (Kemenanganku)
    Ya nisbah pula ada ‘ya’ pada akhir kata nama yang memberi makna nisbah atau hubungan pada tempat, pekerjaan dan sebagainya. Contohnya:
    • Imam Jalaluddin as-Suyuti yang bermaksud: Imam Jalaluddin orang asyut
    • Imam Muhammad bin Isma`il al-Bukhari yang bermaksud: Imam Muhammad bin Isma`il orang Bukhara
    • Muhammad Asri yang bermakna ‘Muhammad tawananku’, ini kerana sebenarnya ini adalah ya mutakallim dan bukan ya nisbah. Nama yang betul ialah Muhammad ‘Asri

    Nota:
    Seelok-eloknya sesuatu nama hendaklah dipastikan betul ejaan ruminya kerana nama juga adalah merupakan doa kepada pemiliknya, sekiranya salah sebutannya maka berlainan pula maksudnya, contohnya:
    نعيمة bermaksud yang bahagia, yang lembut, yang mulia tetapi apabila dieja mengikut ejaan rumi maka ia menjadi Naimah نائمة bermaksud yang tidur.

    Selain itu terdapat ilmu yang dinamakan Ilmu Raksi yang mempunyai kaedah untuk mentafsir sifat seseorang berdasarkan namanya, ilmu ini juga pernah disebutkan oleh Ibnu Khaldun dalam bab jenis-jenis ilmu.

    Nota: Kita mungkin boleh mengelakkan kesalahan seperti ini dengan:

    • Membenarkan ejaan mengikut bahasa yang berkenaan seperti jawi, Arab dan lain-lain dalam kad pengenalan atau surat beranak supaya dapat disebut dengan betul mengikut kehendak penama tersebut.

    Jabatan Pendaftaran membenarkan penama yang ingin menukar nama yang tidak sesuai kepada nama yang menepati syariat.

    • Undang-undang diwujudkan bagi mewajibkan pendaftar nama mengikut kaedah yang betul supaya tidak tersalah dalam memberi nama.

    Nota: Harus menggunakan nama gabungan dari ibu atau anak dan ayah sekiranya membawa makna yang elok, seperti nama seorang ulama`:

    • Ihsan Ilahi Zahir – Ayahnya bernama Zahir (pembela, penyokong) bermakna ihsan Tuhanku nyata.

    • Fadhal Ilahi Zahir – bermaksud kurniaan Tuhanku nyata.

    21. Tidak boleh menggunakan nama ‘Malikul Muluk’ atau ‘Malikul Malak’ kerana ada larangan dalam hadits dan terdapat penggunaannya dalam al-Quran, firman Allah s.w.t:
    لِمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

    (Pada saat itu Allah berfirman): "Siapakah Yang Menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): "Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaanya segala-galanya! [ Al-Ghafir :16 ]

    dan ayat:
    هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ

    Dia lah Allah, Yang tidak ada Tuhan melainkan dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat sejahtera (dari Segala kekurangan); Yang Maha melimpahkan Keamanan; Yang Maha pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi Segala KebesaranNya. Maha suci Allah dari Segala Yang mereka sekutukan dengannya. [ Al-Hasyr: 23 ]

    22. Tidak boleh menggunakan nama yang merupakan gelaran yang khusus kepada seseorang Nabi sebagai mukjizatnya, seperti:

    • Ruhullah (Roh daripada Allah) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Isa a.s kerana Nabi Isa dilahirkan tanpa ayah dengan kuasa Allah

    • Khalilullah (Kekasih Allah) / Khalilurrahman (Kekasih kepada yang Maha Pengasih) – gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s

    Selain itu nama-nama ini juga membawa maksud yang sangat tinggi dan keterlaluan untuk dipakai pada orang yang biasa selain bercanggah dengan hadits dan terdapat larangan yang terang berkaitannya.
(Sumber: http://biaqpila.blogspot.com/)

Tuesday, May 17, 2011

Imej-imej medan Paintball 2011 di Taman Pertanian Malaysia















Sunday, May 15, 2011

Pertandingan Paintball di Bukit Cerakah (Antara teruja dan kecewa)

 

KETERUJAAN DENGAN SEMANGAT PASUKAN DAN KEJUARAAN
 
Selesai sudah acara yang telah lama dinanti-nantikan oleh ku. Hari ini adalah hari untuk berehat. Bangun tidur terasa sangat memalaskan dengan tubuh yang letih dengan beberapa kesan tembakkan serta kaki yang masih lenguh. Namun kesemua kesan itu berbaloi setelah kami dinobatkan sebagai juara pertandingan. Ini merupakan kali ke-2 aku bersama pasukan yang bergelar juara sepanjang 3 kali pertandingan ini dianjurkan di IRIS. Pada anjuran sebelum ini, aku hanya berada di tempat naib juara namun bagi aku ia masih berada di tempat yang memuaskan hati.

14 Mei 2011 menyaksikan 4 buah pasukan bertanding dengan setiap pasukan dianggotai oleh 20 orang pemain. Dengan pertama kali bermain di dalam suasana hutan, berkubukan pokok-pokok dan semak samun serta beberapa kubu buatan seperti kereta rosak, pondok, susunan kayu-kayu, serta beberapa pelindung lain cukup mendebarkan seolah-olah bermain untuk kali pertama. Bezanya mungkin aku dan beberapa pemain lain biasa memegang 'Marker' atau senjata paintball.

Perlawanan pertama kami adalah perlawanan menentang pasukan C yang rata-ratanya dianggotai oleh kakitangan dari CLP dan beberapa pemain campuran yang lain. Memandangkan peta yang diberi memperlihatkan bahawa kawasan biru lebih mudah untuk dipertahankan, aku yang berpeluang memilih kawasan memilih tempat tersebut. Perlawanan pertama ini tidak memberikan kepuasan kepada aku walaupun kami memenanginya kerana terasa amat lemah yang mungkin disebabkan tidak cukup tidur. Ditembak pada minit ke-4, menyaksikan ada 7 orang berada di belakang menunggu peluang hidup ke-2. Selepas mendapat peluang ke-2 pada minit ke-5, kami menyerbu lawan dan berjaya menaikkan bendera serta mempertahankannya. Samsuri merupakan hero pada perlawanan tersebut.

Perlawanan ke-2 menyaksikan kami menentang pasukan B yang rata-ratanya dianggotai oleh kakitangan dari CCP. Tidak bernasib baik mendapat kawasan merah yang agak sukar untuk di ramal dan mempertahankan bendera. Namun begitu aku sebagai ketua pasukan melihat rasa kecewa mereka kerana terpaksa menerima kawasan ini. Untuk menaikkan semangat mereka, aku katakan pada mereka bahawa, 'Kita adalah The Viper, walau di kawasan mana pun kita ditempatkan, kita boleh menang di mana sahaja'. Dalam keadaan ini kami terpaksa menukar startegi. Kami meminta agar bahagian pertahanan bergerak ke hadapan kerana berada terlalu jauh akan menyebabkan tembakan tersasar dan tidak sampai. Aku ditembak dari bahagian kiri akibat serangan dari bahagian itu. Memang susah bermain di sebelah kawasan merah. Selepas minit ke-5, aku melihat bendera merah sudah dinaikkan. Peluang hidup kali ke-2 kami manfaatkan untuk terus bertahan. Berbekalkan kata-kata semangat kepada rakan-rakan sebelum permainan bermula, kami mempertahankan bendera merah sebaik-baiknya. Kali ini Azlan adalah hero kami. Aku tidak dapat bergerak jauh kerana mask atau pelindung muka aku kabur dek cat. Syukur, apabila permainan tamat, kami di nobatkan sebagai pemenang. Para pemain membuktikan bahawa kami boleh menang di mana sahaja.

Perlawanan ke-3 menyaksikan pertemuan 2 pasukan yang tidak pernah kalah. Sekali lagi kami terpaksa bermain di kawasan merah yang pada kali ini menentang pasukan A. Perlawanan kali ini agak sengit. Kami menggunakan strategi yang sama seperti menentang pasukan B. Walaupun kami berjaya menaikkan bendera, namun kami gagal mempertahankannya hingga minit terakhir. Walaupun kami bermain lebih baik daripada 2 perlawanan pertama, namun pasukan A bermain dengan lebih baik lagi.

Sebelum meneruskan perlawanan berikutnya, kami berehat sebentar. Kali ini untuk perlawanan suku akhir. Sekali lagi kami ditemukan dengan pasukan B. Kali ini kami beruntung kerana berpeluang memilih kawasan dan sudah tentu kawasan biru adalah pilihan. Entah kenapa pada pertemuan menentang pasukan B kali ini, semangat setiap ahli pasukan begitu tinggi. Azlan sekali lagi menjadi hero dan kami mempertahankan bendera. Di saat-saat akhir, hampir semua pemain kami ada di dalam gelanggang perlawanan yang menyaksikan pasukan lawan hanya tinggal 3 orang, itu pun tanpa peluru. Aku sempat menukar senjata bersama Latifah kerana dia kehabisan peluru. Aku gunakan senjata Latifah untuk mengelirukan pasukan lawan agar mereka terus menyerang aku dan pada saat itu Latifah menenbak lawan tersebut. Kemenangan ini menggagalkan misi pasukan B untuk membalas kekalahan sebelum itu. Kami pula terus membuktikan bahawa kami bukanlah lawan mereka walau dimana kami diletakkan.

Pada perlawanan akhir, sekali lagi kami bertemu dengan pasukan A yang mana kami tewas sebelum itu. Kami tahu perlawanan kali ini akan lebih sengit. Mereka terlalu cekap dan kami terlalu berazam. Aku sekali lagi berjaya memilih kawasan B. Aku tahu pasukan A tidak cekap di bahagian ini berbanding kami yang pernah berjaya di kawasan tersebut. Ternyata perlawan sangat sengit. Pemain pertahanan kami terpaksa bergerak lebih ke hadapan untuk membantu. Aku yang hidup kali kedua selepas minit ke-5 memberikan Azlan bekalan peluru kerana sebelum itu aku ditembak lebih awal. Tidak banyak peluru aku digunakan, Azlan pula telah kehabisan. Kami banyak berada disebelah kiri menyebabkan aku berlari menaiki kawasan bukit di sebelah kanan. Aku berjaya menembak 3 orang dari kawasan tersebut kerana semua pemain lawan menumpukan serangan di sebelah kiri dan secara tidak langsung mengurangkan bilangan mereka. Antara yang berjaya aku tembak adalah seorang daripada mereka yang sedang menaikkan bendera. Bendera lawan kelihatan naik separuh hingga tamat perlawanan. Selepas itu, kami keluar dari medan peperangan. Aku pula gembira dengan perlawanan tersebut dan bagi aku memadai untuk berada di tempat ke-2.

Selepas mandi, aku terdengar bahawa kami telah dinobatkan sebagai juara. Aku tidak menyangka keputusan ini. Menurut pihak penganjur, kedua-dua pasukan gagal menaikkan bendera. Kemenangan dikira mengikut bilangan pemain yang masih hidup. Bendera lawan yang berjaya dinaikkan itu sebenarnya telah dibatalkan akibat pemain lawan yang menaikkan bendera tersebut telah ditembak sebelum menaikkan bendera. Namun Marshall tidak berjaya menurunkan kembali bendera tersebut kerana masa tamat telah hampir dan peluru bebas berterbangan di kawasan tersebut. Pada waktu itu aku teringat akan tembakkan aku pada seorang pemain lawan yang cuba menaikkan bendera sebelum itu dari serangan atas bukit di sebelah kanan.


KEKECEWAAN DENGAN SIKAP PARA PEMAIN

Sukar untuk membaca hati orang lain dan sukar untuk mengawal tindakan mereka. Aku ingat lagi semasa taklimat di auditorium, penganjur beberapa kali mengingatkan agar semua pemain bermain secara fair play. Jika ditembak, keluarlah. Jika tidak keluar, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati orang lain dan menimbulkan cakap-cakap dikemudian hari. Kita faham, adakalanya Marshall terlepas pandang namun perlu kita sedar bahawa yang datang bermain ini adalah rakan-rakan kita sendiri. Jika kita menipu walaupun Marshall tidak melihatnya, pandangan orang lain terhadap kita akan serta merta berubah. Orang yang sepatutnya dipandang tinggi dan dihormati pasti akan menjadi kebencian orang lain selepas ini. Kita bukan berlawan secara professional, tetapi sekadar bermain untuk suka-suka. Jika kita gagal menunjukkan sikap professional kita dalam acara suka-suka begini, bagaimana mahu mendidik golongan lain untuk meneladani sikap? Namun ada beberapa perkara lain yang perlu pemain gunakan helah atau dengan kata lain, 'pandai-pandailah'.

Aku ada mendengar khabar bahawa pemain yang ditembak yang sepatutnya keluar, telah melepaskan berdas-das tembakan terhadap pemain yang menembaknya. Tindakannya itu seperti tidak puas hati dan membalas dendam dengan perasaan yang amat geram. Perilakunya itu dilihat oleh semua pemain yang berada di medan peperangan tersebut hingga menimbulkan simpati oleh pemain pasukan lawan serta pasukannya sendiri. Sikap begini amat mengecewakan dan kita telah boleh menilai sikap sebenar seseorang disebalik perwatakan mereka. Walaupun aku hanya mendengar khabar, kewujudan perkara begini memang terlalu mengecewakan.

Ada juga pemain yang tidak serik-serik ditembak. Sanggup meneruskan usaha untuk menaikkan bendera walaupun das-das tembakkan mengenai mereka. Marshall terpaksa menghalaunya untuk mengelak dia dari cedera teruk. Beberapa tembakkan telah memenuhi bahagian baju di tubuhnya namun dia masih mahu berusaha keras. Kekerasan dan sikap tidak putus asanya itu amat dihormati demi pasukkan namun ia menyebabkan orang lain memandang rendah dengan sikap sebegitu. Walaupun sukar untuk mengenali mereka kerana mereka menggunakan Mask, namun bagi mereka-mereka yang dapat mengecam pasti memandang rendah.

Selepas kami dinobatkan sebagai juara, ada juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa kami menang kerana penganjur ada dalam pasukan kami. Inilah masalah terbesar dalam hati setiap pemain. Kesukaran menerima kekalahan menyebabkan mereka mencari beribu alasan kekalahan. Aku faham bagaimana perasaan mereka dan aku akur dan terpaksa diam. Aku pernah meminta agar Dazlee menjadi ketua pasukan namun Dazlee menolak. Aku yakin Dazlee lakukannya untuk mengelak daripada cakap-cakap orang lain memandangkan dia adalah salah seorang ahli dalam IRC. Aku menghormati pendiriannya namun masalah itu tetap timbul. Ternyata mulut orang sukar di tutup. Lagipun Dazlee bukanlah 'person-in-charge' dalam perlawanan kali ini. Aku telah mengatur segalanya untuk bagaimana bertindak tanpa pertemuan dengan mana-mana Marshall. Dazlee sekadar membantu dalam pendapatnya. En Syah sekadar memberikan pandangan mengenai pergerakkan pasukan dari setiap sudut. Mungkin kerana Dazlee dan En. Syah sedar perkara ini akan berlaku, sebab itu mereka berdua menyerahkan banyak perkara kepada aku untuk membuat keputusan. Aku yang mengetuai pasukan yang tidak terlibat dalam IRC ini telah merancang perkara lain sama seperti ketua pasukan lain. Jika ada kelebihan kepada kami hanyalah kerana ramai di antara kami mempunyai pengalaman. Marshall juga tidak mengenali siapa Dazlee dan En. Syah dalam pasukan tersebut. Bagaimana pun kita cuba terangkan kepada mereka bahawa aku sebagai ketua pasukan yang bertanggungjawab dalam pasukan ini tidak terlibat dengan sebarang konspirasi pengadilan, amat sukar untuk menerangkannya kepada mereka kerana dalam hati-hati mereka sudah ada satu set ketidakpercayaan kecuali jika mereka menang dalam perlawanan tersebut. Nasib baik juga bukan pasukan B memenangi perlawanan tersebut memandangkan pasukan B memiliki 3 orang ahli IRC iaitu En. Kamal, Kak Ida dan Faizul. Sudah pasti tiupan anginnya lebih dasyat. Kini aku sedar kenapa dalam IFAC, kami tidak akan terlibat dengan apa-apa anjuran yang kami sendiri anjurkan.

Kepada para pemain, jika ada lagi apa-apa anjuran selepas ini, jika ada bantahan, bantahlah semasa di dalam medan pertempuran walaupun permainan telah tamat. Cuma di dalam kawasan itu kita bermusuh. Bila kita melangkah keluar, kita masih kawan dan rakan sekerja. Jangan timbulkan isu hanya kerana kita kalah. Ia hanya akan mempamirkan sikap kebudak-budakkan kita pada pandangan orang lain. Ingatlah bahawa kita ini golongan berpendidikan. Jangan buatkan orang lain mempertikaikannya.

Perkara lain yang mengecewaan aku sekadar tidak berpeluang untuk mengambil gambar di dalam medan perang semasa para pemain sedang bertempur. Aku lebih banyak mengambil gambar di luar kawasan perang. Aku hanya sempat mengambil beberapa gambar untuk menjadi kenang-kenangan para peserta. Tidak banyak memegang kamera kerana kesan cecair paintball melekit-lekit di tangan serta keadaan letih selepas permainan membataskan mood untuk menjadi jurugambar pada hari tersebut.

Saturday, May 7, 2011

Selamat Hari Ibu


Hari ni merupakan sambutan Hari Ibu di seluruh dunia. Tentu setiap ibu akan merasa sangat terharu apabila seorang anak itu mengucapkan ucapan Hari Ibu ini sebagai tanda ingatan di mana seluruh masyarakat dunia menyambutnya.

Aku sebenarnya bukanlah seseorang yang gemar menyambut tarikh hari ini sebagai Hari Ibu. Bagi aku, aku berpegang pada satu prinsip yang mana tarikh sebenar Hari Ibu kepada ibu aku, Asmiah Bte Hj Abdul Razak adalah tarikh 2 Jun setiap tahun yang mana tarikh tersebut pada 1981 merupakan hari bersejerarah baginya untuk kali pertama bergelar ibu. Aku turut mengesyorkan kepada rakan-rakan pembaca agar menyambut sambutan hari ibu anda pada tarikh lahir abang atau kakak sulung anda mahupun diri anda sendiri jika anda adalah anak sulung. Kita ubah tradisi yang membingungkan ini.

Sebagaimana yang sering kita baca melalui laman-laman web berkaitan sambutan tarikh Hari Ibu pada hari ini, seharusnya anda telah tahu apakah maksud 'Mother's Day' yang disambut oleh masyarakat Eropah setiap tahun itu, ibu mana yang sering dikenang-kenang oleh mereka. Tidak perlu aku jelaskan dengan panjang lebar, aku harapkan agar para pembaca yang masih keliru terus mencari ilmu. Mungkin ada yang berpendapat bahawa aku berfikiran konservatif, namun aku lebih suka untuk mengatakan bahawa aku berfikiran logik. Bagi aku, tidak masuk akal jika kita menyambut tarikh hari ini setiap tahun yang dicipta oleh kaum mana sedangkan tarikh tersebut tidak ada kena mengena dengan ibu kita.

Namun begitu, kerana hari ini di laman web Facebook, rakan-rakan tidak habis-habis mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada ibu mereka yang tersayang, aku terkenangkan ibu aku yang jauh di Tawau, Sabah. Mengingatkan ucapan-ucapan mereka, ia mengingatkan aku akan tarikh kelahiran aku yang mana pertama kali dia bergelar ibu dan melihat dia mendodoikan bayi saudara-mara aku, aku seolah-olah melihat masa silam aku bagaimana dia membelai aku dengan kasih mesranya. Aku teringat bagaimana dia menyanyikan lagu-lagu era 70-an sewaktu mendodoikan adik-adikku.

Dengan ini, aku persembahkan padanya sebuah slide show dengan iringan lagu 'Rabbani - Ibu Mithali' sebagai tanda penghargaan seorang anak pada ibunya.


 

Majlis pertunangan Ashiela

Sabtu, 30 April 2011 merupakan tarikh bersejarah dalam keluarga aku serta menjadi tarikh keramat kepada Ashiela, adik bongsu aku serta pasangannya, Syahrul Hazizi. Tarikh tersebut telah menyatukan kedua-dua mereka dalam satu ikatan pertunangan.

Perjalanan aku ke Tawau bermula pada Jumaat, 29 April 2011 menaiki AirAsia dengan penerbangan yang dijadualkan pada pukul 7.00pm. Aku sempat bekerja untuk separuh hari pada hari itu. Turut bersama dengan aku adalah adikku, Azhar serta isterinya, Norazwa. Sampai sahaja di Airport Tawau, bapaku menjemput kami bertiga untuk pulang ke rumah.

Keadaan halaman rumah telah siap diatur. Kerusi telah di susun rapi dengan beratapkan khemah untuk para tetamu. Masuk ke dalam rumah, kelihatan sebuah pelamin. Aku memang terkejut dengan persiapan yang telah dilakukan. Hiasannya yang menawan serta kehadiran ramai saudara-mara yang turut sama membantu menyatukan kami semua setelah lama tidak berkumpul beramai-ramai begini. Sesekali aku bertanya, 'ini nak buat majlis bersanding atau majlis pertunangan?' Hantaran untuk pihak lelaki turut telah siap disediakan dengan rekaan yang indah. Tanpa perlu berehat terlalu lama, aku dan adik aku yang baru sampai membantu dalam menyusun sofa ke luar rumah serta memasang permaidani di ruang tamu. Seperti biasa, aku dan adik aku pasti akan mengambil gambar menggunakan camera DSLR kami berdua untuk merakam suasana sebelum majlis.

Keesokkan harinya, hari yang dinanti oleh dua pasangan ini telah tiba. Cuaca pada hari tersebut agak baik dengan keadaan redup yang tidak diikuti dengan hujan. Namun ada beberapa perkara yang amat aku kesali. Pagi itu, bekalan air di seluruh Tawau terputus. Kami bernasib baik kerana kami mempunyai tangki besar. Namun begitu, tangki tersebut tidak cukup kuat untuk membawa air naik ke tingkat atas rumah dua tingkat tersebut, sekadar untuk kegunaan majlis. Perkara-perkara beginilah yang menjadi kekesalan aku kerana penutupan belakalan air begini sering berlaku tanpa pemberitahuan atau notis. Bagi, masyarakat di Tawau, perkara ini perkara biasa. Bukan sahaja bekalan air, bekalan eletrik juga sering terganggu. Ini menyukarkan pihak tuan rumah untuk memastikan majlis berjalan dengan lancar. Untuk pengetahuan pembaca, Tawau merupakan kubu kuat kerajaan. Bukan nak memihak mana-mana parti politik, tetapi di Semenanjung rakyat berpeluang untuk menyurakan pendapat secara terbuka. Sebarang kesilapan pihak pembangkang pasti akan dimasukkan melalui Aduan Rakyat. Malangnya, kesilapan kerajaan di tempat-tempat yang puluhan tahun menjadi milik mereka sering diabaikan. Mungkin kerajaan merasakan jika kawasan ini tidak dibangunkan sekalipun untuk 10 tahun lagi, mereka akan terus memangkah kerajaan juga. Sedarlah rakyat Tawau, sampai bila? Adakah anda mahu melihat 10 tahun akan datang Tawau ini sama sahaja seperti hari ini?

Berbalik kepada suasana majlis, walaupun menghadapi masalah bekalan air, majlis tetap berjalan dengan sempurna. Pukul 12.30 tengahari itu, rombongan keluarga lelaki datang membawa bersama dulang-dulang hantaran. Adik aku telah dihias dengan begitu cantik. Dalam majlis tersebut, aku lihat saudara-mara aku berpakaian cukup indah dengan pelbagai warna. Aku lihat kedua-dua pihak saling berbincang. Selepas perbincangan selesai dan dipersetujui, bermulalah sarungan cincin ke jari adik bongsu aku tanda dirinya kini sah menjadi tunangan orang.

Tahniah kepada pasangan Ashiela dan Syahrul Hazizi. Semoga majlis ini diberkati dan selamat menempuh ke alam baru. 2 bulan lagi, insyaAllah kamu berdua akan disatukan. Semoga diredhai Allah. 

Di sini aku lampirkan beberapa gambar suasana majlis tersebut.

   

 

Tuesday, May 3, 2011

Apa di belakangmu?


Aku sebenarnya berhati gundah. Aku sebenarnya dalam dilemma. Aku sebenarnya berjiwa resah. Perlukah aku coretkan rasa hati ini di dalam bentuk tulisan? Perlukah aku suarakan segala kebimbangan? Perlukah aku membuka pekung di dalam dada? Berat bibir ini untuk berkata-kata namun berat juga untuk memendamnya begitu lama.

Tentu kita pernah melalui satu perjalanan yang amat jauh dengan muatan yang besar. Aku andaikan ada seorang pengembara di sebuah padang pasir, yang membawa seekor unta dengan barangan yang penuh di belakang unta tersebut. Barangan yang berisi seperti barang dagangan, bekalan makanan seperti buah-buahan serta air bersih yang cukup. Turut bersama dengannya adalah seekor monyet yang menjadi teman hiburannya. Si pengembara sering memandang ke hadapan untuk memastikan segalanya akan selamat untuk menuju ke sesebuah destinasi. 

Sekali-sekala, perjalanannya terganggu dengan dugaan yang datang secara tiba-tiba. Dia terpaksa meredah ribut pasir, menghalau serigala gurun, mengubat luka di rekahan kakinya akibat kepanasan pasir yang dipijak serta menahan suasana sejuk di waktu malam. Semua yang dilakukannya adalah hanya untuk memastikan semuanya selamat sampai ke destinasi.

Dalam keadaan terlalu lapar dan dahaga, dia mencari-cari bekalan air dan makanan untuk disantap di pertengahan jalan. Dia mahu kakinya terus kuat melangkah untuk meneruskan separuh lagi perjalanan ke destinasi. Dalam keadaan yakin yang perjalanannya ini tidak menempuh pelbagai onak dan duri lain, dia terlupa bahawa ada perkara berlaku di belakangnya tanpa dia sedari. Bekalan air tersebut telah habis tanpa sempat diteguk setitik pun. Monyet belaannya yang selama ini dipercayainya telah menumpahkan bekalan air bersih tersebut sebagai alat permainannya. Monyet itu menumpahkan kesemuanya airnya disepanjang perjalanan itu. Hati si pengembara menjadi gundah. Dia amat mengharapkan agar bekalan air tersebut mampu membawanya pergi lebih jauh untuk sampai ke destinasi yang diharapkan. Namun dia terlepas pandang untuk memeriksa apa yang berlaku dibelakangnya. Dia amat mempercayai bahawa segalanya sempurna namun tidak menyangka ada sesuatu berlaku di luar pengetahuannya.

Dalam keadaan demikian, dia cuma memikirkan untuk memperoleh bekalan lain yang terdapat melalui buah-buahan yang turut menjadi bekalannya tadi. Inilah satu-satunya harapan untuk dia memperoleh zat dan air. Malangnya, bungkusan buah-buahan tersebut turut telah di koyak-koyak oleh sang monyet. Buah-buahan tersebut telah menjadi ratapan monyet tersebut sepanjang separuh perjalanan tadi. Apa lagi yang tinggal untuknya?

Si pengembara terduduk diam membisu. Tiada lagi teman untuk dia mengadu. Monyet yang selama ini menjadi teman gembiranya telah mengecewakannya. Separuh perjalanan telah dia berusaha untuk melaluinya. Tinggallah separuh perjalanan lagi untuk dihabiskan dan memerlukan bekalan untuk meneruskan kekuatan jasmani. Namun si pengembara sering berfikir bagaimana untuk melalui semua ini setelah apa yang berlaku? Dia bukan sahaja kehilangan khudrat, malah kekuatan mentalnya turut menurun. Untuk meneruskan perjalanan dengan berbekalkan kekuatan mental yang sebegitu adalah mustahil untuk dicapai. 

Si pengembara terus kecewa. Jika perjalanan ini diteruskan, dia pasti akan tersungkur juga kelak. Tiada apa lagi mampu dilakukan kerana yang terjadi telah terjadi. Dia perlu melepaskan monyet yang mengkhianatinya. Mungkin kehadiran monyet tersebut hanya akan menambah gundah di hati. 

Perjalanan harus diteruskan walaupun berat. Andai di perjalanan nanti dia akan bertemu dengan oasis yang mana terdapat mata air di dalamnya, maka beruntunglah si pengembara. Mungkin ada sinar baru untuknya untuk menambah kekuatan fizikalnya serta kembali meningkatkan kekuatan mentalnya untuk melupakan peristiwa perit yang telah dilakukan oleh si monyet pengkhianat.

Kini si pengembara yang berbekalkan azam terus mengharungi perjalanan di tanah yang gersang. Dia tidak tahu apa akan berlaku tetapi perjalanan yang jauhnya ini perlu diteruskan. Dia tidak mahu menoleh lagi kebelakang. Jika dia berjaya menemui oasis yang diharapkannya, maka sampailah dia ke destinasi tanpa perlu memikirkan apa yang telah berlalu. Namun jika dia gagal, dia akan tersungkur di tengah padang pasir itu. Semoga ada yang sempat menyelamatkannya daripada mati dek perit bahang mentari di tengah-tengah padang pasir. Dan semoga ada insan yang sudi menghampiri jasadnya di kala dia masih mampu bernafas dan membawanya ke destinasi yang selama ini ingin diakhirinya.


Itulah aku, kala ini. Semoga Allah temui aku jalannya.