Saturday, May 7, 2011

Majlis pertunangan Ashiela

Sabtu, 30 April 2011 merupakan tarikh bersejarah dalam keluarga aku serta menjadi tarikh keramat kepada Ashiela, adik bongsu aku serta pasangannya, Syahrul Hazizi. Tarikh tersebut telah menyatukan kedua-dua mereka dalam satu ikatan pertunangan.

Perjalanan aku ke Tawau bermula pada Jumaat, 29 April 2011 menaiki AirAsia dengan penerbangan yang dijadualkan pada pukul 7.00pm. Aku sempat bekerja untuk separuh hari pada hari itu. Turut bersama dengan aku adalah adikku, Azhar serta isterinya, Norazwa. Sampai sahaja di Airport Tawau, bapaku menjemput kami bertiga untuk pulang ke rumah.

Keadaan halaman rumah telah siap diatur. Kerusi telah di susun rapi dengan beratapkan khemah untuk para tetamu. Masuk ke dalam rumah, kelihatan sebuah pelamin. Aku memang terkejut dengan persiapan yang telah dilakukan. Hiasannya yang menawan serta kehadiran ramai saudara-mara yang turut sama membantu menyatukan kami semua setelah lama tidak berkumpul beramai-ramai begini. Sesekali aku bertanya, 'ini nak buat majlis bersanding atau majlis pertunangan?' Hantaran untuk pihak lelaki turut telah siap disediakan dengan rekaan yang indah. Tanpa perlu berehat terlalu lama, aku dan adik aku yang baru sampai membantu dalam menyusun sofa ke luar rumah serta memasang permaidani di ruang tamu. Seperti biasa, aku dan adik aku pasti akan mengambil gambar menggunakan camera DSLR kami berdua untuk merakam suasana sebelum majlis.

Keesokkan harinya, hari yang dinanti oleh dua pasangan ini telah tiba. Cuaca pada hari tersebut agak baik dengan keadaan redup yang tidak diikuti dengan hujan. Namun ada beberapa perkara yang amat aku kesali. Pagi itu, bekalan air di seluruh Tawau terputus. Kami bernasib baik kerana kami mempunyai tangki besar. Namun begitu, tangki tersebut tidak cukup kuat untuk membawa air naik ke tingkat atas rumah dua tingkat tersebut, sekadar untuk kegunaan majlis. Perkara-perkara beginilah yang menjadi kekesalan aku kerana penutupan belakalan air begini sering berlaku tanpa pemberitahuan atau notis. Bagi, masyarakat di Tawau, perkara ini perkara biasa. Bukan sahaja bekalan air, bekalan eletrik juga sering terganggu. Ini menyukarkan pihak tuan rumah untuk memastikan majlis berjalan dengan lancar. Untuk pengetahuan pembaca, Tawau merupakan kubu kuat kerajaan. Bukan nak memihak mana-mana parti politik, tetapi di Semenanjung rakyat berpeluang untuk menyurakan pendapat secara terbuka. Sebarang kesilapan pihak pembangkang pasti akan dimasukkan melalui Aduan Rakyat. Malangnya, kesilapan kerajaan di tempat-tempat yang puluhan tahun menjadi milik mereka sering diabaikan. Mungkin kerajaan merasakan jika kawasan ini tidak dibangunkan sekalipun untuk 10 tahun lagi, mereka akan terus memangkah kerajaan juga. Sedarlah rakyat Tawau, sampai bila? Adakah anda mahu melihat 10 tahun akan datang Tawau ini sama sahaja seperti hari ini?

Berbalik kepada suasana majlis, walaupun menghadapi masalah bekalan air, majlis tetap berjalan dengan sempurna. Pukul 12.30 tengahari itu, rombongan keluarga lelaki datang membawa bersama dulang-dulang hantaran. Adik aku telah dihias dengan begitu cantik. Dalam majlis tersebut, aku lihat saudara-mara aku berpakaian cukup indah dengan pelbagai warna. Aku lihat kedua-dua pihak saling berbincang. Selepas perbincangan selesai dan dipersetujui, bermulalah sarungan cincin ke jari adik bongsu aku tanda dirinya kini sah menjadi tunangan orang.

Tahniah kepada pasangan Ashiela dan Syahrul Hazizi. Semoga majlis ini diberkati dan selamat menempuh ke alam baru. 2 bulan lagi, insyaAllah kamu berdua akan disatukan. Semoga diredhai Allah. 

Di sini aku lampirkan beberapa gambar suasana majlis tersebut.

   

 

0 Komen: