Tuesday, May 3, 2011

Apa di belakangmu?


Aku sebenarnya berhati gundah. Aku sebenarnya dalam dilemma. Aku sebenarnya berjiwa resah. Perlukah aku coretkan rasa hati ini di dalam bentuk tulisan? Perlukah aku suarakan segala kebimbangan? Perlukah aku membuka pekung di dalam dada? Berat bibir ini untuk berkata-kata namun berat juga untuk memendamnya begitu lama.

Tentu kita pernah melalui satu perjalanan yang amat jauh dengan muatan yang besar. Aku andaikan ada seorang pengembara di sebuah padang pasir, yang membawa seekor unta dengan barangan yang penuh di belakang unta tersebut. Barangan yang berisi seperti barang dagangan, bekalan makanan seperti buah-buahan serta air bersih yang cukup. Turut bersama dengannya adalah seekor monyet yang menjadi teman hiburannya. Si pengembara sering memandang ke hadapan untuk memastikan segalanya akan selamat untuk menuju ke sesebuah destinasi. 

Sekali-sekala, perjalanannya terganggu dengan dugaan yang datang secara tiba-tiba. Dia terpaksa meredah ribut pasir, menghalau serigala gurun, mengubat luka di rekahan kakinya akibat kepanasan pasir yang dipijak serta menahan suasana sejuk di waktu malam. Semua yang dilakukannya adalah hanya untuk memastikan semuanya selamat sampai ke destinasi.

Dalam keadaan terlalu lapar dan dahaga, dia mencari-cari bekalan air dan makanan untuk disantap di pertengahan jalan. Dia mahu kakinya terus kuat melangkah untuk meneruskan separuh lagi perjalanan ke destinasi. Dalam keadaan yakin yang perjalanannya ini tidak menempuh pelbagai onak dan duri lain, dia terlupa bahawa ada perkara berlaku di belakangnya tanpa dia sedari. Bekalan air tersebut telah habis tanpa sempat diteguk setitik pun. Monyet belaannya yang selama ini dipercayainya telah menumpahkan bekalan air bersih tersebut sebagai alat permainannya. Monyet itu menumpahkan kesemuanya airnya disepanjang perjalanan itu. Hati si pengembara menjadi gundah. Dia amat mengharapkan agar bekalan air tersebut mampu membawanya pergi lebih jauh untuk sampai ke destinasi yang diharapkan. Namun dia terlepas pandang untuk memeriksa apa yang berlaku dibelakangnya. Dia amat mempercayai bahawa segalanya sempurna namun tidak menyangka ada sesuatu berlaku di luar pengetahuannya.

Dalam keadaan demikian, dia cuma memikirkan untuk memperoleh bekalan lain yang terdapat melalui buah-buahan yang turut menjadi bekalannya tadi. Inilah satu-satunya harapan untuk dia memperoleh zat dan air. Malangnya, bungkusan buah-buahan tersebut turut telah di koyak-koyak oleh sang monyet. Buah-buahan tersebut telah menjadi ratapan monyet tersebut sepanjang separuh perjalanan tadi. Apa lagi yang tinggal untuknya?

Si pengembara terduduk diam membisu. Tiada lagi teman untuk dia mengadu. Monyet yang selama ini menjadi teman gembiranya telah mengecewakannya. Separuh perjalanan telah dia berusaha untuk melaluinya. Tinggallah separuh perjalanan lagi untuk dihabiskan dan memerlukan bekalan untuk meneruskan kekuatan jasmani. Namun si pengembara sering berfikir bagaimana untuk melalui semua ini setelah apa yang berlaku? Dia bukan sahaja kehilangan khudrat, malah kekuatan mentalnya turut menurun. Untuk meneruskan perjalanan dengan berbekalkan kekuatan mental yang sebegitu adalah mustahil untuk dicapai. 

Si pengembara terus kecewa. Jika perjalanan ini diteruskan, dia pasti akan tersungkur juga kelak. Tiada apa lagi mampu dilakukan kerana yang terjadi telah terjadi. Dia perlu melepaskan monyet yang mengkhianatinya. Mungkin kehadiran monyet tersebut hanya akan menambah gundah di hati. 

Perjalanan harus diteruskan walaupun berat. Andai di perjalanan nanti dia akan bertemu dengan oasis yang mana terdapat mata air di dalamnya, maka beruntunglah si pengembara. Mungkin ada sinar baru untuknya untuk menambah kekuatan fizikalnya serta kembali meningkatkan kekuatan mentalnya untuk melupakan peristiwa perit yang telah dilakukan oleh si monyet pengkhianat.

Kini si pengembara yang berbekalkan azam terus mengharungi perjalanan di tanah yang gersang. Dia tidak tahu apa akan berlaku tetapi perjalanan yang jauhnya ini perlu diteruskan. Dia tidak mahu menoleh lagi kebelakang. Jika dia berjaya menemui oasis yang diharapkannya, maka sampailah dia ke destinasi tanpa perlu memikirkan apa yang telah berlalu. Namun jika dia gagal, dia akan tersungkur di tengah padang pasir itu. Semoga ada yang sempat menyelamatkannya daripada mati dek perit bahang mentari di tengah-tengah padang pasir. Dan semoga ada insan yang sudi menghampiri jasadnya di kala dia masih mampu bernafas dan membawanya ke destinasi yang selama ini ingin diakhirinya.


Itulah aku, kala ini. Semoga Allah temui aku jalannya.

1 Komen:

suSueEmiMie said...

cerita yg penuh makna dn mnyentuh hati...tabahkan hati...
pasti akn ade pnyelesaian dan membantu sekiranya kite sntiasa meminta dan memohon dengan-Nya..