Saturday, May 7, 2011

Selamat Hari Ibu


Hari ni merupakan sambutan Hari Ibu di seluruh dunia. Tentu setiap ibu akan merasa sangat terharu apabila seorang anak itu mengucapkan ucapan Hari Ibu ini sebagai tanda ingatan di mana seluruh masyarakat dunia menyambutnya.

Aku sebenarnya bukanlah seseorang yang gemar menyambut tarikh hari ini sebagai Hari Ibu. Bagi aku, aku berpegang pada satu prinsip yang mana tarikh sebenar Hari Ibu kepada ibu aku, Asmiah Bte Hj Abdul Razak adalah tarikh 2 Jun setiap tahun yang mana tarikh tersebut pada 1981 merupakan hari bersejerarah baginya untuk kali pertama bergelar ibu. Aku turut mengesyorkan kepada rakan-rakan pembaca agar menyambut sambutan hari ibu anda pada tarikh lahir abang atau kakak sulung anda mahupun diri anda sendiri jika anda adalah anak sulung. Kita ubah tradisi yang membingungkan ini.

Sebagaimana yang sering kita baca melalui laman-laman web berkaitan sambutan tarikh Hari Ibu pada hari ini, seharusnya anda telah tahu apakah maksud 'Mother's Day' yang disambut oleh masyarakat Eropah setiap tahun itu, ibu mana yang sering dikenang-kenang oleh mereka. Tidak perlu aku jelaskan dengan panjang lebar, aku harapkan agar para pembaca yang masih keliru terus mencari ilmu. Mungkin ada yang berpendapat bahawa aku berfikiran konservatif, namun aku lebih suka untuk mengatakan bahawa aku berfikiran logik. Bagi aku, tidak masuk akal jika kita menyambut tarikh hari ini setiap tahun yang dicipta oleh kaum mana sedangkan tarikh tersebut tidak ada kena mengena dengan ibu kita.

Namun begitu, kerana hari ini di laman web Facebook, rakan-rakan tidak habis-habis mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada ibu mereka yang tersayang, aku terkenangkan ibu aku yang jauh di Tawau, Sabah. Mengingatkan ucapan-ucapan mereka, ia mengingatkan aku akan tarikh kelahiran aku yang mana pertama kali dia bergelar ibu dan melihat dia mendodoikan bayi saudara-mara aku, aku seolah-olah melihat masa silam aku bagaimana dia membelai aku dengan kasih mesranya. Aku teringat bagaimana dia menyanyikan lagu-lagu era 70-an sewaktu mendodoikan adik-adikku.

Dengan ini, aku persembahkan padanya sebuah slide show dengan iringan lagu 'Rabbani - Ibu Mithali' sebagai tanda penghargaan seorang anak pada ibunya.


 

0 Komen: