Wahai adik-adikku yang bergelar kaum Hawa,
Bila ada seorang lelaki datang kepadamu untuk memberi harapan dan bersedia untuk menerima siapa dirimu seadanya, maka jagalah dirimu sebaiknya untuknya. Janganlah sesekali kau sakiti hatinya dan khianati dirinya dibelakangnya kerana dia akan merasa sebuah keperitan kerana mengenangkanmu kelak. Hargailah setiap masa bersamanya sejak awal hubungan itu bermula.
Aku pernah melalui suatu ketika yang mana aku memberi segalanya untuk kebaikan sesebuah hubungan dengan menjaga adab-adabku. Aku didiknya dengan contoh tauladan yang baik agar dia kenali bagaimana itu insan solehah. Namun apa yang aku lakukan tidak mendapat balasan yang setimpal sebagaimana pengorbanan yang aku harapkan di belakang aku. Walaupun perbuatan itu berlaku setahun lamanya diawal-awal hubungan dulu yang baru terbongkar, amat perit luka itu menusuk ke kalbu setelah aku tahu.
Kini bertambah-tambah keyakinan aku terhadap maha adilnya Allah itu. Dia tunjukkan aku perkara-perkara yang mereka sembunyikan yang mana aku terlepas pandang disaat aku sentiasa bersangka baik. Aku bertambah yakin akan janji Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud;
"Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."
Aku cuba memaafkannya dan cuba menerima kesilapannya kerana aku telah mengorbankan usiaku setelah bersamanya, namun aku tidak boleh melupakan perbuatan mereka kerana ia sering mengganggu di minda. Setiap kali bersama selepas itu, aku sentiasa melihat ada bekas-bekas kepahitan yang cuba diselindungkan dengan kemanisan. Tiada lagi keindahan dari pandanganku walaupun aku cuba menyembunyikan dengan senyuman dan gelak tawa. Sering ada saja yang tidak kena dan timbul ungkit-mengungkit. Walaupun dia menunjukkan kekesalannya dan berjanji untuk cuba menebus semuanya semula, aku rasakan segala-galanya terlalu lambat kerana sudah ada calarnya dalam hubungan itu terutama bila ia melibatkan orang lain yang sentiasa ada disekelilingku yang akhirnya telah menghancurkan erti sebenar kesetiaan dalam hubungan dan runtuhnya nilai sebuah persahabatan.
Selepas berfikir panjang, aku putuskan untuk mengakhiri segalanya kerana aku tidak kuat untuk mengharunginya pada masa hadapan bila kemanisan hubungan itu diganggu dengan masalah silam. Biarlah ia berakhir begini daripada mengorbankan sebuah institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Aku khuatir akan tercuit kembali jika ada sedikit perbalahan yang mampu menggegar tembok kesabaran. Mungkin ia juga perlu dijadikannya sebagai pengajaran untuk hubungannya bersama insan yang lain nanti. Aku memaafkan, aku sedia melupakan namun ia tidak sesekali beerti penerimaan.
Jadi adik-adikku yang bergelar kaum Hawa,
Hiasilah peribadimu dengan sifat-sifat mahmudah. Jagalah akhlakmu senantiasa. Janganlah kau pengaruhi hatimu dengan keseronokan dunia yang sementara ini. Sudah tentu kau mahukan seorang pasangan yang baik untukmu, maka jadikanlah dirimu seorang yang baik dahulu sebelum meneruskan cita-citamu itu.
Masih ramai lagi lelaki-lelaki yang baik namun jika kau tidak bertemu mereka, itu bermakna kau meletakkan dirimu di kalangan mereka-mereka yang tidak baik. Berhijrahlah ke tempat-tempat yang baik agar mudah kau mengenali mereka. Seandainya telah kau temui mereka, maka hargailah hubungan itu dan semailah kesetiaan sedari awal hubungan dan pupuklah kasih sayang untuk mendapat keredhaan.
Jadikanlah apa yang telah aku ukir di sini sebagai sesuatu yang berguna untukmu. Janganlah menyesal di kemudian hari kerana bukan mudah menemui insan yang mampu memberi harapan. Jagalah dirimu sebaiknya untuk agama yang diwasiatkan untuk kita.
Aku, akan terus melangkah berbekalkan separuh jiwa ini untuk mencari seseorang yang telah ditakdirkan untukku sejak di luh al-mahfuz. Aku tidak mahu menjadi seseorang yang berputus asa. Seandainya tidak bertemu, aku pasrah kerana aku percaya Allah ada menyediakan rancangan-Nya untukku.
Sekeping nota dari abangmu,
Seorang insan yang bergelar kaum Adam
1 Komen:
InsyaAllah...;)
Post a Comment