Monday, December 19, 2011

'Mamak' vs 'Tom Yam'

Makan di restoran merupakan antara kebiasaan bagi masyarakat yang berada di kota. Bagi yang sudah berkeluarga, aktiviti makan di luar menjadi kebiasaan kerana masa yang terhad selepas waktu bekerja di sebelah malam. Namun bagi keluarga masyarakat yang berada di kawasan luar bandar, mereka lebih suka memilih untuk memasak di rumah. Ada dua destinasi restoran yang menjadi kebiasaan bagi kita yang akan kita perbandingkan melalui thread kali ini.

Kalau diperbandingkan di antara kedai makan Mamak dengan kedai Tom Yam, yang mana pilihan anda? Kali ini blog Zaman Berzaman ingin merungkai perbandingan antara kedua-dua jenis kedai tersebut.


Kedai Mamak

Jika kita lihat di mana-mana sekalipun sejak dulu, kedai mamak sering menjadi lokasi pilihan untuk pertemuan bersama rakan-rakan, tempat bersantai sambil menonton rancangan tv, lokasi menonton perlawanan bolasepak serta tempat untuk menikmati juadah ringan seperti roti canai dan teh tarik. Walaupun di kawasan perumahan yang baru dibuka sekalipun, kedai mamak pasti menjadi lokasi yang sering dikunjungi. Jangan lupa, mungkin hanya di kedai mamak anda dapat memperoleh nasi beriani terdekat dengan kawasan anda walaupun ada beberapa tempat lain menyediakan hidangan nasi beriani GAM. Selain itu, terdapat hidangan Roti Nan dan Ayam Tandori.


Apa yang menjadi tarikan di kedai tersebut? Mari kita rungkaikan satu persatu. 

Sejak dulu lagi kedai mamak dikenali dengan restoran yang mempunyai skrin besar untuk tontonan para pelanggan. Mereka tidak kedekut berbelanja demi kepuasan para pelanggan. Ini menjadi penarik kepada mereka-mereka yang menginginkan suasana makan sambil menonton. Kedai mamak juga merupakan perintis kepada restoran berskrin LCD yang mula diikuti oleh banyak kedai lain selepas itu. Skrin LCD ini pula diletakkan dipelbagai sudut untuk memudahkan setiap pelanggan menikmatinya. Tak habis dengan itu, mereka memperkenalkan skrin besar melalui pancaran projector dengan skrin yang lebih luas terutama untuk pelanggan yang berada di luar restoran.

Dari segi perkhidmatan, pelayan mereka kelihatan tidak berhenti-henti bekerja untuk mengambil pesanan dari pelanggan. Duduk sahaja di kerusi pasti ada pelayan yang datang mengambil pesanan. Tidak perlu menunggu begitu lama. Yang menambah kepelikkan itu, walau banyak mana pun pesanan, mereka boleh mengingatinya tanpa menulis bagi sesetengah pelayan. Jarang sesekali tersalah ambil pesanan walaupun tidak dinafikan adakalanya mereka tersilap. Walau bagaimana ramai pelanggan, mereka ingat pelanggan mana yang mengambil pesanan. Makanan juga cepat sampai.


Kedai Tom Yam

Bagaimana pula kedai Tom Yam? Kedai 'Tom Yam' ini merupakan kedai-kedai masakan ala Siam yang turut menghidangkan masakan ala Melayu segera antaranya nasi goreng, mee dan bihun serta masakan makanan laut. Rata-rata pekerja mereka berasal dari Selatan Thailand dan Kelantan. Namun dalam konteks di dalam thread kali ini, penulis lebih menekankan perkataan kedai 'Tom Yam' itu menjurus kepada seluruh kedai-kedai makanan melayu yang turut mempunyai hidangan menu yang sama walaupun pelayan atau tukang masak mereka bukan berasal dari tempat yang penulis sebut di atas.


Apa pula yang menjadi tarikan di sini? Kedai Tom Yam merupakan pilihan kepada para pelanggan untuk menikmati makanan sekeluarga. Jika mahu menikmati Ikan Siakap 3 Rasa, mungkin inilah tempatnya. Jika mahu merasai sup ayam, sup tulang, tomyam, masakan sayur tumis dan campur serta hidangan ikan bakar (jika ada), mungkin inilah lokasinya. Kedai Tom Yam menjadi destinasi alternatif untuk menjamu selera. Ada sesetengah tempat, kedai begini menyediakan masakan ala Western seperti Chicken Chop, Lamb Chop, hidangan Burger dan sebagainya. Variasi dalam hidangannya memberikan kedai tersebut lebih istimewa.

Hari ini kita juga telah melihat bahawa kedai-kedai makan Melayu seperti ini menyediakan perkhidmatan yang hampir sama seperti kedai mamak yang mana terdapat skrin LCD serta projektor. Mereka turut tidak ketinggalan dalam memastikan kepuasan pelanggan serta menarik lebih ramai lagi untuk datang menyaksikan tontonan perlawanan bola sepak. Mereka memberi pilihan alternatif kepada pelanggan yang sering merasa kecewa kerana kedai mamak sering penuh pada musim-musim bolasepak.


Perbezaan

Jika anda lihat dari segi kepantasan, kedai mamak mendahului dalam banyak aspek. Pernah sekali aku dan rakan-rakan aku meninggalkan sebuah restoran Tom Yam di kawasan Puncak Jalil begitu sahaja akibat kegagalan pelayan mereka mengambil pesanan kami setelah 15 minit duduk sedangkan tempat kami berada betul-betul di tengah kawasan antara bahagian dalam dan luar restoran yang mana menjadi tempat pelayan mereka lalu lalang selepas mengambil pesanan pelanggan lain.

Selepas beredar, kami menuju ke restoran Mamak yang hanya selang beberapa kedai dari restoran tersebut. Duduk sahaja, dua orang pelayan datang mahu mengambil pesanan. Sungguh ketara perbezaan yang berlaku dengan situasi sebelum itu.

Aku tidak nafikan bukan semua kedai mamak melakukan perkhidmatan pantas, namun lambat mereka itu masih dalam masa yang boleh diterima berbanding kedai-kedai Tom Yam. Kadangkala, kelambatan yang sering berlaku di kedai-kedai Tom Yam ini bukan disebabkan oleh faktor ramai pelanggan, tetapi kerana pelayannya yang sibuk berbual, menghisap rokok dan tidak prihatin dengan pelanggan yang baru sampai. Dengan kata lain, pelayannya tidak serajin pelayan di kedai mamak.

Tidak dinafikan juga, ada kedai Tom Yam yang sangat cekap seperti sebuah kedai ikan bakar di kawasan Puncak Jalil iaitu Restoran K'Chiangmai (dahulu dikenali sebagai K'Sempoi) dengan perkhidmatan yang baik serta keramahan pelayannya. Namun nisbah kedai-kedai Tom Yam yang sebaik ini amat kecil.

Dari sudut lain, kelebihan kedai Tom Yam lebih ketara apabila kita melihat pelayannya boleh bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mereka terdiri daripada orang-orang selatan Thai atau Indonesia. Berbeza dengan pelayan di kedai mamak, kebanyakkan pelayannya sekadar memahami pesanan tetapi tidak mampu di bawa berbicara kerana kebanyakan mereka datang dari tanah India.


Walau apapun pilihan restoran kita, kita sebagai pelanggan bebas membuat pilihan. Adakalanya kita mahukan masakkan ala India sebagai santapan makan malam dan adakalanya kita mahu menjamu hidangan ala Melayu. Jika punyai selera besar, mungkin hidangan Western menjadi pilihan.

Friday, December 16, 2011

Berkenaan dengan isu 'Hudud'

Apabila berbicara berkenaan dengan Hudud, penulis tidak mampu menyatakannya secara umum atau menghuraikannya secara terpeinci kerana penulis bukanlah seorang ahli dalam bab-bab keagamaan. Penulis tidak akan menggunakan pendapat sendiri mengenai perkara ini kerana penulis khuatir pembaca akan mendapat tafsiran yang kurang tepat. Walau bagaimanapun, penulis berpendapat bahawa Hudud itu adalah Hukum daripada Allah untuk manusia melaksanakannya.

Sejak akhir-akhir ini isu Hudud kembali berkumandang dan diutarakan dengan cara yang baru. Kali ini menggunakan kaedah muat naik video melalui laman YouTube melalui lakonan sembang-sembang setempat yang digarap dan dilakukan dengan kaedah seperti drama pendek. Ada video yang disampaikan dengan menembak tepat ke arah pihak lain dan ada video yang disampaikan dengan penyampaian secara halus.

Kali ini Zaman Berzaman ingin berkongsi dengan anda dua video berkenaan dengan Hudud yang penulis ambil melalui laman YouTube.


Setakat entry ini ditulis, video di atas telah mendapat 162 yang 'like' manakala yang dislike adalah sebanyak 8794.

Video di bawah ini pula penulis percaya bahawa ia merupakan reaksi balas terhadap video di atas. Walaupun tidak menyerang secara langsung, namun setiap persoalan daripada video di atas dipatahkan dengan cara yang halus dan memikat hati sesuai dengan suasana beragama. Ia lebih berbentuk memberikan informasi selain sedikit sindiran.


Setakat entry ini ditulis, video di atas telah mendapat 7646 yang 'like' manakala yang dislike adalah sebanyak 48.


Daripada statistik kedua-dua video di atas, pembaca sudah tentu dapat menilai apa persepsi masyarakat Malaysia atau pengunjung-pengunjung kedua-dua video tersebut terhadap hasil kerja yang mereka lakukan serta kita dapat menyimpulkan bagaimana penerimaan majoriti masyarakat terhadap isu yang dibangkitkan.

Kita sedar, pengguna internet dan pengunjung Youtube terdiri masyarakat yang menggunakan teknologi maklumat yang mana terdiri daripada golongan muda, berpelajaran serta masyarakat bandar. Kita juga sedar bahawa kedua-dua video tersebut dilakukan adalah untuk menyampaikan maklumat serta memberikan panduan. Namun samada masyarakat menerima cara sedemikian dengan baik atau tidak, ia dapat di rumuskan melalui bilangan yang menggemarinya dan menolaknya. Itulah sebenarnya suara rakyat generasi ini.

Friday, September 9, 2011

Dialog sang muslimah


Tini Pinky: Semua yang tutup aurat, kompom masuk syurga ke?

Muslimah: Yang pasti, tak tutup aurat, kompom masuk neraka... :)

Tini Pinky: mmm..tudung labuh pun mcm baik sngt. Buat dosa jugak.

Muslimah: Bila Iblis tak mahu ikut perintah Allah untuk bersujud kepada Adam, dia menyalahkan perintah Allah itu.......

Muslimah: "Apahal pulak aku kena sujud, aku lebih baik dan mulia". Samalah dengan tudung. Tudung pula yang disalahkan, "pakai tudung tak semestinya baik..bla...bla..."

Tini Pinky: mcmlah kau tu bagus sngt nak tegur2 aku. ntah2 kau dulu lagi jahat.

Muslimah: Tidak tersabit larangan dari Nabi untuk seseorang yang bahkan baru masuk Islam untuk pergi berdakwah kepada kaumnya. Maksudnya, dakwah itu tuntutan.....

Muslimah: Selagi kau Islam, dakwah itu wajib walaupun kau sendiri tak berapa betul. Sekurang-kurangnya dia insaf dan bertaubat sekarang.. :)

Tini Pinky: Walau kami pakai seksi tapi hati kami baik.!!

Muslimah: Adakah kau mendakwa diri kau mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri kau tanpa perlu menutup aurat?

Tini Pinky: Pakai jarang ke ketat ke, itu hak kami. Kalau tak suka jangan tengok!

Muslimah: kau berani jamin? bahawa semua lelaki ajnabi mempunyai hati suci dan iman tinggi untuk menahan godaan syaitan serta nafsu yang membuak-buak?

Tini Pinky: kami rasa apa yang kami pakai tak seksi. Terpulang kepada individu yang memandang kami..so what??

Muslimah: Seksi atau tidak, kau tetap berdosa walaupun hanya menayang sehelai rambut kau.. :)

Tini Pinky: Walau kami tak bertudung, kami tetap sembahyang dan puasa...

Muslimah: Apakah ibadat kau diterima? Kau yakin cuma dengan berpuasa cukup menjamin kau masuk syurga?

Tini Pinky: Sukahati kamilah nak pakai macam ni. Kami tak susahkan hidup orang lain...

Muslimah: Kau sebenarnya dah susahkan bapa, abang, adik, suami serta orang lain dengan menarik mereka ke neraka bersama kau disebabkan mereka tidak menegur dan gagal mendidik kau...

Tini Pinky: Apa yang kami pakai, ini antara kami dengan Tuhan.!

Muslimah: Berani cakap di dunia, berani ke kau cakap macam tu depan Allah nanti? Lawan perintah Allah, neraka tempatnya...

Tini Pinky: Bukan kami tak mahu menutup aurat, cuma masih belum sampai seru.

Muslimah: Mati tidak mengenal usia. Tak takut ke mati dalam usia muda? Tak sempat nak bertaubat nanti.

Tini Pinky: Takkan nak buat perubahan secara drastik? Slow-slow la..

Muslimah: Boleh ke cakap kat Malaikat Izrail nanti, tunggu kejap! Lepak la dulu. Jangan ambil lagi nyawa aku.. bleh?

Tini Pinky: Tutup aurat tu bagus tapi kami tidak mahu hipokrit kerana tidak ikhlas melakukannya.!

Muslimah: Kalau begitu kau sebenarnya memang hipokrit kerana tidak ikhlas beragama Islam...

Tini Pinky: ...........................

Muslimah: sekadar renungan kita bersama :)



(Di petik melalui laman blog 'http://mazeermohamad.blogspot.com/')

TV realisasikan pembebasan Syaitan di Aidilfitri


Ramadhan diketahui umum sebagai satu bulan yang mana Syaitan akan dirantai. Kesannya dapat kita lihat melalui gerak-geri umat Islam sepanjang bulan tersebut yang mana kita dapat mengawal diri kita daripada nafsu makan dan minum, mengelak daripada melakukan perkara-perkara kemaksiatan, kurangnya aktiviti-aktiviti sosial, meramaikan majlis-majlis ilmu, memenuhi masjid-masjid berdekatan, membanyakkan amalan-amalan ibadah seperti solat, zikir serta membanyakkan bacaan Al-Quran lebih daripada bulan-bulan sebelumnya.

Bagi yang tidak pernah berpuasa langsung, di bulan Ramadhan mereka cekal mengharungi hari tanpa makan dan minum. Bagi sesetengah yang lain yang sering tertinggal solat 5 waktu, pada bulan tersebut dijadikan masa untuk mentarbiah diri untuk mengekalkan kewajiban tersebut. Bagi yang jarang-jarang membaca Al-Quran, mereka kelihatan begitu tekun menghabiskan waktu rehat untuk membaca Al-Quran. Begitulah indahnya Ramadhan yang dipenuhi dengan pelbagai acara dan program keagamaan oleh setiap individu. 

Bukan setakat individu yang melibatkan diri dalam acara-acara keagamaan, program-program TV turut membuat pengisian mereka dengan rancangan-rancangan kerohanian tidak kiralah rancangan berbentuk rencana, pengisian ilmu Al-Quran, drama mahupun filem. Hidangan sepanjang Ramadhan sangat berguna dan memberi maklumat yang sangat memberi kesan dalam jiwa untuk dijadikan jamuan kepada hati-hati yang selama ini kosong dengan hidangan yang tidak bermanfaat.

Menjelang Aidilfitri, bermulalah episod duka yang menghancurkan apa yang telah diterapkan disepanjang bulan Ramadhan. Kita mengharapkan Ramadhan dijadikan permulaan untuk mengharungi 11 bulan akan datang dengan penuh keinsafan namun Aidilfitri telah dijadikan oleh badan-badan tertentu sebagai permulaan untuk merosakkan aqidah selama 11 bulan sebelum bermula semula Ramadhan pada tahun hadapan.

Lihat sahaja filem-filem yang dihidangkan sepanjang seminggu Ramadhan tidak kira dari stesen tv mana samada RTM, TV3 mahupun ASTRO. Antara resepi Aidilfitri mereka adalah cerita-cerita seram sebagai bahan utama sehingga dijadikan program istimewa Syawal. Rancangan-rancangan sedemikian tidak dipertontonkan sepanjang Ramadhan dengan begitu meluas seolah-olah semua filem-filem tersebut sedang mengalami rantaian besi yang kukuh. Namun menjelang Aidilfitri, setiap stesen TV berlumba-lumba untuk memotong rantaian besi terseebut seolah-olah satu simbolik kepada pelepasannya syaitan-syaitan dari belenggu ikatan besi. Selain cerita-cerita seram, tidak dilupakan mengenai filem-filem yang menjurus kepada kerosakkan aqidah pemuda yang terlibat dengan kongsi gelap, lumba haram, kebebasan sosial serta beberapa kerosakkan akhlak yang lain.

Bagi penulis, stesen TV seharusnya mengekalkan aktiviti-aktiviti program keagamaan dan kerohanian sepanjang bulan Syawal. Ini kerana Aidilfitri itu merupakan hari keagamaan yang mana kita memaklumi ia sebagai satu hari yang mana kita menyambut hari kejayaan selepas bertarung melawani hawa nafsu. Kejayaan itu harus diikuti dengan kesyukuran dan bukan dirosakkan dengan program-program tahyul dan kerosakkan sosial dalam masyarakat. Beginilah masalahnya jika penganjur-penganjur program TV jika diselia oleh orang-orang yang tidak peka terhadap agama. 

Penulis mengharapkan agar anak-anak muda pada masa akan datang yang suatu hari nanti akan menggantikan orang-orang yang sedia ada di dalam bidang penyiaran boleh mengubah persepsi Aidilfitri ini dengan sesuatu yang lebih bermakna melalui program-program hari raya mereka. Kita mengharapkan agar bidang penyiaran mampu memberi impak yang baik untuk sahsiah rohani masyarakat dan membentuk nilai beragama kepada setiap individu.

Tuesday, September 6, 2011

Ungkapan 'Maaf Zahir & Batin'


Assalamualaikum,

Sudah begitu lama rasanya meninggalkan blog ini seketika akibat sibuk melakukan update kepada blog 'The Gunners Malaysia' serta sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tawau Sabah. Sebelum terlambat, Zaman Berzaman ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca yang singgah ke blog ini dan penulis turut ingin memohon kemaafan zahir & batin andai ada tulisan-tulisan dalam blog ini menyinggung perasaan atau bertentangan dengan cara berfikir orang lain.

Kali ini blog Zaman Berzaman ingin berbicara mengenai ungkapan 'Maaf Zahir dan Batin'. Sedari kecil lagi penulis sering mendengar ungkapan ini dan membacanya di setiap kad-kad Hari Raya Adilfitri yang penulis hantar kepada rakan-rakan. Orang lain tidak berhenti-henti mengucapkannya untuk memperoleh berkat kemaafan tulus ikhlas di sempena hari yang mulia.

Namun begitu, menjelang remaja di peringkat sekolah menengah, penulis mula melihat ungkapan maaf tersebut mula ditukar kepada maaf 'zahir' sahaja oleh orang perseorangan. Bila penulis tanyakan kenapa, ada yang mengatakan, "batin belum lagi". Apa yang mengejutkan penulis, di kalangan orang-orang dewasa turut memberi ungkapan sedemikian seolah-olah ucapan itu hanya untuk ditujukan kepada pasangan suami isteri sahaja.

Tentu para pembaca memahami apa yang dimaksudkan oleh mereka itu yang bagi penulis mereka mengungkapkan satu kenyataan berdasarkan fikiran pendek. Adakalanya penulis merasa cukup menyampah dengan ungkapan demikian namun jika tidak diberitahu, sampai ke anak cucu nanti kita akan terus mendengar kata-kata sedemikian.

Apa yang penulis fahami, perkara ini bermula bilamana pelajar-pelajar sekolah mendalami ilmu berkaitan perkahwinan terutama semasa berada di tingkatan tiga dan ke atas. Bila sebut 'batin' sahaja, tidak ada perkara lain yang bermain di minda mereka. Walaupun begitu, apa yang mereka faham itu tetap masih salah.

Bila bercakap berkaitan dengan 'batin', contohnya 'urutan batin' yang sangat popular ketika ini yang banyak dijalankan secara haram, kita akui ia bersangkut paut dengan alat kelamin. Namun begitu, banyak lagi perkara yang berkaitan 'batin' itu bukan menjurus kepada perkara sedemikian. Sebagai contoh 'ilmu batin' dalam persilatan, ia menjurus kepada ilmu melalui tenaga dalaman. Makna batin sebeginilah yang kita gunakan sejak zaman-berzaman yang menepati makna sebenar batin itu. Namun perubahan makna itu berubah bilamana orang menyalah ertikan pengertian 'batin' itu sendiri dan mengungkapkannya secara salah.

Satu lagi kesilapan orang kita pada waktu ini yang paling jelas ketara adalah bila berbicara tentang nafkah zahir dan nafkah batin. Bagi yang berfikiran pendek, bagi mereka nafkah zahir itu merupakan nafkah dari segi kewangan dan harta benda sahaja manakala nafkah batin itu adalah hubungan kelamin suami isteri. Ini jelas memesongkan makna sebenar 'batin' sehingga orang terpaksa malu-malu hendak menyebut ungkapan 'maaf zahir dan batin'. Penggunakan perkataan tersebut diubahsuai sehingga menyebabkan makna sebenarnya menjurus hanya kepada satu perkara dan menolak makna sebenar-benarnya yang lebih tepat.

Untuk pengetahuan pembaca, semasa mendengar ceramah baru-baru ini, seorang alim itu menyatakan bahawa hubungan kelamin sumai isteri itu juga sebenarnya adalah nafkah zahir, dan bukannya nafkah batin. Segala perkara berbentuk fizikal seperti wang, harta benda serta khudrat itu tergolong dalam nafkah yang diistilahkan sebagai nafkah zahir kerana ia secara jelas terzahir. Apa yang diertikan sebagai nafkah batin itu sendiri sebenarnya adalah ilmu agama Islam. Ia nafkah yang tidak terzahir yang bersifat rohani dan dalaman yang perlu diserapkan oleh suami kepada isteri serta anak-anak. Itulah bezanya cara berfikir orang-orang alim berbanding orang-orang biasa dan mungkin sebab itulah Rasulullah mengajak kita sering berkumpul bersama orang-orang alim kerana perkongsian ilmu itu lebih tepat. Kiralah berapa ramai diantara para suami-suami yang berjaya memberikan nafkah batin tersebut kepada isteri mereka. Yang berjaya memimpin isteri mereka ke arah nilai beragama serta mendidik melalui ilmu. Inilah yang ulamak sering menyebut bahawa para suami ramai yang gagal memberikan nafkah dari segi batin kerana ceteknya ilmu keagamaan serta kurangnya amalan. Ramai para suami lebih banyak berhibur berbanding mengikuti majlis-majlis ilmu sehingga gagal menyampaikan kepada keluarga dan mengajar mereka beragama.

Berbalik kepada ungkapan 'maaf zahir dan batin', di sini penulis ingin menekankan bahawa apa yang sering disebut sejak zaman-berzaman itu masih relevan. Apabila kita memohon kemaafan dari segi zahir, kita memohon kemapunan yang bersifat zahir seperti kehilangan harta benda, terhutang sesuatu yg mungkin terlupa, tersalah pukul atau kesalahan-kesalahan lain bersifat fizikal. Manakala bilamana kita menyebut kemaafan dari segi batin, kita mengharapkan agar kita diampunkan andai ada perkara yang terbuat itu menyinggung perasaan tanpa orang lain sedari tetapi cukup memberi kesan didalam hati sehingga menimbulkan sakit hati dan terpendam. Dengan kata lain, kesalahan secara tidak langsung yang lahir mungkin dari kecuaian namun memberi kesan di dalam hati orang lain yang kita sendiri tidak sedari.


Bagi mereka-mereka yang terus menerus terlupa akan hal ini, ubahlah persepsi kemaafan batin itu. Dikhuatiri kita cuma memohon kemaafan yang terzahir sahaja sedangkan orang lain masih menyimpan rasa tersinggung perasaan dek perlakukan kita yang kita ingat tidak memberi apa-apa, namun ia cukup memberi kesan yang mendalam di dalam hati. Mungkin nasihat ini berguna untuk adik-adik yang baru meningkat dewasa yang sering menyalah-ertikan maknanya.

Bagi rakan-rakan dan para pembaca yang bagi penulis cukup matang untuk berfikir akan istilah-istilah dan penggunaan perkataan, anda seharusnya lebih memahaminya dan kematangan anda harus digunakan agar anda tidak kelihatan seperti berfikiran kebudak-budakan.

Jadi di sini, sekali lagi penulis dengan rasa rendah hati turut ingin memohon kemaafan zahir dan batin, yang tersurat dan tidak tersurat, yang penulis lakukan dalam sedar dan tidak sedar. Sesungguhnya penulis insan biasa yang sering melakukan kesalahan.

Salam Aidilfitri.

Wednesday, August 3, 2011

Program bersama anak yatim


Poster oleh Kenny Thum

Pada Sabtu, 30 Julai 2011 lepas, badan kebajikan IRIS telah menyediakan sebuah program bersama anak yatim di Kampung Manggis, Banting. Alhamdulillah kerana aku terpilih bersama lebih 40 peserta lain untuk menjayakan program tersebut. Pada mulanya, aku tidak menyertakan nama dalam program kerana terlibat dengan aktiviti luar. Namun, begitulah yang berlaku bilamana Allah telah memilih, aku akhirnya turut serta juga bersama insan-insan prihatin serta penyayang lain di saat-saat akhir. Aku terpilih kerana mewakili ahli band IRIS untuk menghiburkan kanak-kanak mulia ini. Kami sempat membuat latihan kecil sebagai persiapan untuk memberi sedikit hiburan sehari sebelum program itu berlansung.


Pada pukul 8.00 pagi, aku datang bersama Azhar membawa peralatan muzik ke IRIS. Aku turut melihat peserta-peserta lelaki program saling berganding bahu dalam membawa masuk barang-barang keperluan rumah kebajikan tersebut hasil sumbangan syarikat serta individu yang berjumlah lebih RM20 ribu.

Bas mula bertolak dari IRIS pada pukul 9.00 pagi, sejam lewat daripada waktu yang dijadualkan. Keadaan cuaca pada hari tersebut agak mendung pada mulanya dan kemudian diikuti dengan hujan renyai. Selepas bacaan doa perjalanan yang diketuai oleh En. Kamal, kami meneruskan perjalanan dengan riang beserta senda gurau. Rakan-rakan lain turut mendendangkan beberapa buah lagu dengan iringan bunyi gitar.

Kami sampai ke rumah kebajikan tersebut lebih kurang pukul 10.00 pagi. Tanpa mengeluarkan barang-barang sumbangan kepada rumah kebajikan tersebut akibat hujan lebat di Banting, kami semua terus menuju ke dewan perhimpunan untuk mendengar ucapan alu-aluan serta penyerahan keluarga angkat. Aku yakin, semua peserta program tidak sabar-sabar untuk melihat siapa yang bakal menjadi keluarga angkat mereka.

Aku seperti biasa, tidak akan melepaskan peluang untuk menjadi jurugambar pada hari itu. Aku lihat wajah-wajah suci adik-adik yang menghuni rumah kebajikan tersebut. Gelak tawa serta senyuman mereka mungkin sekadar menyembunyikan luka pahit di jiwa namun aku yakin ada ketabahan yang cukup besar tersimpan. Ada perasaan mahu disayangi serta kerinduan terhadap keluarga tercinta. 


Selepas peserta diperkenalkan dengan keluarga angkat masing-masing, mereka dibawa ke sebuah pusat membeli-belah di Klang dengan menaiki dua buah bas untuk perbelanjaan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Kami semua mula mengenali latar belakang keluarga angkat masing-masing semasa berada di dalam bas tersebut. Masing-masing ada cerita pahit dalam institusi kekeluargaan mereka yang menyayat hati. Sedih mendengarnya namun ia cukup berguna kepada kami sebagai sebuah pengajaran. Perasaan simpati membawa kami kepada perasaan sayang terhadap mereka.

Sampai sahaja ke pusat membeli belah tersebut, kami bersama keluarga angkat masing-masing memilih pakaian Hari Raya adik-adik comel ini. Bagi yang sudah punyai keluarga, mungkin tidak menghadapi masalah untuk memilih pakaian. Namun bagi mereka-mereka yang masih bujang, ia mungkin agak kekok. Walaupun begitu, bagi peserta lelaki yang sudah mempunyai anak-anak, hari tersebut merupakan satu pengajaran bagi mereka yang mungkin selama ini sekadar membiarkan isteri berbelanja sendiri bersama anak-anak. Barulah tahu betapa susahnya memilih pakaian, masalah mencari saiz dan beberapa masalah lain.


Tepat pukul 1.00 petang, semua peserta program kembali ke tapak pertemuan untuk kembali semula ke rumah kebajikan dengan menaiki bas yang sama semasa datang. Namun begitu, ada seorang mentor yang tertinggal dari kelompok tersebut bersama protegenya (siapalah orang tu yer???). Sebuah pengalaman yang kelakar yang turut mendatangkam kebimbangan seketika kepada penganjur. Namun segalanya berjalan lancar selepas itu walaupun masalah tersebut amat dikesali.

Sekembalinya di rumah kebajikan tersebut, peserta program bersama keluarga angkat dijamu dengan hidangan makan tengahari berupa pizza dan ayam goreng. Keseronokan jelas terpancar di wajah kanak-kanak ini selepas dihadiahkan pakaian baru untuk memeriahkan suasana Hari Raya mereka. Semasa makan tengahari, para peserta dan anak-anak angkat diberitahu akan program seterusnya apabila kembali dari menyelesaikan keperluan fardhu zohor. Peserta-peserta lelaki ada yang turut mengeluarkan barang-barang sumbangan yang masih berada di dalam bas untuk diserahkan kepada rumah kebajikan tersebut.

Menjelang ke pukul 3.00 petang, kami sekali lagi berkumpul di dewan tersebut. Cuaca di luar sudah mulai cerah. Ada program untuk hiburan anak-anak ini. Program pertama tersebut adalah program kelolaan abang badut yang membawa kepada penceritaan dan teka-teki.

Program kedua pada petang tersebut adalah persembahan nyanyian dari wakil-wakil band IRIS (akulah antara pesertanya). Aku letakkan kamera dan mula memegang gitar dan duduk di kerusi pentas bersama Azhar, Fattah, Sattu dan Nurhamidah (gambar tidak disertakan kerana orang lain masih belum berkongsi gambar mereka). Lagu-lagu yang didendangkan adalah 'Tanya Sama Pokok', 'Kau Ilhamku', 'Situasi' dan 'Kalau Berpacaran'. Apa yang menyentuh hati adalah bait-bait lirik setiap lagu tersebut dinyanyikan beramai-ramai oleh kanak-kanak comel di situ. Ternyata mereka terhibur dan kami turut gembira dengan sambutan mereka.

Turut ada permintaan untuk mendenangkan lagu 'Happy Birthday' kepada salah seorang gadis penghuni di rumah tersebut yang menyambut hari lahir. Dendangan lagu tersebut turut membawa linangan airmata kepadanya serta ucapan terima kasih.




Selepas selesai acara kugiran, kanak-kanak ini mengikuti program yang dikelolakan oleh Faizul berupa acara permainan rakyat. Kanak-kanak ini mengambil bahagian dengan begitu gembira sekali. Hatiku terasa hiba melihat keceriaan mereka yang mana beberapa ketika lagi akan kami tinggalkan. Aku turut dapat melihat linangan airmata dari para peserta program yang melihat kanak-kanak ini bermain dengan ceria. Tentu mereka mengenangkan akan nasib anak-anak ini selepas kami meninggalkan mereka untuk kembali ke kediaman masing-masing kelak.

Selesai sahaja program terakhir, ucapan penutupan dilakukan. Walaupun cuma seketika di sini, banyak kenangan manis yang kami perolehi. Melihat wajah-wajah manis kanak-kanak tidak berdosa ini, mahu rasanya berada sehari lagi di sini. Namun keterbatasan masa dan jadual memaksa untuk kami melupakan hajat tersebut. InsyaAllah ada yang mungkin akan kembali memberikan kunjungan.

Selesai solat fardhu Asar, para peserta dijamu dengan hidangan petang sebelum bertolak untuk pulang. Wajah-wajah pilu kanak-kanak tadi mengiringi perpisahan tersebut. Ada yang mahu ikut serta pulang, ada yang mengmbil nombor telefon, ada yang meminta alamat facebook agar terus berhubung. Suasana pilu menyelubungi ditambah dengan cuaca mendung yang menyelubungi sekeliling. Ada yang mengalirkan airmata perpisahan, ada yang berpelukan serta salaman dengan ciuman tangan. Tidak kurang juga dengan sesi fotografi terakhir bersama.

Segalanya telah selesai. Pengalaman ini akan kami abadikan dalam kenangan sepanjang hidup kami. Aku berharap agar program sebegini akan terus disemai pada masa-masa akan datang. Bagi yang bertuah, ambillah pengajaran daripada kehidupan anak-anak ini agar kita tidak mengulangi kesilapan yang serupa.

Semoga Allah terus merahmati mereka. Akhirnya kami meninggalkan rumah amal anak yatim YPIN, Banting dengan perasaan sayu. Perjalanan balik di dalam bas tidak semeriah perjalanan pergi.

Terdengar suara sumbang di dalam bas yang bertanya, "Eh, Adam mana?"

Thursday, July 7, 2011

Nota buat adik-adikku yang bergelar kaum Hawa


Wahai adik-adikku yang bergelar kaum Hawa,

Bila ada seorang lelaki datang kepadamu untuk memberi harapan dan bersedia untuk menerima siapa dirimu seadanya, maka jagalah dirimu sebaiknya untuknya. Janganlah sesekali kau sakiti hatinya dan khianati dirinya dibelakangnya kerana dia akan merasa sebuah keperitan kerana mengenangkanmu kelak. Hargailah setiap masa bersamanya sejak awal hubungan itu bermula.

Aku pernah melalui suatu ketika yang mana aku memberi segalanya untuk kebaikan sesebuah hubungan dengan menjaga adab-adabku. Aku didiknya dengan contoh tauladan yang baik agar dia kenali bagaimana itu insan solehah. Namun apa yang aku lakukan tidak mendapat balasan yang setimpal sebagaimana pengorbanan yang aku harapkan di belakang aku. Walaupun perbuatan itu berlaku setahun lamanya diawal-awal hubungan dulu yang baru terbongkar, amat perit luka itu menusuk ke kalbu setelah aku tahu.

Kini bertambah-tambah keyakinan aku terhadap maha adilnya Allah itu. Dia tunjukkan aku perkara-perkara yang mereka sembunyikan yang mana aku terlepas pandang disaat aku sentiasa bersangka baik. Aku bertambah yakin akan janji Allah dalam surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud;

"Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."

Aku cuba memaafkannya dan cuba menerima kesilapannya kerana aku telah mengorbankan usiaku setelah bersamanya, namun aku tidak boleh melupakan perbuatan mereka kerana ia sering mengganggu di minda. Setiap kali bersama selepas itu, aku sentiasa melihat ada bekas-bekas kepahitan yang cuba diselindungkan dengan kemanisan. Tiada lagi keindahan dari pandanganku walaupun aku cuba menyembunyikan dengan senyuman dan gelak tawa. Sering ada saja yang tidak kena dan timbul ungkit-mengungkit. Walaupun dia menunjukkan kekesalannya dan berjanji untuk cuba menebus semuanya semula, aku rasakan segala-galanya terlalu lambat kerana sudah ada calarnya dalam hubungan itu terutama bila ia melibatkan orang lain yang sentiasa ada disekelilingku yang akhirnya telah menghancurkan erti sebenar kesetiaan dalam hubungan dan runtuhnya nilai sebuah persahabatan.

Selepas berfikir panjang, aku putuskan untuk mengakhiri segalanya kerana aku tidak kuat untuk mengharunginya pada masa hadapan bila kemanisan hubungan itu diganggu dengan masalah silam. Biarlah ia berakhir begini daripada mengorbankan sebuah institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Aku khuatir akan tercuit kembali jika ada sedikit perbalahan yang mampu menggegar tembok kesabaran. Mungkin ia juga perlu dijadikannya sebagai pengajaran untuk hubungannya bersama insan yang lain nanti. Aku memaafkan, aku sedia melupakan namun ia tidak sesekali beerti penerimaan.

Jadi adik-adikku yang bergelar kaum Hawa,

Hiasilah peribadimu dengan sifat-sifat mahmudah. Jagalah akhlakmu senantiasa. Janganlah kau pengaruhi hatimu dengan keseronokan dunia yang sementara ini. Sudah tentu kau mahukan seorang pasangan yang baik untukmu, maka jadikanlah dirimu seorang yang baik dahulu sebelum meneruskan cita-citamu itu.

Masih ramai lagi lelaki-lelaki yang baik namun jika kau tidak bertemu mereka, itu bermakna kau meletakkan dirimu di kalangan mereka-mereka yang tidak baik. Berhijrahlah ke tempat-tempat yang baik agar mudah kau mengenali mereka. Seandainya telah kau temui mereka, maka hargailah hubungan itu dan semailah kesetiaan sedari awal hubungan dan pupuklah kasih sayang untuk mendapat keredhaan.

Jadikanlah apa yang telah aku ukir di sini sebagai sesuatu yang berguna untukmu. Janganlah menyesal di kemudian hari kerana bukan mudah menemui insan yang mampu memberi harapan. Jagalah dirimu sebaiknya untuk agama yang diwasiatkan untuk kita.

Aku, akan terus melangkah berbekalkan separuh jiwa ini untuk mencari seseorang yang telah ditakdirkan untukku sejak di luh al-mahfuz. Aku tidak mahu menjadi seseorang yang berputus asa. Seandainya tidak bertemu, aku pasrah kerana aku percaya Allah ada menyediakan rancangan-Nya untukku.


Sekeping nota dari abangmu,
Seorang insan yang bergelar kaum Adam