Ramadhan diketahui umum sebagai satu bulan yang mana Syaitan akan dirantai. Kesannya dapat kita lihat melalui gerak-geri umat Islam sepanjang bulan tersebut yang mana kita dapat mengawal diri kita daripada nafsu makan dan minum, mengelak daripada melakukan perkara-perkara kemaksiatan, kurangnya aktiviti-aktiviti sosial, meramaikan majlis-majlis ilmu, memenuhi masjid-masjid berdekatan, membanyakkan amalan-amalan ibadah seperti solat, zikir serta membanyakkan bacaan Al-Quran lebih daripada bulan-bulan sebelumnya.
Bagi yang tidak pernah berpuasa langsung, di bulan Ramadhan mereka cekal mengharungi hari tanpa makan dan minum. Bagi sesetengah yang lain yang sering tertinggal solat 5 waktu, pada bulan tersebut dijadikan masa untuk mentarbiah diri untuk mengekalkan kewajiban tersebut. Bagi yang jarang-jarang membaca Al-Quran, mereka kelihatan begitu tekun menghabiskan waktu rehat untuk membaca Al-Quran. Begitulah indahnya Ramadhan yang dipenuhi dengan pelbagai acara dan program keagamaan oleh setiap individu.
Bukan setakat individu yang melibatkan diri dalam acara-acara keagamaan, program-program TV turut membuat pengisian mereka dengan rancangan-rancangan kerohanian tidak kiralah rancangan berbentuk rencana, pengisian ilmu Al-Quran, drama mahupun filem. Hidangan sepanjang Ramadhan sangat berguna dan memberi maklumat yang sangat memberi kesan dalam jiwa untuk dijadikan jamuan kepada hati-hati yang selama ini kosong dengan hidangan yang tidak bermanfaat.
Menjelang Aidilfitri, bermulalah episod duka yang menghancurkan apa yang telah diterapkan disepanjang bulan Ramadhan. Kita mengharapkan Ramadhan dijadikan permulaan untuk mengharungi 11 bulan akan datang dengan penuh keinsafan namun Aidilfitri telah dijadikan oleh badan-badan tertentu sebagai permulaan untuk merosakkan aqidah selama 11 bulan sebelum bermula semula Ramadhan pada tahun hadapan.
Lihat sahaja filem-filem yang dihidangkan sepanjang seminggu Ramadhan tidak kira dari stesen tv mana samada RTM, TV3 mahupun ASTRO. Antara resepi Aidilfitri mereka adalah cerita-cerita seram sebagai bahan utama sehingga dijadikan program istimewa Syawal. Rancangan-rancangan sedemikian tidak dipertontonkan sepanjang Ramadhan dengan begitu meluas seolah-olah semua filem-filem tersebut sedang mengalami rantaian besi yang kukuh. Namun menjelang Aidilfitri, setiap stesen TV berlumba-lumba untuk memotong rantaian besi terseebut seolah-olah satu simbolik kepada pelepasannya syaitan-syaitan dari belenggu ikatan besi. Selain cerita-cerita seram, tidak dilupakan mengenai filem-filem yang menjurus kepada kerosakkan aqidah pemuda yang terlibat dengan kongsi gelap, lumba haram, kebebasan sosial serta beberapa kerosakkan akhlak yang lain.
Bagi penulis, stesen TV seharusnya mengekalkan aktiviti-aktiviti program keagamaan dan kerohanian sepanjang bulan Syawal. Ini kerana Aidilfitri itu merupakan hari keagamaan yang mana kita memaklumi ia sebagai satu hari yang mana kita menyambut hari kejayaan selepas bertarung melawani hawa nafsu. Kejayaan itu harus diikuti dengan kesyukuran dan bukan dirosakkan dengan program-program tahyul dan kerosakkan sosial dalam masyarakat. Beginilah masalahnya jika penganjur-penganjur program TV jika diselia oleh orang-orang yang tidak peka terhadap agama.
Penulis mengharapkan agar anak-anak muda pada masa akan datang yang suatu hari nanti akan menggantikan orang-orang yang sedia ada di dalam bidang penyiaran boleh mengubah persepsi Aidilfitri ini dengan sesuatu yang lebih bermakna melalui program-program hari raya mereka. Kita mengharapkan agar bidang penyiaran mampu memberi impak yang baik untuk sahsiah rohani masyarakat dan membentuk nilai beragama kepada setiap individu.
0 Komen:
Post a Comment