Tuesday, September 6, 2011

Ungkapan 'Maaf Zahir & Batin'


Assalamualaikum,

Sudah begitu lama rasanya meninggalkan blog ini seketika akibat sibuk melakukan update kepada blog 'The Gunners Malaysia' serta sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tawau Sabah. Sebelum terlambat, Zaman Berzaman ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca yang singgah ke blog ini dan penulis turut ingin memohon kemaafan zahir & batin andai ada tulisan-tulisan dalam blog ini menyinggung perasaan atau bertentangan dengan cara berfikir orang lain.

Kali ini blog Zaman Berzaman ingin berbicara mengenai ungkapan 'Maaf Zahir dan Batin'. Sedari kecil lagi penulis sering mendengar ungkapan ini dan membacanya di setiap kad-kad Hari Raya Adilfitri yang penulis hantar kepada rakan-rakan. Orang lain tidak berhenti-henti mengucapkannya untuk memperoleh berkat kemaafan tulus ikhlas di sempena hari yang mulia.

Namun begitu, menjelang remaja di peringkat sekolah menengah, penulis mula melihat ungkapan maaf tersebut mula ditukar kepada maaf 'zahir' sahaja oleh orang perseorangan. Bila penulis tanyakan kenapa, ada yang mengatakan, "batin belum lagi". Apa yang mengejutkan penulis, di kalangan orang-orang dewasa turut memberi ungkapan sedemikian seolah-olah ucapan itu hanya untuk ditujukan kepada pasangan suami isteri sahaja.

Tentu para pembaca memahami apa yang dimaksudkan oleh mereka itu yang bagi penulis mereka mengungkapkan satu kenyataan berdasarkan fikiran pendek. Adakalanya penulis merasa cukup menyampah dengan ungkapan demikian namun jika tidak diberitahu, sampai ke anak cucu nanti kita akan terus mendengar kata-kata sedemikian.

Apa yang penulis fahami, perkara ini bermula bilamana pelajar-pelajar sekolah mendalami ilmu berkaitan perkahwinan terutama semasa berada di tingkatan tiga dan ke atas. Bila sebut 'batin' sahaja, tidak ada perkara lain yang bermain di minda mereka. Walaupun begitu, apa yang mereka faham itu tetap masih salah.

Bila bercakap berkaitan dengan 'batin', contohnya 'urutan batin' yang sangat popular ketika ini yang banyak dijalankan secara haram, kita akui ia bersangkut paut dengan alat kelamin. Namun begitu, banyak lagi perkara yang berkaitan 'batin' itu bukan menjurus kepada perkara sedemikian. Sebagai contoh 'ilmu batin' dalam persilatan, ia menjurus kepada ilmu melalui tenaga dalaman. Makna batin sebeginilah yang kita gunakan sejak zaman-berzaman yang menepati makna sebenar batin itu. Namun perubahan makna itu berubah bilamana orang menyalah ertikan pengertian 'batin' itu sendiri dan mengungkapkannya secara salah.

Satu lagi kesilapan orang kita pada waktu ini yang paling jelas ketara adalah bila berbicara tentang nafkah zahir dan nafkah batin. Bagi yang berfikiran pendek, bagi mereka nafkah zahir itu merupakan nafkah dari segi kewangan dan harta benda sahaja manakala nafkah batin itu adalah hubungan kelamin suami isteri. Ini jelas memesongkan makna sebenar 'batin' sehingga orang terpaksa malu-malu hendak menyebut ungkapan 'maaf zahir dan batin'. Penggunakan perkataan tersebut diubahsuai sehingga menyebabkan makna sebenarnya menjurus hanya kepada satu perkara dan menolak makna sebenar-benarnya yang lebih tepat.

Untuk pengetahuan pembaca, semasa mendengar ceramah baru-baru ini, seorang alim itu menyatakan bahawa hubungan kelamin sumai isteri itu juga sebenarnya adalah nafkah zahir, dan bukannya nafkah batin. Segala perkara berbentuk fizikal seperti wang, harta benda serta khudrat itu tergolong dalam nafkah yang diistilahkan sebagai nafkah zahir kerana ia secara jelas terzahir. Apa yang diertikan sebagai nafkah batin itu sendiri sebenarnya adalah ilmu agama Islam. Ia nafkah yang tidak terzahir yang bersifat rohani dan dalaman yang perlu diserapkan oleh suami kepada isteri serta anak-anak. Itulah bezanya cara berfikir orang-orang alim berbanding orang-orang biasa dan mungkin sebab itulah Rasulullah mengajak kita sering berkumpul bersama orang-orang alim kerana perkongsian ilmu itu lebih tepat. Kiralah berapa ramai diantara para suami-suami yang berjaya memberikan nafkah batin tersebut kepada isteri mereka. Yang berjaya memimpin isteri mereka ke arah nilai beragama serta mendidik melalui ilmu. Inilah yang ulamak sering menyebut bahawa para suami ramai yang gagal memberikan nafkah dari segi batin kerana ceteknya ilmu keagamaan serta kurangnya amalan. Ramai para suami lebih banyak berhibur berbanding mengikuti majlis-majlis ilmu sehingga gagal menyampaikan kepada keluarga dan mengajar mereka beragama.

Berbalik kepada ungkapan 'maaf zahir dan batin', di sini penulis ingin menekankan bahawa apa yang sering disebut sejak zaman-berzaman itu masih relevan. Apabila kita memohon kemaafan dari segi zahir, kita memohon kemapunan yang bersifat zahir seperti kehilangan harta benda, terhutang sesuatu yg mungkin terlupa, tersalah pukul atau kesalahan-kesalahan lain bersifat fizikal. Manakala bilamana kita menyebut kemaafan dari segi batin, kita mengharapkan agar kita diampunkan andai ada perkara yang terbuat itu menyinggung perasaan tanpa orang lain sedari tetapi cukup memberi kesan didalam hati sehingga menimbulkan sakit hati dan terpendam. Dengan kata lain, kesalahan secara tidak langsung yang lahir mungkin dari kecuaian namun memberi kesan di dalam hati orang lain yang kita sendiri tidak sedari.


Bagi mereka-mereka yang terus menerus terlupa akan hal ini, ubahlah persepsi kemaafan batin itu. Dikhuatiri kita cuma memohon kemaafan yang terzahir sahaja sedangkan orang lain masih menyimpan rasa tersinggung perasaan dek perlakukan kita yang kita ingat tidak memberi apa-apa, namun ia cukup memberi kesan yang mendalam di dalam hati. Mungkin nasihat ini berguna untuk adik-adik yang baru meningkat dewasa yang sering menyalah-ertikan maknanya.

Bagi rakan-rakan dan para pembaca yang bagi penulis cukup matang untuk berfikir akan istilah-istilah dan penggunaan perkataan, anda seharusnya lebih memahaminya dan kematangan anda harus digunakan agar anda tidak kelihatan seperti berfikiran kebudak-budakan.

Jadi di sini, sekali lagi penulis dengan rasa rendah hati turut ingin memohon kemaafan zahir dan batin, yang tersurat dan tidak tersurat, yang penulis lakukan dalam sedar dan tidak sedar. Sesungguhnya penulis insan biasa yang sering melakukan kesalahan.

Salam Aidilfitri.

0 Komen: