Friday, March 12, 2010

Diari Eco-Challenge Part 3: BBQ + Performance

8:00pm - BBQ di rimba

Hujan turun tidak lebat tapi boleh membuatkan tapak perkhemahan kami menjadi basah. Aku, Reyazd dan Faizul tidak mengalihkan khemah melainkan mengeluarkan barang keperluan dan beg ke bahagian astaka berbumbung. Khuatir jika pakaian basah. Ada juga beberapa peserta yang telah mengalihkan khemah mereka ke kawasan yang berhampiran dengan kolam yang mana merupakan kawasan beratap. Mereka berkumpul untuk membuat satu kelompok baru di luar kawasan tapak perkhemahan tapi hampir dengan kawasan BBQ.

Hari semakin gelap dan waktu maghrib hampir berada di penghujungnya. Selesai menunaikan solat Maghrib, beberapa peserta kelihatan sedang menyediakan tapak untuk memanggang ayam. Arang dibakar dan api menyala dengan maraknya.


Bungkusan-bungkusan nasi goreng telah dikeluarkan. Selain daripada itu, sosej juga disediakan untuk dipanggang. Tak lupa, keropok ikan dan 'coleslaw'. Melihat hidangan yang sedia ada, aku yakin apa yang tersedia lebih dari cukup. Apa yang seronok, bukan mudah untuk menghadiri majlis makan malam sebegini dalam keadaan semua berkumpul dan berkongsi cerita sambil menunggu makanan siap terhidang.

Hujan sudah tidak turun sebagaimana yang dijangkakan yang ia tidak lama, syukurlah. Ia memudahkan kami untuk bergerak kembali ke khemah jika ada barang-barang keperluan yang perlu diambil sepanjang berada di astaka.

Malam tu, aku pakai kain sarung. Bukan aku seorang, Andy dan Nizan juga berkain sarung. Bak kata Kak Sabariah, "Adam ni macam orang kampung betul." Maklumlah, 'asal dari kampung!'. Tak habis-habis mereka mengusik aku. Fida pula cakap yang dia pertama kali nampak orang pakai kain sarung masa berkhemah.

Sebenarnya aku tertinggal seluar jeans yang sepatutnya aku pakai pada malam tersebut. Kain sarung tu sepatutnya aku pakai masa solat sahaja. Di sebabkan BBQ tu pun selepas selesai solat Maghrib dan aku pun kebetulan cuma tinggal sehelai seluar untuk esok hari, jadi aku pun pakailah kain sarung tu untuk pakaian malam. Oh ya, nasib baiklah Kak Hasifah ada baju hijau yang sepatutnya aku bawa untuk aktiviti seterusnya malam tu. Yang ni pun aku lupa. Ada la juga baju untuk tidur di hutan malam-malam begini.

Yeah, makan-makan time! Nampaknya semua dah kebulur. Masa makan atau masa mencekik atau masa melantak mahupun masa mentekedarah. Serius, memang aku lapar sangat. Memandangkan aku berkain sarung, aku kena pandai cover rasa lapar aku untuk tetap maintain control ayu gitu, hahaha! Kalau duduk tu kena kepit je, tak boleh nak buat macam pakai seluar sebab kat sini ramai perempuan.

Ha, jangan lupa makan kenyang-kenyang. Ingat bila dah dapat makan, boleh terus tidur? Jangan harap! Semua orang mesti melakukan aktiviti yang ditunggu-tunggu. Kita nak tahu apa yang anda rancangkan untuk persembahan pada malam ini. Memang kebetulan kumpulan-kumpulan yang mewakili warna merah, biru dan hijau telah mengenakan pakaian yang berwarna sama.


9.30pm: Bergelak ketawa dalam persembahan

Owh, dah kenyang ye? Kali ini setiap kumpulan diundi semula untuk melihat siapa yang membuat persembahan dahulu. Yang kena untuk persembahan pertama adalah kumpulan the Sun yang dianggotai oleh orang-orang penting IRIS dan juga merupakan orang-orang senoir. Persembahan mereka adalah, 'Chicken Dance'. Apa yang aku diberitahu, kumpulan ini cuma mempunyai latihan di akhir-akhir masa kerana tidak sempat untuk bertemu, kata mereka.

Nizam mengetuai persembahan pada malam itu. Yang aku dengar, Nizan kata ikut je apa yang dia buat. Yang menjadi bertambah kelakarnya, karektor Nizan dan Wari memang cukup menggelikan hati. Dengan Nizan berpakaian ala-ala Pak Aji manakala Wari berpakaian seperti seorang ibu mengandung, siap dengan tudung dan perut buncit, cukup membuatkan kami tak henti-henti ketawa hingga ke akhir persembahan mereka. Nurrul, Mimie, Miss Loo dan Airene yang turut bersama menari dalam kumpulan itu turut ketawa hingga ke akhir persembahan. Inilah persembahan yang membuatkan kami hampir pecah perut.

Persembahan kedua, kumpulan Raja Rimba. Kumpulan aku la, apa lagi! Kumpulan yang sempat berjumpa beberapa kali untuk sesi latihan dan rasanya agak terlatih juga la. Tarian untuk lagu instrumental dari Kitaro - Matsuri dengan gaya sang harimau. Malangnya kami menghadapi masalah audio. Walau bagaimana pun, dari segi gerakkan persembahan, semua mengikut apa yang telah dilatih dan diakhir persembahan, kami berjaya membuatkan kejutan hingga ada penonton yang berada di dihadapan pentas berlari dan terjatuh dari tempat duduk.

Entah siapa punya idea bubuh daun kat kepala tu, tapi ia cukup membuatkan kami semua nampak cukup comel terutamanya Faizul. Belang di muka tu buat kumpulan ini seperti dalam cerita Avatar yang dikenali sebagai puak Na'vi. Sesiapa yang nak tengok puak Na'vi ala-ala Malaysia, lihatlah yang pakai kain sarung tu.

Kumpulan ketiga yang melakukan persembahan adalah XLR8 dengan lengkap berbaju biru. Dengan balutan kain merah di kepala, mereka seperti sekumpulan Rambo di rimba. Persembahan mereka adalah dikir barat. Nashrom menjadi penyanyi solo dan ada bakat menjadi seorang Rapper. Mereka membentuk bulatan dan bergerakkan mereka seperti bunga yang kejap-kejap kembang, dan kejap-kejap kuncup. Aku dengar penonton menjerit, Yih Zee tahu tak apa yang diorang semua tu nyanyi? Ada yang nak suruh Yih Zee nyanyikan semula lagu tu selepas persembahan nanti. Apapun, yang betul-betul bersemangat berdikir kali ini adalah Mie, Junal dan Encik Kamal. Eh, Ungku group ni ke?

Aik, yang ni nak pergi mana ni? Kejap dia ke kanan, kejap lagi ke kiri. Habis seluruh pentas mereka tawaf walaupun aku tak sempat kira sampai 7 kali ke tidak. Mereka menyanyi dan membawa plastik sampah bersama kotak. Mereka bercakap-cakap pula dan kemudian mereka berkumpul dan duduk di tengah-tengah pentas. Nampak macam bergaduh. Aik, ni apekehalnya ada seorang pula cakap bahasa tamil ni? Yang lain tu macam faham-faham je.


Owh, barulah aku faham sebenarnya mereka sedang melakonkan watak 40 penyamun yang menyamun harta benda termasuk beg plastik dan kotak. Inilah kumpulan Pirates. Tentu seronok jika kita dapat mendengar perbualan mereka. Tapi dalam keadaan begini, apa yang mereka persembahkan sudah cukup menghiburkan.

Kumpulan terakhir yang membuat persembahan adalah Red Bomb. Nampaknya bendera mereka sudah ada gambar. Persembahan mereka adalah persembahan ala-ala pasukan rubgi Fiji mahupun All Black yang memakai all red. Faham-fahamlah bagaimana pasukan rugbi melakukan aksi ini. Kena tegas dan bersemangat. Jika anda lihat video persembahan ini, anda akan perasan ada yang sungguh-sungguh buat, ada yang nampak nak tak nak je, apa yang tak tahan tu ada yang terlebih semangat. Hahaha, malas nak cakap yang mana. Kat Facebook orang dah komen. Kat sini kita tak mau dah nak mengusik. Tapi Azhar memang hebat dengan tubuhnya yang besar, memang nampak macam pemain rugbi masa tadika dulu-dulu.

10:30pm - Eco-King and Eco-Queen

Ha, dah habis dah masa persembahan. Masa mencari Eco-King atau Eco-Queen setiap pasukan. Inilah icon setiap kumpulan dan kita mahu mencari siapa yang paling teror dalam menghias seorang manusia dengan hanya menggunakan apa yang ada disekeliling. Cara mengundinya, setiap kumpulan kena memilih perhiasan siapa paling baik dalam 4 pasukan lawan mereka.

Wakil daripada pasukan masing-masing terdiri daripada:
  1. Nizan - The Sun
  2. Reyazd - Raja Rimba
  3. Matnor - XLR8
  4. Sattu - Red Bomb
  5. Hasnah - Pirates


Tak sangka betul aku, macam ni akhirnya rupa korang berlima ya? Ish ish ish. Nizan dah macam Firaun dah dengan busur panahnya. Siap dengan sayap kain sarung lagi tu. Anyaman di kepalanya cukup cantik. Dialah orang pertama yang siap. Kemudian diikuti dengan Reyazd. Reyazd ni pun dah macam ketua puak Zulu di Afrika. Ada ekor pulak tu, macam burung merak pun ada. Yang aku tak tahan, siap pisau pun dia gigit.

Matnor aku tak tahu nak cakap apa. Macam main letak dan gantung-gantung je. Tapi gaya Matnor memang nampak gagah. Bak kata Nurrul, pasukan ni kedekut daun. Ala kadar je hiasannya. Mie cakap, bubuh daun banyak-banyak pun Matnor tu tetap nampak juga. Yang ni buat aku ketawa sorang-sorang ni. Tapi Sattu ada kelas tersendiri walaupun terlebih kangkang. Macam Red Indian pun ada.

Ha, ni nak cerita pasal Hasnah ni. Dialah juara dan dinobatkan sebagai Eco-Queen menewaskan semua Eco-King. Hiasannya penuh hingga menenggelamkan diri sebenarnya. Berjalan ala-ala model ratu gitu. Kumpulannya turut mengiringnya bagaikan seorang maharani dengan daun-daun besar. Dia mendapat sokongan penuh dari kumpulannya hingga naik ke pentas.

Dengan kemenangan Hasnah, maka berakhirlah pencarian Eco-King dan Eco Queen.

11:30 - Siapa Raja Botol?

Hmmm, ini permainan yang menarik yang membuatkan aku tergelak sepanjang permainan ini. Pencarian seorang Raja Botol daripada lebih 50 orang yang ikut serta. Bagaimana ia dimainkan? Peserta dikumpulkan dalam satu bulatan besar. Permainan ini dimainkan dengan sifir 7.

Ok, peserta akan menyebut nombor yang bermula dari 1 hingga seterusnya. Nombor yang mempunyai gandaan tujuh dan mempunyai pasangan nombor 7 mesti diganti dengan perkataan 'BOTOL'. Peserta yang tersalah sebut akan disingkirkan dari permainan.

Semasa permainan, kita dapat lihat bagaimana reaksi peserta untuk mengekalkan diri mereka di dalam permainan. Wajah-wajah mereka yang tersingkir ada pelbagai gelagat. Ada juga yang kelihatan seperti tidak boleh menerima kesilapan. Kerana gelagat inilah yang buatkan kita tidak kering gusi.

Hingga hampir semua tersingkir yang mana menunjukkan 4 orang terakhir yang tinggal, kami mengharapkan Nizan mewakili lelaki hingga ke akhir. Dia saingi oleh Nurrul, Kak Nor dan Fiza. Malangnya Nizan menjadi orang pertama yang tersingkir di antara mereka berempat.

Pertarungan 3 penjuru berlaku antara Fiza, Nurrul dan Kak Nor yang akhirnya memihak kepada Fiza sebagai johan Raja Botol. Hehe, dia yang usulkan game ini, dia juga yang menang. Hadiahnya adalah botol air!!!

12:15 - Tidurlah weih...!!!

Haha, nak tidur macam mana? Panas. Ingat bila kita duduk dalam suasana rimba begini, kita akan hadapi malam yang sejuk.

Selepas selesai mengutip saki-baki sampah di astaka, kami kembali ke khemah masing-masing. Ada yang mula membuat unggun api dan menjerang air panas. Aku masih tidak melihat siapa-siapa yang membuat persiapan untuk tidur lagi. Bagi mereka-mereka yang belum menyelesaikan solat Isya', mereka melakukannya di lewat malam begini.

Inilah masanya kami melakukan camp fire. Duduk mengelilingi api sambil berbual mengingati peristiwa-peristiwa kelakar siang tadi. Untuk memeriahkan lagi suasana malam tersebut, air kopi ada disediakan beserta satu tin biskut dan beberapa bungkus Maggie.

Bagi yang tidur di kawasan surau dan astaka serta beberapa khemah yang dipindahkan ke kawasan kolam, mereka tidak dapat menyertai camp fire ini kerana berada jauh. Mungkin mereka dapat tidur lebih awal.

Dari satu cerita ke satu cerita, ada saja perkara yang dibualkan diselangi dengan gelak tawa. Seorang demi seorang berundur hingga akhirnya tinggallah aku, Ungku, Fida dan Emirul. Kami berempat menghabiskan masa hingga pukul 3.30am berbual. Cukup membuatkan suasana riuh. Aku yakin bagi mereka-mereka yang tidur di dalam khemah yang berdekatan dengan kami, tentu tidak dapat tidur lena. Mohon maaflah kepada semua.

Akhirnya, aku dan Emirul tidur dalam satu khemah tanpa menghiraukan rasa panas. Syukurlah, walaupun suasana panas, nyamuk tidak mengganggu lelap kami.

1 Komen:

feeza_nwa said...

Andy memang lawak giler malam tu dengan kain pelikat dia...aku suruh dia ikat macam yg selalu cetti india tu buat pun dia layankan jer...anyway, semua orang sporting malam tu kan...