Thursday, March 11, 2010

Diari Eco-Challenge Part 1: Skytrex

Terasa letih sangat sekembali dari Bukit Cerakah. Walaupun agak letih, tapi puas dengan semua aktiviti penuh yang dianjurkan. Masa yang diluangkan ke program begini tidak terasa sia-sia dan pengalaman begini sentiasa tidak akan lenyap dari ingatan.

7:30am - IRIS ke TPM

Aku, Matnor dan Mie tiba lewat. Hujan turun lebat sewaktu Matnor datang nak ambil aku dan Mie. Janji nak jumpa dalam pukul 6.30am, konon-kononnya nak sarapan pagi sama kat ESSO Puncak Jalil. Keadaan memaksa untuk tidak bersarapan pagi tu. Kasihan kat Matnor kerana terpaksa meredah jalan jam di Sri Kembangan. Terima kasihlah atas kesanggupannya membantu kami. Selepas ke rumah aku, kami berdua bergerak ke rumah Mie di Puncak Jalil. Keadaan di Puncak Jalil tidak lagi lebat berbanding keadaan di area rumah aku.

Di IRIS, bas sudah lama menunggu untuk bergerak. Masing-masing kelihatan ceria dan tidak sabar untuk berada di sana segera. Walaupun begitu, hati aku risau jika keadaan hujan ini akan terus berpanjangan.

Kami mula bergerak dari IRIS kira-kira dalam pukul 7.50am dengan bas yang di sewa khas. Keadaan dalam bas riuh dengan gelak ketawa. Kehadiran Nizan, Kamal Bashar dan Wari memang menghidupkan susasana dengan celoteh mereka yang tak henti-henti.

9:00am - Mendirikan tapak

Kami sampai ke Bukit Cerakah dan kelihatan ramai pengunjung tiba di sana selain kami. Ada yang berjalan kaki, ada yang menyewa basikal dan ada yang menggunakan kenderaan sendiri.

Sampai di 'Skytrex Adventure Park', kumpulan pertama yang dianggotai seramai lebih kurang 25 orang diturunkan untuk melakukan aktiviti tersebut. Aku yang berada di kumpulan kedua ditugaskan untuk menyiapkan tapak kem perkhemahan kami.

Tapak perkhemahan kami ditempatkan di Camar Rimba. Tanpa menggunakan bas, kami berjalan kaki selama lebih kurang 10 minit ke tapak perkhemahan dengan membawa beg besar, khemah serta barang keperluan lain. Sepanjang perjalanan itu, aku melihat seekor kerbau sedang makan rumput. Di sebelah pagarnya pula, ada seekor itik seolah-olah sedang berbual dengannya. Comel betullah situasi tu.

Selain tapak khemah, ada beberapa chalet disediakan. Kolam renang juga ada. Melihat kolam renang tersebut, aku dah mengintai-intai masa yang sesuai untuk membuat terjunan bebas. Lama betul tak berenang ni!

Khemah kami didirikan mengikut kumpulan masing-masing dan setiap kawasan ditanda dengan bendera kumpulan. Inilah pengalaman pertama aku memasang khemah yang disediakan oleh Reyadz, Faizul dan Emirul.

Menjelang pukul 11.00am setelah khemah siap dipasang, kami mula bergerak untuk pergi ke 'Skytrex Adventure Park' untuk kumpulan ke dua pula. Aku pergi menaiki kereta Toyota Avanza milik Encik Syah yang dipandu oleh Zaki. Sempat lagi keluar menempah sebuah chalet dan beli air minuman di kawasan tersebut sebelum mendaftar.

Sesi pendaftaran untuk cabaran Skytrex bermula. Borang diisi dan segala peralatan keselamatan diambil. Tak lupa juga sesi taklimat penerangan mengenai alat keselamatan dan bagaimana menggunakannya. Sebelum memulakan aktiviti ini, peserta akan memulakan sesi percubaan Flying Fox yang agak rendah.


12:00pm - Cabaran bermula

Seorang demi seorang peserta menaiki tangga untuk memanjat kayu setinggi 17 meter dari tanah itu. Semasa mula memanjat, aku memang rasa terlalu teruja untuk berada nun jauh di atas sana. Di hadapan aku, Ungku mendahului dan Reyadz berada di belakang aku bersama Yusri dan Mohammad.

Sementara menunggu peserta lain memanjat pokok, aku dan Reyadz sempat menjamah makanan tengahari yang disediakan di Skydeck. Peserta yang masih berada di kaki pokok melakukan aktiviti kegemaran mereka; bersesi fotografi. Maklumlah acara begini jarang-jarang berlaku. Setiap detik adalah kenangan.

Menjelang pukul 1.00pm, selepas makanan dihadam, aku kembali ke kaki pokok. Ungku mula memanjat. 3 kali dia terhenti untuk mengembalikan stamina. Aku, Reyadz, Yusri dan Mohammad tidak henti-henti memberikan motivasi supaya Ungku terus bersemangat. Odeng yang telah berada di atas kami minta untuk menunggu hingga Ungku benar-benar sampai.

Giliran aku tiba. Aku kena segera berada di atas untuk memastikan Ungku menggunakan cara yang selamat sebelum kecabaran berikutnya. Tanpa henti aku memanjat walaupun kaki mula lenguh di 3/4 ketinggiannya. Tiba di atas, aku segera mencapai tali Ungku. Aku lihat, tanah begitu jauh aku tinggalkan. Selepas melalui laluan jaring ke sebelah pokok lain, sekali lagi kami akan memanjat ke bahagian yang lebih tinggi. Antara cabaran yang akan kami lalui selepas itu adalah 'Crazy Zig-Zag'. Matlamat aku adalah untuk sampai ke pokok satu lagi tanpa menghiraukan jarak aku dengan tanah. Reyadz yang berada di belakang aku tak henti-henti menyuruh aku terus memerhatikan Ungku supaya tidak melakukannya sendiri.

Di sebelah pokok sana, kami kena bersedia dengan cabaran 'Sky-Crawl'. Dicabaran inilah yang amat menakutkan kerana kami akan menggelongsor hanya dengan satu tali di atas ketinggian 22 meter. Ungku kelihatan tidak yakin tapi kami tidak mampu berpatah balik melainkan meneruskan cabaran ini. Aku lihat Ungku menyanyi-nyanyi untuk menghilangkan rasa gerunnya. Apa yang dianyanyikan aku tak pasti tapi macam lagu kanak-kanak dalam bahasa Inggeris. Selepas beberapa lama, Ungku melepaskan kakinya dari tapak dan menggelongsor dengan laungan "Allahu Akhbar". Takbir...!!!

Selain daripada cabaran-cabaran yang aku sebutkan di atas, ada beberapa lagi cabaran-cabaran lain yang dipanggil 'Happy-Hopper', 'The Earthquake', 'Wild Revenge' dan bermacam-macam lagi yang mengambil masa selama sejam untuk mengakhiri semuanya. Memang sungguh mencabar tahap keberanian kita dalam mengatasi ketinggian.

Menjelang pukul 2.30pm, semua peserta ke-2 berjaya mengharungi semua ujian. Tidak seorang pun dari kami samada peserta kumpulan-1 mahupun ke-2 yang menggunakan 'Chicken Run' untuk keluar dari cabaran. Malah jika cabaran ini dipanjangkan lagi, atau jika ada peluang ke-2, kami sanggup untuk mengharunginya.


3:00pm - Bersantai dan masa membersihkan diri

Semua keletihan dan kembali ke khemah masing-masing. Ia masa untuk merehatkan diri selepas aktiviti Skytrex tadi. Ada yang kelihatan sudah mula berada di kolam renang.

Berita buruk bagi beberapa peserta adalah ada khemah yang dicerobohi oleh penghuni kawasan tersebut iaitu kera. Haiwan ini mungkin mencari makanan yang disembunyikan di dalam khemah. Kera ini tahu membuka zip khemah yang tak berkunci dan pandai memilih makanan walalupun makanan bukan dalam keadaan terbuka. Ada sesetengah khemah yang dikoyakkan setelah zip di mangga.

Pada masa berehat ini, ramai yang mengambil peluang untuk menunaikan solat Zohor, menjerang air panas, membuat unggun api untuk menghalau nyamuk dan melakukan latihan untuk persembahan kumpulan. Tak lupa juga ada yang menggoreng 'French Fries'. Ada yang sudah mula mencari bahan untuk peserta yang bakal menjadi Eco-King malam nanti. Dan aktiviti yang tidak pernah dilupakan, aktiviti bergambar termasuklah mengambil gambar seekor spesis semut besar yang tidak pernah aku lihat sebelum ini.


3 Komen:

washa ungku aziz said...

sandarkan semangatku pada group terakhir. especially to Adam n Odeng. TQ guys. memori indah bgku selepas ini...

Anonymous said...

cesssssssssss....tidakkkkkkk

nik mawardi said...

ohhh.tringat geng2 irisian huhu.bestnya trip korang.rugi x dpt join lg huhu.