Monday, October 29, 2012

Sila patuhi arahan ini...!!!

Anda diminta untuk tidak menghubungi saya melalui pesanan ringkas atau pun panggilan di talian dalam masa terdekat ini. Jika anda ingkar, anda terpaksa melayan bebelan seorang awek ni yang tak segan-segan menjawab dengan selambanya panggilan anda. 

 Sila ikut arahan di dalam gambar agar kita mudah untuk terus berhubung setelah masalah saya dan awek tu selesai. Jangan risau, awek tu tak tahu saya boleh dihubungi melalui FB. 

*P/S: Ade sape2 nak jual enfon x?

Sunday, October 28, 2012

Di manakah tahap kita?


Saturday, October 27, 2012

Putih itu ukuran cantik...???

"Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa paras kamu dan warna kulit kamu, akan tetapi Allah memandang pada hati kamu dan amalan-amalan kamu." - Muhammad S.A.W
Aku perolehi hadis di atas melalui carian di internet. Hadis ini biasa kita dengar dan kalau tak silap aku, pernah aku gunakan dahulu semasa mengikuti Pertandingan Syarahan Agama Peringkat Sekolah-sekolah Daerah Tawau. Sebab itu aku cuba menaip bait-bait sebutannya sebagaimana yang aku ingat. Aku membuat carian melalui internet memang berniat untuk dijadikan isian dalam blog ini hanya untuk memperoleh maklumat tentang siapa periwayatnya samada ia hadis sahih ataupun hadis daif. Memandangkan aku gagal memperoleh tentang periwayatnya, aku harap ada diantara sesiapa yang singgah ke blog ini memperbetulkan aku.

Best juga sebenarnya bila mempelajari seni editing. Seni ini aku pelajari seorang diri selepas diperkenalkan oleh rakan-rakan kolej dahulu. Selebihnya aku gunakan internet untuk menambah kecekapan. Maklumlah tidak berkesempatan mempelajari kursus seni grafik. Aku boleh buat muka aku jadi seperti Joker, Avatar, Hulk, Orang Minyak, wajah pucat Vampire, Hell Boy, Shrek, Zombie, macam make-up Opera Cina dan macam-macam lagilah. Seronok! Adakalanya aku lakukan semalaman untuk menyiapkan projek aku.

Eh, kembali kepada tajuk Berbeza Warna Kulit. Adakalanya kita ni bila iman tengah lemah, ditambah pula dengan bisikan syaitan yang merendah-rendahkan diri kita, kita kesal dengan anugerah warna kulit yang kita ada. Seperti kita ni orang Melayu yang dilahirkan dengan warna kulit sawo matang, semahu-mahunya kita menjadikan warna kulit kita tu cerah. Pada fikiran kita, warna kulit yang cerah tu cantik. Kadang-kadang kesal gak, kenapalah kulit kita tidak secerah kulit orang-orang Kadazan atau pun kulit-kulit orang Cina? Ada sesetengahnya tu, kulit dah la putih, tapi tak puas lagi. Nak lagi putih! Macam-macam alat pencerah muka digunakan. Tak cukup dengan tu, bubuh bedak kapur di muka sebelum tidur. Itulah ada orang kita lihat, muka putih melepak tapi tangannya gelap daripada kulit tangan kita.

Tak tahulah bagaimana jika dilahirkan dengan kulit yang agak gelap seperti orang-orang afrika agaknya. Mungkin baru terasa nak pasrah sebab terpaksa buat pembedahan sebagaimana Micheal Jackson lakukan dahulu untuk jadi putih melepak. MJ pun melakukannya selepas menghadapi msalah kulit. Tapi mungkin kita ni lakukan untuk suka-suka jadi putih.

Jika kita lihat di barat bagi masyarakat Eropah atau pun di Amerika, bangsa-bangsa Inggeris juga menghadapi maslah yang sama. Mereka juga berjemur di pantai-pantai untuk menggelapkan kulit mereka. Mereka pula tidak mahu kelihatan terlalu putih. Mereka mahu kulit mereka kelihatan kuning-kuning langsat sebagaimana orang-orang asia. Mereka turut tidak puas hati dengan warna kulit putih yang dianugerahkan kepada mereka. Perkara ini jadi mengelirukan kerana setiap manusia itu mempunyai pandangan berbeza tentang warna kulit yang mana sebenarnya yang cantik kerana tidak ada piawaian berkenaan dengan itu. Ia terlalu subjektif bagi setiap orang. Namun mengubah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah itu akan mengukur tahap kesyukuran seseorang individu itu di mata orang lain.

Media juga sering menggambarkan bahawa kulit putih itulah yang cantik. Secara tidak langsung minda kita sedang memberitahu kita bahawa dalam majalah itu benar, dalam iklan-iklan TV itu benar. Bagi yang berkulit tak cukup cerah, maka rasa rendah dirilah mereka. Yang tidak benar bagi kita adalah anugerah yang khas diberikan untuk kita. Bagi kita, kila layak berkulit macam dalam iklan.

Iklan-iklan di TV juga kerap mempromosikan alat-alat atau krim pencerah untuk memberitahu minda kita bahawa berkulit gelap itu tidak cantik. Bila berkulit gelap, mereka menggambarkan wajah suram model-model mereka dengan semangat kerja yang tidak menentu. Malah semasa berkulit gelap, pandangan lelaki kepada seseorang wanita itu ditonjolkan seperti tidak mendapat perhatian. Sehinggalah wajah mereka bertukar putih melepak, barulah jejaka idaman memandangnya. Dah putih, mulalah jual mahal. Tapi kerja nak tip-top. Kalaulah warna biru itu ukuran jadi cantik dalam majalah-majalah, maka kita tidak akan hairan suatu masa nanti syarikat pembuat aksesori wanita mengeluarkan krim menjadi biru untuk melakukan produk mereka.
Sebenarnya, ukuran kecantikan wajah bukanlah diukur melalui warna kulit seseorang. Kecantikan wajah seseorang sebenarnya bergantung kepada tahap kebersihan wajah. Wajah merupakan sebuah aset kita dalam memberikan impak dalam urusan sehari-hari. Jika wajah kita kelihatan kotor, mungkin kita boleh terus dikasifikasi sebagai pengotor. Gelap manakah kita, jika kulit kita bersih dari kesan jerawat serta jeragat, insyaAllah cantiklah kita dari pandangan orang lain. Lihat saja wajah Paula Patton yang membintangi filem Deja Vu. Dia tetap kelihatan cantik walaupun dia tidaklah secerah Era Fazira.

Selain itu, faktor kecantikan juga yang selalu disebut subjektif itu jika dilihat secara umum lebih menjurus kepada faktor anugerah. Anugerah yang mana diberi percuma bukan atas berkat usaha seseorang. Mungkin bagi mereka-mereka yang sudah siap diacu cantik oleh Maha Pencipta, janganlah sesekali berasa sombong kerana kecantikkan yang dimiliki itu percuma harganya. Ia bukanlah kelebihan melainkan sebuah ujian kemegahan. Sebab itu jika wanita cantik itu tidak baik cara hidupnya, kecantikannya menghasilkan rasa benci orang. Namun jika baik susilanya, maka mudah orang menyenanginya. Namun begitu, setiap tindakan mereka akan menjadi perhatian kerana mereka punyai aset yang menjadi tumpuan. Mungkin sebab itu ada dikalangan hamba Allah yang menutup wajah mereka dengan purdah kerana ternyata wajah itu mampu menimbulkan banyak fitnah. 
Kalau kita benar-benar faham erti kecantikan, kita tidak akan lagi terpesona dengan keinginan untuk menjadikan kulit kita putih. Kita akan lebih tertarik untuk membersihkan wajah secara luarannya. Untuk tambahan kemanisan dalam wajah yang cantik itu, dalaman memainkan peranan yang sangat penting. Samada kebaikan hati daripada hasad dengki serta sombong, mahu pun keikhlasan hati dalam ibadah. Faktor ini menjadikan seseorang itu manis dalam kecantikan wajahnya. Sebab itu kalau kita lihat di kaca TV, ada wajah yang cantik tapi mereka tidak sesuai untuk membintangi watak baik kerana kurangnya manis dalam wajah mereka. Adakalanya yang sederhana wajahnya itu menjadi bintang utama kerana kemanisan wajah mereka diperlukan untuk menghidupkan watak-watak baik sebagai heroin.
Oleh, itu, bersyukurlah kerana dalam syukur itu ada terapi dalaman untuk aroma kemanisan wajah. Walaupun kita secara umumnya tidak kelihatan cantik sebagaimana wajah-wajah di majalah, sinar rohani itu akan muncul pada wajah yang hanya mampu dilihat oleh insan-insan yang juga membaca dengan mata hati.

Hilangnya Samsung Omnia Pro di IKEA

Baru-baru ini, aku dan 3 orang rakan aku berjalan ke Damansara. Arah tujuan kami adalah ke tempat perabot terbesar IKEA. Kalau tak silap aku, ini merupakan kali ke tiga aku sampai ke tempat ini.

Damansara merupakan tempat elit. Di Damansara ini terletaknya Sri Pentas yang mana adanya gabungan stesen penyiaran Media Prima. Di sini juga terdapatnya pusat mebeli-belah mega, The Curve. Selain itu, anda berpeluang melihat kediaman-kediaman mewah dengan rekabentuk idaman. Jika bertuah, anda berpeluang melihat para selebriti di sini.

Sebelum sampai ke kawasan perabot, kami melalui kawasan membeli-belah yang banyak di situ. Pelbagai aras kami naiki. Dari sebuah kedai sukan, ke kedai eletrik, kemudian kami melawat tempat menjual haiwan serta kedai serbaneka. 
Sampai ke bahagian IKEA, perkara pertama kali lakukan adalah duduk di sofa hiasan. Aku seperti biasa, merakam aksi kami semua untuk dijadikan kenangan. Ada sesetengah bahagian yang mengumpulkan pelbagai set sofa serta tempat duduk. Harganya memang tidak masuk akal jika di lihat pada kemampuan rata-rata rakyat Malaysia. Tapi tidak dinafikan, rekabentuknya menarik. Dari segi kualiti, hanya yang pernah membelinya tahu.

Ada pula bahagian yang terus menyediakan dekorasi penuh seumpama ruang tamu dan bilik. Perabot dihias penuh untuk gambaran sebuah ruang di dalam rumah beserta dengan hiasannya sekali. Jika betul sudutnya, anda berpeluang mengambil gambar seperti berada di dalam ruang dapur rumah mewah, atau berada di dalam bilik tidur indah, atau pun berada di dalam ruang tamu moden. Aku dan rakan-rakan sempat berlakon seperti berada di rumah sendiri.
Bagai bersantai di ruang tamu rumah sendiri.
Ala-ala Master Chef
Bagi aku, tempat ini bukan sebuah kedai yang sesuai untuk membeli-belah perabot rumah bagi golongan sederhana. Mungkin ia hanya sesuai untuk dijadikan harta bagi golongan-golongan elit, sesuai dengan lokasi bangunan ini terletak. Mungkin mengunjungi tempat ini hanya sesuai bagi mereka-mereka yang  ingin mencari inspirasi rekabentuk dalaman dan mengambil contoh padanan sebagaimana yang telah disediakan oleh pihak empunya kedai. Memang menarik, tidak aku nafikan. 
Sesi soal siasat.
Seperti menonton bolasepak di Stadium ASTRO
Dalam keterujaan melihat rekabentuk yang menarik di situ sambil mengabadikan gambar melalui camera, pada hari tersebut sebelum keluar dari bangunan besar itu, baru aku sedar telefon bimbit tiada di tangan. Aku cuba kembali ke kawasan-kawasan yang kami lewati namun peluang untuk mendapatkannya semula amat tipis. Aku yakin ia memang tidak boleh diperoleh semula memandangkan kawasan itu amat besar. Namun begitu, aku juga berharap ia tertinggal di dalam kereta rakan-rakan yang datang atau di rumah kerana sepanjang ingatan aku, aku tidak membuka telefon bombit sepanjang keluar.

Bertapa
Aku tidak tahu kenapa aku agak tenang dalam menghadapi situasi sedemikian. Mungkinkah sepatutnya aku gelabah? Bukankah masyarakat moden pada hari ini sukar untuk hidup andai ketiadaan telefon bimbit? Adakah kerana hari untuk gaji masuk sudah hampir dekat menyebabkan aku yakin boleh mendapatkan semula yang baru? Entahlah apa yang bermain dalam minda aku sehingga aku tidak merasakan ia sesuatu yang mengejutkan. Begitu mudah aku pasrah. Mungkin kerana tiada siapa yang kerap di hubungi dan tiada apa-apa yang mencemaskan aku. Hanya sesekali terlintas dalam fikiran aku tentang kecemasan.

Telefon bimbit Samsung Omnia Pro yang hilang itu merupakan telefon bimbit terpakai yang aku beli daripada rakan serumah aku selepas telefon bimbit sebelumnya rosak selepas kemalangan. Ia aku beli dalam keadaan tergesa-gesa. Pada waktu itu memang agak gelabah juga. Ya, pada waktu itu aku sangat kerap menggunakan telefon samada untuk SMS atau pun membuat panggilan. Hari ia rosak, hari itu juga berganti. Namun kali ini, aku boleh menunggu hingga beberapa hari sebelum memperoleh yang baru.

Kini, aku sedang mengira-ngira apa telefon bimbit yang hendak aku dapatkan nanti. Yang terlintas dalam fikiran aku hanyalah Samsung Galaxy. Memang sudah lama menyimpa rasa untuk mendapatkan model tersebut. Jika aku perlu untuk menyimpan wang simpanan yang lebih banyak, berkuburlah hasrat itu. Akan ku cari telefon bimbit terpakai lah lagi.
Mungkin di sini tempat hilangnya telefon bombit itu.
Hmmm, tengok lah nanti apa yang bakal aku gunakan. Belum muktamad lagi keputusan aku. Ya insyaAllah, semoga ada hikmahnya semua ini terjadi. Mungkin aku sedang dalam proses belajar menerima qada' dan qadar-Nya.

Sesampai ke hadapan pagar rumah, seorang rakan aku turut menyedari bahawa dia turut kehilangan barang yang baru dibeli. Huh, malang sungguh nasib hari ni. Bukan aku seorang sahaja, tapi rakan aku turut kehilangan beberapa barang yang baru dibeli. Kami yakin ia akibat kelalaian kami sendiri. Ada pengajaran yang kami perolehi.

Padan muka aku...

Barang rakan aku tertinggal di sini.

Manis kan?

Salam Aidiladha,

Gambaran sepasang suami isteri yang sempat aku rakamkan seusai mereka menyelesaikan solat sunat Aidiladha di surau Al-Ikhwan, Puncak Jalil. Sebelum gambar ini diambil, kelihatan mereka berjalan sambil berpimpin tangan. Indahnya alam perkahwinan. 

Namun begitu, kita jarang melihat gambar-gambar sepasang suami isteri dalam keadaan mesra melalui laman sosial. Pasangan suami isteri lebih malu utk menjadikan kemesraan melalui gambar itu untuk tatapan org lain.  

Hari ini kita lebih banyak dihidangkan dengan gambar2 mesra couple yang belum sah taraf, yg belum tentu berakhir dengan perkahwinan. Keadaan ini mendatangkan keinginan kpd anak2 muda di bawah usia mereka utk mencontohinya. Anak-anak muda jd tidak malu bergambar mesra dengan pasnagan yg bukan mahram mereka. Mungkin tidaklah berat sangat andai gambar berdua jika dlm keadaan yang tidak terlalu mesra, tapi keadaan sebaliknya berlaku, lebih mesra berbanding gambar2 org berumahtangga. 

Jika ramai pasangan suami isteri mendominasi gambar-gambar pasangan couple, tentu sahaja pasangan yg belum sah taraf ini malu utk meng'upload' lebih banyak lagi gambar. Ia juga menarik minat untuk pasangan couple segera menikah dan mempunyai gambar yang sama sabagaimana orang berkahwin. Ini akan menyebabkan golongan yg belum berkahwin punyai rasa malu, tidak sebagaimana apa yg berlaku hari ini.

Salam Aidiladha...
Gambar kenangan Raya Aidiladha 2012

Monday, October 22, 2012

Jauh di sudut hatiku

Aku di rumah seorang-seorang tengahari itu. Di luar pula awan berarak mendung. Laman sosial FB aku buka sambil melihat telatah rakan-rakan melalui status-status mereka. Ada yang bersedih, ada yang membentak-bentak, ada yang mengongsi gambar dan risalah berfaedah, ada yang sedang bersyukur, turut tidak ketinggalan yang kerap berkongsi gambar peribadi. Yang tak bernhenti-henti berdoa melalui FB pun ada sedangkan sudah beberapa kali orang-orang alim mengingatkan bahawa FB bukan perantara doa kita kepada Allah.

Perut mulai lapar tapi di luar hujan mulai turun. Aku khabarkan kepada rakan-rakan yang rancak berbalas komen bahawa aku akan keluar untuk mengalas perut. Makanan tengahari masih belum dijamah. Sempat aku mengambil beberapa keping gambar sebagai tatapan rakan-rakan di FB. Ya, mungkin aku terpaksa pergi berseorangan dalam keadaan hujan yang mulai turun semata-mata untuk mengisi perut yang kosong.
Selepas memuat naik gambar, aku mula memakai baju hujan untuk meredah rahmat Allah untuk sekelian makhluk di alam ini. Hari sudah agak petang. Tak rela rasanya untuk membiarkan harta pinjaman sementara ini berlapar. InsyaAllah akan ku jaga walau terpaksa meredah sedikit kepayahan kerana hujan yang turun ini membantu menepis kata-kata musuh durjana yang setiap hari mengatakan bahawa di tanah ini tiada air terawat. Apakah lagi yang lebih baik selain air hujan?

Selepas meredah air hujan yang mula gerimis, sampailah aku berseorangan di sebuah kedai makan. Mungkin bagi sesetengah orang, masa beginilah akan dihabiskan bersama teman wanita. Tapi bagi aku, ada rakan menemani sudah memadai.

Hidangan sampai berupa nasi goreng ayam bersama air. Dalam keadaan redup selepas hujan itu, aku menjamah makanan sambil ditemani oleh Wifi untuk laman sosial. Masih berbalas komen dengan rakan-rakan dalam FB. Kedengaran amaran berbunyi melalui telefon bimbit menandakan bateri mulai lemah. Segera aku memadamkan aplikasi Wifi untuk menjimatkan bateri.

Sekadar hiasan
Hati masih rasa sunyi. Kelihatan di hadapan aku ada dua buah keluarga sedang menjamu selera. Di hadapan sebelah kiri, ada seorang anak kecil dikendong. Mungkin berumur dalam empat bulan. Comel bayi itu. Sudah pandai tersenyum bila diajuk. Aku hanya melihat dia tersenyum. Tawanya buat aku pula yang tersenyum.

Di meja hadapan aku pula, sebuah keluarga bersama bayi yang sangat kecil. Mungkin dalam lingkungan umur sebulan atau dua. Semasa di kendong, mata bulatnya menjadi perhatianku. Sungguh comel mata suci itu memandang. Dia tepat memandang ke arahku memberi perhatian. Hingga saat aku menulis isian kali ini, aku tidak boleh melupakan pandangan bayi itu. Tersentuh hati aku melihat pandangan bayi kecil itu.

Kemudian aku lihat sepasang adik beradik sedang melintas jalan. Si kakak memimpin tangan adiknya yg lebih kecil sebelum melintas. Si kakak yang lebih cerdik memerhatikan kiri dan kanan jalan untuk memastikan mereka berdua dalam keadaan yang selamat semasa melintas. Ada kasih sayang si kakak kepada adik dan si adik pula sangat patuh pada kakanya. Sungguh indah keadaan itu. Aku teringin punyai anak yang sebaik itu.

Jauh di sudut hati aku, singgah perasaan untuk memiliki sebuah keluarga. Melahirkan anak-anak secomel itu dari keturunanku dan isteriku. Aku berbuat baik terhadap isteriku disamping memberi belaian kasih sayang, dan isteriku membalas dengan kepatuhannya. Anak-anak pula sentiasa mendengar nasihat ibubapa dan keluarga hidup dalam suasana beragama sentiasa. Aku ingin mendidik isteri dan anak-anakku berlandaskan agama. Walaupun ilmuku hanya sekangkang kera, namun apa yang dididik sebagaimana aku masih kecil oleh ibubapaku, begitulah jua akan aku didik mereka, insyaAllah. Selebihnya, aku biarkan mereka menuntut ilmu yang lebih baik lagi di luar sana oleh mereka-mereka yang lebih arif.

Lamunanku terhenti. Telefon bimbit berbunyi. Sungguh indah rasanya hidup dalam dunia angan-angan. Aku menjawab deringan itu daripada seorang rakan yang duduk berhampiran. Katanya dia akan sampai sebentar lagi kerana dia turut belum menjamah makanan. Aku menunggunya walaupun makanan di mejaku sudah habis.

Dalam penantian itu aku tersenyum sendiri. Di usia melebihi 30-an ini, aku masih hidup membujang. Makan adakalanya berseorangan, untunglah jika ada rakan-rakan sedia meneman. Masih dengan aktiviti dan program-program orang-orang muda seperti bersukan, fotografi, bermain muzik, menulis serta melayari laman sosial. Entah siapalah yang akan menjadi suri hidupku nanti dan meneruskan kelangsungan hidup mengikut fitrah. Bertuahlah bagi mereka-mereka yang berkahwin awal.

Kemudian sampailah rakan aku tadi menemani aku. Mungkin ada hikmahnya semua ini. Allah sempatkan sebuah panggilan dalam keadaan bateri telefon bombit yang sudah hampir padam itu untuk aku dihubungi. Agar aku berteman, agar aku tidak terus melayan hati yang sedang rawan. Aku tidak pasti namun aku tetap bersangka baik pada ketentuan Allah. Kemudian seorang lagi rakan muncul tanpa dirancang menjadikan kami kini bertiga dan berbual soal kerja serta kehidupan. 
Semoga hari esok ada sinar yang lebih baik dari hari ini. Amin...

Saturday, October 20, 2012

Bagaimana menyampaikan perasaan

Ada orang yang suka menyembunyikan permasalahannya. Tidak siapa tahu dia bermasalah. Mereka rela bersemubunyi daripada kesibukkan orang lain, menyendiri dan berkurung. Bilik adalah satu-satunya tempat bertapa.

Ada orang yang jenis lari dari masalah. Bila menghadapi masalah, mereka akan melakukan sesuatu benda berbeza seperti kuat makan, shopping mahal-maha, bersosial, melakukan aktiviti lasak yang mungkin hanya dilakukan bila bermasalah. Adakalanya melakukan aktiviti tidak berfaedah. Ia hanyalah dilakukan untuk menenggelamkan masalah dari fikiran.

Ada sebahagiannya yang memilih rakan tertentu untuk diluahkan. Rakan yang dia percaya. Dia sekadar mahu melepaskan rasa hati, tidak mahu menghebahkannya dengan harapan, rakan itu tidak menceritakan kepada yang lain. 

Ada yang menyampaikan luahan hati melalui tulisan. Mereka menulis secara terperinci tentang masalah mereka. Apa yang penting, mereka puas melepaskannya melalui tulisan. Kalau ada yang baca, OK lah. Kalau tidak ada sesiapa yang baca pun tidak mengapa.

Ada juga yang suka mendedahkan masalah. Mereka melepaskannya melalui status-status di laman sosial. Biar orang lain tahu, janji hati puas. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran, segera dipaparkan melalui dinding laman sosial. Dari sekecil-kecil masalah hingga soal masalah dengan pasangan.

Ada yang meluahkan perasan melalui muzik. Muzik menjadi perantara kepada lontaran perasaan mereka. Walaupun mgkin sesuatu muzik itu bukan genre mereka, jika muzik itu sahaja yg mampu menyampikn apa yg terpendam di jiwa, itu lah yang akan di paparkan.