Sunday, December 5, 2010

IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) - Part 2


Dalam pukul 8:00pm, penonton mula mengisi meja-meja yang tadinya kosong. Ruang dewan sangat luas dan susunan meja amat teratur. Berbanding pada tahun lepas, jarak antara satu meja ke satu meja lain agak terhad yang mungkin disebabkan oleh ruang dewan yang agak kecil berbanding kali ini. Hiasan kali ini lebih nampak harmoni dengan warna-warna terang. Hiasannya cukup menarik serta latar belakang pentas yang ceria.

Hadirin masuk ke dewan membawa sebuah beg biru yang berisi cenderahati. Aku tidak pasti samaada cenderahati ini merupakan hadiah kepada mereka-mereka yang hadir sahaja atau pun kepada semua pekerja IRIS. Berbanding pada tahun lepas, kami mesti membuktikan kehadiran kami untuk melayakkan diri kami mendapat cenderahati ini. Dengan cara itu, pihak jawatankuasa dapat mengawal kuantiti yang dihasilkan. Kuranglah masalah tidak dapat bagi mereka-mereka yang hadir. Oh ya, lupa pula nak cerita apa isinya. Di dalam beg cenderahati ini, kami diberikan sehelai jaket biru tua atau hitam yang pada aku lebih tinggi nilainya. Ia bukan sebuah uniform kerja tetapi aku ada mendengar berita bahawa di sesetengah bahagian production mula mewajibkan penggunaannya. Sekali lagi aku sebutkan di sini, ia bukan uniform kerja. Ia hanya sebuah cenderahati pada IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) 2010.



8:30pm, majlis bermula dengan alunan dua suara pengerusi majlis. Kedua-dua pengerusi bertindak cemerlang dalam beraksi bersama penonton dan bijak mengawal situasi. Mereka juga menggunakan dwibahawa untuk memastikan semua hadirin terus bersama menumpukan perhatian dalam majlis tersebut. Selepas mengambil sedikit masa, kedua-dua pengerusi mengumumkan untuk persembahan pertama pada malam tersebut iaitu Salozza atau Azza bersama penari-penari dengan lagu Stupid Cupid. Semua penonton kelihatan terhibur dengan persembahan lagu oleh Azza dan para penari yang menggayakan tarian mereka dengan penuh seksi dan manja. Tidak sia-sia mereka di pilih untuk persembahan di malam tersebut kerana persembahan tarian mereka cukup mempersonakan dan tidak mengecewakan.



Apabila tamat lagu Stupid Cupid, Azza menyebut, "Where's my Cupid?". Pada masa ini muzik latar bergema dan keluarlah cahaya dari pintu belakang yang pada mulanya gelap dengan sinaran lampu serta bunyi sebuah enjin. Dato' Tan muncul menunggang sebuah scooter putih dan bergerak melalui permaidani merah hingga ke hadapan pentas.

Selepas itu, Dato' meletakkan scooter tersebut di hadapan pentas lalu menemui Azza. Dato' sempat memberikan Azza kuntuman bunga mawar merah sebagai tanda bahawa dialah Cupid tersebut.



Dalam perbualan di atas pentas, Azza mencabar Dato' untuk mencari penari lelaki yang dikatakan tidak wujud di IRIS. Dato' pula mahu membuktikan bahawa ada ramai di kalangan lelaki warga IRIS ini boleh menari. Untuk membuktikannya, apabila irama lagu Bee Gees - Staying Alive berkumandang, lampu dipadamkan. Apabila lampu menyala semula, Dato' muncul bersama dua orang penari lelaki iaitu Mohammed dan Nasrul. Ketiga-tiga mereka menari dengan langkah dan gaya yang sama yang menyebabkan penonton teruja.



Selepas tarian Dato' Tan tamat bersama penarinya, penonton meminta agar Dato' melakukannya sekali lagi. Kali ini dengan penyertaan penonton yang lebih ramai untuk turut serta. Dengan langkah tarian yang mudah diikuti, para penonton yang cukup spoting menari di bahagian hadapan pentas beramai-ramai.

Selepas acara tersebut, Dato' Tan mula berucap sempena membuka secara rasmi IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) 2010. Dato' mengumumkan bahawa setiap pekerjanya merupakan senjata rahsia kejayaan IRIS pada hari ini dan ucapan tersebut mendapat tepukan gemuruh setiap hadirin.

Perjalanan majlis terus lancar. Acara seterusnya diikuti dengan persembahan nyanyian Dato' Khatijah Ibrahim. Suara lunak Dato' Khatijah Ibrahim masih bertenaga dan merdu walaupun sudah mempunyai cucu. Persembahannya pada malam tersebut sungguh mempersona dengan dendangan tiga buah lagu.



Pada lagu terakhir bertajuk 'Mencintaimu' yang pernah di popularkan oleh Kris Dayanti, Dato' sungguh menghayati setiap bait-bait liriknya. Pada masa itulah, kami para kugiran sudah mula berada di belakang pentas menunggu giliran. Kali ini perasaan gemuruh mula mengusai diri.

Pada baris-baris akhir lagu nyanyian Dato' Khatijah Ibrahim, dia sudah berada di belakang tirai tabir betul-betul dihadapan aku. Aku sempat mengucapkan syabas kepadanya sambil memberitahunya bahawa dia masih hebat lagi. Wanita yang bertubuh tinggi ini menepuk-nepuk bahu aku dan berkata, "Good Luck". Selepas kata-kata semangat itu, rasa gemuruh hilang dalam diri aku. Aku merasa cukup yakin untuk berada di atas pentas sebentar lagi.

Selepas Dato' Khatijah Ibrahim selesai dengan lagunya, slide show temuramah yang diambil sepanjang bulan tersebut dari beberapa orang staf IRIS dipertontonkan. Dalam keadaan pentas yang gelap, kami mula memegang alat muzik masing-masing. Selesai sahaja slide show di pamerkan di atas skrin, kami mula diumumkan untuk menyanyikan lagu 'That Thing You do'. Ike dan aku mula memetik gitar dan lampu mula menerangi pentas. Asap ais kering keluar di hadapan aku seolah-olah pentas dipenuhi kabus. Tiada rasa gementar, tiada rasa menggigil. Aku bermain gitar dengan penuh keyakinan. Aku cuba memandang gitar dan para penonton sambil menggoyangkan badan sedikit.



Selepas berakhir lagu tersebut, lagu kedua kami dendangkan bersama Azza bertajuk 'Malam Pesta Muda Mudi'. Kali ini dengan iringan penari-penari yang cukup meriah dan berwarna-warni. Kali ini pentas kelihatan penuh dengan penyanyi, penari dan pemain muzik. Dalam persembahan lagu ini, kami pemain muzik agak tenggelam di belakang para penari.



Selesai dua buah lagu, tinggal dua lagi. Walau bagaimanapun, aku berpuas hati dengan apa yang kami lakukan. Azza mengambil alih tugas pengerusi majlis dengan mempersilakan Dato' Tan untuk menyanyikan lagu bertajuk 'End of The World'. Lagu berentak ballad ini mengubah suasana yang rancak tadi kepada perlahan. Lagu yang membuai semua hadirin dalam suasana yang romantis.

Friday, December 3, 2010

IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) - Part 1



IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) telah berlalu. Segalanya telah tamat selepas 5 minggu kami membuat persediaan. Sepanjang persiapan itu juga kami menghadapi masalah kurang tidur, lemah badan, sakit-sakit otot dan kurang bersukan. Dalam entry kali ini, aku tidak mahu cerita perkara-perkara sedih kerana majlis berjalan dengan begitu lancar dan dalam suasana yang meriah dan penuh warna-warni.

Perjalanan bermula dari rumah kami ke Shangri-La dengan perjalanan berhemat bermula pada pukul 11:00 am. Sesampai di sana, kami diminta untuk melakukan rehearsal terakhir dan pengujian audio untuk semua alat muzik. Kelihatan pula para penari melakukan latihan untuk semua lagu yang melibatkan tarian. Azza turut bersama-sama dengan penari untuk menjayakan lagu Stupid Cupid. Kami sempat menghabiskan sesi rehearsal terakhir tersebut dan merehatkan diri di bilik persalinan persembahan. Di bilik persalinan tersebut juga kami menenangkan fikiran dengan menyanyikan lagu-lain lain untuk hiburan.



Di Hotel Shangri-La, kami ditempatkan di salah satu bilik hotel tersebut bernombor 0824. Di bilik tersebut kami merehatkan badan sambil berbual-bual dan meletakkan semua barangan bawaan kami. Kami turut dihidangkan dengan makanan Pizza yang ditempah sebagai makanan tengahari kami. Kami juga sempat mandi di bilik air hotel 5 bintang dengan air panas. Walaupun biliknya agak kecil untuk bilangan kami yang ramai, namun kami menggunakan semua ruangan yang ada dengan baik.




Menjelang ke pukul 7:30 pm selepas semua ahli band selesai mandi, kami semua sudah bersiap memakai baju kemeja putih dan berseluar panjang hitam. Kami turut memakai tali leher mengikut warna masing-masing. Aku memakai tali leher hijau, ike merah jambu, Azim merah, Fattah biru dan Syam dengan warna ungu. Kami tidak mengenakan sebarang make-up kerana rasanya persembahan kami tidak akan dinilai berdasarkan bagaimana rupa muka kami di atas pentas tersebut. Satu lagi, kami rasakan kami dah natural beauty. Faizul pula mahukan kami menggunakan lipstick. Habis setiap seorang dilipstickkan oleh Faizul walaupun ramai ang cuba mengelak. Selepas memakainya, aku dapat rasa seperti ada lapisan berminyak yang membungkus bahagian bibir aku yang menyebabkan rasa kurang selesa. Aku cuba mengelap sedikit agar warnanya tidak terlalu menyerlah.

Selesai acara melipstick, kami keluar untuk sesi fotografi bersama Faizul di luar bilik hotel sebelum turun melihat perkembangan tetamu yang hadir serta sesi pendaftaran. Jom tengok hasil-hasil gambar kami yang Faizul hasilkan.


Cerita pasal kami jer kan? Okey lah, sekarang kita lihat suasana serta wajah-wajah ceria dan warna-warni warga IRIS sepanjang sesi pendaftaran.

Pada mulanya suasana agak lengang di luar dewan majlis. Ada beberapa orang sahaja yang baru sampai menaiki kenderaan sendiri termasuk ahli jawatan majlis yang berlegar-legar di kawasan tersebut. Kami menaiki escalator untuk meninjau hadirin lain yang bakal tiba.



Di luar pintu masuk, kami berlima berdiri seperti penyambut tetamu dengan memakai kacamata hitam. Jauh di seberang sana, kelihatan kumpulan-kumpulan yang baru sampai untuk menghadiri majlis. Penampilan berbeza mereka berbanding hari-hari kebiasaan menyebabkan kami turut hampir sukar mengecam. Apa yang turut mengejutkan kami, para hadirin turut tidak mengecam siapa kami di pintu masuk tersebut. Ada yang menyangka bahawa kami adalah penyambut tetamu. Ada juga yang menghampiri dekat ke arah kami tetapi masih tidak dapat mengecam kami sebagai salah seorang daripada rakan sekerja mereka sehingga kami tegur. Andai kami sukar dicam, mereka juga turut berpenampilan lain hingga perlu kami kenalpasti secara teliti untuk memastikan siapa mereka.



Tatkala hujan renyai-renyai semasa menanti rakan-rakan lain di luar sana, kemunculan seseorang yang istimewa membanggakan kami. Azhar datang ditemani isterinya sambil dibantu oleh tongkat untuk berjalan. Dia tidak habis-habis menyatakan sokongan kepada kami sebagai rakan-rakan seperjuangannya untuk persembahan pada malam ini. Andai tidak berlaku kemalangan, pasti dia turut ada bersama kami pada hari tersebut untuk naik ke pentas sebagai drummer. Kehadirannya pada hari ini sangat bermakna kepada kami. Mungkin kehadirannya boleh membantu untuk mendatangkan mood kepada kami yang semakin gemuruh.


Jom kita lihat beberapa gambar yang menunjukkan kemeriahan pesta Retro pada kali ini.































Thursday, November 25, 2010

D'Boys - Sesi Latihan Part 4


Aku ni kalau menulis memang berjela-jela. Bila mood dah datang, semua idea penulisan akan keluar. Bagi aku, kalau ini sahaja cara untuk mengabadikan kenangan, biarlah ia begitu panjang dan terpeinci. Ini adalah bahagian ke terakhir 'D'Boys - Sesi Latihan'. Akan datang jika mood menulis aku ada, aku akan tulis cerita berkenaan malam Retro tu nanti.

Hari Rabu pada minggu terakhir itu, bermulalah detik pertama kali gabungan tanpa Azhar ini akan beraksi di pentas berhadapan penonton. Penonton yang hadir terdiri daripada ahli komiti malam dinner, para dancer dan pengawal sistem bunyi serta beberapa staf IRIS lain.

Pagi itu aku selesaikan kerja-kerja aku bersama Azlan. Aku beritahu dia bahawa petang nanti aku terlibat dengan rehearsal. Jika ada apa-apa kerja yang nak di lakukan selain daripada apa yang sedang kami buat pada waktu itu, hanya pagi ini sahaja masa yang ada.

Seawal waktu rehat itu, kami semua menjamu selera dahulu sebelum keluar untuk mengambil kostum. Pagi sebelum tu, aku telah uruskan bahagian meletak kenderaan di tempat pelawat untuk kereta Syam yang memuatkan kostum dan peralatan musik Ike. Terima kasih kepada Kak Zuraimas dan Kak Nor yang membantu dalam urusan parking.

Di Adacadabra, kami dilayan baik oleh Reen. Pakaian kami di diratakan menggunakan pemanas stim sebelum dibawa keluar. Malah kali ini Reen offer aku jadi fotografer untuk katalog gambar-gambar kostum selepas melihat hasil kerja aku melalui laman Facebook. Alhamdulillah, satu-satu peluang datang.

* * * * * *

Selepas mengambil kostum, kami kembali ke IRIS untuk membuat persiapan di auditorium. Pukul 3:00 petang merupakan waktu yang dijanjikan rehearsal bermula. Setelah tiba di Auditorium, Shin Yee memberitahu bahawa peralatan muzik masih belum sampai sedangkan mereka berjanji bahawa mereka akan sampai pada pukul 2:00 petang untuk persiapan semua peralatan. Kalau masa begini pun peralatan masih belum ada, ke pukul 4:00 petang pun belum tentu kami dapat mulakan rehearsal.
Di bilik persalinan, masing-masing mengemaskan tali leher dengan warna masing-masing. Ada yang siap berkemeja dan seluar slack yang bakal di pakai pada malam tersebut. Aku hanya memakai baju-T berkolar dan seluar slack biru yang lusuh. Hanya kot sahaja yang aku sarungkan ke badan semasa naik ke pentas nanti.

Ketika peralatan telah sampai dan siap dipasang, kami cuba membuat tuning kepada setiap gitar dan mengawal pembesar suara untuk diseragamkan bunyinya. Untuk memastikan bunyi diseragamkan dengan baik, maka kami cuba mendendangkan satu lagu bertajuk 'Runaway - Del Shannon'.

Semasa muzik kami berkumandang dan Ike masih menyanyi secara mendatar untuk percubaan, salah seorang ahli terkuat dalam dinner tersebut masuk dari pintu auditorium lalu duduk di kerusi penonton mendengar nyanyian kami. Kelihatan wajahnya seperti kurang menyenangi.

Sehabis sahaja nyanyian, dia mula mempersoalkan cara kami bermain muzik malah menegur Ike secara keras. Katanya pada Ike, "Kamu ni tak cukup practice kah?"

Moral aku terus menurun dan Ike kelihatan agak kecewa dengan pertanyaan itu. Ahli-ahli band lain tergamam dan kelihatan Azza turut tidak berpuas hati dengan pertanyaannya. Kemudian dia mempersoalkan pula tentang sistem audio, adakah sistem ini yang akan mengiringi band pada malam tersebut? Pengendali audio sistem itu pula cuba mempertahankan sistemnya dengan mengatakan bahawa sistem dia baik, yang lain bergantung pada cara bagaimana kami bermain.

Nasib baiklah Kak Ida dan Faizul yang selama ini pernah menyaksikan bagaimana kami bermain muzik, tampil membela. Kak Ida dan Faizul memberitahu bahawa lagu tadi bukan lagu sebenar dan ia dipersembahkan sekadar untuk menguji keseragaman sistem audio antara kami.

Aku tak putus asa namun terus terkesan dengan teguran itu. Selepas pengendali audio mengimbangkan bunyi speaker antara kami, dan Kak Ida memberi lampu hijau untuk mempersembahkan lagu 'Malam Pesta Muda Mudi', kami mula menunjukkan cara sebenar kami bermain dengan lagu dendangan Azza dan dibantu oleh tarian para penari.

Yang menambah keyakinan aku, lagu 'IRIS DI Hati' mendapat perhatian lebih dan dipersetujui untuk dinyanyikan sebagai lagu terakhir kami pada malam tersebut. Selebihnya, tidak banyak komen lain selain kami diminta untuk kelihatan lebih gembira dan lebih bergoyang semasa bermain muzik.

* * * * * *

Pada malam Khamis iaitu sesi terakhir latihan kami di studio, tidak banyak perkara yang kami perbaiki selain merakam lagu 'IRIS Di Hati' secara instrumental dan menambah satu lagi korus untuk memanjangkan lagu. Lagu-lagu lain kami berlatih seperti biasa. Namun ada berita baru yang aku dengar. Jumaat nanti akan ada satu lagi sesi rehearsal penuh, kali ini Dato' Tan akan hadir sekali. Kami diberitahu bahawa Dato' Tan mahu tahu bagaimana lagu 'IRIS Di Hati' dan rehearsal itu memerlukan emergency band instrument. Faizul kelihatan sibuk berbincang mengenai peralatan muzik dengan pemilik studio. Nampak gayanya, kami akan berlatih sekali lagi di auditorium.

Apa yang menggembirakan kami, Azhar turut serta bersama kami pada malam itu untuk memberi sokongan. Kakinya masih belum sembuh namun dia ada membuat percubaan untuk bermain drum. Dia juga akan ada bersama kami pada malam dinner nanti.

* * * * * *


Selesai solat Jumaat, kami telah berada di auditorium untuk menguji alat muzik. Kali ini alat muzik datang dari studio yang biasa kami gunakan untuk sesi latihan dalam studio dan mereka sampai lebih awal, sekitar pukul 12:00 tengahari. Walaupun set kali ini memang telah dijangka tidak secanggih sistem audio sebelum ini, namun begitu kami rasa lebih selesa kerana mereka mempersiapkan semuanya lebih awal.


Sebelum ketibaan Dato' Tan, Kak Ida meminta kami untuk berlatih keempat-empat lagu. Kebetulan pula semasa mendendangkan lagu terakhir 'IRIS DI Hati', Dato' Tan muncul dari pintu auditorium. Keadaan bunyi yang agak belum habis diseragamkan membingitkan telinga dan menyebabkan persembahan lagu tersebut jauh lebih buruk dari sebelumnya. Beberapa kali Dato' Tan menegur akan bunyi bingit yang pecah dari speaker gitar Ike. Pengawal audio turut membantu untuk memperbetulkannya.