Sunday, December 5, 2010

IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) - Part 2


Dalam pukul 8:00pm, penonton mula mengisi meja-meja yang tadinya kosong. Ruang dewan sangat luas dan susunan meja amat teratur. Berbanding pada tahun lepas, jarak antara satu meja ke satu meja lain agak terhad yang mungkin disebabkan oleh ruang dewan yang agak kecil berbanding kali ini. Hiasan kali ini lebih nampak harmoni dengan warna-warna terang. Hiasannya cukup menarik serta latar belakang pentas yang ceria.

Hadirin masuk ke dewan membawa sebuah beg biru yang berisi cenderahati. Aku tidak pasti samaada cenderahati ini merupakan hadiah kepada mereka-mereka yang hadir sahaja atau pun kepada semua pekerja IRIS. Berbanding pada tahun lepas, kami mesti membuktikan kehadiran kami untuk melayakkan diri kami mendapat cenderahati ini. Dengan cara itu, pihak jawatankuasa dapat mengawal kuantiti yang dihasilkan. Kuranglah masalah tidak dapat bagi mereka-mereka yang hadir. Oh ya, lupa pula nak cerita apa isinya. Di dalam beg cenderahati ini, kami diberikan sehelai jaket biru tua atau hitam yang pada aku lebih tinggi nilainya. Ia bukan sebuah uniform kerja tetapi aku ada mendengar berita bahawa di sesetengah bahagian production mula mewajibkan penggunaannya. Sekali lagi aku sebutkan di sini, ia bukan uniform kerja. Ia hanya sebuah cenderahati pada IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) 2010.



8:30pm, majlis bermula dengan alunan dua suara pengerusi majlis. Kedua-dua pengerusi bertindak cemerlang dalam beraksi bersama penonton dan bijak mengawal situasi. Mereka juga menggunakan dwibahawa untuk memastikan semua hadirin terus bersama menumpukan perhatian dalam majlis tersebut. Selepas mengambil sedikit masa, kedua-dua pengerusi mengumumkan untuk persembahan pertama pada malam tersebut iaitu Salozza atau Azza bersama penari-penari dengan lagu Stupid Cupid. Semua penonton kelihatan terhibur dengan persembahan lagu oleh Azza dan para penari yang menggayakan tarian mereka dengan penuh seksi dan manja. Tidak sia-sia mereka di pilih untuk persembahan di malam tersebut kerana persembahan tarian mereka cukup mempersonakan dan tidak mengecewakan.



Apabila tamat lagu Stupid Cupid, Azza menyebut, "Where's my Cupid?". Pada masa ini muzik latar bergema dan keluarlah cahaya dari pintu belakang yang pada mulanya gelap dengan sinaran lampu serta bunyi sebuah enjin. Dato' Tan muncul menunggang sebuah scooter putih dan bergerak melalui permaidani merah hingga ke hadapan pentas.

Selepas itu, Dato' meletakkan scooter tersebut di hadapan pentas lalu menemui Azza. Dato' sempat memberikan Azza kuntuman bunga mawar merah sebagai tanda bahawa dialah Cupid tersebut.



Dalam perbualan di atas pentas, Azza mencabar Dato' untuk mencari penari lelaki yang dikatakan tidak wujud di IRIS. Dato' pula mahu membuktikan bahawa ada ramai di kalangan lelaki warga IRIS ini boleh menari. Untuk membuktikannya, apabila irama lagu Bee Gees - Staying Alive berkumandang, lampu dipadamkan. Apabila lampu menyala semula, Dato' muncul bersama dua orang penari lelaki iaitu Mohammed dan Nasrul. Ketiga-tiga mereka menari dengan langkah dan gaya yang sama yang menyebabkan penonton teruja.



Selepas tarian Dato' Tan tamat bersama penarinya, penonton meminta agar Dato' melakukannya sekali lagi. Kali ini dengan penyertaan penonton yang lebih ramai untuk turut serta. Dengan langkah tarian yang mudah diikuti, para penonton yang cukup spoting menari di bahagian hadapan pentas beramai-ramai.

Selepas acara tersebut, Dato' Tan mula berucap sempena membuka secara rasmi IRIS Retro Nite (Dinner and Dance) 2010. Dato' mengumumkan bahawa setiap pekerjanya merupakan senjata rahsia kejayaan IRIS pada hari ini dan ucapan tersebut mendapat tepukan gemuruh setiap hadirin.

Perjalanan majlis terus lancar. Acara seterusnya diikuti dengan persembahan nyanyian Dato' Khatijah Ibrahim. Suara lunak Dato' Khatijah Ibrahim masih bertenaga dan merdu walaupun sudah mempunyai cucu. Persembahannya pada malam tersebut sungguh mempersona dengan dendangan tiga buah lagu.



Pada lagu terakhir bertajuk 'Mencintaimu' yang pernah di popularkan oleh Kris Dayanti, Dato' sungguh menghayati setiap bait-bait liriknya. Pada masa itulah, kami para kugiran sudah mula berada di belakang pentas menunggu giliran. Kali ini perasaan gemuruh mula mengusai diri.

Pada baris-baris akhir lagu nyanyian Dato' Khatijah Ibrahim, dia sudah berada di belakang tirai tabir betul-betul dihadapan aku. Aku sempat mengucapkan syabas kepadanya sambil memberitahunya bahawa dia masih hebat lagi. Wanita yang bertubuh tinggi ini menepuk-nepuk bahu aku dan berkata, "Good Luck". Selepas kata-kata semangat itu, rasa gemuruh hilang dalam diri aku. Aku merasa cukup yakin untuk berada di atas pentas sebentar lagi.

Selepas Dato' Khatijah Ibrahim selesai dengan lagunya, slide show temuramah yang diambil sepanjang bulan tersebut dari beberapa orang staf IRIS dipertontonkan. Dalam keadaan pentas yang gelap, kami mula memegang alat muzik masing-masing. Selesai sahaja slide show di pamerkan di atas skrin, kami mula diumumkan untuk menyanyikan lagu 'That Thing You do'. Ike dan aku mula memetik gitar dan lampu mula menerangi pentas. Asap ais kering keluar di hadapan aku seolah-olah pentas dipenuhi kabus. Tiada rasa gementar, tiada rasa menggigil. Aku bermain gitar dengan penuh keyakinan. Aku cuba memandang gitar dan para penonton sambil menggoyangkan badan sedikit.



Selepas berakhir lagu tersebut, lagu kedua kami dendangkan bersama Azza bertajuk 'Malam Pesta Muda Mudi'. Kali ini dengan iringan penari-penari yang cukup meriah dan berwarna-warni. Kali ini pentas kelihatan penuh dengan penyanyi, penari dan pemain muzik. Dalam persembahan lagu ini, kami pemain muzik agak tenggelam di belakang para penari.



Selesai dua buah lagu, tinggal dua lagi. Walau bagaimanapun, aku berpuas hati dengan apa yang kami lakukan. Azza mengambil alih tugas pengerusi majlis dengan mempersilakan Dato' Tan untuk menyanyikan lagu bertajuk 'End of The World'. Lagu berentak ballad ini mengubah suasana yang rancak tadi kepada perlahan. Lagu yang membuai semua hadirin dalam suasana yang romantis.

1 Komen:

suSueEmiMie said...

wahwahwahhh..:D..
comey blog nih..