Thursday, November 25, 2010

D'Boys - Sesi Latihan Part 4


Aku ni kalau menulis memang berjela-jela. Bila mood dah datang, semua idea penulisan akan keluar. Bagi aku, kalau ini sahaja cara untuk mengabadikan kenangan, biarlah ia begitu panjang dan terpeinci. Ini adalah bahagian ke terakhir 'D'Boys - Sesi Latihan'. Akan datang jika mood menulis aku ada, aku akan tulis cerita berkenaan malam Retro tu nanti.

Hari Rabu pada minggu terakhir itu, bermulalah detik pertama kali gabungan tanpa Azhar ini akan beraksi di pentas berhadapan penonton. Penonton yang hadir terdiri daripada ahli komiti malam dinner, para dancer dan pengawal sistem bunyi serta beberapa staf IRIS lain.

Pagi itu aku selesaikan kerja-kerja aku bersama Azlan. Aku beritahu dia bahawa petang nanti aku terlibat dengan rehearsal. Jika ada apa-apa kerja yang nak di lakukan selain daripada apa yang sedang kami buat pada waktu itu, hanya pagi ini sahaja masa yang ada.

Seawal waktu rehat itu, kami semua menjamu selera dahulu sebelum keluar untuk mengambil kostum. Pagi sebelum tu, aku telah uruskan bahagian meletak kenderaan di tempat pelawat untuk kereta Syam yang memuatkan kostum dan peralatan musik Ike. Terima kasih kepada Kak Zuraimas dan Kak Nor yang membantu dalam urusan parking.

Di Adacadabra, kami dilayan baik oleh Reen. Pakaian kami di diratakan menggunakan pemanas stim sebelum dibawa keluar. Malah kali ini Reen offer aku jadi fotografer untuk katalog gambar-gambar kostum selepas melihat hasil kerja aku melalui laman Facebook. Alhamdulillah, satu-satu peluang datang.

* * * * * *

Selepas mengambil kostum, kami kembali ke IRIS untuk membuat persiapan di auditorium. Pukul 3:00 petang merupakan waktu yang dijanjikan rehearsal bermula. Setelah tiba di Auditorium, Shin Yee memberitahu bahawa peralatan muzik masih belum sampai sedangkan mereka berjanji bahawa mereka akan sampai pada pukul 2:00 petang untuk persiapan semua peralatan. Kalau masa begini pun peralatan masih belum ada, ke pukul 4:00 petang pun belum tentu kami dapat mulakan rehearsal.
Di bilik persalinan, masing-masing mengemaskan tali leher dengan warna masing-masing. Ada yang siap berkemeja dan seluar slack yang bakal di pakai pada malam tersebut. Aku hanya memakai baju-T berkolar dan seluar slack biru yang lusuh. Hanya kot sahaja yang aku sarungkan ke badan semasa naik ke pentas nanti.

Ketika peralatan telah sampai dan siap dipasang, kami cuba membuat tuning kepada setiap gitar dan mengawal pembesar suara untuk diseragamkan bunyinya. Untuk memastikan bunyi diseragamkan dengan baik, maka kami cuba mendendangkan satu lagu bertajuk 'Runaway - Del Shannon'.

Semasa muzik kami berkumandang dan Ike masih menyanyi secara mendatar untuk percubaan, salah seorang ahli terkuat dalam dinner tersebut masuk dari pintu auditorium lalu duduk di kerusi penonton mendengar nyanyian kami. Kelihatan wajahnya seperti kurang menyenangi.

Sehabis sahaja nyanyian, dia mula mempersoalkan cara kami bermain muzik malah menegur Ike secara keras. Katanya pada Ike, "Kamu ni tak cukup practice kah?"

Moral aku terus menurun dan Ike kelihatan agak kecewa dengan pertanyaan itu. Ahli-ahli band lain tergamam dan kelihatan Azza turut tidak berpuas hati dengan pertanyaannya. Kemudian dia mempersoalkan pula tentang sistem audio, adakah sistem ini yang akan mengiringi band pada malam tersebut? Pengendali audio sistem itu pula cuba mempertahankan sistemnya dengan mengatakan bahawa sistem dia baik, yang lain bergantung pada cara bagaimana kami bermain.

Nasib baiklah Kak Ida dan Faizul yang selama ini pernah menyaksikan bagaimana kami bermain muzik, tampil membela. Kak Ida dan Faizul memberitahu bahawa lagu tadi bukan lagu sebenar dan ia dipersembahkan sekadar untuk menguji keseragaman sistem audio antara kami.

Aku tak putus asa namun terus terkesan dengan teguran itu. Selepas pengendali audio mengimbangkan bunyi speaker antara kami, dan Kak Ida memberi lampu hijau untuk mempersembahkan lagu 'Malam Pesta Muda Mudi', kami mula menunjukkan cara sebenar kami bermain dengan lagu dendangan Azza dan dibantu oleh tarian para penari.

Yang menambah keyakinan aku, lagu 'IRIS DI Hati' mendapat perhatian lebih dan dipersetujui untuk dinyanyikan sebagai lagu terakhir kami pada malam tersebut. Selebihnya, tidak banyak komen lain selain kami diminta untuk kelihatan lebih gembira dan lebih bergoyang semasa bermain muzik.

* * * * * *

Pada malam Khamis iaitu sesi terakhir latihan kami di studio, tidak banyak perkara yang kami perbaiki selain merakam lagu 'IRIS Di Hati' secara instrumental dan menambah satu lagi korus untuk memanjangkan lagu. Lagu-lagu lain kami berlatih seperti biasa. Namun ada berita baru yang aku dengar. Jumaat nanti akan ada satu lagi sesi rehearsal penuh, kali ini Dato' Tan akan hadir sekali. Kami diberitahu bahawa Dato' Tan mahu tahu bagaimana lagu 'IRIS Di Hati' dan rehearsal itu memerlukan emergency band instrument. Faizul kelihatan sibuk berbincang mengenai peralatan muzik dengan pemilik studio. Nampak gayanya, kami akan berlatih sekali lagi di auditorium.

Apa yang menggembirakan kami, Azhar turut serta bersama kami pada malam itu untuk memberi sokongan. Kakinya masih belum sembuh namun dia ada membuat percubaan untuk bermain drum. Dia juga akan ada bersama kami pada malam dinner nanti.

* * * * * *


Selesai solat Jumaat, kami telah berada di auditorium untuk menguji alat muzik. Kali ini alat muzik datang dari studio yang biasa kami gunakan untuk sesi latihan dalam studio dan mereka sampai lebih awal, sekitar pukul 12:00 tengahari. Walaupun set kali ini memang telah dijangka tidak secanggih sistem audio sebelum ini, namun begitu kami rasa lebih selesa kerana mereka mempersiapkan semuanya lebih awal.


Sebelum ketibaan Dato' Tan, Kak Ida meminta kami untuk berlatih keempat-empat lagu. Kebetulan pula semasa mendendangkan lagu terakhir 'IRIS DI Hati', Dato' Tan muncul dari pintu auditorium. Keadaan bunyi yang agak belum habis diseragamkan membingitkan telinga dan menyebabkan persembahan lagu tersebut jauh lebih buruk dari sebelumnya. Beberapa kali Dato' Tan menegur akan bunyi bingit yang pecah dari speaker gitar Ike. Pengawal audio turut membantu untuk memperbetulkannya.

0 Komen: