Wednesday, December 26, 2012

Pengembaraan ke Selatan 1: JB

Part 1: JB
Part 2: Singapura
Part 3: USS

Aku tidak sempat menulis pengembaraan ke Utara kami pada tahun lepas semasa mengunjungi Langkawi. Percutian hujung tahun yang sangat memenatkan kerana mengejar masa yang cukup singkat dengan persinggahan yang terlalu banyak. Namun pengembaraan itu membawa kami hingga menjejakkan kaki ke sempadan negeri Gajah Putih. Anda turut boleh mengunjungi isian di Langkawi Part 1 dan Bukit Kayu Hitam melalui blog MySuhana untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan tersebut.

Namun pada penghujung tahun ini, kami mengembara ke Selatan pula untuk bercuti. Kali ini menuju ke kota Singa untuk melawat Universal Studios Singapore. Sebelum menuju ke negeri Temasek itu, pastikan kita dilengkapi dengan Passport sebagai tiket untuk menyeberangi Selat Tebrau. Proses membuat passport mestilah melalui Imegresen. Inilah kali pertama aku memohon untuk mendapatkan passport. Hari-hari kerja buat passport. Bila tiba masa untuk memilikinya, terpaksa memohon dengan pihak lain. Comotnya muka aku masa nak mohon passport.

Syahreen dan isterinya, Zue telah melakukan tempahan tiket USS dan hotel untuk menginap selama 3 hari 2 malam. Kenderaan untuk bergerak ke selatan juga telah siap-sedia untuk bergerak oleh Azmir. Mie dan isterinya, Sue turut bersedia bila-bila masa untuk perjalanan jauh ini.

Perjalanan kami bermula lebih seminggu sebelum hari cuti umum Krismas. Untungnya pergi pada waktu itu, keadaannya tidaklah sesesak jika pergi pada waktu percutian pada minggu hadapannya. Namun begitu, jalan raya tetap ramai penggunanya. Hujan turut mengiringi perjalanan kami. Kami turut melihat banyak kejadian kemalangan di mana-mana. Dalam hati tidak henti berdoa agar perjalanan kami berenam selamat hingga balik nanti. Kami berhenti sekali di Hentian Pagoh untuk menjamah sedikit santapan dan minuman. Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 4 jam dari Kuala Lumpur.

Perjalanan kami menuju ke hotel di bantu oleh GPRS. Gajet ini banyak membantu dalam mencari perjalanan kami ke satu-satu tempat di JB. Adakalanya agak memeningkan namun ia turut membantu. Kami menginap di Hotel Suria yang turut menyediakan pakej ke USS. 

Oh ya, tanah Johor ini merupakan negeri pertama yang aku jejak pada mula-mula ke tanah semenanjung. Pada masa itu aku menginjakkan kaki ke menara gading. Kali ini aku datang bersama teman-teman untuk bercuti dan menjadi perantara untuk kami menuju ke Singapura.

Sampai di Hotel Suria, kami sempat berehat sebentar untuk membersihkan diri dengan mandian air panas serta menyelesaikan solat jamak sebelum berjalan-jalan di sekitar JB. Berehat di hotel memang jauh berbeza berbanding di rumah. Dengan keadaan biliknya yang sejuk, tilamnya yang empuk serta bantal yang sangat lembut, ia mampu menghanyutkan kami dengan mimpi indah jika diteruskan lagi istirehat. Aku bersama Azmir tinggal di bilik hotel yang sama dengan katil berasingan. Bilik hotel tersebut turut dilengkapi TV, almari, meja, arah kiblat serta sejadah. Dapatlah kami menyimpan barangan kami dengan mudah serta mempersiapkan diri.
Menjelang pukul 5:00 petang, kami keluar menuju ke JB City Square. Di sana kami mengisi perut yang dah mula berbunyi di sebuah restoran nasi ayam. Memang kali ini aku tidak dapat menahan lapar lagi selepas menolak untuk menjamah makanan di Hentian Pagoh dalam perjalanan sebelum ini. Aku makan ibarat membalas dendam. Akulah yang banyak menjamah hidangan pada waktu itu.

Selesai mengisi perut, kami berjalan-jalan ke sekitar JB City Square. Ada di antara kami yang membeli-belah barangan di kompleks tersebut. Selain itu kami turut menukar wang kami kepada matawang Singapura. Pertama kali dalam hidup aku memegang duit Dollar Singapura sendiri. Pada masa itu, 1 Dollar Singapura lebih kurang bersamaan dengan RM2.50. 
Semasa berada di JB City Square, aku tidak berbelanja apa-apa memandangkan tidak punyai banyak wang di tangan. Aku turut memerhatikan keindahan JB Central yang cukup indah dengan gemilauan cahayanya dari luar kompleks tersebut. JB City Square dan JB Central dihubungkan dengan sebuah jambatan yang merintangi jalanraya di bawahnya. Dari JB City Square, kita dapat melihat keindahan bangunan JB Central yang tersergam indah. Orang ramai turut berpusu-pusu berjalan di jambatan tersebut untuk menyeberangi kedua-dua buah bangunan.
Selepas itu, kami berenam bergerak menuju ke Danga Bay. Kata orang, dari Danga Bay kita dapat melihat Singapura. Danga Bay yang aku kenal dahulu berbeza keadaannya dengan Danga Bay yang aku lihat kini. Banyak perubahan yang dibuat. Ia kelihatan seperti sebuah taman tema yang bercahaya yang dikunjungi oleh ramai orang. Kami berjalan di sepanjang kawasan tersebut sambil melihat suasana indah di sekeliling. Aku mengambil kesempatan untuk mengambil gambar kenangan di sini.

Kami turut bermain permainan membaling botol. Sebelum itu, kami menukarkan wang dengan token. Kata pelayannya, gelang tersebut boleh masuk ke atas botol. Berbelas cubaan kami tetap gagal. Namun begitu, kami masih tidak berpuas hati dan membeli token sekali lagi. Kami berenam tidak berputus asa untuk mencuba namun masih gagal. Akhirnya kami semua akur bahawa misi untuk memasukkan gelang ke dalam botol itu mustahil.

selain itu, kami mencuba permainan seakan-akan pin ball. Biasanya kita main permainan ini dalam komputer tapi kali ini secara realiti. Namun begitu, permainan ini juga seakan-akan mustahil kerana petak nombor yang terbesar sengaja dikecilkan. 

Kaki kami kian jenguh berjalan lalu kami merehatkan diri di sebuah taman. Badan masih lesu selepas jauh dalam perjalanan. Kami bercadang untuk kembali ke hotel untuk berehat secukupnya sebelum ke destinasi sebenar. Van dijadualkan oleh pihak hotel untuk datang mengambil kami pada pukul 7.15 pagi esoknya. Kenangan di Danga Bay aku simpan dalam bentuk gambar. Bagi rakan-rakan yang datang ke Johor Bahru, silalah melawat Danga Bay. Mungkin misi untuk melihat Singapura dari situ gagal, tapi kenangan bergambar tetap menjadi simpanan sebagai oleh-ole dari JB.
Hotel Suria, tempat kami menginap

Monday, November 19, 2012

Warkah untuk Palestin

Bumi Palestin sengsara 
Kata kita, 'peduli apa?' 
Kita pos lagi status putus cinta 
Dalam FaceBook kita meronta-ronta 
Seolah kita lebih sengsara

Bumi Palestin berdarah 
Kita masih pos rasa amarah 
Langsung di hati tiada rasa gelisah 
Seolah marah kita lebih barah 
Sedangkan di sana setiap saat gelisah 
Menanti ajal tak tahu dari mana arah

Bumi Palestin bergolak 
Kita masih pos manusia bersorak 
Diikuti hiburan yang terus melalak 
Sedangkan saudara kita berjuang mendapatkan hak 
Kita pula masih keliru pada siapa kita berpihak
Bagaimana pula mahu bertindak?
Bumi Palestin diserang 
Kita masih pos gambar hati yang senang lenang 
Ketawa gembira tanpa rasa bimbang 
Sedangkan di sana tiadalah tenang 
Yang hidup hanya mampu berlari lintang pukang 
Bumi para Anbiya terus menjadi lapang 
Dek serangan bertubi peluru berpandu yang datang

Bumi Palestin diburu 
Yahudi mengganas tanpa kenal erti jemu 
Rakyat Palestin dihapus satu persatu 
Namun antara kita ada yang langsung tidak ambil tahu
Malah menentang usaha boikot tanpa rasa malu 
Bagi kita 'itu bukan tanah airku' 
Sedangkan di sanalah tempatnya nabi-nabi terdahulu

Bumi Palestin terus mengukir 
Mengukir diari keperitan dari orang-orang kafir 
Entah bila peperangan ini akan berakhir 
Ada yang tidak pernah menikmati kemanan semenjak lahir 
Mereka terus berjuang hingga ketitisan darah terakhir 
Bumi jadi saksi darah syahid terus mengalir 
Semoga bantuan Allah akan hadir 
Semoga Israel berjaya diusir 
Biar Israel temui kemusnahannya yg semakin hampir
-A.D.A.M-

Saturday, November 17, 2012

Ikan merah dari Tawau ke KL

Tanah pertama tempat aku memijakkan kaki di Semenanjung ni adalah tanah Johor. Sejak sampai ke situ semasa belajar dahulu hingga ke hari ini, aku tidak banyak makan lauk berasaskan ikan. Kalau di kampung halaman, ikan ibarat makanan rutin kami. Jika dibandingkan antara lauk ikan dan ayam, aku akan pilih ayam. Tapi kalau kat kampung, ayam ni makan sekali-sekala je. Ada pun, ayam menjadi masakan kenduri-kendara seperti majlis perkahwinan, kenduri arwah mahupun majlis rasmi. Bukan disebabkan harga ayam itu mahal. Jika dibandingkan harga ayam di sana dengan di Kuala Lumpur, tidaklah jauh berbeza. Mungkin lebih murah sedikit. Tetapi orang di sana punyai pilihan makanan lain yang jauh lebih murah seperti ikan.

Pada masa tu aku tidak sedar mengapa aku kurang memilih ikan sebagai lauk. Pada hemat aku, mungkin aku sudah agak jemu makan ikan. Tapi selepas berbual sedikit bersama seorang rakan sekerja aku yang kebetulan sekampung denganku, baru aku faham kenapa. Katanya, selera kami ni tidak masuk dengan ikan air tawar. Mungkin juga disebabkan rupa ikan air tawar ni kehilangan berbeza dengan ikan laut dengan kepalanya yang agak leper. Sudah terbiasa agaknya melihat ikan itu sepatutnya berkepala bujur (agaknya lah). Di sini, ikan laut tidak banyak dihidang, kalau ada pun harganya terlalu mahal.

Ya, betul katanya. Sebab itulah semasa dalam perjalanan balik selepas ekspidisi ke Gunung Senyum tahun lepas bilamana kawan-kawan mengajak aku untuk berhenti sebentar untuk menjamah kepala ikan patin di Pahang, rasa macam tak lalu je nak makan sedangkan mereka mengidam untuk mendapatkannya. Aku menolak untuk membuat pesanan dan hanya memesan air untuk menghilangkan dahaga. Yang menjadi kegemaran mereka adalah ikan patin masak lemak serta masak tempoyak. Kepala ikan patin pula menjadi pilihan walaupun ia dijual pada harga yang cukup lumayan.

Semasa di tempat kerja pula atau di mana-mana foodcourt, jika ternampak ikan keli dihidang, aku pandang sekali lalu je. Aku merasa amat pelik jika ada orang gemar memakannya tapi tidak pula pernah bertanya kerana khuatir aku pula yang kelihatan pelik selepas itu. Namun begitu, aku bukan jenis terlalu memilih dalam pemakanan.  Ada suatu masa semasa seorang lagi rakan sekampungku mengajak makan tengahari di kawasan Kajang, kami berdua turut mencuba masakan ikan keli yang digoreng kering dan rangup. Dalam keadaan sedemikian, bau hanyir ikan air tawar tersebut mampu dilupakan dan tidak memotong selera kami berdua.
Di kawasan Puncak Jalil terdapat sebuah kedai yang menyediakan masakan ikan bakar. Diantara hidangannya adalah ikan tilapia dan ikan siakap. Aku bersama rakan serumahku kerap juga makan dua jenis ikan tersebut samada dibakar mahupun masak stim atau tiga rasa. Aku sudah terbiasa makan kedua-dua jenis ikan ini walaupun kedua-duanya jenis ikan air tawar. Ia mungkin kerana pengaruh kawan yang kerap memesan hidangan ini apabila makan beramai-ramai. Selain itu, ia menggunakan rempah dan sos yang mampu menyedapkan rasanya. Namun begitu, aku agak kurang menggemari jika kedua-dua ikan tersebut di masak secara stim atau rebus kerana rasa hanyirnya menghilangkan seleraku. Namun begitu, kedua-dua jenis ikan ini masih mampu menarik minatku untuk sajian makan malam mungkin disebabkan kedua-dua jenis ikan ini bersisik. Lagipun, rupa ikan telapia itu seakan-akan ikan merah. Walaubagaimana pun adakalanya rasa isi ikan tersebut di lidah aku seperti mengandungi lumpur (walaupun hakikatnya tidak demikian). 

Ikan air masin seperti ikan merah, ikan bawal, ikan sebelah, ikan sardin dan beberapa spesis ikan lain yang hidup dilaut punyai rasa yang agak berbeza dengan ikan air tawar. Mungkin kerana hidup di laut yang berair masin, isinya punyai rasa masin semulajadi yang mendatangkan selera. Mungkin kerana itu harganya terlalu mahal di Kuala Lumpur serta cara memperolehinya yang agak sukar kerana memerlukan kemahiran dan peralatan di laut. Di restoran-restoran mewah juga, selain menyediakan ikan import, mereka hanya menghidangkan ikan yang diperolehi dari laut. Kami yang datang dari Sabah khususnya sudah biasa menikmati hidangan makanan laut yang diperolehi dengan harga yang agak murah. Di sana, ikan air tawar biasanya ditangkap untuk makanan sendiri, bukan untuk jualan kerana sambutan terhadap ikan air tawar agak dingin di pasaran.
Baru-baru ini, adik saudaraku datang ke rumah adikku membawa ikan merah dari Tawau yang dikirim oleh ibu bapaku. Mungkin hasil memancing ikan ayah dari laut. Jauh perjalanan ikan merah ini. Salah seekor darinya sudah siap disiang. Seekor lagi aku siang sendiri sisik dan perutnya selepas aku membawanya ke rumah. Ia mengambil masa selama sejam selepas dikeluarkan dari peti sejuk sebelum sisiknya dibuang. Aku bercadang untuk mencari mana-mana kedai makan yang sedia menerima upah untuk memasaknya. 

Menjelang malam, aku membawa beberapa orang rakan untuk menikmati juadah ikan merah masak tiga rasa yang dimasak oleh sebuah kedai makan di Puncak Jalil. Kedai ini menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding sebuah kedai lagi untuk upah memasak. Sementara menanti ikan merah tersebut dimasak, aku sempat menonton AIM serta perlawanan bolasepak diantara Arsenal dan Spurs yang berkesudahan dengan kemenangan 5-1 Arsenal.

Bilangan kami yang datang untuk menikmati juadah tersebut tidak ramai dan dua ekor ikan tersebut kami habiskan bersama. Kami turut memesan hidangan sayur khailan ikan masin untuk menambah menu pada makan malam hari tersebut. Alhamdulillah, salah seorang rakan pula sudi membelanja kos makan malam pada hari itu. 

Seusai makan malam itu, aku terus menghantar pesanan ringkas kepada ibuku bahawa ikan kirimannya telah menjadi santapan kami di kedai makan. Syukur alhamdulillah, setelah sekian lama, dapat juga kami merasa hidangan ikan merah dari Sabah. 

Thursday, November 15, 2012

Allah berikan tulang empat kerat pada saya.

Gambar sekadar hiasan 
Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!


Antara dua rakaat sebuah tuntutan fardhu


Cuba kau lihat dari luar tingkap rumahmu. 
Semasa azan Subuh berkumandang dan tatkala kau mahu berdiri menunaikan solat 
Suasana sekeliling gelap gelita 
Tidak ubah warnanya seperti pukul 8.00 malam sebelum itu 
Jika beruntung, kau mampu mendengar cengkerik bersahutan. 
Namun, seusai ibadah fardhu tersebut 
Selepas kau melakukan zikir dan menyampaikan doa pada yang Khalik 
Suasana di luar tingkap itu berubah serta merta 
Cahaya mentari pagi sudah mula menyinari alam sekitar 
Kicauan burung pula menukar irama malam tadi kepada siulan pagi. 
Begitu pantas sinar itu membaluti kegelapan malam yang hanya dibezakan oleh 
Dua rakaat sebuah tuntutan fardhu

Friday, November 9, 2012

Perihal si pengembala kambing

Wahai si pengembala,

Kau memerintah bagaikan seorang raja. Di bawah jagaanmu banyak kambing untuk dibela. Kambing yang sentiasa akur untuk menjalankan kerja. Hasil tenusunya kau kaut semua. Kejayaanmu kini hanyalah kerana kerja keras mereka. Sehingga kau berjaya menempah nama.

Wahai si pengembala,

Kau tahu bukan hidup ini bagaikan roda? Apa yang berada di bawah jagaanmu itu bukan bekerja semata-mata. Mereka juga mahu hidup selesa. Ia sebagai tanda kau berterima kasih kepadanya. Jika kedudukanmu kini adalah untuk mendapatkan mahkota, ia hanyalah kerana hasil titik peluh mereka. Namun apakah yang sudah kau beri untuk meneruskan perjuangan mereka? Mereka berjuang untuk memantapkan kerja. Namun mereka memerlukan sesuatu agar mereka tidak berputus asa.

Wahal si pengembala,

Kambing itu dulu bebas berlari ke sini dan ke sana. Meragut rumput tak kira seluas mana. Dalam masa yang sama, hasil tenusu mereka tidak pernah dilupa. Namun kini, larian mereka tidaklah sejauh mana. Mereka terkurung bagaikan penjara. Namun kau mahukan hasil yang sama. Mungkin juga kau mahukan mereka melebihkan hasil tenusunya. Malangnya, kau turut menyekat emosi mereka. Kau juga mengganggu kebebasan mereka yang selama ini tidak pernah menimbulkan masalah apa-apa.

Wahai si pengembala,

Kini kambing itu tinggal sedikit cuma. Satu persatu meninggalkanmu entah ke mana. Mungkin lebih rela bergerak sendiri mencari tempat berbakti yang lebih layak bagi mereka. Kambing yang kau baru bawa, belum tentu mampu menghasilkan hasil yang sama dengan yang lama. Mungkin kambing baru itu juga akan berada hanya seketika. Mereka turut mencari peluang untuk lari ke mana saja. Kecuali jika mereka mendapat penjagaan yang sempurna.

Wahai si pengembala,

Hari ini kau gagal memberikan yang terbaik kepada kambing-kambing yang masih ada. Bilangan mereka boleh dikira berapa jumlahnya. Semakin hari kambing-kambing ini semakin tidak selesa. Emosi mereka membantutkan penghasilan kerja. Yang lama turut hilang usaha untuk terus memanfaatkan daya. Yang baru pula terlalu muda untuk menghasilkan sesuatu yang berguna.

Wahai si pengembala,

Tidak pernahkah kau terfikir bahawa kehilangan kambing-kambing yang ada hanyalah disebabkan oleh ketidak mampuanmu mengurus mereka. Tidak pernahkah dikau belajar dari pengalaman lama? Kau mahukan hasil yang begitu hebat jumlahnya, sedangkan kau sekat apa yang pernah mereka ada. Sedangkan kau tahu bahawa apa yang pernah ada itu tidak pernah mencacatkan penghasilan mereka. Adakah kau buta dalam menilaikannya, atau kau sengaja mencetuskan sesuatu yang boleh memanaskan bara?

Wahai si pengembala,

Yang lama itu tidak akan lama lagi, dan yang baru itu juga bila-bila masa akan pergi. Berusahalah menyediakan impalan yang baik untuk diberi. Turun naikmu juga adalah daripada ternakanmu itu yang berbakti. Jangan sesekali kambing belaanmu itu dikasari. Kita khuatir mereka pergi kerana tidak berdaya menahan deraan emosi. Beban yang ada jangan ditambah lagi. Jika penghasilan yang lebih itu perkara yang amat kau nanti, maka yang terbaik jugalah jagaan yang perlu kau beri. Di luar sana ada banyak peluang menanti. Namun kau berlemah lembutlah dengan mereka yang masih setia di sini. Kerana di sini masih baru lagi. Ia memerlukan penjagaan yang rapi untuk meningkatkan produktiviti.

Thursday, November 8, 2012

Pandangan mengenai hasutan Syaitan

Masa main game Angry Birds dalam phone aku di ruang tamu tadi, seorang rakan aku sedang membuka drama TV. Drama berkisar tentang apa, aku tidak ambil tahu kerana misi untuk membunuh musuh-musuh berupa babi hijau perlu ditumpaskan. 

Apa yang menarik perhatian aku, pada pengakhiran drama tersebut adalah sebuah potongan ayat Al-Quran. Ya hari ni khamis malam Jumaat. Pasti kisah dalam Slot Seram di TV3. Biasalah TV ni, bila buat drama khurafat, seram, hantu, tahyul, masa tu baru nak selit dengan Al-Quran. Seolah-olah ayat-ayat Al-Quran ni cuma untuk cerita-cerita hantu. Tak hairanlah seandainya anak-anak pada masa akan datang, bila bacaan Al-Quran berkumandang mereka cuma akan membayangkan hantu. Cerita-cerita cereka yang lain tidak pula mereka selitkan potongan ayat Al-Quran sedangkan kisah hidup dalam drama cereka banyak berkaitan dengan hasad dengki, hubungan suami isteri, khianat, perniagaan, amal maaruf serta mungkar, semuanya ada di dalam Al-Quran. Ya lah, sedangkan berita di TV3 itu sendiri banyak mengandungi fitnah berbanding fakta. Jadi faham-faham sajalah bila berkenaan dengan dramanya pula. 

Ayat Al-Quran itu diambil dari surah Al-Qaaf ayat 27 yang bermaksud:

(Semasa ia dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong".

Ayat Al-Quran ini mencetuskan sesuatu dalam fikiran aku. Aku ingat lagi suatu masa dahulu, aku dan rakan-rakan pernah berbincang mengenai Syaitan yang dirantai pada bulan Ramadhan. Mereka bertanya, kenapa perkara maksiat masih lagi terjadi pada bulan puasa sedangkan Syaitan sudah dirantai? Ya, pada masa itu kita diberitahu bahawa perkara-perkara jahat yang berlaku ke atas kita adalah kerana hasutan Syaitan.

Ada juga jawapan yang diberikan. Antaranya, sebelum Syaitan dirantai menjelang malam Ramadhan, Syaitan sudah siap-siap meninggalkan pesan kepada kita supaya teruskan ingkar. Tapi jawapan itu meninggalkan lebih banyak persoalan. Sudah tentu Syaitan tidak tahu ke mana kita pergi untuk membuat senarai panjang tentang apa yang akan kita buat dan apa yang tidak. Bila pula masanya dan di mana tempatnya.

Segalanya kini terungkai dalam ayat 27 dari surah Al-Qaaf ini. Ternyata perbuatan dan amalan jahat yang kita lakukan bukanlah semestinya datang dari hasutan Syaitan. Adakalanya kita ni sudah memang jahat, tanpa perlu sesiapa menghasut, kita memang akan melakukan kemungkaran. 

Sebagaimana waktu sepatutnya kita wajib berpuasa, ada sahaja golongan mereka-mereka yang ligat hendak berpuasa. Malah yang berpuasa sekali pun sukar untuk mendekatkan diri sepanjang bulan Ramadhan itu untuk mendengar majlis-majlis ilmu serta memijakkan kaki ke masjid. Ada juga yang masih sukar untuk menutup aurat dan menunaikan ibadah wajib. Siapa yang menghalang mereka? Bukankah Syaitan itu sudah dirantai? Maka inilah kemungkinannya apa yang dimaksudkan bahawa seseorang itu sendiri sememangnya berada di dalam keadaan yang jauh terpesong, tidak perlu disesatkan lagi dia tetap sudah sesat.
Pada andaian aku, hasutan Syaitan ini ibarat mancis manakala bahan bakarnya adalah nafsu. Apa yang boleh menyatukannya adalah akal. Akal kita akan menentukan samada kita akan menggunakan mancis untuk membakar nafsu atau tidak. Tanpa mancis juga, kita tetap mampu membakar nafsu dengan agen percikan api yang lain. Adakalanya bahan bakar itu bermanfaat, begitu juga nafsu. Hanya akal kita menentukan bilamana ia boleh mendatangkan manfaat dan bilamana pula ia tidak boleh diteruskan. Bagaimana pula akal mampu menentukan semua itu? Ia hanyalah dengan iman. Kerana itu kita perlu mengisi akal kita dengan iman supaya jalan yang kita pilih sentiasa bersesuaian dengan kehendak agama.

Aku yakin, yang sentiasa menjadi pendamping syaitan ini hanyalah mereka-mereka yang soleh. Sudah sifat Syaitan itu tidak mudah berputus asa. Yang sudah memang hanyut dibuai dunia, sudah tentu tidak menjadi kerisauan para Syaitan kerana itu sudah berdaftar menjadi pengikutnya. Tidak payah dihasut, mereka tetap akan buat juga. Yang menjadi perhatian Syaitan ini lebih kepada mereka-mereka yang baik amalannya. Syaitan menggoda dari setiap sudut untuk menjadikan mereka ingkar. Sebab itu kita ada melihat berita berkenaan para ustaz, ustazah, imam atau guru agama diberitakan melakukan perkara mungkar. Adalah mungkin bukan kerana iman mereka rapuh, tetapi godaan yang mereka terima lebih besar dari tahap kemampuan mereka. Mereka gagal di situ tetapi mereka tetap tidak pernah berputus asa untuk bertaubat namun mereka tetap menanggung malu dan kehilangan rasa hormat masyarakat.

P/S: Tulisan ini bukanlah dilakukan untuk dijadikan rujukan kerana tulisan ini sekadar pendapat peribadi. Ia tidak boleh dijadikan sandaran atau fakta. Sila rujuk kepada mereka-mereka yang lebih berilmu. Tulisan ini sekadar untuk dijadikan perkongsian daripada pendapat peribadi penulis.