Friday, March 16, 2012

Perlawanan persahabatan menentang JKR


Sudah 2 minggu aku kembali bermain bola di atas padang setelah meninggalkannya lebih 2 tahun. Kasut bola padang aku yang sudah berjahit rosak total pada hari pertama aku turun dalam latihan pada 2 minggu lepas. Dengan keadaan padang TPM yang tidak rata dan menakung air serta berlumpur, semuanya memberatkan kaki aku untuk membuat pergerakan pada hari permulaan kembali ke padang bola. Serba-serbi jadi tidak kena.

Aku kembali bermain di padang selepas jemputan untuk perlawanan persahabatan oleh pasukan adik aku iaitu pasukan dari JKR. Sudah lama dia meminta untuk mengadakan perlawanan persahabatan ini tetapi aku masih gagal untuk mengumpul pasukan. Kerana mungkin aku agak perlahan dek aktiviti yang sangat sibuk, adik aku menghantar jemputan melalui FB. Semenjak itu, aku mula sibuk mencari staf-staf syarikat yang berminat dibantu oleh Sattu Kachi dan Ayie.

Dengan keadaan padang TPM yang teruk serta cuaca yang sering hujan di Bukit Jalil, penyertaan latihan amat tidak memberangsangkan. Sukar untuk kami mengatur cara permainan untuk melihat kecenderungan pemain untuk diletakkan di bahagian mana. Perkara yang membimbangkan aku, berapa ramai yang betul-betul boleh hadir dalam perlawanan persahabatan itu nanti?

Latihan pada minggu pertama agak memeritkan namun pada hari kedua dalam minggu tersebut, aku mula boleh mengawal pernafasan aku. Pada hari khamis minggu pertama merupakan hari yang paling ramai penyertaan staf dan bekas staf memandangkan mereka mahu melakukan persiapan untuk perlawanan hari Sabtu. Malangnya aku terpaksa menunda tarikh perlawanan kepada tarikh seminggu selepas tarikh asal kerana tidak yakin kami punyai bekalan yang cukup untuk persediaan latihan.

Pada minggu kedua, kehadiran pemain masih membimbangkan, mungkin kerana ramai yang berminat terpaksa bekerja lebih masa serta keadaan cuaca yang tidak menentu. Walaupun ramai diantara mereka tidak hadir, mereka memberi jaminan bahawa mereka akan turut serta dalam perlawanan tersebut. Kegusaran aku tidaklah membimbangkan sangat kerana mereka kelihatan yakin akan turut beraksi. Yang sangat menyukarkan bagi kami adalah membentuk pasukan yang mempunyai tektikal baik serta saling bersefahaman. Keadaan padang yang basah dan berlumpur amat menyukarkan untuk kami berlatih permainan secara hantaran leret. Disebabkan itu, latihan perlawanan terpaksa dilakukan dengan hantaran jauh.

Pada tarikh thread ini ditulis, maka selesailah sudah perlawanan persahabatan diantara pasukan staf dan bekas staf syarikat menentang JKR Putrajaya di UPM Serdang yang mana keputusan perlawanan memihak kepada pasukan daripada Putrajaya tersebut dengan kemenangan 4-2.


Pada mulanya di awal pagi hari ini, aku turut khuatir dengan kehadiran pemain. Pada pukul 8.30 pagi pada waktu itu yang mana sepakmula sepatutnya dilakukan, tidak sampai 10 orang pemain dari pasukan aku yang hadir. Namun beberapa minit selepas itu, aku sudah boleh tersenyum kerana semua yang menyatakan akan hadir sudah berada di luar padang. Ribuan terima kasih aku ucapkan kepada semua rakan-rakan yang hadir kerana anda telah memeriahkan pasukan ini dengan komitmen anda.

Pasukan JKR memberi makluman bahawa mereka tidak datang bersama pasukan utama kerana masalah kecederaan dan komitmen keluarga sempena cuti sekolah. Apa yang menarik, permainan kedua-dua pasukan ini sangat harmoni. Tidak dibelenggu dengan kekasaran. Cuma ada satu kecederaan yang tidak dapat dielakkan terjadi melibatkan pemain dari pasukan aku. Zul telah mengalami kecederaan di buku lali dan memaksa dia untuk tidak bermain pada hari Ahad pada perlawanan persahabatan lain di tempat kediamannya.

Bermain di atas padang yang rata dan kering tidaklah sesukar mengawal bola di atas padang tidak rata dan berlumpur. Kaki tidak diberati dengan kasut dan stokin yang basah serta lekatan tanah. Walaupun kaki masih sakit akibat latihan, namun setiap minit berada di atas padang masih tidak sesukar jika dibandingkan dengan keadaan latihan. Aku mengawal bahagian kanan belakang untuk mengekang kemaraan serangan. Baljinder pula sangat baik dalam menjadi ketua di bahagian pertahanan. Dia sentiasa berhubung dengan pemain lain di bahagian bawah dan peka terhadap pergerakkan lawan.

Aku yang berehat selepas separuh masa pertama, melihat babak kedua yang sangat baik dari luar padang. Pasukan himpunan staf dan bekas staf syarikat ini memberi serangan bertali arus walaupun masih kurang tajam di bahagian serangan. Namun begitu mereka terus berusaha untuk melakukan sesuatu.

Secara rumusannya, kami harus bersama dalam permainan padang dengan lebih kerap untuk menambahkan lagi persefahaman. Dari segi tektikal, ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki untuk menguatkan pasukan. Memandangkan pemain yang hadir tadi ada 22 org, tidak mustahil untuk kehadiran di padang TPM boleh dilakukan 11 sebelah untuk melihat kecenderungan pemain bermain dibahagian mana.

Walau apapun, terima kasih kepada kehadiran rakan-rakan dalam memeriahkan perlawanan persahabatan ini. Walaupun mungkin terdengar ura-ura mengatakan bahawa acara futsal mungkin tidak akan dianjurkan pada tahun ini, kita masih boleh sepakat untuk memastikan bolasepak tidak akan mati dikalangan staf dan bekas staf.

(Gambar adalah ilustrasi oleh Al'azharino Ahmad)

0 Komen: