Sunday, December 26, 2010

Garuda tumpas di gelanggang harimau



Selepas bersama-sama dengan keluarga dari kampung yang datang untuk bercuti, aku menerima panggilan bahawa ada dua tiket percuma jika aku mahu datang ke stadium Bukit Jalil. Malangnya aku dalam perjalanan balik ke rumah adik aku dari Shah Alam selepas membawa ahli keluarga bersiar-siar. Panggilan itu aku terima dalam pukul 6:30pm. Memang tidak sempat, tambahan pula aku telah berjanji untuk menonton siaran langsung itu bersama mereka di kaca TV.



Setelah Malaysia tewas kepada Indonesia 5-1 di peringkat kumpulan, jumlah jaringan sebegitu cukup untuk menyatakan kegerunan aku kepada pasukan Indonesia yang tidak pernah kalah sepanjang kejohanan ini. Andai mampu menang pun, mungkin dengan jaringan tipis dan mungkin akan menerima padah di gelanggang lawan pada peringkat akhir kedua di Indonesia nanti.

Beberapa hari sebelum itu, aku dengar bahawa jurulatih Malaysia, K. Rajagobal turut melancarkan perang psycho dengan menggelar pasukan Indonesia sebagai 'jaguh kampung'. Pada penilaian aku, mungkin disebabkan oleh kekalahan diperingkat kumpulan dengan jaringan yang cukup besar di tempat lawan, K. Rajagobal melancarkan perang dingin sedemikian untuk menakut-nakutkan pihak lawan.

Setelah aku imbas semula, ada logiknya gelaran itu kerana pasukan Indonesia memenangi semua perlawanan hanya dengan bermain di tempat sendiri. Perlawanan akhir pertama ini merupakan perlawanan pertama mereka dengan bermain di tempat lawan. Namun begitu, adalah terlalu awal untuk menyebut sedemikian memandangkan pasukan Indonesia belum diuji.

Apa yang menariknya dalam pasukan Malaysia berbanding Indonesia, semua khidmat pemain dan kakitangan merupakan anak-anak kelahiran Malaysia. Contohnya, kita menggunakan khidmat jurulatih K. Rajagobal yang nyata dan diketahui sebagai seorang rakyat Malaysia manakala pasukan Indonesia menggunakan khidmat jurulatih dari Austria, Alfred Riedl.



Selain itu, penjaring terbanyak pasukan Indonesia, Cristian Gonzalez merupakan pemain kelahiran Uruguay yang baru 7 tahun berada di Indonesia untuk menyertai sebuah kelab dalam liga di Indonesia. Berbanding dengan pasukan Malaysia, Mohd Safee Mohd Sali iaitu pendahulu jaringan dalam skuad harimau ini merupakan anak jati negara ini yang lahir dari Kajang, Selangor.

Indonesia juga menggunakan khidmat Irfan Haarys Bachdim yang lahir di Netherlands merupakan darah campuran antara Belanda dan Arab-Indonesia dan hanya menyertai liga Indonesia pada 2010 selepas menyertai beberapa kelab lain di Liga Belanda. dan mendapatkan pendidikan awal dalam bolasepak di luar Indonesia. Pemain-pemain Malaysia pula merupakan pemain-pemain yang rata-rata mendapat pendidikan dalam bolasepak di tanah air sendiri.

Di atas perbezaan ini, kelihatan bahawa skuad Indonesia kelihatan lebih mantap berbanding Malaysia yang hanya menggunakan khudrat orang-orang tempatan dan hanya berbekalkan semangat juang bangsa yang bermaruah. Jika kita berjaya mengharungi peringkat akhir ini, kita mampu berbangga kerana ia hasil kerja anak-anak tempatan, bukan campur tangan bangsa-bangsa asing seperti pasukan Indonesia.

Pukul 8:00pm, kami semua telah berada di hadapan TV untuk menantikan perlawanan akhir peringkat pertama itu. Walau apapun kegusaran di hati aku mengenai tahap kemampuan skuad 'Tanah Tumpah Darahku' ini, namun aku tetap memberi sokongan. Ternyata skuad garuda seperti patah sebelah sayapnya mendengar ngauman penyokong-penyokong skuad sang harimau. Di kaca TV kelihatan info berkaitan percubaan yang mana memperlihatkan Malaysia mencuba sebanyak 5 kali berbanding 0 Indonesia. Gonzales pula tidak diberikan sedikit ruang dan permainan pasukan Indonesia nampak hambar. Malaysia pula menggunakan peluang sebaik mungkin untuk mengasak kubu lawan dan hampir mengejutkan dengan gol pertama akibat kecuaian pemain pertahanan Indonesia. Namun begitu kesudahannya memperlihatkan tiada gol dijaringkan di separuh masa pertama.

Separuh masa kedua memperlihatkan penguasaan Malaysia. 3 gol berjaya diledakkan ke gawang gol lawan. Pasukan pertahanan Indonesia kelihatan cukup tidak bermaya hingga beberapa kali Malaysia menggelecek mereka di kotak penalti. Keputusan memperlihatkan Malaysia menewaskan skuad garuda dengan mudah. Keputusan Malaysia 3 - 0 Indonesia kekal hingga tamat perlawanan. Baki 90 minit masih ada pada peringkat akhir ke dua di Indonesia nanti.


Anda kita menjadi juara dan mampu mempertahankan kelebihan agreget ini, kita sepatutnya jauh lebih berbangga kerana ia hasil kerja anak-anak watan. Andai kita tewas, kita akur dengan kelebihan mereka sebagai pasukan yang punyai campuran warga asing. Namun begitu, sekali menewaskan barisan pasukan campuran ini sudah memadai untuk kita meletakkan para pemain-pemain dan kakitangan skuad di tahap tertinggi.

1 Komen:

suSueEmiMie said...

bertambah2 bangga dgn skuad kita stlh baca entri nih..malaysia boleh!!!!!!!...