Wednesday, November 24, 2010

D'Boys - Sesi Latihan Part 1

Malam 'dinner' datang lagi. Seperti tahun-tahun sebelumnya, ia datang dengan pelbagai tema. Kali ini ia bertemakan Retro. Bila menyebut perkataan 'Retro', pasti akan mengimbau era muzik di era 60-an dan 70-an. Pasti akan mengingatkan kita akan P. Ramlee, Beattles, Bee Gees, John Travolta, The Jackson 5, Marilyn Monroe, Hel Amir, Neil Sedaka, Elvis Presley dan ramai lagi.

Perkhabaran mengenai malam dinner tidak sedikit mengujakan aku. Aku telah menganggap dinner pada tahun lepas adalah dinner terakhir aku bersama IRIS. Dan pada tahun ini, aku bercadang untuk tidak menghadirinya.

Namun begitu, sejurus perkhabaran itu disampaikan dari mulut ke mulut, aku diberitahu bahawa aku dilantik untuk terlibat dalam mengetuai satu persembahan kugiran. (Aku rasa Faizul antara orang yang bertanggung jawab menjaja nama aku, hehehe). Syam antara staf yang mula-mula mengumpulkan pemain muzik dari IRIS atas permintaan pengurusnya, PS Lim.

Kerana memikul tanggungjawab untuk mengetuai kugiran ini, aku terpaksa menukar rancangan asal tadi. Aku juga pernah bermimpi untuk membuat persembahan di khalayak ramai dan peluangnya telah terbuka, maka aku harus teruskan. Bagi aku, ini adalah atas kepercayaan orang lain pada kita dan aku tidak harus menghampakan mereka.

Sebenarnya banyak nama rakan-rakan ada dalam senarai. Namun begitu, kami terpaksa memilih beberapa orang sahaja untuk melengkapkan peralatan muzik. Nama seperti Azhar, Azim, Ike, Fattah dan Syam bersedia untuk bersama-sama menjayakan projek ini dan pada masa itu kami ada 5 minggu untuk membuat persiapan.

* * * * * *

Seawal minggu pertama, kami bersatu dalam satu studio di Serdang. Pertemuan yang jarang-jarang sekali berlaku antara kami atas nama muzik. Kebanyakannya atas urusan kerja dan futsal. Namun kali ini kami datang dengan satu semangat yang lain. Walaupun budget yang disediakan belum diterima, kami dahulukan dengan wang sendiri dan bercadang untuk claim balik dengan peruntukan nanti. Malam itu kali pertama kami disatukan dan kami cuba mencari persamaan untuk satu gabungan.

Perkara yang paling merimaskan adalah mencari nama kumpulan sebelum email dihantar kepada Kak Ida berkaitan senarai ahli dan peralatan. Pada mulanya aku menamakan band ini sebagai 'The Intermittents'. Nama ini adalah idea Syam. Ia terbit selepas aku katakan pada Syam, nama band kita ini biar ada kaitan dengan kita dan apa yang kita buat kat IRIS sekarang.

Dari mana datanganya nama 'The Intermittents' ini? Di bahagian QC (Quality Control) mereka sering menghadapi masalah dengan isu chip yang mati sedangkan chip tersebut melepasi semua proses sebelumnya di production. Masalah QC dan production ini kemudian dibawa ke jabatan aku untuk di kaji sifatnya. Kami mendapati bahawa ada chip yang lemah yang memberi tindak balas yang lambat. Ia tidak mati cuma software mempunyai had untuk melepaskan berapa pusingan yang dibenaran untuk membuat percubaan. Jika ia gagal, maka ia dikategorikan sebagai low responds. Ada pula satu lagi isu yang dipanggil intermittent. Sifat chip ini berbeza. Ia memberi tindak balas yang baik waktu ini dan beberapa ketika nanti ia tidak memberi tindak balas langsung. Masalah inilah yang dihadapai oleh QC dan production tadi dan atas isu inilah namanya dipilih. Walaupun namanya agak boleh dikomersilkan dan ada kaitan dengan banyak jabatan yang berhadapan dengannya, namun maksud yang memberi gambaran negatif di dalamnya menyebabkan nama band ini ditolak dan digantikan dengan 'D'boys'.

Selang beberapa hari selepas tu, kami banyak bermain secara akustik dengan berkumpul di rumah aku atau rumah Ike. Bergantung kepada keadaan kerana salah seorang rakan serumah aku ada yang mengambil peperiksaan. Jadi keadaan menentukan rumah siapa tempat berkumpul.

Pada mulanya, lagu-lagu retro dalam senarai kami adalah 'Malam Pesta Muda Mudi', 'I Wanna Hold Your Hand', Bunyi gitar, 'Runaway', 'Keindahan Pantai' dan 'That Thing You Do'. Orang yang paling serius dalam mencari bahan antaranya adalah Ike dan Fattah. Bagi aku, mereka berdua adalah tonggak utama dalam band ini kerana mereka bertindak sebagai pemain gitar lead dan bass. Pemain gitar seperti mereka adalah orang-orang yang mesti kreatif dan berbakat. Ternyata mereka rajin dalam mencari sumber.



Pada mulanya, Azim agak sukar untuk datang bersama kami. Ini kerana keadaan anak Azim yang sering tidak sihat dan perlukan jagaan. Kami berlatih sesama kami tanpa Azim secara akustik. Memandangkan pada masa itu jatuh pada akhir bulan Oktober dan keadaan kewangan kami agak terhad, kami tidak banyak berlatih di studio. Azhar antara orang yang tidak dapat memegang alat muziknya secara langsung kerana set drum hanya boleh didapati di studio. Aku turut mendengar berita yang Azim mungkin tidak dapat menyertai kami. Mungkin kerana kesukaran untuk memberi komitmen ketika itu. Aku tidak mahu meletakkan keputusan. Aku cuma harapkan dia ada bersama kami di pentas nanti walaupun dia sukar bersama kami ketika ini.


Beberapa kali kami buat pertemuan untuk berbincang di tempat kerja terutama makmal aku. Kami berbincang tentang pakaian majlis untuk disesuaikan. Bila masing-masing sepakat, kami keluar beramai-ramai bersama pasangan masing-masing untuk mencari pakaian dan antara tempat-tempat yang menjadi pilihan adalah Sogo, Pertama Komplex dan Sungei Wang.



Antara pilihan pakaian yang menjadi tarikan kami adalah sut baju sejuk tidak berlengan yang biasa dipakai oleh pemain golf kemudian disesuaikan dengan baju berkolar di dalamnya. Kami akan mengenakannya secara tuck-in bersama seluar slack dan kasut hitam. Memandangkan Fattah dan Azhar yang bertubuh besar menghadapi kesukaran untuk mendapatkan saiz, maka mereka bercadang untuk memakai pakaian berbeza atau menempah jahit pakaian sendiri. Mungkin kelihatan seperti pakaian yang boleh dipanggil smart casual.

Setelah seharian berjalan mencari pakaian dan dapat melihat harga pakaian dengan harga berpatutan, maka kami mengakhiri perjalanan kami ke jalan TAR dan kembali ke rumah masing-masing sekitar jam 7:00 malam.


Ok, jom cerita pasal lagu ciptaan Azim pula. Ada satu ketika ketika Azim dan Ike tidak bekerja lebih masa, kami bertemu di rumah Ike untuk mencari Ilham. Azim yang jarang dapat bersama kami ketika itu mencadangkan sesuatu yang tidak pernah terfikir dalam fikiran aku. Lagu untuk IRIS. Azim mengeluarkan sehelai kertas dengan lirik lagu dan menyanyikan sedikit bait-bait melodinya. Aku dan Ike mula mencari kord. Tak sangka dalam jarang-jarang bersama, ada kesunguhan dalam diri Azim untuk satu perjuangan. Aku bersyukur sebab dia tidak mengambil keputusan untuk keluar awal-awal dulu. Dia menyuruh aku untuk memanjangkan cadangan ini kepada Kak Ida.


Semasa Ike balik kampung ke Melaka, Azim pula bercuti ke Sabah dan Azhar berehat ke Langkawi, aku ditemani oleh Syam dan Fattah membuat pertemuan bersama Kak Ida beserta Azza. Itulah kali pertama kami bertemu dengan penyanyi yang dicadangkan untuk menyanyikan lagu 'Malam Pesta Muda Mudi'. Pertemuan itu adalah untuk mengemaskini jadual jamming di studio, mengenai peruntukan kewangan latihan serta kostum dan yang paling penting adalah senarai lagu.

Kak Ida memilih lagu 'Malam Pesta Muda Mudi', 'That Thing You Do' dan satu lagu persembahan Beattles bertajuk 'Twist and Shout'. Aku memandang Fattah dan Fattah pandang aku semula. Lagu yang tidak begitu biasa kami dengar. Kata Kak Ida lagi, mungkin dua lagu sahaja dari ketiga-tiga lagu ini, bergantung kepada perbincangan bersama ahli nanti. Bila memikirkan mengenai kemungkinan pengurangan lagu tersebut, aku terus mengambil keputusan untuk tidak bercakap mengenai lagu ciptaan Azim untuk IRIS. Namun begitu, aku simpan rahsia itu pada Azim kerana tidak mahu menghampakan niatnya sambil memikirkan cara bagaimana untuk memberitahu Kak Ida kelak.



Sepanjang sesi latihan akustik, macam-macam ragam berlaku. Syam banyak membantu dalam mencari sumber lagu-lagu di internet melalui laptopnya. Kami tergelak bersama sambil bermain lagu-lagu yang kami ketahui. Hanya Azhar agak muram kerana tidak berpeluang memegang drum set. Apa yang menarik tentang mereka, sukar menemui percanggahan antara kami dan apa yang silap sering diselangi dengan gurauan dan gelak tawa. Walaupun sibuk dengan kehidupan baru bekeluarga bagi sesetengah antara mereka, namun ia tidak dijadikan permasalahan besar. Aku juga ingin mengucapkan terima kasih kepada isteri-isteri mereka kerana cukup spoting untuk memberi ruang suami mereka untuk hadir bersama kami.


0 Komen: