Saturday, February 26, 2011

Jersi Arsenal sejak sedekad ini.

Blog Zaman Berzaman kali ini ingin berkongsi informasi berkaitan dengan jersi-jersi Arsenal sejak sedekad ini. Bermula pada jersi yang dipakai pada tahun 1999 sehingga pada musim ini. Untuk pengetahuan para pembaca, pasukan dari utara London ini merupakan sebuah pasukan yang digemari oleh penulis kerana cara permainannya yang diakui di seluruh Eropah berbeza dengan mana-mana pasukan yang ada di sana. Mereka sebuah pasukan yang seronok untuk ditonton. Jika dibandingkan dengan pungutan trofi, mungkin Arsenal bukanlah satu pasukan yang mempunyai pelbagai trofi, dan sejak 2005, Arsenal belum memenangi apa-apa kejuaraan pun terutama sejak berpindah stadium dari Highburry ke Emirates. Namun mereka kekal sebagai pencabar liga dan trofi-trofi lain dari musim ke musim.

Sehingga kini pada musim ini, Arsenal merupakan satu-satunya pasukan di England yang masih dalam perjalanan dalam memburu 4 kejuaraan (Carling Cup, UEFA Champions League, Barclays Premier League & FA Cup) berbanding saingannya seperti Manchester United, Chelsea, Liverpool, Tottenham & Manchester City.
Bagi penulis, Arsenal adalah pasukan yang bersih untuk disokong. Tidak menggunakan penaja-penaja arak dan judi. Tidak juga menjadikan makhluk-makhluk dilaknat Allah sebagai maskot dan menjadikan nama tersebut sebagai panggilan kebanggaan. Juga tidak menggunakan simbol-simbol keagamaan lain. Mungkin bagi sesetengah orang, perkara ini adalah perkara kecil sekadar menyokong bolasepak. Tapi penulis lebih suka untuk menyokong sesuatu yang tidak membelakangkan agama walaupun mungkin penulis sendiri bukan seseorang yang warak. Sekurang-kurangnya penulis berasa kita patut mempunyai sedikit perasaan benci terhadap unsur-unsur sedemikian kerana benda-benda sekecil ini adalah ujian hati. Adakah hati kita nampak kepesongan di situ atau tidak? Atau adakah hati kita dah gelap dalam menilaikannya hingga buta dalam menganalisis sekecil-kecil perkara yang sebenarnya jelas pada pandangan mata? Nampak jelas di mata tapi tidak di hati. Sekadar membuka mata hati kerana ia ada kaitan dengan aqidah tanpa kita sedar dan sering diabaikan.

Untuk pengetahuan anda juga, Arsenal juga pernah menjadi sebuah kelab yang mempunyai pemain muslim terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris beberapa musim lepas sebelum beberapa pemain keluar untuk meneruskan khidmat mereka kepada pasukan lain di England dan negara Eropah.

Baiklah! Bagi yang meminati pasukan yang diberi gelaran The Gunners ini, penulis teruskan dengan senarai jersi home, away dan third kit bermula dari 1999 sehingga ke tahun 2011. Jom sama-sama kita lihat.

1999-2000


2000-2001


2001-2002

2002-2003


2003-2004

2004-2005


2005-2006


2006-2007


2007-2008

2008-2009


2009-2010

2010-2011


2011-2012



Monday, February 21, 2011

Peristiwa selepas Jamming (aku & Ike)

Isnin, 21 Februari 2011, jadual jammingku kembali bermula selepas beberapa kali aku tidak menghadirkan diri kerana faktor kesihatan. Sepatutnya aku mungkin kembali bersama mereka selepas seminggu lagi. Atau mungkin selepas terapi berikutnya. Namun untuk tidak menghampakan rakan-rakan yang selama ini berjuang bersama, aku turut serta hadir walaupun malam itu tidak menyumbangkan apa-apa. Kami turut keluar makan beramai-ramai selepas sesi jamming berakhir malam itu. Seperti biasa, aku menumpang kereta Ike untuk kembali ke rumah.



Dalam perjalanan itu aku sempat bercerita berkenaan dengan hal-hal peribadi yang menjadi persoalan Ike. Ike yang tidak berkacamata memandu kelihatan terpaksa mengagak-agak jalan. Mungkin dia turut mengantuk kerana waktu di dashboard kereta telah menunjukkan 1.30 pagi. Dia baru sahaja berpindah ke rumah baru dan masih belum memiliki kunci kedua. Itu yang menjadi kerisauannya andai Odeng, rakan serumahnya tertidur. Mungkin 1.30 pagi itu masih boleh mengejutkan Odeng.

Sampai di Lestari Perdana ketika melalui jalan selekoh ke kiri, kelihatan sebuah kereta berhenti di sebelah kanan jalan dengan memasang lampu kecemasan. Ike memperlahankan pergerakkan keretanya. Ia sebuah kereta Proton Saga BLM berwarna kelabu.

"Macamana? Nak tolong?" tanya Ike padaku.

Aku tidak terfikir untuk menjawab apa-apa kerana malam dah lewat. Namun aku gagahkan diri untuk berkata 'ya' lalu Ike memberhentikan kereta di kanan jalan betul-betul di belakang kereta tersebut. Terlihat seorang pemandu lelaki berbangsa cina sedang cuba menukar tayar kereta.

Semasa cuba membantu untuk mengeluarkan tayar 'spare', aku terbau arak terhembus dari mulutnya. Mungkin tidak terlalu kuat tetapi cukup meloyakan sehingga menyebabkan aku terpaksa menahan nafas setiap kali mendekatinya. Maka, jelaslah sudah bahawa dia memandu dalam keadaan mabuk dan dia memandu laju di selekoh tersebut sehingga menyebabkan tayarnya bengkok melanggar pembahagi jalan.

Aku dan Ike cuba mengeluarkan peralatan untuk menggantikan tayar. Rim pecah, tayar rosak dan drift shafnya bengkok. Tukarlah bagaimana pun, tayar tersebut tidak akan kembali lurus namun dia menolak untuk menggunakan khidmat 'towing'. Memandangkan dia berpendapat bahawa rumahnya tidak jauh, cuma berada di Pinggiran Putra, dia berharap dapat membawa kereta itu balik walaupun terpaksa meredah keadaan kereta sebegitu degan tayar spare.

Hapir 20 minit, tayar kereta tersebut berjaya dipasang namun masih bengkok. Mungkin lebih baik daripada menggunakan tayar yang pecah. Dalam keadaan demikian, pemandu tersebut cuba juga menggerakkan keretanya namun kelihatan terhuyung-hayang. Pemanduannya seperti melakukan aksi drift dan keadaan ini berlanjutan sehingga dia sampai di kawasan perumahannya di Pinggiran Putra. Ike terus mengekorinya dari belakang untuk memastikan tiada apa-apa yang akan berlaku sepanjang perjalanannya ke rumah.

Setibanya di rumahnya, dia cuba menghulurkan sedikit wang. Namun aku menolak pemberiannya itu. Dia memberikan no telefon bimbitnya dan berjanji untuk belanja minum andai bersua lagi nanti.

Minum apa???!!!

Wednesday, February 16, 2011

Bell's palsy dan aku

Jumaat, 11 February 2011, menjelang makan tengahari pada pukul 12.30pm sebelum menunaikan solat Jumaat, aku rasakan sesuatu yang tidak normal berlaku dalam diriku. Teh ais yang ku sedut menggunakan straw keluar memercik sedikit di atas meja. Menyedut air itu pun agak sukar. Terpaksa aku bantu dengan jari. Aku kurang pasti akan apa yang berlaku ketika menjamah makanan.

Selepas makan, aku menunggu Mie di lobi kerana dia akan menaiki motor bersama aku ke surau solat Jumaat di Puncak Jalil. Mie ke tandas masa itu. Aku beberapa kali mengetap bibir tapi aku rasakan ia agak sukar tidak seperti biasa. Selepas Mie keluar, aku cuba lagi beberapa kali sehingga kami bergerak ke surau tersebut. Hati aku mula resah. Kebiasaannya aku melelapkan mata sementara khutbah belum berkumandang. Namun hari itu perasaanku begitu risau hingga sukar untuk aku terlelap. Selepas itu, seluruh khutbah Jumaat itu aku dengari berkenaan Hari Valentine.

Balik dari kerja, aku memasak sosej kerana berasa lapar. Kali ini malang menimpa kerana sosej itu meletup kerana ais di dalamnya belum mencair. Terkena tangan kanan aku yang sedang membeleknya. Akibatnya tangan aku melecur. Aku cuba mengalirkan air untuk mengurangkan kesakitan itu.

Menjelang ke pukul 8:00pm, aku dan beberapa rakan ITD bergerak ke Tonga De Futsal untuk pertandingan futsal. Hatiku agak tidak tenteram mengenangkan nasib aku hari ini terutama kegagalan aku menyedut straw dan mengetap bibir petang tadi. Selepas habis pertandingan, Nasrul menegur aku di meja makan sebuah restoran kerana mata aku kelihatan kerap berkedip sebelah. Aku pula di hubungi oleh Tonga De Futsal untuk mengambil IC Zaki yang tertinggal. Pada masa itu aku mengambil kesempatan untuk melihat wajahku di cermin motorsikal orang lain. Aku cuba mengangkat kening dan aku dapati aku gagal mengangkat kening sebelah kanan. Mata sebelah kanan pula agak kelihatan layu tak bermaya. Aku cuba pelbagai mimik muka dan aku dapati pergerakkan otot tidak sekata antara kiri dan kanan. Sekali lagi kerisauanku bertambah risau. Apa yang bermain dalam kepala ku adalah perkataan 'Stroke'. Kembali ke meja makan, aku tidak banyak berkata-kata. Aku cuba sembunyikan raut wajahku yang agak tidak seimbang.

Sabtu, 12 February 2011, aku berehat di rumah. Aku tidak mahu keluar jauh waktu ini demi menyembunyikan apa yang telah berlaku padaku dihadapan orang ramai. Aku sempat menulis sesuatu di laman web Facebook berkaitan masalahku dengan penyakit yang agak misteri ini. Sue, isteri Mie memberitahu yang dia perasan kelainan wajahku kepada Mie. Faizul pula menambah dengan jangkaannya, 'Angin Ahmar'. Aku akui yang aku juga risaukan penyakit tu. Tidak kurang juga dengan pendapat agar aku bertemu dengan para ustaz, takut akibat perbuatan sihir. Namun rakan-rakan lain cuba menaikkan harapanku dan terus memberi sokongan moral yang membuatkan aku terharu.

Menjelang malam itu, aku pula menerima pesanan ringkas yang tidak menyenangkan daripada orang yang aku harapkan memberi sokongan kepadaku dalam saat-saat begini. Dalam keadaan begini yang mana mental dan emosi aku terganggu, tidak sesekali aku jangkakan pesanan sedemikian muncul. Aku tidak mahu membalas panjang kerana ini bukan kali pertama permintaan sedemikian darinya. Telah berkali-kali dia menyebutnya dan setiap kali itu aku sering menasihatinya agar bawa berbincang andai hatinya gundah, bukan muktamadkan melalui SMS. Bertanya khabar aku pun tidak! Namun kali ini aku cukup tidak dapat menahan emosiku dan tidak mahu lagi menghalang. Aku pun dah macam ni! Apa yang mampu aku balas hanyalah perkataan 'OK'.

Ahad, 13 February 2011, aku menerima pesanan ringkas daripada Azza. Seawal-awal pagi itu Azza mendapat info daripada seorang rakannya seorang doctor berkaitan masalah yang aku hadapi. Pesanan ringkas rakannya itu berbunyi:

"Morning, yr friend adam, i suspect he's suffering fr a condition called bell pulsy, a temporary paralise on 1 side of d face caused by viral infection. In some cases, it'll take awhile for facial muscles to go back normal. Advise him to see specialist."

Pesanan ringkas itu memberi sedikit penawar kepada kedukaan aku yang ditimpa malang dalam masa yang singkat. Sepanjang dua hari di hujung minggu tersebut, aku mengharapkan rehat itu memberikan sinar agar ia kembali normal namun ia tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut. Di tambah dengan derita melecur di tangan kananku yang menggelembung, serta SMS semalam dari orang yang aku harapkan menceriakan kegusaranku yang aku belek2 berulang-ulang kali, kegusaranku semakin bertambah-tambah dengan rasa pilu yang makin menebal.

Isnin, 14 February 2011, aku mengambil keputusan untuk mengambil cuti sakit. Selepas menghantar Lai ke tepat kerja, aku terus bergerak ke klinik panelku di Sri Kembangan. Klinik panel tersebut memberikan aku sijil cuti sakit serta surat untuk merujuk ke pakar. Tanpa berlengah, aku bergerak ke Hospital Serdang dan menuju ke bahagian kecemasan. Di sana, aku diperiksa untuk melihat masalahku berdasarkan surat rujukan tersebut sebelum aku dibawa ke doktor yang sepatutnya. Mereka meminta untuk aku melakukan perlbagai pergerakkan muka termasuk 'senyum seperti biasa'. Dalam hati aku berkata, "bagaimana boleh aku senyum seperti biasa kala ini?"


Selepas itu mereka meminta untuk aku mengambil nombor. Penantian hingga ke tengahari dan pergerakkan nombor agak perlahan memandangkan para doktor bergilir-gilir berhenti rehat. Aku kemudian dilayan oleh seorang doktor perempuan muda berbangsa india selepas pukul 3.00 pm. Aku tanyakan padanya, adakah ini 'Stroke'? Dia ketawa kecil lalu menyuruhku menguji tangan kananku dengan menggenggam jari telunjuknya. Selepas itu, dia menghubungi seorang pakar untuk merujuk aku. Seperti biasa di hospital kerajaan, dia mengaturkan temujanji pada hari Rabu nanti untuk beberapa ujian memandangkan pada hari Selasa, petugas di bahagian-bahagian tertentu akan turut bercuti sempena Maulidur Rasul.

Rabu, 16 February 2011, selepas sehari berehat di hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, aku menggerakkan perjalananku keesokkannya seperti yang dirancangkan dalam temujanji buku pesakit. Sekali lagi di bahagian pakar, mereka menguji kemampuan otot-otot mukaku. Doktor menerangkan apakah penyakit ini dan bagaimana kemungkinan ia berlaku. Dia memberitahu bahawa pergerakkan saraf kita bergerak dari 2 arah samada dari telinga ke bahagian atas muka serta dari telinga ke bahagian bawah muka. Apa yang berlaku pada aku baru berada di tahap-2 kerana aku masih boleh menggerakkan sedikit otot-otot muka walaupun mungkin tidak secekap sebelah yang sihat. Kerana ia menyekat kedua-dua bahagian atas dan bawah muka, ia disyakki berpunca dari saraf di bahagian telingan. Aku di bawa ke sebuah bilik untuk ujian audio. Keputusannya normal. Selepas itu aku masuk untuk ujian mata di bilik lain pula dan terdapat masalah sedikit. Retina mata aku lambat berkembang.

Menjelang petang, aku menjalani terapi muka selama hampir 3 jam. Di sekeliling aku pada waktu itu ramai dikalangan warga emas yang menghadapi masalah lumpuh kaki, tangan dan badan yang menerima terapi. Syukur pada Allah, apa yang berlaku kepada aku masih di tahap sedikit.

Monday, February 14, 2011

Video istimewa sempena sambutan Maulidur Rasul

Okeylah, jom tengok salah satu klip video Maher Zain dengan lagu 'The Choosen One'.




Semua perbuatan mulia yang ditunjukkan di dalam video ini telah diinspirasi melalui kehidupan dan ajaran baginda, Muhammad SAW.

Thursday, January 6, 2011

Kena sengat lebah



Menjelang ke pukul 8:00 pagi pada Rabu yang lepas, aku dan Lai seperti biasa melalui jalan yang sama setiap hari untuk pergi ke tempat kerja dengan menaiki motorsikal. Selepas keluar ke simpang tiga PUJ9, aku sempat melihat kelibat seekor serangga menuju ke arah tangan kananku yang pada masa itu sedang memulas throttle untuk menaiki bukit. Aku membiarkan sahaja ia semakin hampir dan dapat aku rasakan bahawa aku akan terkena sengatan.

Beberapa detik sahaja selepas ia singgah, aku rasakan seperti ada gigitan di pergelangan tangan kananku. Tanpa melakukan adegan panik, aku kibas-kibaskan tangan untuk menghalaunya lalu berhenti di tepi jalan. Lai hairan dengan kelakuanku. Aku terus katakan padanya bahawa aku disengat lebah walaupun aku tidak dapat melihat apakah jenis serangga tersebut.

Dalam keadaan berhenti itu, aku lihat ada kesan sengatan. Apabila aku dekatkan pandanganku, aku dapat lihat duri bisa sengatan tersebut yang aku yakini ia adalah bisa lebah. Sempat aku keluarkan duri dari kulit tangan dan menolak keluar sedikit cecair yang keluar dari lubang bisa tersebut dengan harapan agar bisa itu turut keluar. Kemudian aku dan Lai meneruskan perjalanan ke tempat kerja.

Di tempat kerja, aku lihat tangan aku mula membengkak. Urat-urat yang dulu kelihatan sudah tenggelam dan bahagian tulang pergelangan pula mula tidak kelihatan. Kerana bengkak itu semakin membesar, aku bercadang untuk mengambil cuti sakit setengah hari. Aku mahu pastikan kerja-kerja yang berkaitan dengan projek Lithuania itu aku tinggalkan dalam keadaan baik terlebih dahulu.

Tengahari itu aku berjumpa dengan doktor di sebuah klinik swasta. Doktor benar-benar terkejut dengan bengkak di tangan aku lalu memberi satu suntikan. Pada mulanya aku jangkakan suntikan itu akan dilakukan di tangan kanan aku. Selepas disuruh bergerak ke atas katil pesakit, doktor meminta aku untuk bertiarap. Aduhai, rupanya suntikan itu dilakukan di bahagian punggung. Memang jauh dari sangkaan aku. Beberapa minit kemudian selepas keluar daripada bilik doktor dan menunggu di hadapan kaunter untuk mendapatkan ubat, bahagian bawah pinggul aku mulai terasa kebas. Inilah pengalaman pertama aku dalam menerima rawatan bisa sengat lebah.

Teringat akan sebuah surah di dalam Al-Quran yang bernama surah An-Nahl yang bermaksud Lebah. Dalam ayat ke 68 dan 69, Allah berfirman yang bermaksud.

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."

Lebah adalah sejenis haiwan yang menakjubkan. Walaupun tanganku terkena bisa sengatnya, lebah menghasilkan madu dari badannya untuk dijadikan penawar kepada manusia. Pada pendapat aku, mungkin lebah yang menyengat aku terasa terancam atau mungkin sarangnya diganggu atau jatuh dek hembusan angin.

Mungkin juga sebagai sebuah ujian dari Allah untuk menguji kesabaran aku di atas ujian kecil begini. Atau mungkin ada kesalahan-kesalahan tertentu yang telah aku lakukan dengan tangan kanan ini untuk aku muhasabah kembali diri aku.

Alhamdulillah, bengkak itu semakin pulih namun ada rasa gatal-gatal yang mungkin akibat tinggalan kesan bisa yang masih ada di dalam darah. Syukur juga kerana bengkak itu tidak melarat dan aku berharap agar ia tidak meninggalkan kesan negatif. Sekali lagi aku teramat bersyukur kerana sengatan itu tidak terkena di bahagian muka.

Syukur....

Thursday, December 30, 2010

Penangan bolasepak



29 Disember 2010 merupakan tarikh yang amat bersejarah dalam sukan bolasepak tanah air apabila Malaysia dinobatkan sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010. Walaupun jauh merentasi lautan, ngauman penyokong Malaysia menggegarkan seluruh pelosok tanah air. Dari rumah ke rumah; dari restoran segera ke kedai mamak; dari dataran hingga ke stadium; dari Perlis hingga lah ke Sabah; laungan kejayaan terus bergema selepas penjaga gol Harimau Malaya (Harimau Malaysia bagi aku) berjaya menampan bola penalti. Diikuti pula ngauman kejuaraan setelah skuad kebanggaan negara ini membolosi dahulu gawang gol sang Garuda. Skuad lawan yang telah patah sayap itu kini dilukai lagi dengan amat parah melaui jaringan gol Safee Sali. Ia memberikan kelebihan kepada Malaysia secara agreget dan pihak lawan perlu mencari 5 gol mustahil untuk memastikan kejuaraan.

Keputusan perlawanan tersebut yang berakhir dengan kekalahan Malaysia 1-2 di tangan Indonesia tidak menghalang Malaysia untuk merangkul kejuaraan selepas 14 tahun melalui keputusan agregat 4-2. Bagi penonton Malaysia, jaringan 2 gol lawan di Stadium Gelora Bung Karno tidak sesekali menghampakan. Sekadar saguhati kepada mereka untuk meredakan sedikit keparahan penyokong-penyokong Garuda. Juga sekadar melengkapkan aksi perlawanan untuk mereka terus bergelar 'Jaguh Kampung' dengan menang di tempat sendiri lagi. Apa yang paling manis, piala dijulang di dalam sebuah negara lawan yang mana penyokong dan akhbarnya banyak memprotes dan memprovokasi kemenangan sebelumnya dan memberi gangguan semasa sesi latihan.

Tidak cukup dengan itu, hari Jumaat nanti pada 31 Disember 2010 telah diishtiharkan sebagai cuti umum oleh perdana menteri sempena kejayaan Malaysia dalam kejohanan Piala Suzuki AFF 2010. Betapa besar makna kemenangan ini.

Kita bukanlah sebuah skuad yang setanding dengan pasukan-pasukan gergasi di EPL, La Liga mahupun kejohanan antarabangsa. Malah di peringkat Asia juga bukan. Tapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita mengusai dan menjadi raja bolasepak di peringkan Asia Tenggara. Sebelum ini pada sukan SEA 2009 di Laos juga , kita menjuarai pingat emas dalam acara bolasepak setelah menang dengan Vietnam. Dan jangan pula lupa, pada Pesta Bola Merdeka 2007, Malaysia turut menjuarainya dengan keputusan 3-1 menentang Myanmar.

Begitulah penangan bolasepak. Tidak banyak sukan yang mendapat perhatian seperti ini. Kita ada beberapa sukan yang bertaraf dunia seperti badminton, hoki, squash, tenpin bowling dan sepak takraw. Namun begitu, bolasepak adalah sebuah sukan yang mempunyai nilai estitikanya sendiri bagi sebuah negara. Mendapat satu pingat emas di Sukan SEA lebih bermakna daripada mendapat 10 pingat emas lain. Bolasepak itu menjulang sebuah negara dalam bidang sukan. Jika bukan diperingkan dunia atau benua, paling tidak pun sesama jiran-jiran yang berhampiran dengannya.

Bolasepak juga menjadi sukan tumpuan dunia. Sebut sahaja Piala Dunia, orang pasti mengaitkannya dengan bolasepak. Seluruh dunia menanti kehadirannya dan musim itu seluruh dunia bak terkena demam bolasepak. Pada musim itu juga, setiap hari orang membicarakannya.

Pandangan masyarakat terhadap lelaki; jika tidak pandai bermain badminton tidak mengapa, tidak pantas berlari juga tidak mengapa. Tidak mampu menimang bola takraw tidak mengapa, tidak pandai menolak bola bowling juga tidak mengapa. Tapi jika tidak tahu bermain bolasepak, anda pasti mendapat gelaran sebagai 'kaki bangku'. Anda pasti dilabelkan sebagai gelaran demikian walaupun anda hebat dalam sukan-sukan lain. Walau tinggi manapun jawatan anda, walau apa pun kedudukan anda, keunggulan dan ke'macho'an yang selama ini menjadi kebanggaan anda pasti tercalar pada pandangan orang sekeliling jika anda kelihatan kaku bermain bola. Reputasi anda sebagai lelaki jatuh sebagaimana reputasi seorang wanita jatuh jika tidak tahu memasak. Begitulah andaiannya.

Dalam keadaan kemeriahan sukan ini, ada golongan yang terlepas. Aku ada terbaca mengenai komen rakan wanita kepada seorang rakan FB aku berkenaan status yang berbunyi, "Bola malam ni woi!!!" semasa perlawanan akhir ke dua Malaysia menentang Indonesia baru-baru ini. Komen rakannya itu kemudian berbunyi, "tak minat! hahaha". Aku cuba menganalisa pemikiran orang-orang sedemikian dan dapat aku simpulkan bahawa wanita tersebut tidak langsung mahu ambil tahu penglibatan negara dalam perkara-perkara yang tidak menjadi perhatiannya. Tidak meminati bolasepak itu bukanlah menjadi kesalahan, namun begitu perlawanan semalam adalah perjuangan sebuah negara dengan negara lain yang memerlukan semangat nasionalisme. Kita tidak berjuang untuk memerangi nagara lain, jadi tidak ada perjuangan lain yang mampu membuktikan semangat nasional kita. Andai ini salah satu perkara yang boleh menyatuan sebuah bangsa Malaysia dalam semangat mencintai perjuangan negaranya, apa salahnya kita menyokongnya. Bukan menyatakan secara terang-terangan untuk tidak mempedulikannya.

Kadang-kadang aku mendengar rintihan daripada rakan-rakan wanita yang selalu mengeluh andai suami mereka keluar untuk bermain futsal bersama rakan-rakan sekerja. Sepatutnya mereka tidak mengeluh sedemikian rupa kerana suami mereka tidak melakukan perkara-perkara lain yang lebih merunsingkan seperti keluar ke pub atau berkaraoke bersama GRO, keluar bersama wanita lain atas urusan peribadi; melakukan jenayah yang melibatkan dadah, arak, pelacur dan lumba haram; bermain nombor ekor serta judi. Aktiviti yang mereka lakukan sekadar bersukan untuk menjaga kesihatan yang sepatutnya tidak menjadi kerisauan para isteri-isteri. Isteri-isteri sepatutnya memberi sokongan terhadap aktiviti-aktiviti begini supaya suami mereka tidak pergi lebih jauh menyimpang ke arah hiburan lain yang tidak sihat yang mungkin boleh menghancurkan sebuah institusi kekeluargaan. Paling kurang, sukan dapat mengelakkan daripada para suami yang kini ramping akan memiliki perut buncit lebih awal.

Harapan aku agar sukan bolasepak di Malaysia akan terus berkembang maju dan mampu mencapai tahap tertinggi di peringkat Asia dan dunia sebelum aku tidak mampu melihatnya lagi. Aku juga berharap agar sukan-sukan lain turut mencapai tahap antarabangsa dan negara ini menjadi negara Asia Tenggara yang sering muncul di persada antarabangsa serta digeruni oleh pendominasi sukan dunia. Dan yang terakhir, semoga kita lebih bersifat terbuka andai ahli keluarga dan rakan-rakan kita terlibat dalam bidang sukan dan olahraga untuk memberi semangat kepada wakil-wakil masa depan kita kelak.

Sunday, December 26, 2010

Garuda tumpas di gelanggang harimau



Selepas bersama-sama dengan keluarga dari kampung yang datang untuk bercuti, aku menerima panggilan bahawa ada dua tiket percuma jika aku mahu datang ke stadium Bukit Jalil. Malangnya aku dalam perjalanan balik ke rumah adik aku dari Shah Alam selepas membawa ahli keluarga bersiar-siar. Panggilan itu aku terima dalam pukul 6:30pm. Memang tidak sempat, tambahan pula aku telah berjanji untuk menonton siaran langsung itu bersama mereka di kaca TV.



Setelah Malaysia tewas kepada Indonesia 5-1 di peringkat kumpulan, jumlah jaringan sebegitu cukup untuk menyatakan kegerunan aku kepada pasukan Indonesia yang tidak pernah kalah sepanjang kejohanan ini. Andai mampu menang pun, mungkin dengan jaringan tipis dan mungkin akan menerima padah di gelanggang lawan pada peringkat akhir kedua di Indonesia nanti.

Beberapa hari sebelum itu, aku dengar bahawa jurulatih Malaysia, K. Rajagobal turut melancarkan perang psycho dengan menggelar pasukan Indonesia sebagai 'jaguh kampung'. Pada penilaian aku, mungkin disebabkan oleh kekalahan diperingkat kumpulan dengan jaringan yang cukup besar di tempat lawan, K. Rajagobal melancarkan perang dingin sedemikian untuk menakut-nakutkan pihak lawan.

Setelah aku imbas semula, ada logiknya gelaran itu kerana pasukan Indonesia memenangi semua perlawanan hanya dengan bermain di tempat sendiri. Perlawanan akhir pertama ini merupakan perlawanan pertama mereka dengan bermain di tempat lawan. Namun begitu, adalah terlalu awal untuk menyebut sedemikian memandangkan pasukan Indonesia belum diuji.

Apa yang menariknya dalam pasukan Malaysia berbanding Indonesia, semua khidmat pemain dan kakitangan merupakan anak-anak kelahiran Malaysia. Contohnya, kita menggunakan khidmat jurulatih K. Rajagobal yang nyata dan diketahui sebagai seorang rakyat Malaysia manakala pasukan Indonesia menggunakan khidmat jurulatih dari Austria, Alfred Riedl.



Selain itu, penjaring terbanyak pasukan Indonesia, Cristian Gonzalez merupakan pemain kelahiran Uruguay yang baru 7 tahun berada di Indonesia untuk menyertai sebuah kelab dalam liga di Indonesia. Berbanding dengan pasukan Malaysia, Mohd Safee Mohd Sali iaitu pendahulu jaringan dalam skuad harimau ini merupakan anak jati negara ini yang lahir dari Kajang, Selangor.

Indonesia juga menggunakan khidmat Irfan Haarys Bachdim yang lahir di Netherlands merupakan darah campuran antara Belanda dan Arab-Indonesia dan hanya menyertai liga Indonesia pada 2010 selepas menyertai beberapa kelab lain di Liga Belanda. dan mendapatkan pendidikan awal dalam bolasepak di luar Indonesia. Pemain-pemain Malaysia pula merupakan pemain-pemain yang rata-rata mendapat pendidikan dalam bolasepak di tanah air sendiri.

Di atas perbezaan ini, kelihatan bahawa skuad Indonesia kelihatan lebih mantap berbanding Malaysia yang hanya menggunakan khudrat orang-orang tempatan dan hanya berbekalkan semangat juang bangsa yang bermaruah. Jika kita berjaya mengharungi peringkat akhir ini, kita mampu berbangga kerana ia hasil kerja anak-anak tempatan, bukan campur tangan bangsa-bangsa asing seperti pasukan Indonesia.

Pukul 8:00pm, kami semua telah berada di hadapan TV untuk menantikan perlawanan akhir peringkat pertama itu. Walau apapun kegusaran di hati aku mengenai tahap kemampuan skuad 'Tanah Tumpah Darahku' ini, namun aku tetap memberi sokongan. Ternyata skuad garuda seperti patah sebelah sayapnya mendengar ngauman penyokong-penyokong skuad sang harimau. Di kaca TV kelihatan info berkaitan percubaan yang mana memperlihatkan Malaysia mencuba sebanyak 5 kali berbanding 0 Indonesia. Gonzales pula tidak diberikan sedikit ruang dan permainan pasukan Indonesia nampak hambar. Malaysia pula menggunakan peluang sebaik mungkin untuk mengasak kubu lawan dan hampir mengejutkan dengan gol pertama akibat kecuaian pemain pertahanan Indonesia. Namun begitu kesudahannya memperlihatkan tiada gol dijaringkan di separuh masa pertama.

Separuh masa kedua memperlihatkan penguasaan Malaysia. 3 gol berjaya diledakkan ke gawang gol lawan. Pasukan pertahanan Indonesia kelihatan cukup tidak bermaya hingga beberapa kali Malaysia menggelecek mereka di kotak penalti. Keputusan memperlihatkan Malaysia menewaskan skuad garuda dengan mudah. Keputusan Malaysia 3 - 0 Indonesia kekal hingga tamat perlawanan. Baki 90 minit masih ada pada peringkat akhir ke dua di Indonesia nanti.


Anda kita menjadi juara dan mampu mempertahankan kelebihan agreget ini, kita sepatutnya jauh lebih berbangga kerana ia hasil kerja anak-anak watan. Andai kita tewas, kita akur dengan kelebihan mereka sebagai pasukan yang punyai campuran warga asing. Namun begitu, sekali menewaskan barisan pasukan campuran ini sudah memadai untuk kita meletakkan para pemain-pemain dan kakitangan skuad di tahap tertinggi.