Thursday, March 11, 2010

Diari Eco-Challenge Part 2: Permainan Rakyat

5:oopm - Permainan Rakyat

Semasa melihat senarai aturcara pada waktu taklimat minggu lepas, aku langsung tak terfikir apakah Permainan Rakyat ini sebenarnya. Rakyat kita main permainan macam mana? Yang aku tahu; play station, video game komputer, PSP, futsal atau beberapa permainan yang biasa kita main. Mungkin juga ada permainan yang mana kita kena membuat bulatan dan kenakan salah seorang daripada peserta yang ada untuk didenda menyanyi, menari atau sebagainya.

Sangkaan aku meleset. Menjelang pukul 5.00pm, Faizul meniupkan wisel. Aku rasa Faizul kena pakai baju belang hitam putih, macam pengadil bolasepak era 80-an dengan meniup wisel dan memulakan permainan. Bunyi wisel ini menandakan permainan akan bermula dan semua mesti berkumpul di sebuah padang pasir yang berdekatan dengan surau.

Pada mulanya kami dikumpulan mengikut kumpulan, kemudian Faizul menyuruh untuk kami dipecahkan. Setiap kumpulan mesti diwakili oleh satu sahaja ahli kumpulan. Macam mana tu? Tak mengapa, yang ni kita boleh bincang secara sendiri nanti.

Permainan ini diberikan nama 'Telinga Rosak' atau ada sesetengah orang menggelarkannya 'Radio Rosak'. Walau apa pun panggilannya, ia memang merosakkan kami semua terutama Kak Sabariah.

Cara permainannya, orang pertama akan membaca teks yang diberikan. Selepas itu orang pertama ini akan menyampaikan kepada orang kedua melalui lisan. Begitulah hingga peserta kumpulan berikutnya hinggalah orang terakhir yang mana dia akan menulis kembali apa yang disampaikan oleh orang sebelumnya.

Ramai yang main tipu terutamanya Matnor ITD, hehehe. Kumpulannya disingkirkan kerana cuba menggunakan telefon bimbit untuk menulis teks lisan itu. Selain itu, ada kes lain yang mana ada 3 orang ahli dalam satu perbincangan sedangkan sepatutnya hanya dua orang yang boleh berbincang (seorang menyampaikan dan seorang lagi mendengar butir-butir ucapan).

Dalam kumpulan aku, orang pertama yang membaca teks adalah Kak Hasifah dan Kak Saba menjadi orang kedua. Masa tamat dan Kak Saba pula menceritakan apa yang disampaikan oleh Kak Hasifah tadi kepada Fida. Semasa menunggu masa mereka berdua tamat, aku dah nampak Kak Saba dan Fida ketawa berdekah-dekah. Entah apa yang lucu sangat tu sampai Kak Saba lari tak tahan nak gelak.

Masa tamat! Hah, giliran aku pula. Apa pula cerita yang Fida nak sampaikan pada aku ni? Aku menggaru kepala. Fida dah ketawa sebelum sampai dan aku lihat Kak Saba tak berhenti lagi ketawa.

"Pak Malau pergi rumah Pak Malik jemput kenduri rumah Mak Enon." Fida mula menyampaikan cerita pada aku. Aku yakin sangatlah, masa diorang berdua gelak-gelak tadi, cerita asal ni dah berubah lebih 50%.

"Kau tahu tak, aku tanya Kak Saba siapa jemput siapa? Pak Malau ker Pak Malik?"

"Ha, apa kata Kak Saba?"

"Dia cakap, 'tak kisahlah siapa-siapa pun.'" Waaa, tertekan aku kalau macam ni. Macam mana boleh pula tak kisah tu? Inilah rupanya yang diorang berdekah-dekah ketawa tadi.

"Pak Malik pergi kedai Mak Enon beli kopi, gula, susu, santan..." Fida berhenti. "Aku tanya Kak Saba pastu apa lagi?"

"Apa lagi?" tanya aku.

"Boleh Kak Saba cakap, 'apa-apa jelah asalkan barang kenduri. Sebut je.'" Kali ni aku dengan Fida berdekah-dekah ketawa. Pada masa ni la Kak Hasifah datang pada kami berdua mendengar apa yang Fida sampaikan. Kak Hasifah pun ketawa, Kak Saba pula duduk jauh-jauh.

Masa tamat. Giliran aku sampaikan pada Emirul pula. Memang tak boleh nak serius menyampaikan benda ni. Aku masih terngiang-ngiang bagaimana cerita yang Fida sampaikan pada aku. Alahai Kak Saba, macam ni punya cerita pun ada ka? Memang kelakar gilalah.

Sampai situ je aku ingat. Yang lain aku dengan Fida bahan kat Saba sampai habis permainan ni. Tahu-tahu je, Kak Ida sebagai orang terakhir dalam kumpulan aku dah menulis cerita tu di atas pasir.

Selepas mendengar cerita sebenar, baru aku tahu yang cucu Mak Enon pun terlibat sama dalam cerita ni. Selain itu, ada barang lain seperti kunyit, halia dan bawang yang dibeli oleh Pak Malau. Entahlah, Pak Malau ker Pak Malik? Ada yang lebih melucukan, ada kumpulan lain punyai versi Pak Pandir. Entah bila masa pula Pak Pandir dijemput ke kenduri cucu Mak Enon!

Entah kumpulan mana yang menang, aku dah tak kisah. Kumpulan aku memang menang ketawa dalam permainan Telinga Rosak ni. Barulah aku tahu yang telinga kami dah rosak teruk semuanya sebab gelak terlalu banyak.

Baling Selipar & Galah Panjang

Kedua-dua permainan ini memang aku tak pernah main masa kecil-kecil. Tapi kami memang seronok bermain seperti kembali ke zaman kanak-kanak. Kami lepaskan stress kerja di sini dan kami bermain bersungguh-sungguh seolah-olah tiada sebarang masalah.

Permainan baling selipar ini memang kejam. Siapa yang lari akan menjadi mangsa selipar. Yang agak kelakarnya, semasa memulakan permainan ini, balingan selipar ibarat peluru. Dari warna merah ke biru, kuning, itam, hijau, yang tebal, tipis; semuanya melayang di udara. Sampai selipar penonton yang duduk di tepi pun menjadi bahan balingan.

Macam-macam gaya dilakukan untuk menjatuhkan susunan selipar. Masing-masing dengan skill individu sendiri. Ada yang terlalu bergaya tapi langsung tak kena. Bila sudah kena, aktiviti membaling orang pula seterusnya. Selipar di hantar bagaikan bola rugby,.Ada kena bahagian belakang, betis, perut, tangan tapi tidak ditujukan ke kepala.

Akhirnya, hanya satu selipar dibenarkan. Yang paling teror, Nashrom. Balinglah macam mana pun, ada saja gaya yang dilakukannya untuk mengelak. Zaki,? Hmmm, elaklah macam mana pun, confirm kena punya.

Permainan permulaan, aku bersedia bersembunyi di belakang Kak Nor. Bila selipar jatuh, aku berpura-pura seperti tidak bermain. Perlahan-lahan aku bergerak menuju ke bulatan selipar. Bila orang lain leka membaling rakan-rakan aku yang berlari, aku berlali mendirikan selipar tersebut. Malangnya bagi aku, ada selipar terakhir tidak mampu untuk berdiri kerana selipar ditujukan tepat ke belakang badan aku.



Dalam permainan Galah Panjang, 3 bahagian disusun mengikut formasi masing-masing untuk mengelak pihak lawan daripada menceroboh. Tangan didepakan sepanjang yang boleh. Bagi mereka-mereka yang mempunyai tangan yang panjang, tentu ia menjadi kelebihan untuk mengenakan lawan. Bagi pihak lawan, siapa yang paling pantas dan pandai bermain trick, maka dialah yang jaguh.

Sungguh seronok permainan begini. Penat bukan alasan tapi keseronokkan itu yang menjadi keutamaan. Ada yang bermain alakadar, ada yang bermain dengan serius, ada yang tak sanggup menerima kekalahan, ada mempertikai keputusan, ada yang redha, ada yang malu-malu, ada juga yang tak terlibat. Jelas terpancar bagaimana bayangan kanak-kanak dizaman silam di wajah mereka.



7:00pm - Mandi kolam

Selepas bermain permainan rakyat ini, keletihan dan kepuasan memang jelas terpancar ceria di wajah mereka. Keringat tetap membasahi dan pasir melekat-lekat di pakaian masing-masing. Ha, inilah masanya untuk membasahkan badan dan membuang keringat. Di seberang sana ada kolam renang.

Aku kembali ke khemah, menukar pakaian kepada seluar pendek dan menutup badan dengan tuala sebelum sampai ke kolam. Hampir semua peserta lelaki masuk ke dalam kolam kecuali Matnor. Mie dengan Junal memang mencari peluang untuk mengenakan Matnor. Mereka menarik Matnor hingga Matnor masuk ke dalam kolam. Memang sifat nakal dan keanak-anakkan para peserta jelas kelihatan. Tiada siapa yang terkecuali hingga Fida dan Ungku sendiri masuk ke kolam renang.

Semasa sedang berenang, hujan mula turun. Bunyi guruh semakin kedengaran. Ada yang mula mengangkat khemah di tempat yang lebih jauh untuk mengelak daripada terkena hujan. Hujan turun tidak lebat dan kami menjangkakan ia tidak akan berpanjangan. Aku antara orang terkahir yang keluar dari kolam.

Sepanjang siang ini, aktiviti Skytrex cukup mencabar keberanian, namun cerita Pak Malau tetap membuatkan aku ketawa seorang diri.

Diari Eco-Challenge Part 1: Skytrex

Terasa letih sangat sekembali dari Bukit Cerakah. Walaupun agak letih, tapi puas dengan semua aktiviti penuh yang dianjurkan. Masa yang diluangkan ke program begini tidak terasa sia-sia dan pengalaman begini sentiasa tidak akan lenyap dari ingatan.

7:30am - IRIS ke TPM

Aku, Matnor dan Mie tiba lewat. Hujan turun lebat sewaktu Matnor datang nak ambil aku dan Mie. Janji nak jumpa dalam pukul 6.30am, konon-kononnya nak sarapan pagi sama kat ESSO Puncak Jalil. Keadaan memaksa untuk tidak bersarapan pagi tu. Kasihan kat Matnor kerana terpaksa meredah jalan jam di Sri Kembangan. Terima kasihlah atas kesanggupannya membantu kami. Selepas ke rumah aku, kami berdua bergerak ke rumah Mie di Puncak Jalil. Keadaan di Puncak Jalil tidak lagi lebat berbanding keadaan di area rumah aku.

Di IRIS, bas sudah lama menunggu untuk bergerak. Masing-masing kelihatan ceria dan tidak sabar untuk berada di sana segera. Walaupun begitu, hati aku risau jika keadaan hujan ini akan terus berpanjangan.

Kami mula bergerak dari IRIS kira-kira dalam pukul 7.50am dengan bas yang di sewa khas. Keadaan dalam bas riuh dengan gelak ketawa. Kehadiran Nizan, Kamal Bashar dan Wari memang menghidupkan susasana dengan celoteh mereka yang tak henti-henti.

9:00am - Mendirikan tapak

Kami sampai ke Bukit Cerakah dan kelihatan ramai pengunjung tiba di sana selain kami. Ada yang berjalan kaki, ada yang menyewa basikal dan ada yang menggunakan kenderaan sendiri.

Sampai di 'Skytrex Adventure Park', kumpulan pertama yang dianggotai seramai lebih kurang 25 orang diturunkan untuk melakukan aktiviti tersebut. Aku yang berada di kumpulan kedua ditugaskan untuk menyiapkan tapak kem perkhemahan kami.

Tapak perkhemahan kami ditempatkan di Camar Rimba. Tanpa menggunakan bas, kami berjalan kaki selama lebih kurang 10 minit ke tapak perkhemahan dengan membawa beg besar, khemah serta barang keperluan lain. Sepanjang perjalanan itu, aku melihat seekor kerbau sedang makan rumput. Di sebelah pagarnya pula, ada seekor itik seolah-olah sedang berbual dengannya. Comel betullah situasi tu.

Selain tapak khemah, ada beberapa chalet disediakan. Kolam renang juga ada. Melihat kolam renang tersebut, aku dah mengintai-intai masa yang sesuai untuk membuat terjunan bebas. Lama betul tak berenang ni!

Khemah kami didirikan mengikut kumpulan masing-masing dan setiap kawasan ditanda dengan bendera kumpulan. Inilah pengalaman pertama aku memasang khemah yang disediakan oleh Reyadz, Faizul dan Emirul.

Menjelang pukul 11.00am setelah khemah siap dipasang, kami mula bergerak untuk pergi ke 'Skytrex Adventure Park' untuk kumpulan ke dua pula. Aku pergi menaiki kereta Toyota Avanza milik Encik Syah yang dipandu oleh Zaki. Sempat lagi keluar menempah sebuah chalet dan beli air minuman di kawasan tersebut sebelum mendaftar.

Sesi pendaftaran untuk cabaran Skytrex bermula. Borang diisi dan segala peralatan keselamatan diambil. Tak lupa juga sesi taklimat penerangan mengenai alat keselamatan dan bagaimana menggunakannya. Sebelum memulakan aktiviti ini, peserta akan memulakan sesi percubaan Flying Fox yang agak rendah.


12:00pm - Cabaran bermula

Seorang demi seorang peserta menaiki tangga untuk memanjat kayu setinggi 17 meter dari tanah itu. Semasa mula memanjat, aku memang rasa terlalu teruja untuk berada nun jauh di atas sana. Di hadapan aku, Ungku mendahului dan Reyadz berada di belakang aku bersama Yusri dan Mohammad.

Sementara menunggu peserta lain memanjat pokok, aku dan Reyadz sempat menjamah makanan tengahari yang disediakan di Skydeck. Peserta yang masih berada di kaki pokok melakukan aktiviti kegemaran mereka; bersesi fotografi. Maklumlah acara begini jarang-jarang berlaku. Setiap detik adalah kenangan.

Menjelang pukul 1.00pm, selepas makanan dihadam, aku kembali ke kaki pokok. Ungku mula memanjat. 3 kali dia terhenti untuk mengembalikan stamina. Aku, Reyadz, Yusri dan Mohammad tidak henti-henti memberikan motivasi supaya Ungku terus bersemangat. Odeng yang telah berada di atas kami minta untuk menunggu hingga Ungku benar-benar sampai.

Giliran aku tiba. Aku kena segera berada di atas untuk memastikan Ungku menggunakan cara yang selamat sebelum kecabaran berikutnya. Tanpa henti aku memanjat walaupun kaki mula lenguh di 3/4 ketinggiannya. Tiba di atas, aku segera mencapai tali Ungku. Aku lihat, tanah begitu jauh aku tinggalkan. Selepas melalui laluan jaring ke sebelah pokok lain, sekali lagi kami akan memanjat ke bahagian yang lebih tinggi. Antara cabaran yang akan kami lalui selepas itu adalah 'Crazy Zig-Zag'. Matlamat aku adalah untuk sampai ke pokok satu lagi tanpa menghiraukan jarak aku dengan tanah. Reyadz yang berada di belakang aku tak henti-henti menyuruh aku terus memerhatikan Ungku supaya tidak melakukannya sendiri.

Di sebelah pokok sana, kami kena bersedia dengan cabaran 'Sky-Crawl'. Dicabaran inilah yang amat menakutkan kerana kami akan menggelongsor hanya dengan satu tali di atas ketinggian 22 meter. Ungku kelihatan tidak yakin tapi kami tidak mampu berpatah balik melainkan meneruskan cabaran ini. Aku lihat Ungku menyanyi-nyanyi untuk menghilangkan rasa gerunnya. Apa yang dianyanyikan aku tak pasti tapi macam lagu kanak-kanak dalam bahasa Inggeris. Selepas beberapa lama, Ungku melepaskan kakinya dari tapak dan menggelongsor dengan laungan "Allahu Akhbar". Takbir...!!!

Selain daripada cabaran-cabaran yang aku sebutkan di atas, ada beberapa lagi cabaran-cabaran lain yang dipanggil 'Happy-Hopper', 'The Earthquake', 'Wild Revenge' dan bermacam-macam lagi yang mengambil masa selama sejam untuk mengakhiri semuanya. Memang sungguh mencabar tahap keberanian kita dalam mengatasi ketinggian.

Menjelang pukul 2.30pm, semua peserta ke-2 berjaya mengharungi semua ujian. Tidak seorang pun dari kami samada peserta kumpulan-1 mahupun ke-2 yang menggunakan 'Chicken Run' untuk keluar dari cabaran. Malah jika cabaran ini dipanjangkan lagi, atau jika ada peluang ke-2, kami sanggup untuk mengharunginya.


3:00pm - Bersantai dan masa membersihkan diri

Semua keletihan dan kembali ke khemah masing-masing. Ia masa untuk merehatkan diri selepas aktiviti Skytrex tadi. Ada yang kelihatan sudah mula berada di kolam renang.

Berita buruk bagi beberapa peserta adalah ada khemah yang dicerobohi oleh penghuni kawasan tersebut iaitu kera. Haiwan ini mungkin mencari makanan yang disembunyikan di dalam khemah. Kera ini tahu membuka zip khemah yang tak berkunci dan pandai memilih makanan walalupun makanan bukan dalam keadaan terbuka. Ada sesetengah khemah yang dikoyakkan setelah zip di mangga.

Pada masa berehat ini, ramai yang mengambil peluang untuk menunaikan solat Zohor, menjerang air panas, membuat unggun api untuk menghalau nyamuk dan melakukan latihan untuk persembahan kumpulan. Tak lupa juga ada yang menggoreng 'French Fries'. Ada yang sudah mula mencari bahan untuk peserta yang bakal menjadi Eco-King malam nanti. Dan aktiviti yang tidak pernah dilupakan, aktiviti bergambar termasuklah mengambil gambar seekor spesis semut besar yang tidak pernah aku lihat sebelum ini.


Sunday, March 7, 2010

Bukan semua lelaki boleh buat.

Kalau di negara barat, orang perempuan tidak habis-habis memperjuangkan hak-hak wanita serta konsep kesamarataan. Ini kerana sejak zaman dahulu lagi yang mana ia bermula di eropah, mereka menjadi wanita sebagai objek untuk melayan kehendak batin lelaki sahaja tanpa ada peranan dalam masyarakat.

Aku terbayang cerita-cerita cowboy di dalam bar yang dilayani oleh seorang pelayan wanita yang boleh dipeluk oleh pengunjung-pengunjung bar tersebut berganti-ganti. Sambil memeluk wanita tersebut dan meneguk sebotol arak, wanita itu kemudian dibiarkan berdiri untuk kembali ke meja barnya. Datang pula lelaki lain menarik tangannnya dan memeluk serta menciumnya. Begitu rendah sekali taraf wanita tersebut. Wanita-wanita lain di zaman itu cuma duduk di rumah melayani anak-anak sementara menunggu suami yang mabuk arak untuk pulang.

Wanita juga dijadikan hamba seks di zaman jahilliah. Tidak berhak membuat keputusan dan boleh dipindah milik. Mengandung anak luar nikah itu biasa dan menjadi kebiasaan jika si ibu sendiri tidak mengetahui siapa ayah anak tersebut.

Era di eropah berubah. Mereka melaungkan kebebasan bersuara menandakan kemajuan pemikiran masyarakat kononnya. Mereka menerima pendapat sesiapa sahaja walaupun mereka sendiri bakal terkena padahnya. Kerana itu, wanita-wanita mula bersuara untuk hak-hak mereka yang selama ini tertindas dan mahukan hak kesamaan dalam apa jua bidang. Atas dasar kebebasan bersuara ini, mahu tidak mahu mereka terpaksa menubuhkan pertubuhan wanita untuk menunjukkan yang kononnya mereka prihatin.

Ideologi begini juga telah menyerap masuk ke dalam diri wanita-wanita kita sedangkan hak wanita itu telah terpelihara sejak kegemilangan Islam lagi. Walaupun Islam tidak meletakkan hak yang sama antara kedua-dua jantina ini, namun begitu Islam telah menggariskan bahawa lelaki ada haknya sesuai mengikut khudratnya dan wanita ada hak mereka.

Aku pernah bertemu dengan rakan-rakan wanita yang terlalu benci dengan istilah, 'Wanita itu kaum yang lemah'. Mungkin semasa di zaman persekolahannya, dia seorang 'best student' yang dikelilingi lelaki yang dia lihat jauh lebih lemah darinya dalam pelajaran. Adalah sukar untuk dia menerima istilah tersebut dan dia akan sentiasa membuktikan bahawa dia lebih baik dari lelaki dalam apa bidang sekalipun.

Ada juga wanita yang mengaku bahawa dia suka jika orang berkata dia seorang yang kasar berbanding menjadi seorang yang lemah lembut. Kenapa? Adakah dia menganggap wanita itu kelihatan buruk jika menjadi lembut hingga dia tidak mahu keadaan itu kelihatan ada pada dirinya?

Bila disebut 'Wanita itu insan yang lemah', ia bukan menggambarkan bahawa mereka itu lembab atau tak bermaya. Ia kiasan yang memberitahu kita bahawa wanita itu tidak mempunyai khudrat yang besar berbanding lelaki. Ada perkara-perkara tertentu yang wanita lakukan lebih baik dari lelaki. Ada juga perkara-perkara yang biasanya wanita lakukan, bila lelaki lakukan nampak hodoh. Banyak pekerjaan yang kedua-dua jantina ini boleh lakukan, tapi ada perkara-perkara tertentu hanya salah satu jantina ini sahaja nampak elok jika dilakukan.

Jika pada waktu ini, kita lihat orang lelaki lebih ramai tahu memasak berbanding wanita kerana keperluan hidup itu memaksa untuk berdikari. Namun begitu, jika wanita mula belajar memasak, mereka akan lakukan jauh lebih baik dan sedap lagi berbanding lelaki yang tahu masak. Tapi lelaki dianugerahkan otak yang lebih kreatif sedikit hingga menyebabkan lelaki lebih ramai menjadi chef terkenal.

Dari segi ekonomi, wanita lebih baik dalam pengurusan kewangan. Sebab tu lebih ramai suami akan memberikan isteri hak menguruskan ekonomi rumah tangga. Dalam sistem kekeluargaan Islam sendiri pun, tugas isteri adalah pembantu kepada suami atau dipanggil assistant dan suami sebagai seorang pembuat keputusan (decision maker). Isteri tidak diletakkan semata-mata untuk melayani kehendak suami tetapi turut memainkan peranan penting dalam menyuarakan pendapatnya. Malangnya pada hari ini, ramai isteri yang bertindak sebagai decision maker hingga menyebabkan darjat seorang suami itu jatuh pada pandangan masyarakat.

Lelaki itu tidak dipandang lebih tinggi dari wanita pada pandangan Allah. Cuma Allah memberi pekerjaan yang lebih berat kepada lelaki dalam hal-hal tertentu sesuai dengan khudrat lelaki itu sendiri. Kerana itu Allah hanya melantik lelaki sebagai nabi dan wanita tidak dibebani dengan tugas sebesar itu. Allah juga tidak membebani wanita untuk menunaikan solat Jumaat dan janganlah anggap Allah menyingkirkan wanita dalam melakukan ibadah ini. Ia merupakan keistimewaan kerana solat jumaat itu berat hingga ramai orang lelaki sendiri sukar mengerjakannya.

Ok, cukuplah sampai perenggan yang di atas tu kita serius. Mari lihat beberapa gambar di bawah yang menunjukkan bahawa ada perkara yang manis wanita lakukan dan hodoh bilamana lekai beraksi yang sama.


Wednesday, March 3, 2010

Pembentangan dan taklimat perkhelahan

Pada pukul 12.00pm, bermulalah pembentangan kumpulan untuk perkhelahan pada Sabtu ini di Bukit Cerakah. Selepas taklimat yang diberikan pada minggu lepas, setiap kumpulan akan membentangkan mengenai nama kumpulan, bendera dan 'War Cry'. Bermacam-macam ragam para peserta dapat dilihat melalui pembentangan hari ini tak kira sama ada datang daripada kumpulan yang membentang, mahupun yang datang dari para peserta yang duduk di kerusi penonton.

Mari kita lihat gambaran di auditorium tengahari tadi.

Kumpulan The Sun (Kuning)
Pembentang pertama adalah dari kumpulan 'The Sun'. Kalau dilihat daripada bendera mereka, di tengah-tengah gambar matahari itu sebenarnya terdapat beberapa perkataan. Tapi rasanya, tak seorang pun nampak jelas tulisan itu. Dengan selambanya Nurul pun berkata, "Orang beriman je nampak tulisan kat sini." Selepas tu semua orang di auditorium ketawa. Tiba-tiba ada yang menjawab yang tulisannya dah nampak.

Kenapa pilih The Sun? "Tanpa 'Sun' korang semua tak boleh hidup, kan?" jawab Kak Norwati sepontan sebagai menunjukkan betapa pentingnya dalam kehidupan kita. Sekali lagi penonton ketawa.

Yang buat lebih melucukan, Mawari yang baru sahaja sampai ke auditorium tersebut terkejut melihat hanya 3 orang sahaja yang datang membentangkan hasil kerja mereka. Melihatkan hanya dia seorang sahaja lelaki yang datang, tiba-tiba bertanya, "Mana geng kita?"

Motto: Sun fire. Sun fighter. Go higher!

Kumpulan XLR8 (Biru)
Ini merupakan kumpulan pertama yang membentangkan hasil karya mereka di atas pentas pada hari itu. Encik Kamal sempat memperli, "Kita cukup 10 orang, mana kumpulan-kumpulan yang tak cukup 10 orang tu, bagitaulah!"

Inilah kumpulan yang paling bersemangat dengan pembentangan mereka. Ada penonton bertanya semasa Encik Kamal membuka lipatan bendera mereka sebelum sempat dia menerangkan gambar tersebut, "Itu apa? Mentadak mentadu ke, bukan?" Pada masa tu, semua orang ketawa. Adakah patut gambar salah satu watak dalam animasi Ben10 dikatakan mentadak-mentadu?

Moto: We are great, accelerate!

Raja Rimba (Hijau)
Kumpulan ketiga merupakan kumpulan yang aku anggotai. Semasa baru mengeluarkan 2 patah perkataan, dah ada penonton cakap, 'tak dengarlah!'. Alahai, terpaksalah aku kuatkan suara. Yang tak tahan tu masa buat pembentangan, Faizul dan Kak Ida dah usik aku, 'menggigil'. Maklumlah aku terkenal dengan tabiat menggigil bila berhadapan dengan ramai orang.

Moto: Kuat! Teguh! Semangat!

Kumpulan Red Bomb (Merah)
Kumpulan Red Bomb, satu-satunya kumpulan yang mewarnakan bendera mereka dengan warna merah sepenuhnya. Kata Sattu, "Sorry ya! Kami punya gambar tak siap lagi!" lalu merentangkan kain bendera merah yang kosong di hadapan penonton. Auditorium ketawa lagi melihat bendera kosong itu yang menurut Encik Shah, "kalau nama pun Bomb, kalau meletup tak nampak apa-apalah."

Masa nak buat 'War Cry', mereka berdiri seperti nak menyanyikan lagu nasyid. Sempat lagi penonton mengusik mereka dengan lagu 'Alhamdulillah'.

Moto: Beware and be Prepare.

Kumpulan Pirate Attack (Hitam)
Mereka adalah kumpulan pembentang terakhir. Sebelum menaiki pentas, mereka sudah mula menggunakan 'War Cry' mereka - ATTACK! Dengan logo tengkorak mereka, menggambarkan mereka seperti lanun. Macam nak merompak kapal pedagang di lautan, kan?

Moto: Attack

=======================================

Semasa memilih warna kumpulan, aku sengaja mengambil warna hijau kerana warna hijau itu melambangkan ketenangan dan warna rimba. Kebetulan kami berada di kawasan yang adanya tumbuh-tumbuhan dan alam semulajadi.

Aku gunakan harimau sebagai logo untuk menepati ciri-ciri harimau itu sendiri yang terkenal sebagai raja rimba, tangkas dan gagah sesuai dengan nama kumpulan.

Semasa menunjukkan kepada Azmir akan logo ini, Azmir ada tanya soalan. "Kenapa harimau warna hijau?" Ya lah, tentu ramai mushkil kenapa ia begitu? Kebetulan, soalan sama ditanya pada sesi pembentangan. Untuk pengetahuan semua, ia bukan seperti apa yang anda fikirkan. Ini merupakan logo sahaja, tidak berkaitan secara langsung dengan gambaran sebenar kerana ia bukan lukisan potret harimau. Setiap objek mewakili sesuatu dalam satu-satu logo itu.

Bagi peminat-peminat kelab bolasepak, anda tentu prihatin dengan logo-logo haiwan yang terdapat di dalam lambang satu-satu pasukan. Seperti Chelsea dengan lambang singa biru, Olympic Lyon dengan singa berwarna emas dan Spurs dengan ayam jantan biru. Haiwan yang tertera mewakili sesuatu maksud dan warna pula memberi makna yang lain. Ia menggambarkan bahawa satu-satu logo itu boleh diungkapkan dengan pelbagai makna.

Dalam kumpulan Raja Rimba, aku bertuah kerana disertai oleh Kak Ida, Fiza dan Faizul yang terkenal dengan pelbagai idea. Kehadiran Reyazd dan Fida yang spoting juga turut menceriakan sesi latihan. Selain itu, Kak Sabariah, Kak Hasifah, Emirul dan Kamarul yang mungkin dapat dikumpulkan bersama pada hari Jumaat nanti.

Bendera Raja Rimba