Gambar potret adalah satu bidang yang amat menitik beratkan
soal teknik. Sebagai seorang amatur, aku banyak mempelajari teknik pengambilan
gambar melalui majalah dan internet. Aku kerap melihat imej-imej menarik yang
dipaparkan melaluinya untuk mengkaji apa yang menjadi tumpuan kepada sesuatu
gambar.
Rata-rata seorang daripada kita
telah mempunyai kamera sendiri, tidak kiralah samada kamera itu sebuah kamera
DSLR, kamera 'compact' mahupun kamera yang dibina bersama telefon bimbit.
Ketaksuban masyarakat untuk mengabadikan kenangan dalam bentuk gambar begitu
ketara. Namun begitu, kita gagal dalam mengambil manfaat melalui barang
peribadi yang kita miliki untuk menjadikan hasil kerja kita itu indah. Apa yang
paling malang, kita memaparkan diri kita dalam kamera kita sendiri dengan mutu
yang amat rendah.
Hari ini, kita kerap
memfotografikan diri sendiri untuk tatapan umum di dalam laman sosial. Kerana
kegilaan ini, telefon bimbit telah dilengkapi dengan kamera. Dengan kelengkapan
sedemikian, keraplah para pengguna mengambil imej diri sendiri tanpa mereka sedar
bahawa mereka telah menyebabkan mereka kelihatan sama dalam 100 gambar.
Matlamat utama dalam mengambil
banyak gambar sendiri adalah untuk menghasilkan variasi dalam setiap imej dan
menceritakan keberadaan kita dalam sesuatu aturcara. Jenis gambar diri sendiri ini dikenali sebagai
gambar potret. Gambar potret ini bolehlah disamakan seperti gambar passport
yang hanya memaparkan bahagian muka. Ia disebabkan oleh terhadnya ruang antara
kamera dengan wajah. Kerana ketiadaan variasi disebabkan keterhadan itu, hanya
yg kelihatan berbeza adalah warna tudung dan perubahan make-up serta riak dan
mimik muka.
Kita memahami bahawa anda ingin
menampilkan wajah anda kelihatan seperti gambar-gambar potrait di dalam
penghias majalah. Zaman Berzaman kali ini ingin berkongsi sedikit tips
agar pembaca boleh kelihatan jauh lebih baik daripada cara biasa mengambil
gambar potret sendiri walau dengan kamera apa sekalipun yang anda miliki. Tips ini dikongsi untuk anda membiasakan diri untuk mengambil gambar potret standard.
1. Jangan ambil gambar wajah
terlalu hampir dengan kamera
Apabila kita mengambil gambar, hasil yang
kita lihat kebanyakkannya pada mata dan posisi muka. Kita lupa bagaimana
bahagian pipi dan hidung kita. Tetapi, orang lain melihatnya dari aspek yang
berlainan. Kita mungkin kelihatan lebih buruk pada pandangan mata orang lain
berbanding pandangan kita sendiri. Untuk pengetahuan para pembaca, kamera dilengkapi dengan lensa berbentuk cembung. Semakin hampir anda padanya, semakin bulat wajah anda kelihatan. Mungkin hidung anda kelihatan lebih kembang tanpa anda sedari atau pipi anda lebih tembam dari biasa. Oleh itu, mengambil gambar sendiri dengan cara demikian adalah tidak digalakkan. Ini mungkin tips berguna kepada
mereka-mereka yang sering memfotografikan diri sendiri dengan memegang kamera.
2. Kurangkan penggunaan flash pada
ruang tertutup atau malam
Aku sering mendengar orang bertanya, "Mana flash? Kenapa tak keluar?". Flash yang terbina bersama kamera
tidak memainkan peranan yang baik untuk hasil potrait ditempat terlindung atau
pada waktu malam. Wajah anda akan kelihatan berkilat kerana kesan cahaya secara
langsung. Akan berlaku kesan 'over expose' pada imej anda. Ia lebih buruk lagi apabila anda menggunakan make-up. Sebab itu jika
anda perasan, fotografer akan menggunakan speedlight untuk gambar di ruang
tertutup kerana cahayanya boleh dialihkan. Namun begitu, flash yang terbina
bersama kamera amat berguna untuk pencahayaan di waktu siang. Ia membantu untuk
menaikkan seri warna wajah anda apabila anda terpaksa mengambil gambar dengan
membelakangkan sumber cahaya.
3. Pastikan jarak kamera tegak dengan wajah anda
Setiap masa, pandangan manusia pada wajah seseorang adalah
bersudut horizontal. Sudut horizontal ini adalah sudut yang baik dalam gambar
potret. Jangan ambil gambar dengan kamera di atas kepala kerana dahi anda akan
kelihatan lebih besar berbanding muka. Jangan ambil di bawah dagu kerana anda
tentu tidak mahu lubang hidung anda menjadi perhatian. Jika mengambil gambar
keseluruhan badan, tumpukan jarak horizon ke bahagian dada. Ini untuk mengelak
daripada kepala anda kelihatan lebih besar daripada badan serta kaki anda
kelihatan pendek.
4. Gunakan 'Timer' atau minta rakan lain bantu
Rata-rata kamera hari ini
dilengkapi dengan sistem 'Timer'. Anda boleh aturkan jangka masa kamera sebelum
mengambil gambar serta bersedia untuk berada di hadapannya. Sistem ini gagal
digunakan oleh kebanyakkan empunya kamera kerana mereka lebih gemar mengambil
gambar secara mudah dengan hasil yang sentiasa sama dari satu gambar ke gambar
lain. Dengan penggunaan ‘Timer’, anda dapat mengelak daripada hasil gambar anda
diganggu dengan hadangan tangan kerana menekan punat kamera. Anda turut boleh
menampilkan suku, separuh atau seluruh badan anda mengikut kesesuaian yang anda mahukan dalam imej anda sendiri. Tips ini berguna semasa anda bersendirian. Seandainya anda
ditemani oleh orang lain, minta bantuan mereka untuk mengambil gambar anda.
Jika mahu mengambil gambar bersamanya, terus menggunakan ‘Timer’. Jangan paksa
ambil gambar berdua sehingga wajah anda dan rakan anda terlalu rapat serta memenuhi
keseluruhan skrin. Mungkin ia akan kelihatan menjengkelkan pada orang lain.
5. Elakkan wajah memenuhi ruang segiempat imej
Potrait yang baik adalah gambar yang dibantu dengan latar
belakangnya. Secara tidak langsung, gambar anda sedang bercerita suasana di
sekeliling anda. Walaupun mungkin pose anda sama dalam gambar lain, tetapi
persekitaran anda membantu menaikkan mutu gambar anda. Jangan sesekali biarkan
wajah anda memenuhi ruang segiempat imej potrait anda. Tinggalkan separuh ruang
untuk gambar itu menceritakan di mana anda kerana anda bukan mengambil gambar
untuk iklan pencuci muka atau ubat jerawat.
Setakat ini, hanya 5 tips di atas dapat aku berikan berdasarkan gambar-gambar peribadi yang sering diambil oleh pengguna-pengguna laman sosial. Tips ini berguna untuk anda menampilkan diri anda lebih elok dan bermakna. Kita tidak perlu mengupah seorang yang professional untuk mengambil gambar semudah itu kerana kita sendiri boleh melakukannya. Kita yang mahu kelihatan menarik, maka jadikanlah dirimu bermakna dalam kamera sendiri.
0 Komen:
Post a Comment