Pengalaman baru telah bermula. Terima kasih kepada sahabat aku yang telah memberi peluang kepada aku untuk terus berkarya dalam seni. Selamat datang ke rumah baru juga aku ucapkan kepada sahabat aku, Zarmiza bersama isterinya, Yusmi Suhana. Gambar di bawah adalah sebuah gambar kenangan mereka berdua semasa pertama kali memiliki rumah tersebut. Semoga ia boleh diabadikan sebagai sebuah memori.
Di rumah baru mereka ini, aku dan beberapa rakan sekerja lain telah berganding bahu dalam membantu sahabat kami ini dalam melicinkan rancangan perpindahan mereka untuk memudahkan perjalanan urusan. Aku seperti biasa tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil gambar dalaman asal rumah tersebut.
Selepas meninjau keadaan rumah, kami terus memikirkan tentang idea untuk mengecat ruang dalamannya. Idea yang wujud dalam fikiran kami adalah menghasilkan rekabentuk ruangan dalaman rumah moden. Aku terus terfikir untuk menghasilkan rekabentuk tersebut melalui ilustrasi bergambar melalui gambar-gambar yang telah aku ambil. Dari sinilah aku mula berjinak-jinak dengan rekabentuk hiasan dalaman rumah atau sesuatu yang dipanggil sebagai 'interior design'.
Selepas seharian memikirkan idea rekabentuk hiasan itu, maka aku telah menghasilkan beberapa ilustrasi bergambar untuk dijadikan rekabentuk cadangan kepada pasangan suami isteri tersebut. Dan ilustrasi di bawah merupakan hasil kerja pertama dalam merekabentuk hiasan rumah.
Selepas itu, bermulalah aktiviti untuk mengecat. Walaupun hasilnya sedikit berbeza kerana terdapat beberapa kekangan dalam merealisasikan sesuatu mengikut ilustrasi, namun suasana gotong-royong ini amat menyeronokkan. Ia sesuatu pengalaman baru bagi kami dan gelak tawa serta gurau senda rakan-rakan terus menggamit riang suasana.
Sehari sebelum penglibatan aku, Mie dan Azmir menyelesaikan cat pada dinding di bahagian ruangan tamu. Selepas ketiadaan Azmir pada hari berikutnya, kami meneruskan untuk bahagian bilik. Mie dan Azhar menumpukan untuk cat tengah pada keseluruhan dinding bilik-bilik tersebut manakala Malik lebih menumpukan bahagian penjuru atas. Aku pula mengecat bahagian-bahagian kecil seperti penjuru bawah, sempadan soket dan celah pintu.
Bilik utama telah diwarnakan dengan warna hijau manakala bilik di sebelahnya diwarnakan dengan warna kuning. Ruangan dapur pula diwarnakan dengan warna putih yang mana warna asal sebelum itu merupakan warna krim. Satu lagi bilik yang akan dijadikan bilik komputer telah diwarnakan dengan warna ungu, sama seperti warna dinding ruang tamu tetapi di satu bahagian dinding yang mempunyai pintu, warna kelabu telah dicat di bahagian tersebut menjadikan warnanya lebih bervariasi.
Seminggu selepas itu, bersama rakan-rakan lain yang tidak hadir pada sesi mengecat, kini mereka telah datang untuk membantu dalam pembersihan rumah termasuk dalam membersihkan kesan-kesan cat serta mencuci jubin dan mengemaskan sisa-sisa kotoran yang ditinggalkan untuk melapik lantai menggunakan kotak dan surat khabar. Antara yang turut membantu adalah Farouk, Ayoi dan Paan.
Barangan kecil yang telah dimasukkan dalam kotak serta barangan lain turut mula dipindahkan sedikit demi sedikit menggunakan dua buah kenderaan. Mie dan isteri meneruskan pencarian untuk hiasan dalaman untuk kegunaan ruang tamu dan hiasaan seperti set sofa, tirai dan langsir serta kabinet tv.
Seminggu kemudian pada hari akhir minggu, bermulalah aktiviti pemindahan barang secara besar-besaran. Mie, Azmir, Afifi dan Farouk telah mula memunggah barang ke lori sejak awal pagi lagi dari rumah lama manakala aku dan Paan hanya mula membantu dalam memindahkan barang setelah tengahari selepas lori telah berada di rumah baru.
Pada kali ini, perpindahan sangat memerlukan kerahan tenaga yang lebih. Bagi rakan-rakan yang sering bekerja dengan menggunakan fizikal, susah tentu ia merupakan perkara yang biasa namun bagi aku yang jarang bekerja berat, aku menggunakan masa ini untuk melatih tubuh yang banyak berehat untuk bekerja lebih berat.
Suasana tetap meriah. Mungkin inilah untungnya jika bekerja secara bergotong-royong. Ada sahaja gurau senda yang menjadikan suasana menjadi meriah dengan gelak tawa dan senda gurau. Masing-masing punyai gelagat sendiri yang boleh menjadikan rasa penat itu terus hilang. Bertuah rasanya rakan-rakan ini semua ada bersama.
Selesai sahaja semua barang telah dipindahkan masuk ke dalam rumah, kami mengambil sedikit masa untuk berehat dan mula menonton tv. Kami turut dihidangkan dengan makan tengahari oleh Mie dan isteri. Suasana begini jarang sekali dapat dirasakan oleh aku yang banyak menghabiskan masa di hadapan komputer. Namun aku gembira, rakan-rakan di sini sudah seperti saudara. Selepas berehat sebentar, kami turut membantu dalam memasang beberapa barangan rumah serta menyusun perabot dan beberapa barangan lain. Syam turut datang pada waktu petang sebelum juadah petang seperti pisang dan cempedak goreng serta keropok lekor dihidangkan.
Selepas selesai membantu dalam bergotong-royong menyelesaikan perpindahan rumah tersebut, kami pulang ke rumah masing-masing kira-kira dalam pukul 6.00 petang. Kerja hari minggu yang amat meletihkan selesai. Walaupun penat, aku sempat mencoretkan bukan sekadar sebuah kenangan, malah sebuah pengalaman melalui ruang di sini untuk sahabat aku yang kini memiliki aset keluarga yang amat bernilai. Semoga terus berbahagia dalam kehidupan yang diberkati.
3 Komen:
asl x ajak?....boleh gak kte nyumbang tenaga...hihihi
asal x ajak....boleh gak kte sumbang tenaga...ape pun congrat wt karya yg bernas...
insyaAllah len kali kita ajak plak ya...cukup dah tenaga yg ada tu
Post a Comment