Beberapa bulan yang lepas, kita banyak mendengar isu-isu yang berkaitan dengan masjid. Isu-isu orang-orang politiklah katakan. Ia berkaitan dengan isu azan yang kononnya mengganggu penduduk-penduduk bukan Islam lain disekeliling. Tak habis dengan itu, isu bernikah di dalam masjid pula ditegah. Kedua-dua isu merupakan amalan kebiasaan kita sebagai umat Islam di negara bernama Malaysia ini.
Sebagai seorang rakyat Malaysia yang terlalu kecil suaranya ini, mahupun seorang beragama Islam yang terlalu cetek pengetahuannya dalam mencampuri urusan-urusan orang-orang politik mahupun para alim ulamak, penulis mengambil masa yang agak panjang untuk berceloteh melalui Blog Zaman Berzaman berkaitan isu ini. Mungkin apa yang tertulis di atas blog ini hanyalah pandangan peribadi yang bukan untuk diperdebatkan, bukan pro pada mana-mana parti politik, bukan untuk membantu dalam undi-undi, tetapi sekadar berkongsi pengetahuan dan pendapat. Penulis juga mengambil masa yang agak panjang untuk menerbitkannya untuk melihat pendapat daripada orang-orang lain dari laman web sosial rakan-rakan, melalui akhbar-akbar dan blog-blog lain. Apa yang terbit di atas blog ini mungkin sesuatu yang penulis rasa ramai dikalangan kita faham begitulah ia dan yang penulis rasa ada kebenarannya.
Laungan Azan.
Berkaitan dengan laungan Azan, sejak Islam bertapak di negara ini, kita jarang-jarang sekali mendengar rintihan daripada agama-agama lain. Kita faham laungan Azan yang mungkin sekadar 5 minit sahaja dilaungkan itu tidak akan mengganggu telinga sesiapa pun. Malahan laungannya menjadi kebiasaan kepada ramai penduduk beragama lain. Sekali ia berkumandang, agama lain faham itu tandanya sudah masuk waktu untuk orang-orang Islam menunaikan solat. Itulah seruannya dan sedikit sahaja masa ia diperlukan untuk diperdengari.
Namun apa yang menjadi kekeliruan mereka pada hari ini dan menjadi gangguan kepada mereka bukanlah laungan Azan itu. Namun begitu, ada perkara-perkara lain yang turut keluar dari corong-corong pembesar suara di masjid. Sebagai contoh, bacaan surah Al-Quran yang dimainkan sebelum Azan turut mengundang gangguan kepada penduduk beragama lain yang tinggal di persekitaran masjid. Mereka tidak tahu itu bukan Azan, tapi mengatakan Azanlah yang mengganggu. Bagi penulis, bukan sahaja orang beragama lain di luar sana, malah bacaan itu mengganggu jemaah yang sampai awal untuk menunaikan solat sunnat. Sedangkan penulis dulu pernah diberitahu agar memperlahankan bacaan jika berada di masjid kerana dikhuatiri mengganggu jemaah lain yang sedang melakukan solat. Cukuplah sekadar seruan Azan.
Bacaan-bacaan solat oleh imam masjid juga sepatutnya hanya didengari oleh makmum sahaja. Tidak perlu sampai hingga ke rumah-rumah penduduk. Mungkin bagi solat-solat fardhu seperti Maghrib, Isya' dan Subuh, bacaan pendek demikian tidak menjadi permasalahan sangat namun masih dikhuatir mendatangkan perasaan tidak elok dalam hati agama-agama lain. Namun begitu, bacaan untuk solat Tarawih yang mengambil masa lebih panjang dari bulan-bulan selain Ramadhan dikhuatiri menimbulkan persoalan negatif bagi mereka. Ramadhan itu berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Biarlah perbezaannya menunjukkan kepada agama-agama nilai-nilai positif yang membawa kemuliaan kepada agama Islam itu sendiri, bukan kebisingan luar biasa yang memberi gambaran negatif sebagai gangguan selama sebulan bagi agama-agama lain. Cukuplah sekadar seruan Azan.
Ceramah agama juga mengambil masa yang agak panjang dan banyak masjid memilih untuk melepaskan suara ceramah tersebut ke luar masid melalui pembesar suara. Bagi orang-orang Islam yang berada di sekeliling masjid, mungkin ia merupakan satu kemudahan kerana tidak perlu berada di masjid untuk mendengar isi ceramah. Namun bagi orang bukan Islam, kita khuatir andai hadir rasa sakit hati dalam diri mereka kerana terpaksa mendengar sesuatu yang tidak mahu mereka dengari. Cukuplah sekadar ceramah itu disampaikan melalui pembesar suara yang ada di dalam masjid sahaja, biarkan umat-umat Islam yang mahu mendengarnya datang ke masjid beramai-ramai. Yang patut dilepaskan, cukuplah sekadar seruan Azan.
“Ketika Nabi Muhammad SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Seperti yang disebutkan oleh Dr Asri, "Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah 'perjuangan mempertahankan Islam."
Nikah dalam masjid
Adakah boleh atau tidak? Adakah syarak membenarkannya atau tidak? Inilah antara amalan dan kebiasaan kita di Malaysia. Antara sebabnya adalah untuk memudahkan Tok Kadi dalam menyelesaikan beberapa akad nikah dalam satu-satu masa tanpa perlu beralih dari satu rumah ke satu rumah yang lain.
Jika diteliti, pernikahan di masjid itu tidak salah atau menyimpang dari ajaran agama Islam. Masjid sepatutnya menjadi tempat upacara-upacara keagamaan selain dari melakukan solat. Sesuailah untuk kita sebagai umat Islam untuk terus memakmurkan masjid dengan upacara-upacara sedemikian.
Malangnya apa yang berlaku pada hari ini, perkahwinan di masjid itu tidak mengikut tuntutan sebenarnya dalam usaha menjaga tatatertib masuk ke masjid. Lihatlah sahaja bagaimana pakaian pengantin semasa berada di dalam masjid. Adakah dia menutup aurat dengan sempurna? Dengan pakaian pengantin yang tipis menembusi sehingga memperlihatkan lengan mereka, ada yang tidak menutup bahagian kepala, dan ada pula yang berbelah di bahagian kaki hingga terlihat bahagian betis mereka sedangkan memasuki masjid itu dituntut untuk menutup aurat dengan sempurna.
Selain pengantin, para tetamu dah ahli keluarga yang hadir turut ada yang tidak menutup aurat. Ada yang masuk terus ke dalam masjid tanpa menjaga kebersihan diri, tanpa berwudu', malah ada wanita yang masih dalam keadaan hadas besar tidak mempedulikan situasinya semata-mata untuk melihat majlis pernikahan ahli keluarga mereka. Jika upacara ini terus-menerus berlaku dalam keadaan demikian, orang akan lupa mengenai adab-adab memasuki masjid dan terus-menerus melanggar pantang-larang. Secara tidak langsung, pihak masjid akan berkongsi dalam menyumbang dalam permasalahan ini.
Kesalahan dalam adat pernikahan orang Melayu kita juga menyumbang dalam percampuran antara perkara yang baik dan yang tidak baik. Sebagai contoh, upacara membatalkan air sembahyang melalui sarungan cincin sepatutnya dilakukan di luar masjid. Kedua-dua mempelai sepatutnya kekal berwudu' sehingga mereka keluar dari masjid. Bukan dengan sengaja membatalkannya ketika berada di dalam masjid. Sesudah menyarungkan cincin, aktiviti bersalaman kepada saudara-mara turut berlaku. Jika sekadar bersalaman dengan ibu bapa tidak mengapa, tetapi pengantin turut bersalam dengan ahli keluarga lain yang bukan mahramnya. Ini jelas mencampur-adukkan perkara halal dan haram di dalam masjid.
Mungkin melihat situasi dan masalah ini sering berlaku di dalam masjid, ada pihak yang melihat perkara ini perlu dihentikan. Walaupun dengan seribu alasan yang ia tidak salah dari segi hukum, namun banyak perkara lain yang diundang olehnya yang salah dari segi agama. Penulis merasakan larangan tersebut berasas namun andai masyarakat Islam Malaysia boleh menjaga tatatertib tersebut, tidak salah untuk upacara perkahwinan terus dilakukan di masjid.
0 Komen:
Post a Comment