Monday, October 4, 2010

Rumah terbuka di bulan Syawal

Aidilfitri dan amalan rumah terbuka di bulan Syawal.


Sepanjang bulan Syawal, ramai dikalangan kita membuat rumah terbuka. Aku tidak terkecuali antara yang mendapat jemputan dari ramai sahabat-handai dan rakan sekerja. Aktiviti sepanjang hujung minggu pada bulan Syawal ini dipenuhi dengan kunjungan ke rumah terbuka dari satu rumah ke satu rumah para sahabat.

Pada bulan Syawal ini, rumah teruka jarang sekali diadakan pada waktu bekerja. Mungkin ia mengambil kira kadar kepenatan selepas bekerja serta untuk menyediakan hidangan pula selepas balik dari kerja. Kesempatan di hujung minggu merupakan masa yang terbaik untuk menjamu rakan-rakan dan taulan selagi Syawal masih ada.

Konsep rumah terbuka Aidilfitri sudah lama dipupuk dalam masyarakat beragama Islam. Di dalam amalan kehidupan masyarakat Islam di zaman Rasulullah S.A.W, konsep kunjung menunjung ini sudah lama dipupuk oleh baginda S.A.W. Rasulullah S.A.W akan menunjungi rumah-rumah sahabat dan kenalan selepas baginda selesai mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Rasulullah S.A.W juga tidak lupa untuk memakai pakaian-pakaian yang bersih atau baru untuk menyambut hari kemenangan masyarakat Islam yang berpuasa sepanjang Ramadhan.

Reunion SMHT '98Ziarah ke rumah saudara

Amalan rumah terbuka di zaman masyarakat Islam pada hari ini merupakan salah satu contoh yang baik untuk mengumpulkan sahabat handai. Mungkin suasana yang berbeza dengan amalan yang dilakukan pada zaman Rasulullah namun semangat untuk meneruskan amalan ziarah-menziarahi ini dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain dan merapatkan jurang antara darjat.

Aku tidak melepaskan peluang untuk menziarahi rakan-rakan. Sepanjang Aidilfitri di Tawau, aku mengunjungi rumah saudara-mara dan rakan-rakan sekolahku yang kembali berhari-raya di kampung halaman. Kami turut sempat membuat re-union bagi pelajar-pelajar S.M Holy Trinity yang mengambil SPM pada tahun 1998 di KFC Tawau.

Rumah Kak MimiRumah Bab

Sekembali ke Kuala Lumpur, aku turut mengunjung rakan-rakan yang berada di Sungai Besi, Seri Kembangan, Bandar Kinrara, Bangi serta menghadiri majlis perkahwinan salah seorang rakan sekerja di Puchong. Antara hidangan yang menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia ini yang antaranya adalah laksa, satay, rendang, lemang, nasi himpit, mi kari dah biskut raya. Ada yang membuat kelainan seperti hidangan char kuey tiau dan bakso.

Mungkin di kampung halaman aku di Tawau, resepi seperti rendang dan nasi himpit adalah antara kebiasaan yang agak sama. Namun begitu, lemang adalah resepi yang sukar ditemui. Mungkin kerana di Tawau, isi ketupat itu sendiri adalah pulut sebagaimana ketupat daun palas yang boleh kita perolehi di utara. Di sini, ketupat itu berisi nasi yang sama dengan nasi himpit, cuma ketupat di sini berisi beras yang dibaluti dengan daun kelapa untuk menghasilkan nasi yang mempunyai aroma berlainan dengan nasi himpit biasa. Nasi himpit di Tawau dipanggil lontong dan ia mempunyai kuah sendiri. Ketupat pulut pula dimakan bersama rendang, sama seperti lemang.

Perbezaan yang paling besar hidangan raya di Tawau adalah makanan seperti buras yang tidak terdapat di sini. Mungkin buras boleh didapati di sebahagian tempat di Johor. Buras merupakan nasi yang dimasak dengan daun pisang dan ia biasanya di makan bersama rendang atau serunding. Selain itu ada juga masakkan yang dikenali sebagai ayam masak lengkuas yang mana aku sendiri jarang mendengarnya namun agak popular di Tawau serta menjadi hidangan bersama ketupat pulut dan buras.

Rumah Kak RobaizahRumah Mie & Sue

Rumah Kak Mas & WariRumah Kak Ida Maimoon


Aku ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi menjemput aku ke rumah terbuka mereka sepanjang bulan Syawal ini serta sudi melayan kerenah aku dan rakan-rakan yang lain. Andai ada silap dan salah serta terlanjur bahasa sepanjang kehadiranku, aku ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan. Kepada rakan-rakan yang tidak sempat aku kunjungi, di sini aku turut memohon kemaafan. Masa agak terhad untuk memenuhi semua kunjungan namun aku cuba yang terdaya untuk hadir tapi pasti ada kunjungan-kunjungan yang tidak sempat aku lawati. AKu mohon agar tidak disimpan di dalam hati.

Kepada seorang sahabat yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan di Syawal ini, Nashrom dan pasangannya Pinky, aku ucapkan Selamat Pengantin Baru. Aku doakan semoga Allah murahkan rezeki dan bertambah-tambah keberkatan dalam mengharungi hidup sebagai suami isteri.

Majlis perkahwinan Nasrom dan Rosalin

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

1 Komen:

suSueEmiMie said...

yeayeaaa...pic pn yusmi n en. zarmiza pun ade kt blog nih..waaahh..glamour gtu..hehehee