Ekspedisi ke Kuala Gula: 'IRIS Mangrove Therapy Day' Diary
Alhamdulillah, segalanya lancar di sepanjang ekspidisi ke Kuala Gula. Pengalaman ini merupakan ekspidisi terjauh setakat ini yang pernah dianjurkan oleh IRC. Tahniah kepada IRC kerana Berjaya menganjurkan program terbaik ini dengan jayanya dan terima kasih kepada semua peserta yang melibatkan diri dalam usaha untuk memulihkan sumber alam kita yang tidak ternilai.
HARI PERTAMA (28 Mei 2010)
7:15 a.m - Pendaftaran peserta
Pada 28 Mei 2010, bermula pukul 7.15 pagi, peserta mula mendaftar dan mendapatkan sticker kenderaan. Ribben juga disertakan untuk diikat pada antenna kereta masing-masing. 9 buah kereta terlibat dalam perjalanan dari IRIS Technologies, Bukit Jalil dengan anggaran peserta seramai 40 orang. Sepanjang tempoh pendaftaran, sesi photografi sudah bermula. Ramai tidak mahu melepaskan peluang untuk mengabadikan pengalaman mereka sejak program bermula.
Aku yang masih dalam sesi pembelajaran dalam penggunaan imej photografi kamera tidak melepaskan peluang untuk menggunakan kamera Canon EOS 450D Faizul. Kebiasaan menggunakan produk DSLR Nikon tidak menghalang untuk aku cuba memberikan gambaran terbaik dalam aktiviti kali ini untuk semua peserta.
Mengikut jadual, perjalanan sepatutnya bermula pada 7.30 pagi. Memandangkan ada seorang peserta yang tidak sampai lagi, perjalanan terpaksa dilewatkan hingga ke pukul 8.00 pagi. Inilah yang dimaksudkan oleh satu pepatah Melayu, ‘kerana nila setitik, habis susu sebelanga’. Datang lewat dengan membawa beg melancong seperti orang nak pindah rumah. Sungguh memalukan kerana seorang yang lambat itu adalah teammate yang bersama-sama dengan aku menaiki kereta Farouk. Pagi tu dia yang kejutkan aku tapi dialah orang terakhir yang sampai.
8:00 a.m - Ekspidisi bermula
Apabila masa menunjukkan lebih kurang ke pukul 8.00 pagi, perjalanan pun bermula dari IRIS Technologies ke Kuala Gula, Perak. Aku dapat melihat keceriaan setiap wajah peserta di sepanjang perjalanan. Semuanya kelihatan tidak sabar untuk sampai ke destinasi. Pada waktu ini aku terbayangkan baju dan seluar kami akan berlumur dengan lumpur di atas tanah paya sambil bersama-sama menanam pokok bakau. Cuaca yang agak panas juga pasti akan membuatkan kami dihujani keringat. Aku terbayang bagaimana kasut yang dipakai akan kotor 100% dan ada diantara kami yang akan kehilangan selipar akibat tenggelam dalam lumpur. Beginilah keadaannya yang mungkin akan berlaku mengikut pengalaman-pengalaman mereka yang terdahulu.
Aku sempat mengambil gambar kenderaan rakan-rakan yang datang dari arah belakang serta pemandangan sekeliling di sepanjang perjalanan tersebut. Kami berempat sempat menjamah coklat yang aku beli sebelum sampai ke IRIS tadi. Suasana di dalam kereta juga tidak sunyi dengan telatah Nasrul yang saling berkomunikasi dengan Mat Nor melalui Walkee-Talkee dari satu kereta ke satu kereta lain. Pelbagai teka-teki diajukan Nasrul dan pelbagai jawapan pelik-pelik diberikan oleh Afifi, Mat Nor dan NF Lai.
10:00 am - Berehat sebentar bersama R&R
Perjalanan yang agak panjang ini berhenti seketika untuk mengalas perut yang lapar di R&R Tapah. Di sana, pengunjung cukup ramai hingga kami tiada tempat untuk duduk. Aku, Rosman, En. Kamal dan Farouk mengambil tempat di pondok rehat R&R dan beberapa rakan lain sempat menyantaikan diri dengan membentang tikar di tempat teduh sambil menjamu sarapan pagi.
Kami tidak mengambil masa yang panjang untuk berehat. Aku sempat menjamah nasi goreng dan air kopi. Setengah jam selepas itu perjalanan diteruskan lagi. Perjalanan kali ini dijangka akan berhenti di Tol Ipoh Selatan. Kali ini berhenti untuk bergerak bersama kenderaan yang dipandu oleh En. Shah.
Dalam misi kami ke Kuala Gula, kami sempat melalui terowong dan melihat Gua Tempurung. Aku sekali lagi tidak melepaskan peluang ini untuk mengambil gambar pada pemandangan indah yang terdapat di sepanjang laluan kami. Konvoi kami kali ini dtambah dengan sebuah lagi kereta yang dipandu En. Shah yang menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan menjadi 10 buah.
12:30 am - Destinasi dicapai.
Destinasi kami telah sampai ke matlamatnya. Sebuah perkampungan nelayan yang dipanggil Kuala Gula ini betul-betul berada di kawasan tebing laut yang mana terdapat banyak pokok bakau menghiasi persisirnya. Pekannya seperti sebuah pekan 'koboi' yang tidak ramai penduduk dan tiada kesibukan kenderaan seperti di Kuala Lumpur. Cuaca pada hari itu agak cerah tanpa tanda-tanda hari akan hujan.
Di Kuala Gula, kami singgah ke Chalet kediaman Tan Sri Razali Ismail, salah seorang diplomat dan ahli korporat yang juga pernah bertugas sebagai ketua delegasi Malaysia ke PBB. Di Chalet kediaman beliau pada tengahari itu, kami disajikan dengan makanan ala-ala kampung Melayu. Memang sungguh menyelerakan dan rasa lapar perjalanan jauh tadi dapat dilegakan.
Selepas sesi menjamu selera, semua peserta lelaki ditempatkan di sebuah chalet lain yang memerlukan selama 10 minit berjalan kaki daripada chalet kediaman Tan Sri Razali. Di chalet tersebut, kami berehat dan menempatkan semua barangan kami di bilik masing-masing. Chalet tersebut mempunyai 5 bilik tidur yang boleh menempatkan seramai 4 orang pada setiap bilik dan ia turut mempunyai ruang tamu yang mempunyai TV dan perabot serta 3 bilik air.
Pada waktu ini, peserta melakukan solat Jamak Taqdim menggantikan solat Jumaat serta menghimpunkan dengan solat Asar. Aku sempat mandi untuk menyegarkan badan selepas membeli tuala dan ubat gigi di kedai runcit berdekatan.
3:00 pm - Objektif pemuliharan bakau bermula.
Faizul mula memanggil untuk aktiviti berikutnya. Masanya sudah tiba untuk menyempurnakan objektif kami datang ke Kuala Gula iaitu menaman anak-anak bakau. Aku mengenakan baju yang diberikan oleh IRIS lengkap dengan topi serta memakai seluar trek dan selipar untuk memudahkan pergerakkan di atas tanah paya nanti. Seluar trek juga lebih mudah dibasuh berbanding jeans atau slack. Aku jangkakan baju dan topi mungkin tidak akan terkena palitan lumpur yang agak banyak kerana aktiviti ini cuma menanam bakau yang mungkin tidak banyak melibatkan bahagian atas badan selain tangan.
Sehari sebelum ekspidisi ini bermula, diberitakan oleh Kak Ida Maimoon bahawa akan ada kehadiran wartawan Karam Singh Walia dari TV3 dan Faizul mengesahkan cerita tersebut melalui Facebook. Waktu itu aku yakin yang mereka sedang bergurau. Pada pendapat aku, aktiviti ini sekadar aktiviti amal kami kepada alam selain memberikan pendedahan kepada para peserta berkaitan kepentingan bakau.
Menjelang pukul 3.30 petang itu, para peserta sudah mula berkumpul di hadapan chalet Tan Sri Razali. Ternyata pada waktu itu, terasa benar 'penantian itu satu penyeksaan'. Semua peserta terasa teruja untuk tiba secepat mungkin. Kami dijangka akan menaiki boat untuk pergi ke kawasan penanaman bakau. Boat yang ditunggu pula tidak muncul tiba lagi. Bagi yang berminat untuk mengambil koleksi-koleksi gambar mereka, mereka menggunakan peluang ini untuk melakukan sesi fotografi. Aku turut tidak melepaskan peluang ini.
Beberapa minit kemudian, datang sekumpulan lelaki yang lagaknya ala-ala wartawan siap dengan camera video. Kehadiran mereka ini mengundang tanda tanya dalam diri aku, 'apa mereka buat di sini?' Seorang daripada mereka adalah seorang lelaki berbangsa Punjabi dengan serban di kepala dan janggut yang panjang. Adakah lelaki ini yang Kak Ida Maimoon katakan sebagai Karam Singh Walia? Aku sempat mencuri beberapa keping gambar mereka semasa melalui jeti ke Chalet Tan Sri Razali. Memang nyata ada sekumpulan wartawan datang untuk mengambil gambar aktiviti kami ini tapi bukan Karam Sing Walia. 'Waaaa, aku tertipu...!!!'
Kami mendapat tahu bahawa boat yang akan membawa kami ke destinasi penanaman bakau akan tiba dalam pukul 5:00 petang. Kumpulan wartawan yang datang tadi akan menaiki boat kepunyaan Tan Sri Razali dan pada sesi menunggu ini, aku yakin kumpulan wartawan tersebut sedang berbual dan melakukan perbincangan terhadap aktiviti ini di dalam chalet bersama beberapa orang kuat aktiviti IRIS ini.
Sebelum boat sampai, kami diterangkan berkenaan langkah-langkah keselamatan semasa berada di atas boat. Kami juga turut diceritakan berkenaan jenis-jenis bakau yang terdapat di sekitar Kuala Gula dan bagaimana ia tumbuh serta kepentingannya kepada manusia. Mereka juga memberikan sedikit gambaran tentang spesis-spesis haiwan yang hidup di sekitar kawasan bakau.
Belum pun masa ke pukul 5:00 petang, 3 buah boat penumpang sudah bersedia untuk membawa kami ke destinasi. Sebuah boat sarat berisi dengan anak-anak pokok juga menanti pergerakkan kami. Sebelum menaiki boat, jaket keselamatan diserahkan kepada setiap peserta sebagai langkah berjaga-jaga. Apa yang menjadi kepelikkan dalam pemakaian jaket keselamatan ini adalah tali terakhirnya yang terdapat di bahagian belakang yang seakan-akan membentuk ekor kepada para peserta. Tali itu sepatutnya disilangkan ke bahagian celah kaki kita hingga boleh sampai kebahagian badan jaket. Jika anda terlupa untuk mengikatnya, anda pasti akan kelihatan seperti seekor kera berekor panjang. Namun begitu, menyilangkannya ke bahagian depan badan akan membentuk celahan di bahagian punggung. Kelakar kan?
Tiga buah boat akhirnya penuh dengan penumpang. Perjalanan air bermula dengan perlahan dan kami melihat di sekeliling kami lautan terbentang luas. Setelah itu boat bergerak dengan pantas menuju ke destinasi. Kami lihat kiri dan kanan kami dipenuhi dengan pokok bakau yang menghijau.
Boat berhenti di sebuah lokasi yang dipenuhi dengan air. Kata mereka, disitulah lokasi yang perlu kami lakukan penanaman bakau. Aku lihat wajah setiap peserta berkerut. Tidak terlintas dalam fiiran kami bahawan tanaman bakau akan dilakukan di atas air. Memandangkan air tengah pasang, lokasi sepatutnya telah ditenggelami air. Ini merupakan lokasi paling cetek yang membolehkan tanaman dilakukan.
Aku ketawa terbahak-bahak. Aku yang menyangka kesan lumpur cuma akan terkena seluar, kini merubah fikiran. Jika ini keadaannya, seluruh tubuh akan basah. Tapi kalau inilah keadaan yang perlu kami lakukan untuk berbakti kepada alam, maka aku perlu turun sekarang juga.
Akhirnya aku menjadi antara 3 peserta pertama yang menuruni boat. Apa yang perlu dipertikaikan lagi? Nak tanam tak perlu berdalih. Jika cara ini boleh, kita semua kena berganding bahu untuk menanam. Kesemua peserta turun dari boat dan mula menanam bakau. Aku yakin, jika aku ceritakan pengalaman ini kepada orang lain, pasti mereka akan mengetawakan aku. 'Tanam pokok bakau dalam air!'. Tak kiralah, janji aku punyai pengalaman yg berlainan dengan orang lain dalam mencapai objektif yang sama.
Bagi peserta yang punyai pengalaman sebelum ini, kata mereka menanam di dalam air kali ini lebih mudah. Bahagian yang tenggelam semasa memijak lumpur itu boleh dijadikan untuk menimbus anak bakau. Apa yang membimbangkan cuma takut terpijak anak-anak bakau yang telah ditanam. Aku cuma menanam kurang dari 10 pokok bakau, kerja aku selebihnya adalah menjadi agen penghantar kepada rakan-rakan dari boat ke tempat mereka berdiri. Aku berenang untuk mengelak anak-anak bakau terpijak. Airnya cukup masin dan memedihkan mata.
Seribu pokok bakau akhirnya berjaya di tanam. Tidak sampai setengah jam, kerja jadi amat mudah dengan gotong-royong. Ada peserta yang siap mengoyakkan beg plastik untuk memudahkan peserta yang menanam. Ada pula yang menjadi tukang hantar. Kesan lumpur cuma di kaki kami dan pakaian cuma terkena basahan air laut masin. Pengalaman ini cukup beerti bagi kami dan jika ada 10 syarikat swasta melakukan aktiviti yang sama, pasti 10 ribu pokok berjaya di tanam. Aku berharap semoga sumbangan ini berjaya melahirkan pokok-pokok bakau yang membantu memulihkan keseimbangan ekologi di negara kita.
Selepas berakhirnya sesi penanaman bakau, kesemua peserta kembali menaiki boat. Sepanjang perjalanan balik, kami dijelaskan mengenai kawasan kerang membiak. Pemandu boat siap menunjukkan bagaimana banyaknya kerang di bawah boat kami. Melihat pemandu boat berdiri di kawasan tersebut tanpa ditenggelami air, para peserta menunjukkan minat untuk mencuba.
Kesemua peserta turun sekali lagi dari boat untuk merasai bagaimana mengutip kerang. Aku dapat merasakan ada benda keras berada di bawah kaki aku yang aku jangka kerang. Ia berada di setiap langkah kami dan ternyata kerang berada di mana-mana. Ia sangat mudah diperoleh. Walau ketinggian paras air kali ini lebih tinggi dari kawasan penanaman bakau tadi, kami tidak mahu melepaskan peluang ini dengan hanya melihat orang lain mengutip kerang. Kami juga tidak melepaskan peluang untuk membawa balik kerang-kerang ini untuk dijadikan juadah makan malam nanti.
Maka selesailah sudah aktiviti di dalam air. Kini kami bergerak menuju ke kawasan pembiakkan ikan dan ketam. Kami ditunjukkan bagaimana pembiakkan ikan dilakukan. Selain itu, kami juga diterangkan bagaimana ketam bersalin kulit hingga menjadikan seluruh bahagian badannya menjadi lembut dalam proses bersalin kulit yang baru. Banyak perkara tentang nelayan kami pelajari di sini. Kehidupan di kawasan nelayan ini memang agak sukar dengan bekerja menahan panas dek mentari berbanding suasana hawa dingin bekerja di dalam bangunan seperti di Kuala Lumpur. Hasil pendapatan titik peluh seperti merekalah yang memberikan sumber makanan kepada kita.
7:30 pm - Berakhirnya hari pertama.
Selesai membersihkan diri, para peserta lelaki menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak secara berjemaah yang diimamkan oleh En. Kamal Bashar. Selepas menunaikan solat, kami sempat berehat sebentar sebelum sekali lagi bergerak ke Chalet Tengku Razali untuk makan malam. Perut sudah mula terasa lapar dan badan kami semua terasa lesu.
Masa makan malam bermula. Kami dihidangkan dengan makanan barbeque dengan kambing bakar. Selain itu, hidangan ketam dan ikan turut disaji untuk santapan kami semua. Tidak lupa juga dengan kerang bakar. Hidangan makanan malam itu sangat lazat hingga kami tidak menghiraukan gigitan nyamuk bakau. Bagi peserta yang memakai pakaian pendek pada malam tersebut, tubuh mereka turut menjadi santapan nyamuk.
Air laut agak surut pada ketika makan malam sedang dilangsungkan hingga akar-akar pokok bakau kelihatan dengan jelas di sebalik kegelapan malam tersebut. Suasana di hadapan chalet Tan Sri Razali juga kelihatan seperti hamparan tanah basah yang luas tanpa air laut. Suasana malam agak sayu namun cahaya bulan tetap menghiasi malam.
Makan malam merupakan salah satu cara untuk kami semua berbual mesra sambil diikuti dengan gurauan dan gelak tawa. Kami masing-masing berbicara akan keseronokkan dan pengalaman yang kami perolehi pada aktiviti siang tadi selain gosip semasa sesama kami dan rakan-rakan lain. Tidak ada apa-apa rancangan lain untuk meneruskan aktiviti pada malam tersebut akibat tempat berkumpul yang agak terhad.
Selesai makan, semua peserta lelaki kembali ke chalet masing-masing dengan aktiviti mereka sendiri seperti berbual sampai pagi, memancing ikan, minum di kedai berhampiran dan menonton rancangan TV. Aku melelapkan mata di dalam bilik berhawa dingin tersebut kira-kira pukul 1:00 pagi.
Selamat malam Kuala Gula.
HARI KEDUA (29 Mei 2010)
7:00 a.m - Berjaga dari tidur yang lena.
Bangun tidur agak lewat. Ketiga-tiga bilik air digunakan oleh peserta-peserta lain. Aku segera berwuduk di singki dapur untuk menunaikan solat Subuh. Tidak puas rasanya tidur dalam bilik berhawa dingin itu.
Menjelang ke pukul 8:00 pagi, semua peserta telah selesai menyiapkan diri untuk aktiviti seterusnya dan mendaftar keluar. Beg yang dibawa kembali diletakkan di dalam kereta masing-masing dan kami bergerak menuju ke chalet Tan Sri sekali lagi untuk sarapan pagi.
Di chalet Tan Sri Razali, kami dihidangkan dengan nasi lemak dan air teh O. Kami dikehendaki bersedia untuk bergerak ke aktiviti seterusnya untuk melihat burung.
IRIS Mangrove Therapy Day
2 Komen:
adam 28 jun ke 28 mei??
Ops, silap...dah repair dah tarikh yg betul...hehehe
Post a Comment