Luahan sang pencinta.
“Apa dikejar pada si intan jika memiliknya mengundang musibah. Andai si kaca mampu menghias sepi, maka bentuklah ia menjadi kristal.”
Penat aku bentuk ayat di atas agar maknanya kena pada perumpamaannya. Bagi mereka-mereka yang teliti, pasti mereka memahami apa yang cuba untuk aku sampaikan.
Entah kenapa tergerak dalam diri aku ini untuk menulis sesuatu yang aku harap mampu memberi kefahaman kepada seorang sahabat yang aku anggap baik bagi aku. Untuk menyatakannya secara langsung, adalah amat sukar untuk aku lakukan sedangkan dalam diri ini terasa cukup prihatin. Mungkin ia ditujukan kepadanya, tapi aku harap orang lain mampu mengambil iktibar dan menjadikan tulisan ini sebagai panduan.
Intan dan kaca; satu perumpamaan yang cukup baik untuk membezakan antara yang tiada dengan yang berada. Ia bukan perbezaan yang muthlak dalam menentukan siapa mulia, siapa hina. Mungkin sekadar perbezaan antara yang kaya dengan yang miskin, perbezaan antara yang berpendidikan tingga dan berpendidikan rendah, membezakan antara yang rupawan dan yang sederhana.
Lelaki oh lelaki! Di mata kita ini hanya menilai kecantikan. Disebalik kecantikan, kita mengharap budi pekertinya juga seindah wajahnya. Adakalanya kita buta kerana parasnya sedangkan jauh di sudut hati kita, kita memahami bagaimana tingkahnya. Kita tahu kita tidak mampu memenuhi kehendaknya tetapi kerana terlalu khuatirkan keindahan paras itu dimiliki yang lain, kita sanggup mengejarnya hingga ke hujung dunia. Mampukah dia memahami kita sebagaimana kita cuba memahaminya? Berbaloikah keegoan seorang lelaki jatuh menyembah bumi untuk sesuatu yang kita pasti tidak mahu kita tempuhi. Soalannya, sampai bila?
Sahabatku, aku juga sepertimu pernah menempuh perjalanan yang sama. Intan yang ku kejar turut menjadi idaman ramai. Bersaing untuk memperolehinya sama seperti meredah onak dan duri. Luka demi luka akan aku lalui hingga aku berjaya memiliki. Seandainya aku berjaya, dugaanku belum tentu habis di situ. Aku pasti akan menempuh lagi perjalanan yang amat sukar untuk mempertahankannya. Di saat itu aku terfikir, sampai bila?
Kerana itu aku mengambil masa yang cukup panjang untuk mencari kilauan sinar. Bukan sedikit yang mengundang, tetapi aku terlalu masak untuk menilai peribadi. Hati aku sudah lama matang untuk menerima kilauan bagaimana harus untuk menerangi.
Banyak benar permata singgah untuk mendampingi. Tapi hati-hati mereka terlalu keras untuk dibentuk. Mereka lebih gemar untuk berdikari dan mengikut telunjuk sendiri. Ada antaranya yang gemar bertelingkah dengan yang lain. Ada juga tidak mahu menerima pendapat. Ada pula yang suka menunjuk-nunjuk. Tidak kurang yang sombong dan megah dengan kelebihan percuma yang diberi. Kerana itu aku terus lama sendiri dan terus memerhati.
Sahabatku, kau dan aku juga tahu sang intan datang dan pergi namun aku masih mencari kerana aku tahu yang datang belum tentu mampu menerangi kegelapanku. Bukan yang berharga itu mahuku kerana aku sedar aku tidak mampu untuk menganggung apa mahunya. Bukan pula semata-mata indah bentuknya bagiku, kerana aku tahu keindahan itu tidak mampu membentuk kebahagiaan sebagaimana yang kita mahukan. Ia hanya akan menyebabkan kita menuruti segalanya keperluannya untuk menjaga kepentingan peribadi dirinya kelak.
Apa yang aku mahu adalah sebutir permata indah yang aku sendiri sahaja mengetahui nilainya. Ia mungkin sekadar permata yang sederhana namun indah pada pandangan mataku.
Sahabatku, kini aku memilih kaca untuk aku sematkan di dalam ruangan sepiku. Ia masih mentah dan aku yakin aku mampu membentuknya perlahan-lahan. Kesederhanaannya menyebabkan aku terpesona dan kesanggupannya untuk dibentuk menyebabkan aku sedia untuk membenarkannya masuk mengisi kekosongan yang ada. Aku sedar betapa besar tanggungjawabku kerana membentuk sesuatu yang mentah itu tentu lebih sukar daripada mengubah sesuatu yang sudah siap terbina.
Pesanku sahabatku, carilah insan yang boleh kau bentuk untuk menjadi seseorang yang boleh berbakti padamu. Jika ia intan, biarlah ia intan yang tidak membinasakanmu. Jika ia kaca, maka jadikanlah ia sebuah kristal.
5 Komen:
flax jah!
aku kagum betul ngan kau adam...kau mesti time sekolah dulu terel giler sastera...btw, aku suka and setuju ngan apa yg kau tulis..kadang2 manusia ni terlalu mencari kesempurnaan ssehinggakan mereka tak sedar yg ketidaksempurnaan sesuatu atau seseorang itulah yg menjadikan sesuatu atau seseorang itu lebih sempurna dan bernilai..
aku aliran sains lah Fiza...aku x sempat nak belajar sastera, hehehe...mgkin karangan Bahasa Melayu aku dpt A kot...nnt aku check balik...uweekk..
mcm tuju kat aku je ni... anyway, i get your message... thanx..
20 May 2010 ni...sebenarnya tak tuju kat ko. tuju kat org lain. tp ko mgkin org lain yg mengambil iktibar & panduan sbgmn yg dinyatakan dlm tulisan ni.
Post a Comment