Monday, February 1, 2010

Babi, Pork, Khinzir, Swine dan sespesisnya.

"Kenapa orang Islam tidak makan babi?"


Aku pernah ditanya akan soalan di atas oleh seorang rakan berbangsa cina. Sebagai seorang yang beragama Islam, adalah satu kelemahan yang ketara jika aku gagal memahamkan kepadanya akan perkara ini.

'Tapi bagaimana perlu aku jawab?' Aku tidak terus menjawab soalan ini. Aku berfikir sejenak untuk menerangkan bagaimana konsep Islam itu sendiri kepadanya. Apa yang penting, bila mulut ini menuturkan kata-kata jawapan, aku mengharapkan agar tidak timbul kekeliruan padanya. Adalah salah jika menyampaikan sesuatu yang tidak tepat kepada seseorang yang ingin mengetahui.

Dari segi yang bagaimana untuk dia memahami? Adakah dari segi sains atau biologi? Adakah dari segi persekitaran hidup haiwan itu atau dari segi penyakit yang dibawanya? Aku terus berfikir.

'Kami tunduk dan kami patuh (We Submit and we Obey)'

Tiba-tiba tertlintas dalam fikiran aku akan kenyataan di atas. Kenyataan di atas membuka segala hijab akan jawapan kepada kemusykilan tersebut. Tiada lagi aku terfikir akan jawapan dari segi sains atau biologi yang sering kita baca di mana-mana berkenaan dengan bakteria yang hidup di dalam darah haiwan tersebut. Tidak juga berkenaan dengan cacing yang hidup dalam daging haiwan tersebut yang di war-warkan melalui email. Tidak juga berkenaan dengan penyakit selsema babi yang melanda dunia ketika ini mahupun keadaan fizikal haiwan itu yang tidak mempunyai leher untuk disembelih.

Lalu aku pun bersuara, "Kami percaya kepada apa-apa yang tertulis di dalam Al-Quran dan Hadis serta kami tunduk patuh kepadanya tanpa mempersoalkan isi kandungannya."

Di dalam Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud,

"O you who have believed, eat from the good things which We have provided for you and be grateful to Allah if it is [indeed] Him that you worship. He has only forbidden to you dead animals, blood, the flesh of swine, and that which has been dedicated to other than Allah . But whoever is forced [by necessity], neither desiring [it] nor transgressing [its limit], there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful."

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "

(Surah Al-Baqarah ayat 172-173)

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik."

(Surah Al-Maaidah)

Inilah jawapan yang cukup jelas untuk menerangkan kepadanya kenapa orang-orang Islam tidak makan daging babi. Konsep 'Kami tunduk dan kami patuh' ini adalah jawapan yang paling ringkas. Untuk mempermudahkan lagi dia memahaminya, aku terangkan kepadanya bagaimana orang-orang beragama Hindu tidak makan lembu. Semua ini kerana konsep kepatuhan.

Apa yang kita dapati daripada email dan internet berkenaan dengan kehidupan cacing dan bakteria yang ada di dalam daging babi merupakan hasil kajian ahli saintis sahaja yang merupakan hikmah kepada pengharamannya. Ia adalah hasil ujikaji pada waktu ini dan bukan apa yang dituruti oleh orang-orang Islam sejak zaman-berzaman.

Gambar: Di ambil dari 'http://www.youtube.com/watch?v=I6YMDTR61tI'

0 Komen: