Tuesday, November 6, 2012

Kisah seorang bapa dan doktor

Seorang doktor memasuki perkarangan hospital dengan tergesa-gesa selepas mendapat panggilan untuk melakukan sebuah pembedahan kecemasan. Dia menjawab panggilan itu dan datang sesegera mungkin, menyalin pakaian dan terus memasuki bahagian pembedahan. Dia mendapati seorang lelaki sedang mundar-mandir di dewan tersebut menunggu doktor yang akan melakukan pembedahan. Lelaki itu pun sedar kehadirannya.

"Kenapa kamu mengambil masa begitu lama untuk datang? Tahu tak nyawa anak saya dalam bahaya? Tidakkah kamu punyai rasa tanggungjawab?" pekik lelaki tersebut sambil merenung ke arah doktor.

"Saya minta maaf, saya berada di tempat lain sebentar tadi. Saya tergesa-gesa sampai selepas menerima panggilan. Saya  berharap encik boleh bertenang supaya saya boleh meneruskan kerja saya." kata doktor sambil menguntumkan sebuah senyuman.

"Bertenang?! Bagaimana jika anak kamu yang berada di bilik itu sekarang, adakah kamu mampu bertenang? Jika anak kamu hilang nyawa waktu ini, apa yang akan kamu lakukan??" kata lelaki itu dengan marahnya.

Doktor itu senyum sekali lagi.

"Saya akan berkata sebagaimana yang tertulis dalam Al-Quran, 'Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali'. Seseorang doktor tidak mampu menyambung nyawa. Berdoalah untuk anak encik. Kami akan lakukan sedaya-upaya kami, insyaAllah." jawab doktor.

"Iyalah tu! Memberikan nasihat apabila kita tiada rasa bimbang memang mudah, bukan?" bebel lelaki tersebut.

Tanpa mengambil banyak masa, doktor tersebut masuk ke bilik pembedahan. Pembedahan itu mengambil masa beberapa jam selepas itu. Selepas melakukan tugasnya, doktor itu keluar daripada bilik pembedahan dengan wajah yang menggembirakan.

"Syukur Alhamdulillah! Anak anda telah selamat." kata doktor itu.

"Jika ada sebarang soalan, sila berhubung dengan jururawat bertugas!!" tambah doktor tersebut. Tanpa menunggu jawaban daripada lelaki tersebut, dia segera beredar meninggalkan kawasan hospital.

Lelaki itu memandang sikap doktor tersebut dengan perasaan yang amat mengecewakan. Seketika kemudian dia mendapatkan jururawat bertugas yang turut bersama doktor tadi di dalam bilik pembedahan.

"Kenapa doktor itu begitu angkuh? Tidakkah dia sepatutnya meluangkan sedikit masa supaya saya boleh bertanya serba sedikit tentang keadaan anak saya." dia bertanya.

Jururawat bertugas tersebut mengalirkan airmata dan tertunduk.

"Sebenarnya, doktor tadi telah kehilangan anak kesayangannya dalam sebuah kemalangan jalanraya semalam. Kami menghubunginya untuk pembedahan anak encik semasa dia sedang memandikan jenazah anaknya. Sekarang dia telah berjaya melakukan sedaya-upayanya untuk menyelamatkan anak encik. Dan sudah sampai masanya untuk dia kembali ke tanah perkuburan untuk dia menyelesaikann upacara pengebumian anaknya pula."


***Moral - Jangan mudah menghukum seseorang kerana kita tidak tahu bagaimana keadaan mereka dan apa yang sedang mereka harungi.


(Diterjemah melalui FB page 'Info for u' mengikut kaedah pemahaman aku sebagai seorang muslim)

Sunday, November 4, 2012

Dari 'Zero' kepada 'Hero' II

Sebelum ni aku pernah hantar isian berkaitan dengan rekabentuk dalaman rumah. Bagaimana melakukannya melalui gambaran grafik daripada sebuah rumah kosong kemudian menjadikan ruang kosong itu diisi dengan pelbagai perabot serta warna cat dinding mengikut kesesuaian.

Pada isian kali ini, aku melakukan sekali rekabentuk grafik tapi kali ini berkaitan dengan kad jemputan perkahwinan untuk dua orang sahabatku di tempat kerja yang bakal berkahwin pada Disember ini.

Apabila mendapat kepercayaan untuk melakukannya, aku terus menerima pelawaan itu. Kali ini untuk membantu mendirikan masjid. Aku sungguh teruja untuk melakukan sesuatu yang istimewa.

Idea aku kali ini adalah sebuah kad jemputan perkahwinan berbentuk karikatur. Aku mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk mereka berdua. Mereka mengharapkan sesuatu yang ringkas untuk jemputan orang ramai. Aku setuju tetapi aku akan pastikan walaupun ia ringkas, ia bermutu. Seperti membina sebuah masjid, walaupun binaannya ringkas, tiangnya mesti kukuh. Idea aku adalah untuk lari daripada kad jemputan tradisional seperti yang biasa kita lihat dan ia satu-satunya atau pun 'costume made'.
Bermula dengan sebuah lukisan pensil di lukis di atas sebuah kertas putih. Gambar karikatur di internet aku jadikan sedikit panduan untuk cetusan idea. Gambar kedua-dua bakal mempelai aku jadikan contoh untuk memastikan wujud persamaan di antara karikatur dan kedua bakal pengantin. Apa yang pasti, aku mahu karikatur itu mempunyai nilai kasih sayang yang mampu dirasai oleh sesiapa yang melihatnya.

Selepas itu, aku jadikan lukisan itu sebuah imej yang boleh dibuka di atas skrin komputer untuk melakukan pengeditan warna. Aku membuat banyak layer untuk memisahkan setiap elemen warna di dalam gambar tersebut agar senang diubah suai jika ada sesuatu yang tidak kena pada elemen tertentu. 
Aku bukan seorang yang mahir dalam lukisan, karikatur mahupun grafik. Mungkin aku memerlukan banyak masa untuk menghasilkan sebuah karya yang baik. Berbeza dengan mereka-mereka yang mempelajari kursus rekabentuk grafik, perkara ini mungkin agak mudah bagi mereka. Apa yang cuba aku usahakan adalah bagaimana mengeluarkan idea yang ada dalam minda aku untuk diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh dilihat oleh mata kasar. Oleh itu, aku mempelajari sendiri software rekabentuk ini untuk merealisasikan apa yang ingin aku sampaikan walau dengan apa cara sekali pun.

Daripada sebuah kertas kosong, aku wujudkan karikatur pasangan kekasih dengan pensil. Kemudian aku wujudkan elemen berwarna di dalamnya. Perkara yang paling sukar adalah bagaimana mewujudkan kesan timbul pada gambar tersebut seperti ton warna dan bayang. Perkara ini mestilah dilakukan secara berhati-hati. Apa yang memudahkan aku adalah aku telah mengasing-asingkan elemen warna itu agar mudah ubah.

Kini kad itu telah hampir siap dan contoh dalam bentuk maya telah aku hantar kepada pasangan tersebut untuk mereka menelitinya. Dan setakat ini aku mendapat respon yang sangat baik daripada kedua-duanya. Apa yang perlu aku lakukan selepas ini hanyalah melakukan sedikit perubahan pada bahagian peta dan kata-kata undangan daripada keluarga pengantin.

Peta yang ditunjukkan seperti di sebelah merupakan peta yang aku reka semula berdasarkan pelan lama daripada contoh kad undangan yang diberikan kepadaku oleh sahabat sekerja aku itu. Peta ini mengambil masa semalaman untuk menyiapkannya kerana kurang kemahiran.

Oh ya, aku tidak memuatkan bacaan Basmallah, sebarang Hadis, doa, nama Allah serta Muhammad mahu pun ayat-ayat Al-Quran di dalam kad ini kerana aku amat khuatir kad ini diletakkan di suatu sudut yg tidak layak bagi perkara-perkara tersebut. Aku sekadar mengingati pesan Ustaz Fauzi (Al-Kuliyyah) semasa datang memberikan ceramah di tempat kerja aku berkaitan perkahwinan serta pendapatnya tentang kad undangan kahwin.

Apa yang aku harapkan, kad undangan ini menjadi sebuah kenangan yang amat manis untuk di simpan di dalam album pengantin mereka berdua nanti. Walaupun agak ringkas sahaja, aku berharap ia tidak akan menghampakan. Walau apapun, aku amat berterima kasih kepada kedua bakal pengantin iaitu Awie dan Fidah kerana memberi kepercayaan kepada aku untuk melakukannya. Aku turut dapat mencabar kemampuan otak aku yang selama ini telah lama tepu.
Rekabentuk cetakan versi awal dan versi terakhir.
Doaku, semoga kedua-dua bakal pengantin berbahagia hingga ke akhir hayat dah hidup dalam redha Illahi.

Video: Spider - Tapi Bagaimana

Ini klip video dari sebuah kumpulan muzik tempatan, kumpulan Spider yang suatu masa dahulu meletup dengan lagu Rela Ku Pujuk. Kali ini aku tampilkan sebuah video klip dari sound track untuk drama bersiri Vanila Coklat dengan lagu Tapi Bagaimana. 
Lagu ini sangat cache. Muzik, melodi dan liriknya sangat bersatu. Di tambah pula dengan klip videonya yang sangat menarik membuatkan video tersebut bernyawa. 

Jika dilihat melalui video tersebut, kita dapat melihat bagaimana seorang pemuda yang menaruh hati terhadap seorang gadis tetapi malu untuk menyampaikan hasratnya. Si gadis pula amat mengharapkan pemuda tersebut memulakan sesuatu agar hasrat mereka boleh disatukan. Tanpa berputus harap, si gadis terus menyimpan rasa dan si pemuda sedaya upaya menanam azam untuk memberitahunya. Akhirnya mereka bersama selepas pemuda menyatakan segalanya dan gadis itu menerima hasrat itu dengan hati terbuka.

Klip video ini disusun dengan indah dari saat mula bertentang mata, mula berkomunikasi dari jarak jauh sehinggalah saat bertemu. Di tambah pula dengan gelagat lucu rakan-rakan tempat kerja yang merupakan ahli band itu sendiri memeriahkan klip video tersebut.

Ada beberapa perkara yang ingin aku cetuskan di sini. Tidak sesekali mempertikaikan hasil kerja mereka, apatah lagi mengkritik. Sekadar cetusan idea untuk dikongsikan. Aku terfikir, alangkah indahnya jika gadis yang ditampilkan melalui video ini adalah seorang gadis bertudung. Rasanya tidak ada sebarang masalah untuk menjadikan perkara ini realiti kerana dalam iklan-iklan menarik di kaca TV, iklan komersil yang mendapat perhatian datang daripada iklan gadis bertudung seperti iklan syampu yang pernah ditayangkan beberapa lama dahulu. Tidak mustahil perkara ini boleh disadurkan ke dalam video klip tempatan kerana hasil kerja sedemikian haruslah mencerminkan budaya majoriti masyarakat di negara ini yang rata-ratanya bertudung (walaupun adakalanya tidak sempurna menutup aurat). 
Buat masa ini, kebanyakkan klip video yang menampilkan gadis-gadis bertudung hanyalah daripada lagu-lagu nasyid ataupun lagu-lagu berunsur keagamaan. Kenapa tidak sekali-sekali untuk lagu-lagu yang hits, kita tampilkan wajah gadis bertudung walaupun mungkin gadis itu sebenarnya tidak bertudung di luar lokasi rakaman video. Aku percaya, bukan pemakaian tudung menjadi penentu popularnya sesuatu video tetapi apa yang nak disampaikan. Namun begitu, sekurang-kurangnya dengan menampilkan gadis-gadis bertudung sedemikian, kita secara tidak langsung memberi didikan kepada masyarakat.

Dalam klip video ini, aku sukakan ideanya. Lagunya amat menarik dengan bersifat ringan, mudah diterima dan difahami. Kita tabik kepada penciptaan lagu-lagu tempatan, penyanyi dan para pemuzik. Namun begitu, ideo video ini mempunyai masalah dari segi originaliti. Selepas melihat video yang aku perolehi daripada YouTube, aku percaya idea penghasilan video ini ditiru bulat-bulan daripada video Signs. Anda boleh melihat video tersebut di bawah.
Adalah sangat mendukacitakan apabila mengetahui ia mempunyai persamaan yang terlalu ketara dan tidak boleh disangkalkan. Nampak gayanya, dari segi penghasilan video, kita masih tidak punyai idea asli walaupun dari segi teknik pengambaran video, kita punyai kemampuan yang cukup baik.

Walau apapun, tabik kepada seluruh ahli kumpulan Spider kerana korang sangat best.

The next big thing is already here

Eeeeee...berlagak lah tue...!!!

Jom tengok iklan dia.


Masalah perut buncit

Hampir sebulan tidak bersukan. Biasanya setiap hari Jumaat, ada saja perlawanan futsal dianjurkan oleh rakan-rakan. Aku yang paling kerap membuat tempahan gelanggang di Tonga De Futsal, Sri Kembangan. Namun semenjak bulan puasa lepas selepas aku terlibat dalam kemalangan kecil yang mana menyaksikan kerosakkan total handphone aku, aku tidak lagi melakukan tempahan akibat kehilangan nombor untuk membuat tempahan. 

Tugas itu akhirnya diambil alih oleh rakan serumah aku. Ya, dua bulan dia lakukan untuk sebarang tempahan. Namun sejak bulan oktober, hanya sekali sahaja kami bermain dan selebihnya dihabiskan dengan kesibukan kerja rakan aku tersebut sehingga sampai ke lewat malam. Akibatnya, aku hanya duduk di rumah melayan makan, TV dan FB.

Adakalanya ketiadaan aktiviti riadah merisaukan aku. Aku yang biasanya aktif di padang bola sudah lama tidak turun. Aktiviti futsal sejak akhir-akhir ini pula kelihatan agak hambar. Badan yang kurus ini yang selama ini sihat mula mengendur. Makan yang terlalu banyak tidak disertai dengan sukan menyebabkan metabolisme badan jadi tidak menentu dan sering tidak sihat jika terkena cuaca sejuk.

Apa yang paling mengganggu aku adalah bentuk fizikal yang semakin merunsingkan di bahagian abdomen. Dengan fizikal badan aku yang kurus dengan ketinggian 171cm dan berat 61kg walaupun BMI aku masih di tahap ideal, namun keadaan perut yang semakin mengendur mampu menghantui aku. Atau lebih tepat lagi, masalah perut buncit.

Semasa di kolej dahulu, aku kerap bermain bola keranjang. Pada masa itu, aktiviti petang kami dihabiskan dengan bersukan setiap hari. Aku masih teringat bahawa perut aku dulu cukup solid dengan wujudnya 'sixpack'. Kesan 'sixpact' tersebut masih wujud sehingga hari ini dengan wujudnya sedikit garisan lipatan yang semakin lama semakin pudar akibat perut yang semakin kendur.

Setiap hari aku memeriksa keadaan ini melalui cermin dan semakin aku pandang, semakin aku risau. Sebelum ini, aku sering memastikan bahawa aku tidak akan tidur 4 jam selepas makan. Selain itu tidak berada dalam keadaan baring selepas makan. Baru-baru ini aku mencari alternatif untuk menjaga perut.  Antaranya adalah tidak makan malam. Selepas 5 hari, aku gagal mengelak ia daripada terus berlaku dan aku teruskan makanan seperti biasa. Akibatnya, aku lihat ada bahagian lemak semakin membesar di bahagian tepi perut akibat tidak dibakar dengan aktiviti riadah. Ketika berdiri, bahagian depan perut semakin kelihatan bulat dan ia akan lebih mudah diperhatikan apabila aku mengenakan pakaian yang 'ngam-ngam' badan.

Pada mulanya aku anggap perkara ini tidaklah begitu serius sehinggalah suatu hari tu ada rakan mula menegur aku. Aku rasakan seperti sebuah masalah andai ia samakin senang dilihat. Aku mesti mengubah amalan harian aku andai aku tidak bersukan. Tambahan pula, aku akan mengikuti ekspidisi ke Gunung Kinabalu pada March tahun hadapan. Aku mesti melengkapkan diri secara fizikal dengan baik agar tidak kekok membawa bebanan perut yang buncit berbanding hari ini.

Hari ini, aku mula melakukan senaman perut yang aku pelajari melalui YouTube. Tidaklah sesekali tujuan aku untuk membina badan. Aku hanya mahu membakar kalori berlebihan serta lemak di bahagian perut aku ini agar bentuk perut aku sesuai dengan bentuk tubuh. Maklumlah, aku ni masih belum berumahtangga. Agak menghairankan andai perut aku membusung lebih besar berbanding dengan rakan-rakan yang sudah berumahtangga. Lagipun bahagian abdomen yang tidak dijaga dengan baik akan membantutkan pergerakan semasa melakukan aktiviti riadah. Seseorang akan mudah penat dan pergerakkan lebih lambat berbanding semasa sebelum buncit.

Aku jadikan video di bawah ini sebagai latihan membentuk perut dan bagi rakan-rakan lain yang membaca, mari kita berkongsi latihan ini.

Antara langkah-langkah yang disenaraikan melalui video ini adalah seperti:
  1. 1. Leg Lifts
  2. 2. Flutter Kicks
  3. 3. Scissor Kicks
  4. 4. Iron Cross
  5. 5. The Plank
  6. 6. Reverse Crunch (with kick)
  7. 7. 30 Push-up 
Langkah 1 hingga 6 perlu dilakukan selama seminit setiap satu. Kini aku sedang berusaha untuk membakar lemak di bahagian tersebut, insyaAllah akan aku teruskan setiap hari. Waktu yang paling sesuai untuk melakukannya adalah selepas balik dari kerja sebelum menunaikan solat Maghrib, serta selepas solat Subuh sebelum keluar untuk berkerja.

Semoga isian kali ini membantu rakan-rakan yang membaca untuk kita sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat dalam menjaga fizikal badan. Jika kita beriadah, jangan risau tentang kuat makan. InsyaAllah, badan juga susah dapat penyakit.

Monday, October 29, 2012

Sila patuhi arahan ini...!!!

Anda diminta untuk tidak menghubungi saya melalui pesanan ringkas atau pun panggilan di talian dalam masa terdekat ini. Jika anda ingkar, anda terpaksa melayan bebelan seorang awek ni yang tak segan-segan menjawab dengan selambanya panggilan anda. 

 Sila ikut arahan di dalam gambar agar kita mudah untuk terus berhubung setelah masalah saya dan awek tu selesai. Jangan risau, awek tu tak tahu saya boleh dihubungi melalui FB. 

*P/S: Ade sape2 nak jual enfon x?

Sunday, October 28, 2012

Di manakah tahap kita?