Saturday, March 30, 2013

M'Kinabalu Exercusion 2013

Saturday, February 9, 2013

DES'IRIS'ABLE

Mesti ramai tertanya-tanya tentang logo ini serta apa maksudnya. Aku tidak berpeluang menjelaskannya secara terperinci apabila orang bertanya, maka dengan ini menulisnya di sini adalah cara terbaik untuk menjelaskannya.

Logo ini pada asalnya adalah logo yang aku cipta khas untuk sebuah page kepunyaan aku dalam FaceBook. Page itu berkisar tentang pergerakan rakan-rakan dalam band, para performer yang pernah bersama-sama dengan kami pada awal penubuhan band, para pendorong, pembimbing, para peserta uji bakat serta rakan-rakan baru yang turut bersama dengan band.

Dari mana datangnya perkataan des'IRIS'able?

Sebenarnya perkataan ini adalah gabungan 3 perkataan. Perkataan pertama adalah perkataan 'desire' yang bermaksud 'berkeinginan'. Perkataan kedua adalah 'dis-erasable' yang bermaksud, 'tidak terpadamkan'. Biasanya perkataan paling tepat untuk 'tidak terpadamkan' itu adalah unerasable. Sengaja aku gantikan dengan awalan 'dis' yang mempunyai persamaan dengan 'un' untuk memberi maksud sebagai penafian. Kedua-dua perkataan ini menggambarkan perasaan kami semua terhadap keinginan untuk beraksi di atas pentas sebagai sebuah band. Dan keinginan ini tercapai yang akhirnya membawa kepada memori yang tidak akan terhapus seawal penglibatan kami sehingga sekarang. 

Perkataan ketiga adalah perkataan 'iris'. Apa maksud 'iris'? 'Iris' yang kompeni tu ke? Atau 'iris' yang kita belajar Sains kat sekolah dulu berkenaan dengan mata? Mungkinkah ada kaitan dengan lagu 'Iris' yang pernah dinyanyikan oleh Awie. Okeylah, kita akan terangkan dari mana datangnya perkataan 'iris' itu.

Sebelumnya, aku mengetahui perkataan iris ni semasa belajar di tingkatan 3 dalam mata pelajaran Sains. Kemudian aku mengenali perkataan 'Iris buat kali kedua adalah pada tahun 1998 yang membuatkan semakin tertarik dengan nama itu. Iris kali kedua ini aku peroleh dalam sebuah lagu soundtrack untuk filem City of Angels yang dinyanyikan oleh kumpulan Goo Goo Dolls. Lagu Iris ini sangat menyentuh emosi aku dengan melodinya yang sangat baik. Dikhabarkan pula bahawa lagu ini hanya memerlukan selama 20 minit untuk menciptanya dan ia dicipta semasa penulisnya mengalami satu situasi yang dipanggil writer's block dan kumpulan tersebut pula di ambang perpecahan. Lagu Iris tersebut akhirnya membawa mereka bersatu dan semakin masyhur serta menjadi hitz di mana-mana carta pada waktu itu. Lagu Iris juga merupakan lagu yang sering berkumandang semasa aku belajar untuk menghadapi ujian SPM pada tahun tersebut.
Oleh kerana page facebook yang aku cipta adalah merupakan pergerakan aku bersama band, aku mengambil perkataan Iris dari nyanyian ini. Aku terlalu berharap agar band kami mampu begerak jauh kehadapan sebagaimana semangat nama Iris daripada lagu tersebut yang punyai sejarah hebat seiring dengan keinginan kami sebelum ini untuk beraksi di atas pentas serta memori-memori susah senang kami bersama yang tidak mampu terpadam.

Nama page des'IRIS'able ini tidak pernah disenaraikan sebagai cadangan nama band selepas beberapa nama sebelum itu ditolak. Namun selepas page ini wujud, ada ura-ura untuk menjadikan ia sebagai nama band. Namun aku pernah memberitahu bahawa nama ini adalah hak page kepunyaan aku, tapi aku tidak kisah jika pihak pengurusan mahu menggunakannya. Selepas diusulkan, nama ini masih ditolak dan aku mengekalkannya sebagai nama page sahaja.
Semasa berada bersama dengan band, aku pernah mengusulkan design t-shirt untuk krew band. Namun ia tidak sempat dilakukan. Sebagai empunya hak terhadap rekabentuk logo tersebut, kini aku menjadikan rekabentuk logo tersebut sebagai sebuah realiti selepas tidak bersama dengan band. Logo ini aku jadikan sebagai sebuah lambang kenangan kepada semua rakan-rakan yang pernah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan band. Ia suntikan semangat sebagai tanda sokongan kami semua kepada rakan-rakan band yang masih tinggal. Selain itu, aku telah melebarkannya kepada lambang sebuah persahabatan dan persefahaman. 
Kini sudah lebih seratus helai rekabentuk t-shirt tersebut telah dicetak. Bilangan ini insyaAllah akan terus meningkat dan tempahan serta pencetakkannya masih sedang berjalan.

Monday, January 28, 2013

Wanita Islam ibarat permaisuri


Seorang lelaki inggeris datang kepada Sheikh dan bertanya:

Kenapa tidak menjadi kebenaran di dalam Islam jika seseorang wanita mahu bersalam dengan lelaki?

Sheikh berkata:

Bolehkah kamu bersalam dengan Queen Elizabeth?

Lelaki inggeris itu menjawab:

Sudah tentu tidak. Hanya golongan tertentu yang boleh bersalam dengan Queen Elizabeth.

Sheikh menjawab:

Para wanita kami adalah ibarat permaisuri dan permaisuri tidak bersalam dengan sebarangan orang.

Kemudian lelaki inggeris itu bertanya kepada Sheikh:

Kenapa wanita kamu menutup tubuh dan rambut mereka pula?

Sheikh tersenyum lalu menunjukkan dua gula-gula, dia membuka pembalut gula-gula yang pertama dan membiarkan gula-gula kedua terus tertutup. Dia mencampakkan kedua-duanya ke lantai berdebu dan kemudian bertanya kepada lelaki inggeris tersebut:

Jika saya meminta untuk kamu memilih salah satu daripada dua gula-gula itu, yang mana satu menjadi pilihan kamu?

Lelaki inggeris itu menjawab:

Yang tertutup.

Sheikh itu pun berkata:

Begitulah bagaimana kami melayan dan melihat wanita kami.


Wednesday, January 23, 2013

Cute little girl

Gadis kecil yang sangat comel. Aku tangkap gambarnya semasa sarapan pagi di sebuah restoran mamak di kawasan Puncak Jalil.

Friday, January 4, 2013

Rebate Smartphone RM200: Sabar, jangan beli dulu...

Mereka Beri Rebate Smartphone? Jangan Tak Ambik! Tapi Fikir Dulu Sebelum Beli!

Ini adalah senarai smartphone yang boleh dibeli menggunakan rebate Kerajaan;
  1. 1. Alcatel One Touch Inspire
  2. 2. Alcatel One Touch Inspire
  3. 3. The Buzz Phone
  4. 4. HTC Wildfire
  5. 5. Huawei Ideos X3
  6. 6. LG Optimus L3
  7. 7. Ninetology Black Pearl II
  8. 8. Ninetology Palette
  9. 9. Nokia 2730
  10. 10. Nokia 7230
  11. 11. Nokia Asha 305
  12. 12. Nokia Asha 308
  13. 13. Nokia C2-03
  14. 14. Nokia Lumia 610
  15. 15. Samsung Galaxy Chat
  16. 16. Samsung Galaxy Mini
  17. 17. Samsung Galaxy Pocket
  18. 18. Samsung Galaxy Y
  19. 19. Sony Xperia Tipo
  20. 20. ZTE Acqua
  21. 21. ZTE V790
Kalau kau basedkan on hardware sahaja, the best option adalah ZTE Acqua atau Ninetology Black Pearl 2. Ada Android 4.0, skrin besar, dpi ok dan dual core (Acqua single core) phone. TAPI...keputusan terpulang kepada sama ada kau sanggup atau tidak explain dekat orang mana datang fon kau. ZTE? Ninetology? Ini semua brand baru, dari China...jadi kita tak tau support dia camna. Huawei Ideos X3 tu pun agak menarik, tapi macam biasa, after sales support kita tak tau lagi macam mana.

Semua yang brand Sambung tu, agak tak berbaloi sebab memang dah outdated sangat2 dan semua yang brand Nokia KECUALI Lumia 610 adalah pembelian yang tidak bijak, melainkan kau memang target nak fon camtu.Skrin bersaiz kecil dan OS yang agak ketinggalan zaman dan nampak seolah-olah nak diabandon oleh Nokia. Jauhkan diri cepat2 daripada HTC Wildfire tu....sebab tu model yang berapa kurun lepas dan support memang dah mati. Aku tak tau kenapa HTC Wildfire S tak dijadikan pengganti WIldfire tu, dengan spec yang lagi bagus dan hardware yang boleh la tahan setahun dua lagi. Harga memang boleh dapat bawah Rm500 sekarang.

Jadi, mana satu yang terbaik untuk pembelian jika anda mahu membeli smartphone dengan rebate ni esok?

Pada aku, ada 3 aje choice buat masa sekarang.

1. Nokia Lumia 610
Ni adalah yang paling bargain antara semua fon ada dalam senarai. Masih lagi disupport oleh Nokia sehingga sekarang sebab bulan depan nak update Windows Phone 7.8 dan yang paling best, perisian Nokia Drive, sistem GPS terbaik yang percuma dan terbaik.

2. Sony Xperia Tipo
Sony setakat ni masih lagi support kebanyakan fon-fon dari zaman Sony Ericsson jadi aku rasa support dia bagus. Even fon2 yang lama masih boleh diupdate ke ICS 4.0, sesuatu yang Samsung tak berapa berminat nak buat. Cuma, skrin dia kecik dan aku rasa untuk display dia tak berapa sedap. Kecik gila fon ni dan untuk lelaki bersaiz sasa macam aku, tak berapa kena la.

3. ZTE Acqua
On paper, ini yang terbaik dengan hardware yang terbaik cuma bila kita beli smartphone ni, kita tak tau 6 bulan lagi macam mana. Apps memang tak ada masalah sebab fon ni Android ...tapi adakah ZTE ni sebuah syarikat yang support produk dia selepas setahun dua? Itu kita tak pasti lagi.

...........

Apa yang perlu anda buat?

Jika aku layak beli smartphone dengan harga rebate ni, aku tak beli sekarang ni. Aku tunggu dulu. Sebab dalam benda2 elektronik ni, 6 bulan adalah satu masa yang sangat cepat.

Nokia Lumia 610 akan digantikan dengan Lumia 620, ada Windows Phone 8 dan hardware yang agak bagus tetapi harga sama dengan harga asal Lumia 610. Dalam sebulan dua lagi, akan ada Lumia 510 dan Lumia 505 yang aku sure harganya akan lagi murah berbanding Lumia 610 sekarang sebab ni nampak macam lineup untuk replace Nokia Asha.

Dalam Samsung pulak, prediction aku Galaxy Ace akan turun harga bawah Rm500 jadi itu jauh lebih berbaloi berbanding semua smartphone Samsung yang ada dalam ni sebab Galaxy S2 pun dah turun harga banyak.Kalau kau minat brand HTC, aku rasa better tunggu sehingga ada smartphone HTC lain yang masuk dalam senarai sebab Desire C atau even HTC One V ada possibilities masuk dalam list ni tahun depan.

Sony...dalam banyak2 smartphone brand yang ok, Sony paling value for money. Sony Xperia P pun dah Rm800 lebih. Sony Xperia Neo L pun retail dah cecah Rm600. Sekarang ni..Xperia U pun bawah Rm600. Tunggu sekejap lagi boleh dapat dah sekali rebate. Cukup bagus spec dia dgn harga dia.
Toksah mimpi lah nak rebate dengan Apple iPhone 5 & Samsung Galaxy S III
Jadi...kalau kau tanya cadangan aku sekarang ni.

1. Jangan beli awal-awal, sabar dan tunggu dalam 3 bulan sebab list yang baru keluar tu, majoriti smartphone dalam tu dah banyak yang status end of line atau dalam erti kata lainnya, kuno ketika masih dalam kotak lagi.

2. Kalau kau nak jugak beli dan ini first time kau nak beli smartphone, beli Nokia Lumia 610. User interface paling mudah nak paham dan kau tak payah nak pening-pening. Cuma, problem dia, apps masih kurang berbanding Android. Tapi sebab Microsoft pakai tactic brute force similasikan Windows 8 dengan Windows Phone 8, masalah tu tak lama lagi rasanya akan berkurangan. Kalau kau suka Facebook, Lumia adalah fon terbaik untuk kau.

3. Sebab offer ni berakhir 31 Disember 2013, masih ada banyak lagi masa untuk kau pilih betul2. Apa yang aku nampak, permulaan ni, lebih kepada stock clearance dan bagi peluang sesetengah manufacturer gain foothold dalam market. Kalau kau tak rushing dan tak perlu lagi ada smartphone, hold dulu sampai hujung tahun depan. Masa tu, kebanyakan smartphone yang bakal keluar Januari ni bakal diganti lineup baru.

4. Baca mengenai Projek Aakash, komputer tablet paling murah di dunia yang dipelopori kerajaan India dan lihat bagaimana perbezaan pelaksanaan program di Malaysia dan di India. Baca sendiri bagaimana program itu bukannya sekadar memberi rebate kepada pembelian kepada rakyat melalui subsidi tetapi juga melibatkan penambah baikan program pendidikan dan penglibatan sektor manufacturing dalam negara.

5. Dulu, kau tak perlu risau pun OS fon kau version berapa. Aku rindu time tu, bila membeli henfon, satu2 nya benda yang kau perlu ambik tau...adalah rupa dia macam mana.

(Sumber: CursingMalay)

Wednesday, January 2, 2013

Pembikinan corak & rekabentuk T-Shirt

Mengikut perancangan, pada bulan Disember lepas akan terbit novel terbaru Ramlee Awang Murshid dengan tajuk 'Aku Bercerita'. Sehingga bermulanya tahun baru 2013, novel itu masih belum terbit lagi. Jenuh mencari di kedai-kedai buku berhampiran. 

Namun begitu, baru-baru ini aku mendapat kepercayaan oleh Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid (Kelab RAM) untuk merekabentuk corak kemeja-T kelab tersebut sebagai tanda sokongan peminat terhadap kelab ini yang bertemakan novel terbaru 'Aku Bercerita'. Aku bersetuju untuk mencurahkan idea aku sebagai pembaca novel-novel penulis thriller nombor satu negara itu.

Sebelum ini, aku pernah mencadangkan beberapa rekabentuk corak baju untuk bekas band aku. Aku menggunakan rekabentuk logo page FB band aku yang aku reka sendiri sebagai corak utamanya. Walaupun cadangan belum mendapat penerimaan, aku dan ahli band serta bekas ahli akan meneruskan pembuatannya sebagai kenangan bersama menggunakan wang sendiri.
Logo page FB bekas band aku
Namun kali ini, idea aku diperlukan untuk menjayakan program yang dikendalikan oleh Kelab RAM. Pada mulanya, aku telah menghantar sebuah rekabentuk yang berlatarkan kawasan hutan dengan pokok luruh. Namun sebelum itu, aku telah diberitahu bahawa mereka lebih mengutamakan rekabentuk yang lebih kepada tulisan. Aku tetap menghantar rekabentuk tersebut untuk diteliti. Rekabentuk tersebut anda boleh lihat sebagaimana yang terpapar pada gambar pertama di atas.

Selepas rekabentuk dikemukakan, aku diberitahu bahawa rekabentuk sedemikian perlu menggunakan 'hot stamping' yang mgkin memerlukan kos yang agak tinggi. Mereka memerlukan rekabentuk yang ringkas agar mudah dicetak melalui blok. Namun begitu, mereka tidak menolak rekabentuk tersebut. Mereka mahukannya untuk dicetak dalam kuantiti yang kecil sebagai edisi istimewa kelak. Kenyataan tersebut sangat mengembirakan aku kerana mereka menghargai idea dari orang sekecil aku.

Selepas mendapat feedback tersebut, aku mengubah rekabentuk baru dengan mengekalkan tajuk dan tag line. Kali ini lebih kepada 'wording'. Mereka turut mencadangkan agar aku memuatkan gambar kancil sebagaimana yang terkandung dalam novel tersebut. Aku tidak membantah secara langsung tapi aku tidak akan merekabentuknya. Pada pendapat aku, tidak indah gambar kancil itu jika hanya diwarnai dengan cetakan secara blok. Aku sempat membaca sinopsis, video thrailler serta penjelasan penulis untuk membuat rekabentuk ini.

Dengan tulisan berwarna putih, dan dikontrakan dengan beberapa nombor berwarna merah serta pelbagai variasi jenis font pada nombor. Warna kedua iaitu merah dipilih untuk menjadikan ia sinonim dengan warna kerusi yang tercetak pada muka hadapan novel serta menggambarkan satu fenomena thriller. Nombor ini pula mewakili 5 penceritaan berbeza yang terkandung dalam novel tersebut sebagaimana yang diceritakan oleh Ramlee Awang Murshid. Dan secara tidak langsung sebagai tanda 5 tahun usia kelab RAM. Apa yang paling utama, nombor 5 itu sangat penting bagi kita sebagai umat Islam sebagai tanda 5 rukun Islam itu sendiri. Rasulullah S.A.W turut mengingatkan kita agar berwaspada kepada 5 perkara sebelum 5 perkara.

Tuesday, January 1, 2013

Menang membeli, menang memakai

Nike Tiempo
Ambang tahun 2013 merupakan kali pertama aku lakukan dengan perkara ilmiah. Sebelum ini, sering disajikan hiburan-hiburan TV dengan nyanyian dan tarian muda-mudi. Namun begitu, aku tidak mampu mengimbas kembali andai ada aku terlibat dengan mana-mana acara sambutan tahun baru secara langsung. Mengikut perancangan awalnya, aku ada plan untuk pergi ke Putrajaya untuk mengambil gambar bunga api. Tapi hajat itu aku batalkan.

Tanpa rasa kesal, aku duduk dirumah melayari internet dan Facebook. Seperti kata orang-orang alim, sesuatu yang tidak menjadi itu akan datang bersama hikmah. Alhamdulillah melalui internet, aku dapat melayari program 'Di Ambang Tahun Baru' di bawah projek Kerajaan Negeri Selangor secara langsung yang turut dijayakan oleh Ustaz Azhar Idrus, Wan Zack Haikal, Kamal Adli, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni, Pierre Andre, Diana Amir, Malik Noor, Ustaz Haslim Baharin, Aziz M Osman dan beberapa lagi yang lain.
Okey, panjang mukaddimah aku. Entry pertama dalam hari pertama di 2013 adalah berkenaan dengan benda pertama aku shopping pada tahun ini. Bukan nak berbangga sangat dengan tahun baru yang bukan kepunyaan kita ini, sekadar bermain-main dengan nombor.

Ahad lepas, aku keluar temankan kawan cari barang hantaran kahwin. Singgah-singgah lah sekejap kat kedai sukan. Nampaklah kasut lawa-lawa kat sana. Sempat beli dua helai baju sempena jualan akhir tahun. Kasut tak beli pun tapi tergerak hati nak beli kasut bola memandangkan hari Jumaat nanti ada perlawanan persahabatan. Aku sempat bergurau dengan pelayan kedai sukan di IOI Mall tersebut. "Ada yang harga RM50 tak?" Dia ketawa dan menggeleng. Kasut-kasut yang ada berharga dalam lingkungan RM200 ke atas. Sebelum ni dah beli kasut, tapi tak memuaskan hati. Memang ada lah beberapa kali menjaringkan gol tapi secara keseluruhan, kasut itu sangat teruk.

Kasut yang aku pamir kat atas sekali merupakan kasut kenangan aku. Kasut yang aku beli dengan harga lebih RM400 di kedai sukan Nike kat Suria KLCC. Itupun selepas diskaun. Maklumlah menggunakan kulit. Aku beli bersama adik lelaki aku yang pada masa tu masih belajar di universiti. Gambar kasut ni dah tinggal kenangan. Tapaknya sudah hancur walaupun aku sudah menjahitnya. Ia reput akibat digunakan secara lasak. Usianya bersamaku mungkin telah mencecah 7 tahun. Aku amat berpuas hati dengan kualitinya. Kasut itu sentiasa menemaniku semasa kerap bermain di padang Kolej Kejuruteraan UPM dulu.

Pada hari pertama di 2013 ini, aku membeli sebuah kasut bola berjenama Admiral di Jusco Equine Park. Tidak berhasrat untuk membeli jenis yang mahal kerana padang yang akan kami gunakan tidak begitu berbaloi untuk sebuah kasut yang mahal. Harganya RM99.90, jauh lebih murah dari kasut-kasut yang aku lihat sebelum ini. Tambahan pula ia diberikan diskaun sebanyak 70%. Akhirnya aku cuma perlu membayar dengan harga di bawah RM30 untuk sepasang kasut bola yang agak menarik pada pandangan aku. Jauh lebih murah daripada harga kasut yang aku sebut semasa bergurau dengan pekerja di sebuah kedai sukan di IOI Mall. Kebetulan pula, saiz yang diharapkan masih ada dan hari tersebut merupakan hari terakhir mereka mengadakan diskaun sedemikian rupa. Alhamdulillah, Allah berikan aku kesempatan untuk memilikinya.

Aku tidak menaruh harapan tinggi untuk sebuah kasut yang berharga murah ini. Aku tidak akan membanding-bandingnya dengan kasut yang pernah berkhidmat denganku sebelum ini. Aku cuma berharap agar aku tidak kekok menggunakannya, tidak mencederakan aku, serta tidak mengecewakan orang lain dalam caraku menggunakannya. Aku berharap aku mampu memanfaatkannya sebaik mungkin.
Admiral Pulz Striker
Inilah tayar baruku di atas padang. Semoga inilah yang dikatakan sebagai 'menang membeli, menang memakai'.