Saturday, February 9, 2013

DES'IRIS'ABLE

Mesti ramai tertanya-tanya tentang logo ini serta apa maksudnya. Aku tidak berpeluang menjelaskannya secara terperinci apabila orang bertanya, maka dengan ini menulisnya di sini adalah cara terbaik untuk menjelaskannya.

Logo ini pada asalnya adalah logo yang aku cipta khas untuk sebuah page kepunyaan aku dalam FaceBook. Page itu berkisar tentang pergerakan rakan-rakan dalam band, para performer yang pernah bersama-sama dengan kami pada awal penubuhan band, para pendorong, pembimbing, para peserta uji bakat serta rakan-rakan baru yang turut bersama dengan band.

Dari mana datangnya perkataan des'IRIS'able?

Sebenarnya perkataan ini adalah gabungan 3 perkataan. Perkataan pertama adalah perkataan 'desire' yang bermaksud 'berkeinginan'. Perkataan kedua adalah 'dis-erasable' yang bermaksud, 'tidak terpadamkan'. Biasanya perkataan paling tepat untuk 'tidak terpadamkan' itu adalah unerasable. Sengaja aku gantikan dengan awalan 'dis' yang mempunyai persamaan dengan 'un' untuk memberi maksud sebagai penafian. Kedua-dua perkataan ini menggambarkan perasaan kami semua terhadap keinginan untuk beraksi di atas pentas sebagai sebuah band. Dan keinginan ini tercapai yang akhirnya membawa kepada memori yang tidak akan terhapus seawal penglibatan kami sehingga sekarang. 

Perkataan ketiga adalah perkataan 'iris'. Apa maksud 'iris'? 'Iris' yang kompeni tu ke? Atau 'iris' yang kita belajar Sains kat sekolah dulu berkenaan dengan mata? Mungkinkah ada kaitan dengan lagu 'Iris' yang pernah dinyanyikan oleh Awie. Okeylah, kita akan terangkan dari mana datangnya perkataan 'iris' itu.

Sebelumnya, aku mengetahui perkataan iris ni semasa belajar di tingkatan 3 dalam mata pelajaran Sains. Kemudian aku mengenali perkataan 'Iris buat kali kedua adalah pada tahun 1998 yang membuatkan semakin tertarik dengan nama itu. Iris kali kedua ini aku peroleh dalam sebuah lagu soundtrack untuk filem City of Angels yang dinyanyikan oleh kumpulan Goo Goo Dolls. Lagu Iris ini sangat menyentuh emosi aku dengan melodinya yang sangat baik. Dikhabarkan pula bahawa lagu ini hanya memerlukan selama 20 minit untuk menciptanya dan ia dicipta semasa penulisnya mengalami satu situasi yang dipanggil writer's block dan kumpulan tersebut pula di ambang perpecahan. Lagu Iris tersebut akhirnya membawa mereka bersatu dan semakin masyhur serta menjadi hitz di mana-mana carta pada waktu itu. Lagu Iris juga merupakan lagu yang sering berkumandang semasa aku belajar untuk menghadapi ujian SPM pada tahun tersebut.
Oleh kerana page facebook yang aku cipta adalah merupakan pergerakan aku bersama band, aku mengambil perkataan Iris dari nyanyian ini. Aku terlalu berharap agar band kami mampu begerak jauh kehadapan sebagaimana semangat nama Iris daripada lagu tersebut yang punyai sejarah hebat seiring dengan keinginan kami sebelum ini untuk beraksi di atas pentas serta memori-memori susah senang kami bersama yang tidak mampu terpadam.

Nama page des'IRIS'able ini tidak pernah disenaraikan sebagai cadangan nama band selepas beberapa nama sebelum itu ditolak. Namun selepas page ini wujud, ada ura-ura untuk menjadikan ia sebagai nama band. Namun aku pernah memberitahu bahawa nama ini adalah hak page kepunyaan aku, tapi aku tidak kisah jika pihak pengurusan mahu menggunakannya. Selepas diusulkan, nama ini masih ditolak dan aku mengekalkannya sebagai nama page sahaja.
Semasa berada bersama dengan band, aku pernah mengusulkan design t-shirt untuk krew band. Namun ia tidak sempat dilakukan. Sebagai empunya hak terhadap rekabentuk logo tersebut, kini aku menjadikan rekabentuk logo tersebut sebagai sebuah realiti selepas tidak bersama dengan band. Logo ini aku jadikan sebagai sebuah lambang kenangan kepada semua rakan-rakan yang pernah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan band. Ia suntikan semangat sebagai tanda sokongan kami semua kepada rakan-rakan band yang masih tinggal. Selain itu, aku telah melebarkannya kepada lambang sebuah persahabatan dan persefahaman. 
Kini sudah lebih seratus helai rekabentuk t-shirt tersebut telah dicetak. Bilangan ini insyaAllah akan terus meningkat dan tempahan serta pencetakkannya masih sedang berjalan.

0 Komen: