Tuesday, November 6, 2012

Kisah seorang bapa dan doktor

Seorang doktor memasuki perkarangan hospital dengan tergesa-gesa selepas mendapat panggilan untuk melakukan sebuah pembedahan kecemasan. Dia menjawab panggilan itu dan datang sesegera mungkin, menyalin pakaian dan terus memasuki bahagian pembedahan. Dia mendapati seorang lelaki sedang mundar-mandir di dewan tersebut menunggu doktor yang akan melakukan pembedahan. Lelaki itu pun sedar kehadirannya.

"Kenapa kamu mengambil masa begitu lama untuk datang? Tahu tak nyawa anak saya dalam bahaya? Tidakkah kamu punyai rasa tanggungjawab?" pekik lelaki tersebut sambil merenung ke arah doktor.

"Saya minta maaf, saya berada di tempat lain sebentar tadi. Saya tergesa-gesa sampai selepas menerima panggilan. Saya  berharap encik boleh bertenang supaya saya boleh meneruskan kerja saya." kata doktor sambil menguntumkan sebuah senyuman.

"Bertenang?! Bagaimana jika anak kamu yang berada di bilik itu sekarang, adakah kamu mampu bertenang? Jika anak kamu hilang nyawa waktu ini, apa yang akan kamu lakukan??" kata lelaki itu dengan marahnya.

Doktor itu senyum sekali lagi.

"Saya akan berkata sebagaimana yang tertulis dalam Al-Quran, 'Sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali'. Seseorang doktor tidak mampu menyambung nyawa. Berdoalah untuk anak encik. Kami akan lakukan sedaya-upaya kami, insyaAllah." jawab doktor.

"Iyalah tu! Memberikan nasihat apabila kita tiada rasa bimbang memang mudah, bukan?" bebel lelaki tersebut.

Tanpa mengambil banyak masa, doktor tersebut masuk ke bilik pembedahan. Pembedahan itu mengambil masa beberapa jam selepas itu. Selepas melakukan tugasnya, doktor itu keluar daripada bilik pembedahan dengan wajah yang menggembirakan.

"Syukur Alhamdulillah! Anak anda telah selamat." kata doktor itu.

"Jika ada sebarang soalan, sila berhubung dengan jururawat bertugas!!" tambah doktor tersebut. Tanpa menunggu jawaban daripada lelaki tersebut, dia segera beredar meninggalkan kawasan hospital.

Lelaki itu memandang sikap doktor tersebut dengan perasaan yang amat mengecewakan. Seketika kemudian dia mendapatkan jururawat bertugas yang turut bersama doktor tadi di dalam bilik pembedahan.

"Kenapa doktor itu begitu angkuh? Tidakkah dia sepatutnya meluangkan sedikit masa supaya saya boleh bertanya serba sedikit tentang keadaan anak saya." dia bertanya.

Jururawat bertugas tersebut mengalirkan airmata dan tertunduk.

"Sebenarnya, doktor tadi telah kehilangan anak kesayangannya dalam sebuah kemalangan jalanraya semalam. Kami menghubunginya untuk pembedahan anak encik semasa dia sedang memandikan jenazah anaknya. Sekarang dia telah berjaya melakukan sedaya-upayanya untuk menyelamatkan anak encik. Dan sudah sampai masanya untuk dia kembali ke tanah perkuburan untuk dia menyelesaikann upacara pengebumian anaknya pula."


***Moral - Jangan mudah menghukum seseorang kerana kita tidak tahu bagaimana keadaan mereka dan apa yang sedang mereka harungi.


(Diterjemah melalui FB page 'Info for u' mengikut kaedah pemahaman aku sebagai seorang muslim)

0 Komen: